Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Advertorial: Dari Buku Ke Layar Perak Posted: 09 Jun 2013 02:53 PM PDT Filem 'World War Z' diadaptasi dari sebuah novel seram pasca kemusnahan dunia ('post apocalyptic') tulisan Max Brooks yang berjudul 'World War Z: An Oral History of the Zombie War'. Buku yang dikeluarkan pada tahun 2006 itu merupakan kesinambungan kepada 'The Zombie Survival Guide' (2003) dan telah mendapat sambutan yang hangat daripada pengkritik yang melihat usaha Brooks sebagai berjaya membawa nafas baru kepada genre zombie. Ekoran daripada itu, bermulalah perang bidaan di antara syarikat produksi Leonardo DiCaprio, Appian Way and Plan B Entertainment milik Brad Pitt pada tahun 2007, yang akhirnya melihat hak tayangan jatuh kepada Plan B. Tetapi bukan mudah untuk membawa cerita Brooks ke layar perak, lebih-lebih lagi bila karyanya itu dipersembahkan sebagai satu siri temubual lisan yang menceritakan sejarah World War Z daripada pelbagai sumber. Pihak penerbit kemudiannya memutuskan untuk menyampaikan kisah World War Z melalui seorang protagonis berbanding ramai pihak tetapi pada masa yang sama mengekalkan tema dan plot cerita. Mereka yang bertanggungjawab untuk mengadaptasikan tulisan Brooks kepada sebuah skrip terdiri daripada Matthew Michael Carnahan ('The Kingdom', 'State of Play'), Drew Goddard ('Lost', 'The Cabin in the Woods') dan Damon Lindelof ('Lost', 'Star Trek Into Darkness').
Satu virus sedang pantas merebak. Mangsa yang digigit akan bertukar dari manusia biasa kepada sesuatu yang liar dan tidak dikenali. Mereka ini kemudiannya akan bertindak menyerang orang lain. Asal usul virus tersebut tidak diketahui tetapi bilangan yang dijangkiti dengan virus ini bertambah pada kadar yang membimbangkan. Sehinggakan mengatasi pihak tentera di serata dunia dan membawa kepada kemusnahan kerajaan. Lane terpaksa kembali kepada kehidupan lalunya untuk memastikan keselamatan keluarganya. Dia perlu mencari punca wabak itu dan cara menghentikan penyebarannya. 'World War Z' akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 20 Jun 2013. VIDEO: |
Posted: 09 Jun 2013 06:38 AM PDT Mereka sah bergelar pasangan suami isteri di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju pada Jumaat lalu. Dengan hanya sekali lafaz, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, 33, sah bergelar suami kepada Norhazlinda Hashim atau Linda, 29. Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Mohd Nizam Wahab disaksikan oleh bapa pengantin perempuan, Hashim Yusof pada kira-kira pukul 9.25 malam. Keesokan malamnya, Sabtu, pasangan ini mengadakan majlis resepsi mereka di Dataran Karyawan Finas dalam majlis cukup meriah yang dihadiri oleh ramai kenalan penggiat seni termasuk dari negara seberang, Indonesia. Berada di majlis ini seakan berada di pentas filem kerana pasangan ini memilih menampilkan konsep fantasi filem ilham Linda sendiri yang diambil dari sebuah majalah Indonesia. BARISAN artis yang hadir ke majlis ini. PERSEMBAHAN istimewa daripada Endang buat pasangan mempelai.
Menjelang jam 9 malam, pasangan ini tiba di Dataran Karyawan yang diiringi oleh tiupan pemain bag pipe yang ditaja oleh Erin khas buat adik kesayangannya. Selepas itu mereka menaiki pelamin khas yang disediakan. Sepanjang tempoh ini, pasangan mempelai dan tetamu dihiburkan dengan persembahan dari artis terkenal Indonesia, Endang S Taurina yang turut mengundang anaknya ke atas pentas serta persembahan dari bintang Akademi Fantasia Indonesia, Cindy dan Adi Darmi. Menariknya, majlis ini seakan menjadi medan artis 'senior' berkumpul kerana yang kelihatan hadir antaranya Fadilah Mansor, Rozie Othman, Hamidah Wahab, Ku Fridah dan ramai lagi kerana mereka sebenarnya adalah kenalan Allahyarham ibu Linda, Zurina Arif. Manakala artis seangkatannya yang hadir pula antaranya ialah Zed Zaidi, Que Haidar, Siti Elizad, Wan Norazlin, Kalam Sup dan isterinya Norliza Ismail serta Mahmud Ali Basha. Majlis turut dimeriahkan dengan acara menepung tawar yang dilakukan oleh keluarga kedua-dua belah pengantin serta sesi bergambar dengan rakan-rakan artis termasuk yang datang daripada Indonesia. Linda memberitahu perasaannya lega dan gembira kerana majlis yang sudah lama dirancang akhirnya berjalan lancar. Apatah lagi dia sudah mengeluarkan kos yang agak banyak bagi memastikan majlis ini memenuhi kehendaknya sekali gus memberi keceriaan buat semua yang hadir. "Kos awal yang dikeluarkan ialah RM40,000. Tapi selepas itu saya keluarkan lagi kos yang tak sempat dikira untuk pelbagai perkara lain. Tak kisahlah kerana yang penting saya nak segalanya berjalan lancar. Tujuan saya ialah nak meraikan dengan keluarga, rakan-rakan dan pihak media. "Sebenarnya ada banyak pihak yang nak menaja termasuk pereka fesyen terkenal tapi saya lebih utamakan permintaan kakak yang nak menaja majlis saya. Dia mahu menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat saya. Kami hanya tiga beradik dan adik bongsu kami pula lelaki iaitu Firdaus. "Saya juga bukan nak mengetepikan artis kita dalam persembahan kerana sebenarnya Endang dan artis-artis AF Indonesia adalah teman rapat saya ketika saya berlakon di sana. Mereka yang menawarkan diri untuk menyanyi dan saya menghormati permintaan mereka," katanya. Menurutnya, hanya satu daripada perancangannya gagal menjadi kenyataan iaitu menyiarkan persembahan video bibit-bibit percintaan mereka. Ia sukar dilaksanakan kerana tiada tempat yang sesuai untuk meletakkan skrin gergasi. "Ini adalah masalah kecil dan saya tak ralat sangat kerana perancangan lain semuanya berjalan lancar. Cuma saya risau dengan keadaan cuaca yang tak menentu kerana malam sebelumnya (selepas akad nikah) hujan turun dengan lebat ketika kerja memasang pelamin dibuat. "Kami semua turun padang untuk buat sendiri semua ini hingga awal pagi. Saya berdoa agar hujan tidak turun dan alhamdulillah permintaan saya dimakbulkan kerana cuaca sangat baik. "Saya sebenarnya gembira kerana bermula dari proses awal sehinggalah acara akad nikah dan resepsi persandingan dipermudahkan tanpa halangan yang besar. Cuma saya kena ambil vitamin C untuk kekalkan tenaga kerana saya memang letih kerana tak cukup tidur untuk buat persiapan," katanya. Mengulas mengenai bulan madu, Linda menjelaskan kedua-dua mereka akan kembali ke lokasi penggambaran pada 14 Jun ini. Namun, mereka beruntung kerana mendapat tajaan dari pihak tertentu untuk bercuti ke Bali pada 19 Jun ini selama seminggu. "Ini rezeki dan kami tak menolak. Selepas ini kami akan bercuti ke Taiwan pula pada awal Julai sebelum Ramadan. Namun sebenarnya saya merancang untuk pergi umrah bagi menunaikan nazar. "Sebelum ini ketika menunaikan umrah, saya pernah bersembahyang di depan Kaabah dan berdoa agar ditemukan jodoh. Saya berniat jika bertemu jodoh, saya akan kembali semula ke situ untuk melakukan sujud syukur. "Alhamdulillah...Allah sudah tunaikan permintaan ini dan saya kenalah kotakan apa yang dikata. Cuma, saya sedang melihat tarikh yang sesuai untuk ke sana. Mungkin juga kami akan pergi selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Apapun semuanya dalam perancangan katanya," katanya. Menjawab persoalan mengenai anak pula, Linda memberitahu mereka tidak merancang dan akan menyambut rezeki yang ada dengan penuh syukur kerana menjadi impian setiap pasangan berkahwin untuk mempunyai zuriat sendiri. "Kalau dapat lagi cepat lagi bagus kerana sekurang-kurangnya anak ini dapat membesar. Taklah nanti apabila usia sudah meningkat mencapai 40 tahun, kita baru nak hantar anak masuk sekolah," katanya yang berterima kasih kepada Ryaniez Moments yang menjadi jurugambar rasmi majlis perkahwinan mereka dan Wan Noor Inai yang menaja inai yang dikenakan pada majlis ini. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |