Berita Harian: Nasional
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Nasional |
Posted: 19 Jun 2013 05:00 PM PDT
Kuala Lumpur: Ancaman nyamuk aedes makin meningkat dengan 11,485 kes denggi dilaporkan dari Januari hingga Ahad lalu membabitkan 23 kematian, iaitu pertambahan empat peratus berbanding 11,063 kes dengan 22 kematian bagi tempoh sama tahun lalu. Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi membabitkan 4,999 kes dengan lima kematian, diikuti Johor, 1,421 kes dengan tujuh kematian dan Perak 857 kes. Rekod tertinggi pada 2010 Berdasarkan analisis 2003-2012, Kementerian Kesihatan merekodkan 876 kematian akibat denggi dengan rekod tertinggi pada 2010 membabitkan 134 kematian. Menurut Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin, kajian menunjukkan aedes boleh terbang sejauh 200 meter dan mampu hidup di tahap ketinggian 750 meter atau bangunan 21 tingkat. "Justeru, orang ramai perlu mengetepikan tanggapan kononnya penghuni bangunan tinggi atau pangsapuri tidak diserang aedes. "Nyamuk secara semula jadi tidak mampu terbang pada ketinggian itu, tetapi ia ada cara tersendiri dengan terbang mengikut mangsa menaiki lif dan singgah di tingkat tertentu seterusnya bertelur dan membiak. "Selepas menghasilkan telur di tempat air bertakung, nyamuk akan mula terbang di ketinggian yang lain pula untuk mencari mangsa dan tempat bertelur yang baru," katanya kepada BH. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata pembiakan nyamuk aedes berkait rapat dengan cuaca. "Analisis menunjukkan bagi tempoh lima tahun lalu peningkatan kes denggi berlaku antara Jun hingga September setiap tahun kerana sepanjang tempoh itu cuaca panas. "Kadar gigitan dan proses pembiakan nyamuk lebih kerap berlaku dalam suhu yang tinggi dan aedes mengalami proses tumbesaran daripada larva ke dewasa dengan lebih cepat dalam keadaan panas," katanya. |
Setiap negeri ada Mahkamah Koroner Posted: 19 Jun 2013 04:48 PM PDT Kabinet mahu tangani isu kematian dalam tahanan Putrajaya: Kabinet semalam memutuskan untuk mewujudkan Mahkamah Koroner di setiap negeri bagi menangani isu kematian tahanan dalam lokap dengan lebih berkesan. Mahkamah itu akan diketuai seorang koroner yang akan dilantik dalam kalangan Majistret di bawah Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C dan akan dibantu seorang Pegawai Perubatan Forensik yang akan dilantik Kementerian Kesihatan. Dilaksana segera "Kita membawa perkara ini ke Kabinet untuk (mewujudkan) Mahkamah Koroner secara kekal di setiap negeri. "Ia perlu dilaksanakan dengan cepat kerana ini adalah cara yang paling berkesan untuk menangani isu kematian dalam tahanan," katanya pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kwan. Nancy menyifatkan keputusan itu tindakan tepat kerajaan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani kes sedemikian. Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Kabinet juga bersetuju untuk membina lokap berpusat di semua negeri yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi soal siasat dijalankan terhadap tahanan atau suspek. Beliau berkata, bagi negeri yang besar, lokap berpusat tambahan mungkin akan dibina di daerah tertentu bagi menampung keperluan lokap berpusat. "Yang penting, Kabinet bertindak segera bagi mengatasi dan menangani masalah ini. Kami prihatin dengan maklum balas diterima daripada media dan kami sensitif untuk bertindak," katanya. Ahmad Zahid berkata, kos bagi membina lokap berpusat itu dijangkakan mencecah RM25 juta dengan setiap lokap dianggarkan RM2 hingga RM4 juta bergantung kepada saiz. Katanya, apabila lokap berpusat siap, lokap sementara di balai polis tidak lagi digunakan untuk siasatan dan jika digunakan ia hendaklah dilengkapi dengan CCTV. Perkukuh SIAP Sementara itu, Seng Kwan yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) berkata, kuasa agensi itu akan diperkukuh, termasuk menambah kakitangan dan sumbernya. Katanya, pada masa ini, masyarakat berpendapat wujud kelonggaran kuasa SIAP hingga menyukarkan ia melaksanakan tugasnya dengan berkesan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |