{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


MCA diminta selesaikan segera

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

Mukhriz

ALOR SETAR 22 Mei - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir meminta MCA membuat keputusan segera berhubung dengan pelantikan wakil parti itu dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Tegas beliau, ini kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Kedah, masyarakat Cina tidak mempunyai wakil dalam barisan Exco bagi membantu kerajaan negeri.

"Saya menghormati keputusan MCA tetapi pada waktu yang sama saya harap mereka dapat membuat keputusan secepat mungkin kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah kita di sini Exco dilantik tiada wakil daripada masyarakat Cina," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memberitahu, partinya tidak mahu wakil daripada MCA dilantik dalam Kabinet kerajaan dan Exco kerajaan negeri berikutan prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kerajaan Kedah secara tradisinya mempunyai 10 Exco tetapi pada 15 Mei lalu hanya lapan Exco yang dilantik tanpa wakil daripada masyarakat Cina dan India.

Mukhriz berkata, beliau telah menerima surat maklum balas daripada Soi Lek yang meminta kerajaan negeri menunggu sedikit masa bagi membolehkan MCA menyelesaikan sebarang perkara yang menyebabkan wakilnya tidak dapat dilantik di peringkat negeri.

"Walaupun di Johor wakil MCA telah pun dilantik sebagai Exco kerajaan negeri, bagi Kedah, buat masa ini kita akur dengan keputusan MCA dan pada waktu sama saya telah pun menyatakan keinginan untuk melihat soal ini diatasi secepat mungkin," jelasnya.

Mengenai wakil masyarakat India, beliau berkata, sudah tentu kerajaan negeri akan melantik pegawai-pegawai di peringkat Pejabat Menteri Besar dan di peringkat jawatankuasa Exco bagi mewakili masyarakat itu khusus membabitkan kaum berkenaan.

Dalam keputusan PRU-13 5 Mei lalu, calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Darul Aman, Gurun, Bakar Arang dan Kulim.

Bagaimanapun MCA hanya menang di Gurun melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Leong Yong Kong dan di DUN Kulim oleh Chua Thiong Gee.

MIC yang meletakkan calon bertanding di Lunas dan Bukit Selambau bagaimanapun tewas di kedua-dua kerusi DUN itu.

Maklumat bocor jejaskan nelayan

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

BALIK PULAU 22 Mei - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membocorkan maklumat operasi mencegah pencerobohan pukat tunda didakwa punca periuk nasi kira-kira 4,000 nelayan pantai di negeri ini terjejas.

Perkara itu diluahkan oleh ketua-ketua unit nelayan di Kuala Sungai Pinang di sini semasa perjumpaan dengan agensi-agensi kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Menurut wakil-wakil nelayan terbabit, setiap kali mereka menghubungi agensi penguat kuasa untuk memberikan maklumat, maka ketika itu juga bot-bot pukat tunda menghilangkan diri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (gambar) yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, masalah tersebut berlaku sejak setengah abad lalu.

"Nelayan kata ada unsur kebocoran maklumat apabila agensi penguat kuasa mahu menjalankan operasi menangkap bot pukat tunda.

"Mereka (nelayan) biasanya tidak simpan dalam hati apa-apa masalah, mereka lepaskan (cakap) begitu sahaja.

"Masalah ini telah berlarutan sejak zaman datuk nenek mereka dahulu dan ini merupakan satu perjuangan yang terpaksa mereka lalui," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan tersebut.

Antara agensi-agensi yang hadir adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Shah Headan Ayoob menambah, bot pukat tunda tersebut bukan sahaja mengancam hidupan laut di kawasan air cetek, malah merosakkan jaring nelayan pantai.

"Setiap kali jaring mereka (nelayan pantai) rosak, tiga hingga empat hari mereka tidak dapat turun ke laut kerana terpaksa membaikinya.

"Ini merupakan satu jenayah kerana selain peralatan nelayan dirosakkan, bot pukat tunda telah menceroboh kawasan menangkap ikan nelayan pantai," ujarnya.

Sehubungan itu tegasnya, agensi-agensi terbabit perlu memandang serius perkara berkenaan kerana keadaan yang berlaku menjejaskan pendapatan nelayan, seterusnya kehidupan keluarga masing-masing.

Sukan bendang erat perpaduan

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ANGGOTA Parlimen Baling, Datuk Azeez Abdul Rahim (kanan) beramah mesra dengan golongan muda yang menyertai pertandingan sukan bendang, kelmarin.

BALING 22 Mei - Pertandingan sukan bendang semakin diminati anggota masyarakat walaupun bukan mudah untuk muncul sebagai juara apabila menyertainya.

Sukan yang diadakan di bendang itu membabitkan pelbagai acara seperti bola jaring, bola sepak, tarik tali, menangkap itik, tarik upih dan sebagainya.

Penduduk Kampung Tok Weng dengan kerjasama Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan beberapa kampung berdekatan mengadakan pertandingan berkenaan bertujuan untuk mengeratkan kerjasama, perpaduan dan silaturahim.

Pengerusi JKKK, Abdul Ghani Abdul Aziz berkata, penduduk berasa gembira dengan penglibatan semua pihak dalam pelbagai permainan menarik.

"Ia juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada golongan muda dan anak-anak sebagai satu riadah sukan yang sihat serta mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial yang tidak baik.

"Sambutan amat menggalakkan dengan kerjasama badan-badan amal yang turun ke bendang bersama masyarakat kampung untuk bermain lumpur dengan menyertai pelbagai aktiviti pertandingan sukan yang menarik,' katanya di sini semalam.

Pertandingan itu bertambah meriah apabila disertai ahli-ahli Kelab Motosikal SYM (Samyong) 1Malaysia yang diketuai pengarah projeknya, Jefry Abu Hassan, 43.

Beliau berkata, penyertaan mereka adalah sempena kembara ahli-ahli kelab ke Betong, Thailand yang melalui perkampungan tersebut.

"Kami singgah di kampung ini sebagai tanda menjalinkan hubungan silaturrahim antara ahli kelab dengan komuniti dan ahli kelab turut sama turun ke bendang untuk bertanding dalam acara sukan tersebut dan ini merupakan kali pertama kami bermain di dalam bendang," katanya.

Peserta kelab tersebut terdiri daripada 60 orang yang kebanyakannya telah berkeluarga, turut sama menyambut Hari Ibu bersama kaum ibu di kampung tersebut.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat