{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Peluang lanjut pengajian

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com

SELAIN bidang akademik, TATIUC turut mencapai pelbagai kejayaan termasuk perlumbaan kereta Formula Varsity pada tahun lalu dan mempertahankannya tahun ini di samping tempat pertama kategori reka bentuk dan kategori Catch The Moment.

KUALA TERENGGANU 28 Mei - Kolej Universiti TATI (TATIUC) akan menganjurkan siri Karnival Pendidikan TATIUC 2013 bermula di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini selama tiga hari mulai Khamis ini.

Langkah ini bagi memberi pendedahan lebih meluas dan terkini kepada lepasan menengah, matrikulasi dan diploma tentang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang ditawarkan di TATIUC, selaku gedung yang melahirkan teknokrat untuk memacu perkembangan industri.

Rektor TATIUC, Dr. Zunaidi Ibrahim berkata, program ini sebagai sokongan untuk memastikan golongan pelajar dan belia serta graduan membuat pilihan bijak dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka pada masa hadapan.

"Ini akan disusuli dengan siri kedua di Dewan Masjid Hadhari, Jerteh (7-8 Jun) diikuti Dewan Arena Merdeka, Dungun (14-15 Jun) dan siri jelajah ini pada minggu berikutnya akan diadakan di Kemaman," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

TATI yang ditubuhkan 20 tahun lalu telah melalui era perkembangan yang pesat dalam usaha memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai golongan tenaga mahir dan teknokrat dalam kalangan rakyat tempatan.

Katanya, bagi memeriahkan karnival, beberapa aktiviti untuk para pengunjung akan diadakan termasuk pertandingan mewarna dan melukis untuk murid sekolah rendah dan pelajar menengah, permainan catur bistari, Sudoku di samping pelbagai lagi aktiviti menarik di setiap gerai pameran fakulti.

Turut dijangka menyertai karnival ini termasuklah Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Pusat Sains dan institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

Katanya, karnival ini merupakan sebahagian daripada promosi bagi mencapai sasaran pengambilan 1,000 orang pada tahun ini berbanding kira-kira 800 orang pada tahun lalu.

Bagi menampung peningkatan pelajar, TATIUC telah membina empat blok bangunan asrama baharu yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun ini.

"Menjelang 2016 ketika TATIUC bakal menjadi universiti penuh, TATIUC dijangka menampung 5,000 pelajar dalam satu-satu masa seiring dengan peningkatan kualiti pendidikan dan keyakinan masyarakat.

"Dengan sistem pembelajaran yang menekankan kemahiran atau "hands on", iaitu 60 hingga 70 peratus diterapkan dalam setiap program, peluang pekerja untuk meningkatkan lagi daya produktiviti di sektor industri adalah tinggi," ujarnya.

Katanya, prasarana yang lengkap dan terkini, tenaga kepakaran mencukupi serta sistem pembelajaran berteraskan kemahiran serta pembangunan dalam bidang penyelidikan merupakan faktor penting menaik taraf TATIUC.

"Kemajuan akademik TATIUC dapat dilihat dengan penawaran pelbagai program dan penghasilan graduan yang diterima baik di pasaran. Statistik menunjukkan lebih 60 peratus graduan TATIUC mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan tamat pengajian dan lebih 30 peratus melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kedudukan akademik TATIUC juga terserlah dengan diberikan penarafan empat bintang atau Tier 4 dan ini merupakan satu pengiktirafan dan pencapaian yang amat baik," ujarnya.

Agropolitan: ECER, UMK jalin kerjasama

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

PARA peserta Program Sinar ECER gembira dapat menyertai Projek Agropolitan Rantau Manis Gua Musang di Universiti Malaysia Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 28 Mei - Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) Kelantan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membangunkan Projek Agropolitan Rantau Manis Gua Musang dalam usaha membantu pelajar dan golongan miskin tegar yang tinggal di pedalaman.

Ketua Unit Kecemerlangan ECER Kementerian Pengajian Tinggi UMK, Prof. Rosdi Ab. Rahman berkata, melalui usahasama tersebut, pihaknya akan membantu untuk memberikan motivasi kepada pelajar dan golongan dewasa agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata, usaha pembangunan modal insan tersebut melibatkan dua kelompok sasaran iaitu pelajar sekolah yang menduduki peperiksaan utama dan golongan dewasa.

"Anak-anak yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi keutamaan, selain orang dewasa berusia 19 tahun ke atas turut diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas Program Sinar ECER di UMK, di sini hari ini.

Seramai 56 pelajar dari kawasan Agropolitan Rantau Manis dipilih untuk terlibat dalam program tersebut yang akan dikendalikan oleh 20 fasilitator terdiri daripada mahasiswa UMK.

Yang turut hadir pada program tersebut ialah Eksekutif ECER Kelantan, Siti Fairuz Zahari.

Rosdi yang juga pengurus projek tersebut berkata, selain ECER yang memberikan dana terhadap projek tersebut, UMK dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) juga turut membantu menjayakan projek berkenaan.

"Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan perlu melibatkan diri dalam program kecemerlangan akademik serta motivasi untuk membantu meningkat prestasi mereka.

"Program sebegini amat penting bagi memberi inspirasi kepada mereka memandangkan kurang pendedahan diberikan kepada golongan yang tinggal di kawasan pedalaman," katanya.

Penuntut UiTM lawat ITB, Indonesia

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Pelajar UiTM cawangan Kelantan kenangan ketika mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Bandung, Indonesia, baru-baru ini.

MACHANG 28 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia sebagai inisiatif untuk mengeratkan hubungan antara pelajar tempatan dengan pelajar Indonesia pada 22 sehingga 25 April lalu.

Lawatan yang berlangsung selama empat hari itu adalah salah satu program tahunan Persatuan Perniagaan Intelektual Dinamik (Indybs) yang terdiri daripada pelajar Diploma Pengajian Perniagaan universiti tersebut.

Menurut pegawai pengiring yang merupakan penasihat persatuan tersebut, Wan Mohd. Firdaus Wan Mohamad, program itu adalah satu usaha pihak universiti bagi membantu mahasiswa untuk menjalinkan hubungan luar.

"Lawatan yang terdiri daripada 10 mahasiswa bersama seorang pengiring ini membawa misi akademik melalui perjumpaan dengan pelajar di Institut Teknologi Bandung yang merupakan salah satu institusi pengajian tinggi di Indonesia.

"Dengan cara ini, pelajar dapat mempelajari pelbagai perkara baru dengan melihat dan bertukar pandangan sesama mereka," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Wan Mohd. Firdaus berkata, pelaksanaan program itu turut memberi peluang kepada mereka untuk menimba serta berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar luar.

"Selain itu, program pengantarabangsaan ini juga untuk mendedahkan pelajar tempatan dengan pelajar di negara jiran melalui perbincangan dua hala dan perkongsian pengalaman.

"Program ini akan membantu melebarkan sayap serta menaikkan nama universiti tempatan ke peringkat antarabangsa," ujarnya.

Beliau turut berharap agar program tersebut dapat diteruskan bagi mengukuhkan jalinan dalam kalangan pelajar tempatan dan luar negara.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat