Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 28 May 2013 07:01 AM PDT Kejayaan dua anak watan Yuna dan Shila Amzah di pentas antarabangsa jelas membuktikan tiada apa yang mustahil dicapai dengan usaha dan kegigihan. Selain mereka, ramai lagi bakat seni tempatan yang terus mengintai peluang dan masa terbaik untuk menonjol. Perihal serupa kini diraih pula bakat muda bergelar Erul yang berjuang atas kapasiti muzik KPop. Erul atau nama sebenarnya Khairul Najmuddin Abu Samah mungkin belum gah mana tetapi kerjaya seninya makin berkembang. Kejayaan bergelar naib juara pertandingan K-pop Star Hunt musim kedua di Korea Selatan pada Disember tahun lalu tidak perlu disangkal. Pencapaian itu bukan saja membanggakan kita malah membuka jalan kepada anak muda ini mengembangkan kerjaya di negara itu.
Berkongsi mengenai kembaranya selama lebih dua bulan di bumi KPop itu, Erul mengakui, pengalaman dan ilmu yang dikutip di sana menjadikan dia semakin matang sebagai penghibur. Katanya, selain dibimbing pada aspek nyanyian dan penampilan, kembara itu membuka potensi yang tidak pernah disedari ada dalam dirinya. "Mungkin pengalaman saya di sana cukup singkat tetapi saya belajar dan didedahkan dengan banyak perkara yang tidak akan diperoleh di sini. "Di sana, persiapan untuk bergelar bintang tidak semudah disangka tetapi orang baru perlu melalui proses pembelajaran dan persiapan yang menyeluruh selama dua atau tiga tahun terlebih dulu. "Saya akui masih mentah dan banyak lagi yang perlu dipelajari tetapi setidaknya saya kini semakin matang dan kemahiran nyanyian semakin meningkat," katanya. Ikuti kelas bahasa Korea Apabila menyentuh mengenai KPop, kecantikan paras rupa dan penampilan memukau adalah elemen yang cukup sinonim dengan dunia hiburan itu. Memandangkan Erul dijangka memulakan kerjaya di sana tidak lama lagi, dia lantas diusik mengenai suntikan kecantikan dan pembedahan plastik yang menjadi trend bagi segelintir artis di sana. Erul mengakui, trend itu adalah perkara biasa yang didedahkan kepada semua artis di sana. "Memang trend itu didedahkan kepada semua pendatang baru di Korea Selatan. Terpulanglah kepada individu sama ada untuk membuat pembedahan dan suntikan atau sebaliknya. "Ini kerana ia bukan perkara wajib yang ditetapkan oleh pihak pengurusan kepada artis. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian saya kebanyakan bakat baru di sana tidak memerlukan pembedahan kecantikan pun kerana mereka memang sudah cantik dan kacak," katanya. Jadi, dia tidak perlu melakukan suntikan atau pembedahan semata-mata untuk tampil lebih menarik dan kacak seiring dengan trend di sana. "Saya tidak berani cakap tetapi kalau boleh saya tidak akan buat. Saya akan cuba pertahankan perkara itu sebagaimana saya pertahankan hak beribadat dan makanan halal sepanjang dua bulan di sana sebelum ini. "Namun, satu aspek yang akan saya ubah dalam masa terdekat adalah bahagian gigi. Selain orang keliling, pihak di sana juga berpendapat adalah lebih menarik jika saya memakai pendakap gigi untuk mencantikkan strukturnya," katanya. Erul berkata, sebagai persiapan tambahan dia juga kembali menghadiri kelas bahasa Korea yang sudah lama ditinggalkan kerana kesibukannya sebelum ini. "Penguasaan bahasa Korea kita cuma 30 peratus saja buat masa ini. Kalau hendak bina kerjaya di sana, saya perlu belajar lagi. "Kalau dengan tahap penguasaan sekarang, ia hanya cukup-cukup makan untuk berkomunikasi dengan mereka," katanya. Sempat berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Erul berkata, dia kini aktif berlakon bagi mengisi masa sementara menantikan panggilan dari Korea Selatan. "Buat masa ini, saya beri tumpuan pada bidang lakonan memandangkan banyak tawaran diterima sejak pulang ke tanah air pada Januari lalu. Terus terang, saya semakin jatuh cinta pada lakonan dan nyanyian sekarang," katanya yang bakal muncul dengan lagu terbaru berjudul Manusia Biasa tidak lama lagi. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |