Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Sekadar ulang janji lama
- Masalah air bersih terus belenggu penduduk Kelantan
- Industri batik tempatan diyakini terus berkembang
Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT KOTA BHARU 15 Mei - Kerajaan Pas Kelantan tidak memberi jaminan mampu menyelesaikan masalah rumah mampu milik di negeri ini dalam masa terdekat sebaliknya terus berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan meskipun pemerintahan mereka sudah menjangkau lebih daripada 23 tahun. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, masalah rumah mampu milik sebenarnya tidak ada jangka masa untuk diselesaikan namun Kerajaan Pas Kelantan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menyediakan rumah berkenaan untuk kemudahan rakyat di negeri ini. Beliau berkata, pada peringkat pemulaaan ini sebanyak 2,000 unit rumah mampu milik akan dibina sebagaimana yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. "Untuk tahun ini, Bahagian Perumahan menyediakan RM9 juta sebagai peruntukan asas, manakala selebihnya akan disediakan agensi terlibat iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)," katanya pada pemberita selepas Mesyurat Exco di sini hari ini. Sebelum ini Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan semasa berceramah di Kampung Baru, Wakaf Mek Zainab di sini pernah mengumumkan mahu membina sebanyak 420 unit rumah kos sederhana bagi penduduk Kota Bharu. Pengumuman tersebut dibuat ketika tinggal beberapa hari sahaja sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, setelah 23 tahun Kerajaan Pas Kelantan gagal melaksanankan perumahan rakyat. Sementara itu ketika ditanya adakah Kerajaan Pas Kelantan mempunyai kemampuan melaksanakan projek berkenaan Abdul Fattah menjelaskan, perkara itu bukan baharu malah wujud sejak tahun 1990 lagi apabila Kerajaan Pas Kelantan sering kali dipersoalkan setiap kali ingin melasaksanakan sesuatu projek. Namun katanya, situasi tersebut memberikan maklum balas positif apabila ia menjadikan Kerajaan Pas Kelantan lebih kuat dan bersungguh- sungguh untuk menjayakan projek berkenaan dengan pertolongan Allah. "Dari dulu hingga sekarang kita bergantung kepada pertolongan Allah dan kita yakin Allah sentiasa membuat kita menjadi lebih kuat dengan pertolongannya, kita serahkan segala-galanya kepada Allah," katanya. Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika mengulas perkara yang sama berkata, pembinan rumah mampu milik ini akan menjadi tumpuan Kerajaan Pas Kelantan untuk tempoh lima tahun akan datang. |
Masalah air bersih terus belenggu penduduk Kelantan Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT Sebahagian penduduk Kampung Tualang menunjukkan air telaga yang terpaksa digunakan untuk pelbagai tujuan ekoran ketiadaan bekalan air bersih Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI KOTA BHARU 15 Mei - Masalah bekalan air bersih terus menghantui rakyat Kelantan apabila lebih 500 penduduk Kampung Tualang, Kubang Kerian di sini menyatakan kekesalan mereka kerana tidak pernah mendapat bekalan sumber asas itu sejak lebih 10 tahun lalu. Susulan itu, penduduk kampung terpaksa menggunakan air telaga yang agak kotor serta berkelodak dan keadaan itu terpaksa dihadapi oleh mereka walaupun keadaan sumber air tersebut jelas tidak terjamin kualitinya. Keadaan tersebut sekali gus memaksa mereka mengeluarkan duit poket untuk membeli bekalan air bersih yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampung itu, malah ada yang mengaku terpaksa menadah air hujan untuk mandi. Seorang penduduk, Maimun Ghazi, 49, berkata, rayuan telah dibuat kepada pihak berwajib namun tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga hari ini. "Bekalan air yang saya guna selama ini cukup menyedihkan kerana airnya yang kuning serta berkelodak jelas tidak sesuai digunakan untuk minum serta memasak. "Saya terpaksa menggali sehingga tiga buah perigi menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mendapatkan bekalan air yang bersih namun keadaan air tetap sama," katanya ketika ditemui di Kampung Tualang di sini hari ini. Masalah yang sama turut dialami oleh Kamarudin Awang Kecil, 26, yang terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli bekalan air bersih untuk kegunaan harian. "Keadaan air yang kotor bukan sahaja tidak dapat digunakan malah mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk di kampung ini terutamanya kanak-kanak. "Saya memohon pihak berkuasa tampil menyelesaikan masalah ini kerana apa yang penting adalah penduduk kampung di sini dapat menikmati bekalan air bersih," katanya. Seorang pesara, Mat Nawi Dollah, 54, meminta pihak berwajib supaya mempercepatkan penyambungan bekalan air bersih bagi memberi keselesaan kepada penduduk kampung. "Kampung ini masih tidak menerima bekalan air bersih walaupun kawasan serta daerah yang berhampiran sudah lama mendapat bekalan air bersih. "Aduan sudah dibuat namun masih tiada jalan penyelesaian sehingga hari ini," katanya yang terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM60 sebulan untuk membeli air bersih. Seorang warga emas, Aminah Deraman,73, meluahkan rasa sedih kerana selama ini hanya bergantung kepada sumber air mentah yang tidak bersih. "Saya tinggal di kampung ini sejak mula dibuka dan kami tidak pernah merasai air bersih. Kasihanilah penduduk kampung," katanya. |
Industri batik tempatan diyakini terus berkembang Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT SEORANG pembantu kedai menunjukkan kemeja batik yang terdapat di butik Nordin Batik di Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 15 Mei - Batik Malaysia bukan sahaja berjaya mengekalkan ciri-ciri keasliannya walaupun berhadapan dengan peredaran zaman, malah berupaya menambat hati masyarakat luar dan mendapat tempat di persada antarabangsa. Sejak berabad lamanya, batik dikategorikan sebagai fabrik mewah, anggun, tahan daya pakai serta selesa dipakai dalam semua acara. Kini, bisnes batik juga semakin berkembang maju berbanding dahulu dan siapa sangka batik yang sinonim dengan kain basahan dan baju kurung kini mampu menjadi pakaian moden. Pengurus Nordin Batik, Azlinda Nordin, 37, berkata, pembuatan batik masih bertahan sehingga kini kerana terdapat pelbagai produk yang dihasilkan daripada bahan tersebut. "Batik boleh dikomersialkan lagi terutamanya untuk majlis rasmi mahupun kasual. Pakaian seperti kemeja, blaus, baju T, seluar pendek untuk pelbagai peringkat umur juga dapat dihasilkan," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Azlinda, usaha dilakukan pihak Tourism Malaysia memperkenalkan produk batik kepada pelancong luar turut merancakkan industri itu. "Pelancong luar sering menjadikan batik sebagai buah tangan kepada kawan-kawan dan keluarga di negeri masing-masing," katanya. Azlinda berkata, industri batik tempatan dijangka terus maju melihat kepada perkembangan fesyen semasa dan kebijaksanaan pereka menghasilkan pakaian dan produk lain bermotifkan batik. "Harga batik di butik ini antara RM10 dan RM900. Namun, batik juga boleh mencecah RM1,000 jika kain yang digunakan berkualiti dan corak yang dilukis pula eksklusif," katanya. Azlinda berharap industri dan perusahaan batik akan terus bertahan kerana kewujudannya cukup sinonim dengan orang Melayu. Sementara itu, seorang pencanting batik, Rosita Derahman, 39, mengakui perkembangan industri batik membantunya meraih pendapatan lebih lumayan berbanding enam tahun lalu. "Jika dahulu saya hanya mendapat pendapatan sekitar RM500, tetapi dengan perkembangan industri batik tempatan, saya mampu memperoleh lebih RM1,000 sebulan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |