{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Mampu jadi fenomena

Posted:

Mampu jadi fenomena

Mampu jadi fenomena

MERUJUK kepada perkembangan dunia perfileman tempatan ketika ini, ternyata filem bercorak Islamik atau berunsur Islam agak kurang mendapat sambutan penonton.

Biasanya, penonton akan lebih memilih kepada filem-filem yang bergenre cinta, aksi, komedi atau seram apabila pergi menonton sesebuah filem di pawagam.

Ia dibuktikan berdasarkan kutipan untuk tayangan keempat-empat genre filem tersebut yang biasanya mendapat kutipan yang tinggi, manakala filem bercorak Islamik pula seolah-olah dipandang sepi oleh penonton.

Mengulas mengenai penerimaan terhadap filem-filem bercorak sedemikian, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azhari Zain berkata, filem Islamik sebenarnya mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Menurut Azhari, untuk memberi gambaran sesuatu filem itu diterima atau tidak oleh masyarakat, ia tidak sepatutnya dinilai berdasarkan kepada kutipan tiket di pawagam semata-mata.

"Saya berpendapat bahawa penonton filem bercorak Islamik ini mempunyai kelompok peminat yang tersendiri, misalnya golongan ustaz dan ustazah atau mereka yang lebih cenderung kepada agama.

"Sebelum ini saya sudah menjadi pengarah kepada tiga buah filem Islamik seperti 99 Kali Rindu, 7 Petala Cinta dan Salam Cinta.

"Ternyata ada beberapa orang ustaz yang menghubungi saya dan memberi maklum balas positif," jelasnya yang juga merupakan seorang pensyarah.

Ujar Azhari, biarpun filem-filem sedemikian kurang meraih sambutan di pawagam, tetapi ia akan meraih banyak tontonan apabila ditayangkan di Astro First atau menerusi penjualan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD).

Menurutnya, situasi tersebut terjadi kerana wujud golongan penonton yang meminati filem-filem genre Islamik kurang gemar memilih panggung wayang untuk menonton filem dan lebih suka jika menonton di kaca televisyen di rumah bersama ahli keluarga.

"Bayangkan jika ada golongan ustaz yang pergi ke panggung wayang dengan memakai kopiah atau songkok. Sudah tentu akan ada segelintir pihak yang berasa agak pelik sehingga mewujudkan pandangan skeptikal.

"Jadi, langkah yang terbaik ialah dengan menonton sahaja di rumah dengan melanggan filem yang ingin ditonton menerusi Astro First atau membeli VCD dan DVD sahaja," ujarnya.


SYAMSUL dan Liyana Jasmay dalam satu babak filem Khurafat.


Ketika ditanya tentang perkembangan filem-filem Islamik ini pada masa akan datang, Azhari meluahkan keyakinannya bahawa filem sedemikian mempunyai masa depan yang cerah.

Ujarnya, tidak mustahil penerbitan filem Islamik akan menjadi satu fenomena berdasarkan kepada situasi yang pernah berlaku dalam industri nyanyian menerusi irama nasyid sekitar tahun 1990-an.

"Kita dapat melihat bahawa suatu masa dahulu irama nasyid ini tidak memiliki pendengar yang ramai, tetapi setelah munculnya beberapa kumpulan seperti Raihan dan Rabbani situasinya sudah mula berubah.

"Pada masa itu, irama nasyid mendapat sambutan yang sangat luar biasa sehingga banyak kumpulan nasyid yang muncul. Maka, tidak mustahil kalau situasi yang sama boleh berlaku kepada industri perfileman pula," tegasnya.

Pada masa yang sama, pengarah tersebut berharap supaya lebih ramai penerbit dapat menghasilkan filem bercorak Islamik dan tidak perlu risau tentang kutipan yang akan diperoleh di pawagam.

Menurutnya, masih lagi ramai penonton yang sememangnya menantikan filem-filem Islamik ini, terutama yang memaparkan jalan cerita yang baik dan mampu menarik minat orang ramai untuk menontonnya.

Mengenai kebanyakan filem berunsur agama ini yang masih menerapkan elemen cinta dalam penceritaan, Azhari berpendapat bahawa ia merupakan salah satu langkah untuk menarik minat golongan muda menonton sesebuah filem itu.

"Tidak dinafikan tema percintaan masih lagi menjadi pilihan kerana ia sangat dekat dengan kehidupan golongan muda, tetapi apa yang dipaparkan sudah tentu kisah cinta yang berlandaskan hukum agama," jelasnya.

Bagi melihat perkembangan filem Islamik dalam industri perfileman di negara ini, Azhari menyatakan,, dia kini sedang sibuk menyiapkan sebuah kajian iaitu Mencari Identiti Filem Islamik Di Malaysia yang akan dibentangkan pada bulan hadapan.

Tidak putus asa

Penerbit MIG Productions Sdn. Bhd., David Teo mengakui, penghasilan filem-filem berunsur agama sememangnya kurang memberikan keuntungan yang lumayan berbanding genre filem yang lain.

FILEM Dua Kalimah gagal meraih kutipan pecah panggung di pawagam biarpun menampilkan gandingan pelakon popular, Nora Danish dan Shaheizy Sam.


Ujarnya, meskipun sekadar balik modal, ia tidak menghalang buat dirinya untuk terus menerbitkan filem-filem bercorak sedimikian dan menganggap ia satu cabaran buat penerbit filem sepertinya.

"Sewaktu mula-mula berkecimpung dalam industri ini, filem pertama yang saya terbitkan ialah Syukur 21 pada tahun 2000 dan ia merupakan filem bercorak Islamik.

"Ternyata filem tersebut gagal di pasaran dan saya telah mengalami kerugian lebih RM2 juta.

"Namun begitu, ia langsung tidak membuat saya putus asa untuk terus menerbitkan filem-filem agama," jelasnya ketika pelancaran filem 99 Kali Rindu baru-baru ini.

Menurut David, dia tidak terlalu berasa gusar sekiranya sesebuah filem yang diterbitkan itu mencatatkan kutipan yang rendah di pawagam kerana kini sudah ada pendekatan lain yang mampu menampung kos penerbitan.

Ujarnya, dalam filem Dua Kalimah kutipan hasil tayangan di pawagam seluruh Malaysia yang diraih cuma mencecah RM700,000, meskipun menampilkan pelakon popular seperti Shaheizy Sam dan Nora Danish.

"Apabila ditayangkan di Astro First pula, Dua Kalimah mampu memperoleh sebanyak RM300,000 dalam tempoh empat hari dan sudah tentu kerugian yang dialaminya sebelum ini dapat diatasi," ujarnya.

Sebagai penerbit yang banyak menerbitkan filem Islamik seperti Syukur 21, Syurga Cinta, Salam Cinta, 7 Petala Cinta dan 99 Kali Rindu, David berpendapat bahawa punca tidak ramai penerbit yang mahu menghasilkan filem berunsur agama ini kerana risau mengalami kerugian.

"Saya masih kekal dengan pendirian bahawa filem-filem sebegini akan terus diterima ramai, tetapi saya juga berharap agar sambutan yang diterima semakin meningkat pada masa akan datang," ujarnya.

Medium dakwah

Bagi pengarah yang terkenal dengan filem-filem aksi, Syamsul Yusof menyatakan bahawa bidang perfileman sebenanya mampu menjadi medium yang paling efektif untuk berdakwah.

Ujarnya, pada era globalisasi sekarang ini, pendekatan menerusi filem merupakan salah satu cara paling berkesan menyampaikan mesej, seperti yang dilakukan oleh penggiat filem di Barat yang menggunakan filem untuk menyebarkan propaganda mereka.

"Saya akui terlalu banyak kepincangan yang dilakukan apabila menghasilkan filem tentang gangster dan bohsia, tetapi pada masa yang sama saya cuba menerapkan nilai-nilai kesedaran melalui agama.

"Secara jujurnya, saya akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang ada serta lebih memberi lebih penekanan terhadap elemen keagamaan dalam filem-filem yang dihasilkan nanti," ujarnya.

Menurut Syamsul lagi, Khurafat merupakan filem pertama arahannya yang cuba diterapkan nilai-nilai agama secara lebih mendalam, termasuk lagu temanya iaitu Ya Robbi yang berunsur keagamaan.

"Selepas filem KL Gangster 2, saya telah merancang untuk menerbitkan sebuah filem genre keagamaan. Jalan ceritanya pula sudah dirangka dan ia memang berbeza dengan filem-filem saya yang lepas," katanya.

Filem-filem Islamik popular Indonesia

Posted:

Filem-filem Islamik popular Indonesia

Filem-filem Islamik popular Indonesia

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

SEBAGAI sebuah negara dengan penduduk Islam yang paling ramai di dunia iaitu lebih 200 juta, sememangnya penerbitan filem-filem bercorak Islamik di Indonesia mendapat sambutan yang cukup baik.

Menariknya, kebanyakan filem yang dihasilkan pula merupakan adaptasi novel seperti karya oleh Habiburrahman El Shirazy, manakala Hanung Bramantyo pula antara pengarah yang terkenal mengarah filem-filem Islamik di Indonesia.

Biarpun menerapkan elemen cinta dalam kisah yang dipaparkan, tetapi ia lebih menjurus kepada amalan yang tidak melanggar hukum agama serta sarat dengan mesej.

Berikut merupakan senarai beberapa filem Islamik dari Indonesia yang telah dihasilkan dan mendapat sambutan yang cukup membanggakan daripada para penonton.



Ayat-Ayat Cinta (2008)

Setakat ini Ayat-Ayat Cinta merupakan filem bercorak Islamik yang paling mendapat sambutan di Indonesia apabila ditonton sebanyak 3.58 juta penonton ketika ia ditayangkan di pawagam pada tahun 2008.

Ia diadaptasi daripada sebuah novel dengan judul yang sama hasil karya Habiburrahman El Shirazy, malah novel berkenaan turut mendapat sambutan yang cukup luar biasa.

Ayat-Ayat Cinta mengisahkan tentang kehidupan Fahri yang merupakan penuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Dia merupakan seorang lelaki yang begitu taat kepada agama dan kurang bergaul dengan wanita.

Ketika berada di Mesir, Fahri berjiran dengan Maria Girgis yang merupakan wanita beragama Kristian.

Namun begitu, dia sebenarnya memendam perasaan terhadap Fahri, tetapi sekadar mampu diluahkan menerusi diarinya sahaja.

Filem berkenaan menampilkan beberapa pelakon muda yang semakin meningkat naik ketika itu seperti Fedi Nuril (Fahri), Carissa Putri (Maria), Rianti Cartwright (Aisha) dan Zaskia Adya Mecca (Noura).

Ketika Cinta Bertasbih (2009)

Sebuah lagi novel popular yang dihasilkan oleh Habiburrahman El Shirazy turut adaptasi menjadi sebuah filem. Sambutan terhadap filem itu cukup baik apabila ditonton seramai tiga juta penonton.

Menariknya, filem ini menampilkan Kholidi Asadil Alam dan Oki Setiana Dewi sebagai bintang utama.

Kedua-duanya merupakan pelakon baharu dan mereka dipilih menerusi satu sesi uji bakat yang diadakan untuk memilih pelakon yang membintangi filem berkenaan.

Ia mengisahkan tentang Azzam (Kholidi), seorang pemuda yang menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Dia dikenali sebagai pemuda yang memegang teguh prinsip Islam dalam kehidupan sehariannya.

Setelah kematian bapanya Azzam yang merupakan anak sulung turut memikul tanggungjawab menampung kehidupan keluarganya di Indonesia.

Bukan sahaja bergelar mahasiswa, dia juga menjalani perniagaan tempe dan bakso untuk pelajar Indonesia yang menuntut di Mesir.

Selain diadaptasi kepada sebuah filem, Ketika Cinta Bertasbih turut dihasilkan dalam bentuk drama bersiri dengan menampilkan pelakon utama yang sama.

Perempuan Berkalung Sorban (2009)

Jika filem Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih merupakan adaptasi novel Habiburrahman El Shirazy, Perempuan Berkalung Sorban pula merupakan karya novelis wanita, Abidah El Khalieqy.

Menerapkan elemen cinta dalam penceritaannya, tetapi ia lebih menekankan kepada tradisi kehidupan wanita di sekolah agama yang konservatif dalam zaman moden.

Perempuan Berkalung Sorban menceritakan tentang Anissa (Revalina S. Temat), anak kepada seorang kiyai yang mengelola sebuah sekolah agama iaitu Salafiah Putri Al-Huda.

Sepanjang kehidupannya Anissa telah dididik bahawa seorang wanita perlu tunduk kepada lelaki sehingga dia beranggapan bahawa ajaran Islam sekadar membela golongan lelaki dan wanita pula berada dalam kedudukan yang rendah.

Bagaimanapun, filem ini telah menimbulkan kontroversi kerana dianggap mempertikaikan cara kehidupan tradisi Islam yang masih dipraktikkan di kebanyakan sekolah agama di Indonesia.

Sang Pencerah (2010)

Sesuatu yang cukup menarik mengenai filem Sang Pencerah apabila ia adaptasi daripada kisah benar tentang K. H. Ahmad Dahlan atau Muhammad Darwis, seorang pengasas salah sebuah pertubuhan Islam terbesar Indonesia iaitu Muhammadiyah.

Selain digambarkan sebagai seorang yang membawa banyak pembaharuan serta bersikap lebih terbuka dan moden, Hanung turut memaparkan sisi peribadi Ahmad Dahlan yang kurang diketahui oleh orang ramai.

Kisahnya bermula apabila Darwis yang dilakonkan oleh Muhamad Ihsan Tarore telah menukar namanya kepada Ahmad Dahlan apabila pulang dari Mekah berasa risau dengan keadaan kampung halamannya apabila kebanyakan penduduk kampung terarah kepada ajaran sesat.

Dengan sebuah kompas, dia menunjukkan arah kiblat di Masjid Besar Kauman yang selama ini diyakini ke barat ternyata bukan menghadap ke Kaabah di Mekah, melainkan ke Afrika.

Perkara tersebut membuatkan penghulu Masjid Agung Kauman, Kyai Cholil Kamaludiningrat (Slamet Rahardjo) menjadi marah. Ahmad Dahlan, pemuda yang sekadar lima tahun menimba ilmu di Kota Mekah, dianggap melanggar peraturan yang sudah berjalan selama beratus tahun.

Negeri 5 Menara (2012)

Berbanding dengan kebanyakan filem Islamik yang tidak dapat lari daripada elemen cinta, ia berlainan pula dengan filem berjudul Negeri 5 Menara yang ditayangkan pada tahun lalu.

Filem adaptasi daripada novel yang dihasilkan oleh Ahmad Fuadi itu lebih menekankan kepada elemen penceritaan tentang pendidikan dan kehidupan para pelajar di sekolah agama serta ikatan persahabatan.

Kisah dalam filem tersebut bermula tentang seorang pemuda, Alif (Gazza Zubizareta) yang ingin melanjutkan pelajarannya di Institut Teknologi Bandung setelah tamat sekolah menengah.

Namun begitu, hasratnya tidak kesampaian apabila ibunya mahu dia menyambung pelajaran di sebuah sekolah agama yang dikenali sebagai Pondok Madani tanpa kerelaan hatinya.

Pada mulanya, dia agak kekok untuk menjalani kehidupan di situ, tetapi semuanya berubah apabila dia mula rapat dengan lima orang rakannya yang berasal dari negeri yang berbeza.

Mereka sering belajar bersama di menara masjid sehingga menggelarkan diri sebagai Sahibul Menara.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat