Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Jurusolek wanita juga tinggi cita rasa Posted: Jurusolek wanita juga tinggi cita rasaOleh HAFIZ AHMAD "JIKA dahulu, tiada siapa yang mahu menjadikan profesion jurusolek sebagai pekerjaan tetap terutamanya dalam kalangan wanita," ujar jurusolek profesional, Saidatulnisa Aminuddin, 50. Dia yang senang disapa sebagai Kak Sai, mengenang kembali ketika mula-mula terlibat dalam bidang solekan dan dandanan rambut. Semasa itu, jumlah jurusolek wanita boleh dibilang dengan jari kerana ia banyak dimonopoli oleh kaum lelaki. "Waktu itu, boleh dikatakan hanya Kak Sai dan beberapa orang sahaja yang berani ke hadapan untuk berdiri sama tinggi dengan jurusolek lelaki. Ramai wanita ketika itu hanya melakukannya secara sambilan dan kecil-kecilan sahaja," ujar kakak kepada ratu rock negara, Ella ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Menurutnya, ketika itu ramai beranggapan kerjaya tersebut tidak menjamin masa sepan selain kurangnya pendedahan daripada media massa. Berbeza dengan situasi sekarang katanya, jurusolek wanita semakin ramai dengan kemahiran yang tinggi. Saidatulnisa juga turut memainkan peranan tertentu dalam industri tersebut termasuk mengadakan kelas-kelas solekan dan dandanan kepada mereka yang berminat. "Kehadiran jurusolek baharu merancakkan lagi arus solekan dan dandanan kerana kerjaya jurusolek ini memberi pulangan yang tinggi jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. "Jika ia tidak menguntungkan, tidaklah saya bertahan sehingga kini," seloroh ibu kepada dua cahaya mata itu lagi. Melewati perjalanan seni wanita kelahiran Telok Gadong, Klang, Selangor itu, minat menyolek bermula ketika menjadi penari sambilan di stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia sewaktu berusia 19 tahun. "Dahulu jika ada persembahan tarian, kami tidak disediakan jurusolek. Maka, solekan dan dandanan perlu dilakukan sendiri. Rakan-rakan yang menyedari kebolehan saya telah meminta saya menyolekkan wajah mereka. "Teknik-teknik dan cara solekan saya belajar berdasarkan pengalaman dan pengamatan daripada rakan-rakan sekeliling. "Dahulu mana ada kelas mengajar atau sumber rujukan untuk meminta tip. Semuanya kena memegang konsep cuba jaya," ujarnya.
Pulangan Berkat semangat yang tidak pernah luntur, Saidatulnisa kini boleh tersenyum puas apabila ia membuahkan pulangan berganda. Dia kini sudah mempunyai dua premis andaman dengan yang terbaharu terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. Butik itu memberi pilihan kepada wanita dengan variasi busana sedia pakai seperti baju kurung, gaun labuh, top dan banyak lagi. Romyza Muhamad, 35, yang telah lima tahun bergelar jurusolek turut mengakui kerjaya tersebut mampu memberi pulangan lumayan. "Bakal pengantin terutamanya wanita mahukan jurusolek wanita kerana lebih selesa disolek oleh kaum sejenis. Perkembangan itu membuka ruang kepada jurusolek wanita untuk menunjukkan bakat seni mereka," jelasnya. Romyza sebelum ini hanya melakukan kerja-kerja andaman dan solekan secara sambilan memandangkan mempunyai pekerjaan tetap. "Dahulu saya bekerja di sebuah syarikat berteraskan kejuruteraan sebagai eksekutif teknikal. Tetapi pada masa yang sama, saya melakukan kerja-kerja sampingan dengan mengandam rakan-rakan dan keluarga terdekat," imbas Romyza. Minat Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (IUCTT), Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur itu berkata, dia mula berminat dalam dunia solekan selepas diandam oleh jurusolek pada majlis persandingannya. "Saya tidak mempunyai asas solekan dan dandanan, malah saya jarang memakai sebarang mekap. Namun, ketika disolek olek seorang mak andam timbul minat untuk mencuba dan mempelajari bidang ini," ujarnya. Dia yang lebih dikenali sebagai Mimie Romyza telah mengikuti kelas-kelas solekan yang dianjurkan oleh jurusolek profesional. Sejak itu, dia mula mengetahui teknik mendandan dan menyolek yang betul. "Kelas pertama yang diikuti adalah daripada mak andam perkahwinan saya sendiri iaitu Rozana Mustafa. Kemudian saya sertai kelas solekan anjuran Ema Mustafa yang saya jadikan sebagai mentor," katanya. Romyza menambah, dia mengambil masa hampir setahun untuk mempelajari teknik solekan dan andaman. Ketika ditebak soalan bahagian paling sukar untuk dikuasai jawabnya, solekan pada bahagian kening. "Pada pendapat saya, kening memainkan peranan yang penting untuk menjadikan solekan tersebut kelihatan natural dan kemas. Tidak dinafikan sewaktu ketika awal pembabitan, saya sukar membentuk kening dengan cantik," cerita ibu kepada tiga orang anak itu. SAIDATULNISA (kanan) mengadakan kelas solekan untuk mengajar teknik yang betul menyolek wajah. Berhenti kerja Hanya selepas tiga tahun bergerak secara sambilan, pada tahun 2008 dia nekad untuk berhenti kerja dan mula serius dalam kerjaya solekan. "Titik tolak keputusan itu dilakukan adalah disebabkan anak saya jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi. Saya nekad berhenti kerja dan hanya fokus kepada butik pengantin, Teratai Kencana yang diusahakan bersama suami. "Sekarang urusan rumah tangga dan penjagaan anak-anak saya uruskan sendiri. Malah, jika ada urusan andaman, suami akan turut membantu bagi meringankan kerja saya," ujar wanita berasal dari Sentul Utama, Kuala Lumpur itu lagi. Selain menyolek untuk pengantin, sentuhan kreatif Romyza turut menghiasi wajah-wajah selebriti popular tempatan untuk keluaran media cetak dan elektronik. "Saya ada juga menerima tawaran untuk filem dan drama, tetapi ada yang terpaksa ditolak. Bukan memilih tetapi saya perlu mengutamakan anak-anak yang masih kecil," jelas Romyza. Dia berkata, tidak dinafikan apabila menyolek golongan selebriti, 'saham' jurusolek itu akan cepat naik kerana orang ramai mudah mengenali mereka. "Pelanggan akan lebih mudah mempercayai kebolehan seseorang jurumekap jika mereka pernah menyolek artis," akui Romyza. | |
Posted: Asimilasi kurta MalaysiaOleh ALIF ABU BAKAR GABUNGAN warna blok antara kurta dan seluar menyerlahkan imej ranggi. DARI Afghanistan ke Pakistan, merentas Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka, laluan akrab bagi pakaian tradisional etnik India, kurta menempiasi jajaran Asia Tenggara termasuk Malaysia. Serapan penggayaan kurta dalam masyarakat majmuk di negara ini bukanlah masalah besar. Keberadaan kaum India sebagai etnik ketiga terbesar di Malaysia mempercepatkan penangan kurta dalam mempengaruhi cita rasa fesyen penduduk berbilang kaum yang telah sebati sejak era penjajahan British. Polos tanpa sebarang corak sarat dan mengangkat mainan rona pastel menjadi resmi sehelai kurta sejak sekian lama. Ia sememangnya pilihan ideal saat menyambut perayaan Deepavali, bahkan tidak janggal apabila digayakan kaum Melayu menjelang Syawal. Hari ini, busana kebanggaan penduduk Asia Selatan itu melalui modifikasi unik. Kurta lebih segar Seorang anak tempatan, Azlan Zanudin, 34, berani mengolah empat jenis kurta moden bagi menepati keinginan muda-mudi yang mahukan sesuatu yang segar daripada pakaian tradisional tersebut. Koleksi Kurta Hipster, Stripe-in-K, Ajmal-in-K dan White Cotton Kurta menjadi perantaraan awal Azlan menerusi label Lalan dalam bidang fesyen tanah air. Percubaan secara suka-suka pada awalnya mencetuskan nekad Azlan untuk menghasilkan helaian kurta yang lebih segar. "Secara peribadi saya memang suka memakai kurta saban hari mahupun ketika menyambutan hari raya. Semua orang tahu ia selesa dipakai dan penggunaan warna-warna tanah membuatkan ramai lelaki tidak gentar menyarungkannya untuk bersolat.
"Namun terdetik dalam fikiran saya, bagaimana jika kurta digayakan ke pusat beli-belah dan bersantai bersama rakan-rakan pada hujung minggu? Tidakkah kurta tradisional agak bosan untuk dipakai dan kurang menyerlah pada pandangan awam? "Mula-mula saya hasilkan kurta moden untuk kegunaan sendiri tetapi selepas ramai memberi pandangan positif, saya buat keputusan mencipta kurta moden sedia pakai untuk dijual kepada orang ramai," kongsi Azlan ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Keistimewaan kurta Lalan terletak pada cetakannya. Setiap helaian kurta ciptaan lelaki yang bertugas selaku produser di Astro itu menampilkan cetakan minimum, namun cukup kuat bagi menjadi penegasan keseluruhan gaya. Kurta Hipster misalnya, didatangkan dalam lima rona menarik iaitu kuning, ungu, hijau, biru dan firus. Pada poket atas kurta tersebut terletaknya cetakan signatur menarik seperti geometri, harimau bintang atau puak. Pakaian yang menggunakan material kapas itu juga menawarkan seleksi corak berjalur melintang atau menegak. | |
Misi Kose selamatkan dasar laut Posted: Misi Kose selamatkan dasar lautOleh HAFIZ AHMAD KOSE menawarkan seleksi produk berasaskan bahan semula jadi yang dapat memastikan kulit lebih sihat dan lembut. PRODUK kecantikan dari Jepun, Kose melancarkan satu projek istimewa iaitu Save The Blue Project yang bertujuan untuk memelihara kebersihan marin dan kelangsungan hidupan laut. Bermula di Kepulauan Jepun pada tahun 2009, projek yang memberi fokus kepada pemuliharaan terumbu karang itu telah diluaskan ke beberapa negara Asia termasuklah di Malaysia. Pulau Tioman menjadi destinasi usaha yang dijalankan pada tahun 2011 dengan kerjasama daripada sebuah badan tidak berkepentingan iaitu Organisasi Reef Check. Usaha yang dijalankan meliputi meningkatkan pertumbuhan terumbu karang di pulau tersebut. Di Jepun, terumbu karang yang dipulihara sejak empat tahun lalu telah membesar sehingga 7.32 meter dalam dasar lautan. Menariknya, para pengguna produk kecantikan Kose turut boleh memainkan peranan dalam misi murni itu apabila dua peratus daripada pembelian mereka disumbangkan kepada projek itu. Sumbangan Sumbangan tersebut meliputi beberapa produk seperti Sekkisei Lotion 360ml Save the Blue Limited Edition dan Sekkisei Travel SetSave the Blue Limited Edition. Tidak ketinggalan Infinity Lotion Concentrate 14-I 160ml Save the Blue Limited Edition dan Infinity Lotion Concentrate 14-II 160ml Save the Blue Limited Edition. Sehubungan dengan itu, Kose juga melancarkan dua rangkaian baharu iaitu Sekkisei Sun Protect Gel and SPF 50 PA +++ dan Sekkisei Lotion 500ml bagi membantu wanita memiliki kulit sihat dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi. Sejak dilancarkan pada tahun 1985, rangkaian Sekkisei telah mendapat respons yang positif daripada pengguna. Kedua-dua produk baharu itu meneruskan kegemilangan Kose yang menjadi pilihan para wanita. DUA peratus daripada pembelian produk tertentu Kose akan disumbangkan kepada projek Save The Blue Project. Bahan asas Sekkisei Sun Protect Gel dan SPF 50 PA +++ menggunakan ekstrak tumbuhan oriental sebagai bahan asas. Menerusi formula yang dipertingkatkan, ia dapat melembapkan kulit untuk jangka masa lama dan meninggalkan kesan yang berterusan kepada kulit. Produk itu menjadikan kulit lebih berseri dengan mengurangkan bintik-bintik di wajah. Ia juga mempunyai tekstur yang ringan dan mudah meresap ke dalam kulit. Selain itu, Sekkisei Sun Protect Gel meninggalkan rasa dingin ketika diaplikasikan ke wajah. Ia juga boleh dipakai setiap hari terutamanya pada waktu pagi. Satu lagi produk baharu Kose, Sekkisei Lotion 500ml dapat memelihara kulit daripada masalah pigmentasi. Esen yang terkandung dalam produk itu dapat menyegarkan dan melembapkan kulit wajah. Ia mengandungi ekstrak barli, daun anjalika selain Vitamin E dan beberapa minyak asas untuk kecantikan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |