Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Bila capai status gemilang, terlupa nilai-nilai murni? Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT PADA tahun 2011, Beta telah berangkat melawat Uzbekistan, sebuah negara di Asia Tengah. Kota sejarah Samarkand, di Uzbekistan, menceritakan pelbagai kegemilangan di era pemerintahan Dinasti Timurid. Samarkand terkenal sebagai pusat dan laluan perdagangan utama, The Silk Road. Samarkand adalah metropolis yang mencantumkan Timur dan Barat. Di era kegemilangannya, di samping Islam, terdapat pelbagai kumpulan etnik dan amalan pelbagai agama, Nestorian Christian, Buddhism, Zoroastrianism dan Judaism. Asia Barat di era pemerintahan Islam berperanan sebagai pusat perkembangan pelbagai ilmu, merangkumi fizik, matematik, astronomi dan bahasa; lahirnya ilmuwan-ilmuwan terkemuka, antaranya, Al-Bukhari, Ibn Sina, Al Farabi, Al-Khwarizmi, Al-Biruni; Omar Khayyam, penyair terkemuka telah menghasilkan Ruba'iyyat, Ali Qushji terkenal sebagai ahli fizik, ahli bahasa, ahli matematik dan astronomer. Ulugh Begh cucunda kepada Timur Lind (Tamerlane) telah menghasilkan Zij-I Sultani, katalog dan jadual astronomi yang memiliki tahap ketepatan yang tinggi, kekal dijadikan sumber rujukan sehingga ke hari ini; beliau turut mengasaskan penubuhan Universiti Samarkand. Masjid Bibi Khanum memperlihatkan daya seni bina yang hebat. Kegemilangan tersebut berakhir apabila berlakunya konflik dalaman dalam pimpinan, mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan politik, di samping kealpaan pimpinan negara ketika itu, gagal melakukan pengubahsuaian selaras dengan perkembangan teknologi pengangkutan laut yang jauh mengatasi tahap efisien laluan darat, lalu menjejaskan kemakmuran ekonomi yang mereka pernah nikmati untuk sekian lamanya. Istanbul kaya dengan khazanah sejarah era keagungan Empayar Ottoman. Kegemilangan Empayar Ottoman didukung antaranya oleh enam prinsip utama: i. Agenda negara memperkembangkan Islam. ii. Sistem Kesultanan mutlak yang dinasihati oleh barisan wazir yang jujur, amanah, kompeten lagi berilmu. iii. Majlis Pengadilan yang sofistikated. iv. Pelaksanaan Syariah berlandaskan al-Quran dan Hadis. v. Sistem percukaian yang cekap, spesifik, pragmatik serta fleksibel. vi. Garis panduan yang jelas antara peranan pemimpin dan yang dipimpin. Di abad ketujuh belas (1699-1792), Empayar Ottoman mula berhadapan pelbagai cabaran, menjadi punca membawanya ke ambang kejatuhan. Empayar Ottoman semakin kehilangan wilayah, angkatan tenteranya bertambah lemah; berlakunya stagnasi ekonomi, sistem mata wang Turki yang disandarkan kepada Perak menghadapi ancaman, tercetusnya inflasi yang tinggi; berlaku juga stagnasi politik berpunca daripada kualiti pimpinan yang bertambah lemah kerana terlalu selesa hingga lena dalam kejayaan yang telah dicapai. Pimpinan Empayar secara berterusan gagal melakukan pengubahsuaian, selaras dengan tuntutan realiti pemodenan, khususnya yang sedang berkembang di benua Eropah dari segi inovasi teknologi baru, reformasi politik dan kebangkitan intelek. Di sebaliknya sebarang usaha untuk melakukan pemodenan dalam Empayar Ottoman, berhadapan dengan tentangan hebat daripada para pemimpin, angkatan tentera dan rakyat yang berfikiran konservatif. Pemerhatian di dua lokasi yang pernah mencipta sejarah kegemilangan Islam, memberikan peringatan penting, betapa sesuatu pemerintahan apabila telah mencapai status gemilang, terlupa dan teralpa kepada nilai-nilai asas lagi murni yang pernah diamalkan di peringkat awal, berperanan sebagai instrumen penting melonjakkannya berada di takhta kegemilangan. Senario sebegini adalah antara pemerhatian yang pernah dicatatkan oleh cendekiawan dan sosiologis kurun keempat belas, Abdul Rahman Ibn Khaldun, apabila masyarakat mendapat kemewahan, perwatakan mereka sering menjadi lemah. Dalam hasrat membina benteng daripada ditembusi oleh budaya yang boleh memusnahkan, ummah wajib kembali memperingatkan diri kepada peringatan Ilahi, melalui wahyu-wahyu yang terkandung di dalam al-Quran, demikian juga pelbagai seruan dan panduan yang terkandung dalam Sunah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Sifat nasihat menasihati adalah sebahagian daripada budaya yang harus diamalkan dalam kalangan ummah, seperti yang terkandung dalam Surah Al-Ashr yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran". Berpandukan falsafah di sebalik ayat tersebut, Tahir bin Husayn, Jeneral, Gabenor dan ilmuwan pada zaman Kerajaan Abbasiyah, mengutus surat kepada anaknya Abdullah sebaik sahaja Abdullah dilantik oleh Khalifah Ma'mun, ke jawatan Gabenor di Mesir, dengan peringatan berikut: Petikan: "Pertukaran daripada rahmah ILAHI kepada kemurkaan-Nya, cepat berlaku, apabila orang diberikan kuasa, tidak mengiktiraf rahmat yang Tuhan berikan, dan apabila mereka yang berkedudukan dalam kerajaan pula, tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan, lalu menganggap diri mereka itu sebagai manusia terhebat, sedangkan ia adalah hasil daripada rahmat dan anugerah Tuhan kepada mereka." Orang-orang tua terdahulu senantiasa mengingatkan agar yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan; bila sesat di hujung jalan - cepat kembali ke pangkal jalan, ketika melihat awan di langit - lupakan jangan rumput di bumi. Sama-samalah kita memohon rahmat Ilahi agar kita senantiasa diberikan panduan dan petunjuk, dihindarkan daripada melakukan perkara yang tidak mendapat keredaan dari-Nya, dan dilindungkan kita daripada pengaruh bisikan jahat iblis yang senantiasa berusaha menyesatkan setiap anak Adam untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini. Semoga Persidangan Majlis kali ke-183 mendapat petunjuk dan panduan Ilahi. |
Kenapa fobia apologetik dan berbalah lagi? Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL TINGKAH laku rakan kongsi kita yang selama ini ditatang dalam dulang emas dibalas dengan tuba, cemuhan dan hinaan. Tidak cukup menghentam akhbar ini, para penulis yang menyumbang buah fikiran dan artikel mereka diekori, dicari dikesan dan dimusnahkan dengan pelbagai cara, baik dari segi serangan siber, menekan dalam perniagaan, mencari salah, membuat pelbagai tuduhan, menghantar pelbagai laporan kepada pelbagai agensi kerajaan yang semuanya dikuasai anak bangsa sendiri dan malangnya mereka termakan dengan hasutan ini. Tragedi pembunuhan personaliti dilakukan terhadap penulis, ditohmah, malah mencantas peluang perniagaan dan menghasut rakan perniagaan menyebabkan penulis terbungkang keseorangan. Kini akaun FB pula diserang apabila menghentam secara terang-terangan kes penjualan pangkat kehormat RELA dan penyalahgunaan kuasa didedahkan. Memang terasa sedih dan kecewa dalam keadaan ini, mereka yang terlibat begitu bermaharaja lela membuat kenyataan akhbar seolah-olah RELA milik mereka dan boleh mengeluarkan kenyataan rasmi dengan memakai seragamnya. Teguran ini membawa padah kepada individu yang memperkatakannya tetapi mereka yang berkenaan seolah-olah mendapat pembelaan. Meskipun pernah diberi teguran dalam pemberian pangkat kehormat yang dilihat secara wewenang dengan ranking tertinggi yang tidak masuk akal, kononnya ada muslihat untuk menarik sokongan kepada kerajaan. Walhal, sejarah penubuhan dan perkara yang berkaitan yang tersirat mengenai organisasi ini tidak pernah dihirau dan diambil faham oleh mereka yang berkaitan. Kini nasi sudah menjadi bubur, lebih buruk lagi akan dibiarkan menjadi basi berkulat seterusnya membiakkan virus sekiranya tidak segera diambil tindakan susulan. Saban masa, orang lain menghentam kiri dan kanan kita. Malangnya sebahagian besar daripada kita bukan sahaja tidak bersimpati tetapi turut bertepuk sorak. Lebih buruk lagi turut masuk menyertainya menginjak, menindih, menindas dan memenyek habis sekumpulan manusia yang sudah sedar dan tangkas berjuang mempertahan dan mengambil balik apa yang sudah dirampas daripada kita semua. Ini kalilah kita buktikan bahawa tunduk bukan untuk dipijak, undur bukan mengalah. Atas nama ketelusan, atas nama menjaga ketenteraman, keamanan dan sebagainya orang seperti penulis disekat kebebasan tetapi tidak kepada mereka yang secara terang menghentam kita di media alternatif berkenaan. Kita ternyata bertindak berseorangan, mereka bergerak secara berkumpulan. Kita sentiasa percaya apa yang dilaporkan tanpa sebarang usul periksa. Terus ambil tindakan, bangkrapkan, gantung projek, tarik pinjaman, sekat perjalanan. Itu kuasa siapa sebenarnya? Kita memohon kadang kala mengemis dan merayu untuk beroleh sesuap nasi dan bertanding dengan gergasi dalam pelbagai bidang. Pernahkah kita mendapat sebarang keistimewaan sebagai aktivis atau pejuang bangsa. Tepuk dada dan tanyalah selera kepimpinan baru negara, kami sudah memperjuangkan anda semua dan sudah terselamat daripada jurang kebinasaan. Jangan silap percaturan kerana kami tidak pandai bersandiwara dan menonjolkan diri meminta-minta. Tetapi kami juga ada mata, telinga dan hati untuk terasa bahawa memang sumbangan selama ini sudah dipandang sepi. Tengok sahajalah barisan kabinet yang ada ini. Lihat dan nilai sendiri di mana letaknya para pejuang yang sanggup hara-kiri. Orang lain yang makan nangka orang lain yang dapat getahnya, memang sudah tiba masanya kita orak langkah bercakap besar, melaung sana sini, cari pasal dan buat riuh rendah supaya orang atas boleh nampak dan boleh dengar sebab kita sudah tidak ada organisasi yang sanggup menjadi mata dan telinga kerajaan sebab mereka sudah dibuta dan dibisukan adanya. Para pegawai kanan kerajaan, peneraju GLC, peneraju institusi perbankan milik negara, bukalah mata, buka minda dan buka hati. Anda jangan jadi pengkhianat, anda jangan jadi gunting dalam lipatan dan anda jangan menolak tangga dan berjuntai kaki setelah anda berada di puncak. Segala tulisan ini tidak lagi bersifat apologetik dan kata-kata berlapik kerana orang Melayu moden sekarang tidak memahami bahasa berkias. Mereka cuma faham bahasa maki hamun dan keras pedas. Kita sudah hilang nama-nama besar bank seperti Bank Bumiputra, kita sudah korbankan bahasa Melayu dengan merelakannya menjadi bahasa Malaysia, kita sudah hampir membunuh peranan Dewan Bahasa dan Pustaka, kini kita sedang beransur-ansur membunuh Utusan Malaysia. Kenapa bukan Berita Harian, NSTP tentu anda semua yang berjuang faham kenapa dan bagaimana sejarah yang berbeza dulu kini dan selamanya. Apa sahaja tuduhan yang bakal dilemparkan, apa sahaja tohmahan yang bakal diterima sudah dianggap mangli dan tidak memberi kesan dan bekas. Ini saja senjata yang masih bersisa -- sebuah akhbar kalam kita. Kalau ini pun kita tuduh dengan pelbagai agenda, maka keluar sahajalah daripada menjadi anak bangsa. Jadilah pengkhianat jadilah laknat. Bangun, buka mata, buka minda - kita adalah anak merdeka. Lita adalah tuan kepada diri kita, kenapa biarkan orang lain memperkulikan kita. Betulkan saf, mari teruskan perjuangan yang belum selesai kerana sesungguhnya Melayu Tidak Pernah Lupa seperti mana pelanduk yang boleh melupakan jeratnya. PENULIS ialah Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |