Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 12 Jun 2013 11:42 AM PDT Pasangan memiliki pertalian darah atau adik beradik memilih profesion yang sama bukanlah satu perkhabaran luar biasa. Ia memenuhi pelbagai sektor, namun harus diakui apabila membabitkan dunia hiburan serta-merta menjadikan mereka lebih istimewa berbanding pasangan adik-beradik lain. Sekadar menyebut beberapa nama, Bell, Anne dan Darling daripada keluarga Ngasri antara pelakon adik-beradik yang begitu popular terutamanya ketika zaman kanak-kanak mereka. Selain itu, arena hiburan dimeriahkan lagi dengan kehadiran bintang seperti Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah; Linda dan Diana Rafar; Zizie Ezette dan Shaheizy Sam; Uqasha dan Nelydia Senrose; Ikhwan HotFM dan Erna; Ahmad Idham, Abby dan Khalid; Rosyam Nor dan Azman Nor; Erma Fatima, Umie Aida dan Betty termasuk empat bersaudara paling berbakat, Sharifah Aleya, Amani, Aleesya dan Ariana. Tiket menjadi seorang bintang pastinya lebih mudah. Jika mereka itu memiliki paras rupa menawan dan masih muda seperti mana dua beradik ini yang khabarnya menjadi rebutan produser serta pengarah drama mahupun filem.
"Orang selalu kata, Chacha ikut jejak langkah saya, sebenarnya tidak. Saya yang ikut jejak langkah dia dalam bidang lakonan. Tapi mungkin kerana status dia sebagai adik saya dan kebetulan Chacha sudah lama berehat daripada berlakon, orang ramai nampak macam saya yang terlebih dulu berlakon. "Kadang-kadang saya simpati dengan Chacha bila ada yang bertanya adakah dia memilih lakonan kerana mahu mengikuti jejak langkah saya dan adakah dia merasakan dirinya mampu menyaingi popular kakak? Namun, hakikatnya dia yang terlebih dulu mengorak langkah dalam bidang ini. "Mujurlah saya lihat dia tidak pernah tertekan. Saya sendiri tidak pernah menganggap diri saya popular dan paling penting tidak kira siapa dulu dan siapa kemudian, kami sama-sama menyertai bidang lakonan kerana minat," kata Emma. Menurutnya, berbanding Chacha yang meminati bidang lakonan sejak kecil, dia pula lebih kepada memanfaat peluang yang diberi dan akhirnya jatuh cinta, jadi minat serta memasang impian untuk menjadi pelakon serba-boleh satu hari nanti. "Apapun, kami tidak pernah menganggap diri kami popular. Kami masih baru banyak lagi perlu belajar, perlu faham dan perlu perbaiki," kata Emma. Chacha ketika diminta mengulas mengenai populariti kakaknya itu berkata, meskipun dia yang lebih dulu menceburi bidang lakonan, tidak pernah terdetik untuk cemburu dengan peluang dan populariti dimiliki Emma. "Dia kakak saya dan jika kami berjaya, samalah seperti kejayaan satu keluarga. Lagipun, sejak kecil keluarga kami mengamalkan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang, jadi untuk berasa iri hati kepada saudara kandung sendiri adalah sifat yang tidak patut ada pada adik-beradik. "Saya yakin, setiap manusia juga diberi kelebihan. Saya punya cara saya dan Emma punya caranya. Walaupun mungkin saya nampak ketinggalan sedikit, saya percaya selagi ada kemahuan untuk memperbaiki diri kita mampu jadi orang yang berjaya," katanya. Makin laris di pasaran Bercerita mengenai aktiviti seni masing-masing, dua beradik ini sibuk di lokasi penggambaran. Chacha kini sibuk di set penggambaran Mira Sofea arahan Along Kamaluddin, di mana dia sendiri mendukung watak utama sebagai Mira. Sebagai Mira, Chacha perlu menjadi lebih dewasa daripada usia sebenarnya dan antara peranan yang cukup mencabar kemampuannya setakat ini. "Saya baru pulang dari Pulau Pangkor yang dipilih sebagai salah satu lokasi menarik untuk Mira Sofea. Saya berasa amat terharu kerana diberi kepercayaan melakonkan watak utama apatah lagi drama ini diarahkan pengarah terkenal, Along Kamaludin," katanya. Jika Chacha masih lagi dalam perjuangan melangsaikan baki penggambaran, Emma pula sedang berehat seketika bagi melakukan persiapan memasuki set penggambaran telemovie raya, Menantu Raya, arahan Murali Abdullah yang dijadualkan bermula minggu depan. Selesai penggambaran berkenaan, Emma akan terbabit dalam satu lagi penerbitan telemovie bagaimanapun kali ini di bawah arahan Sheila Rusly menerusi satu naskhah yang masih belum bertajuk. "Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini rezeki saya tidak putus. Baru selesai menjalani penggambaran filem Usop Wilcha Melawan Werewolf Dari Bangladesh arahan Mamat Khalid, saya ditawarkan pula telemovie daripada pengarah cukup disegani, Murali Abdullah dan Sheila Rusly. "Saya belum dapat membayangkan bagaimana bentuk penggambarannya kerana belum memasuki set, apapun saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menjalani penggambaran filem Usop Wilcha Melawan Werewolf Dari Bangladesh. "Bekerja dengan abang Mamat memang satu pengalaman tidak dapat dilupakan. Dia sangat profesional, kreatif dan teliti di set. Dia juga tekun mengajar saya bagaimana hendak menghidupkan watak saya dalam filem ini sekali gus menjadi pelakon yang hebat. Dia juga saya sifatkan seorang yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu. "Impian bekerja dengan abang Mamat sudah tercapai. Tinggal lagi, saya masih pendam impian untuk berlakon dengan Umie Aida dan Rosyam Nor. Saya sangat mengagumi mereka yang sentiasa menjadi idola saya. "Kesempatan ini, saya dan Chacha juga ingin berterima kasih kepada Zizan Razak dan Marina Juki kerana sudi mengambil kami di bawah pengurusan Wire Fame Entertainment. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan kebajikan kami sangat terjaga," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |