Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Suara emas Yusni pukau penonton Posted: 20 Jun 2013 11:37 AM PDT Kalau namanya sudah penyanyi sejati, berilah beliau apa juga lagu, pastinya ia tidak akan menghampakan pendengar. Barangkali itu gambaran paling tepat buat penghibur handalan Datuk Yusni Hamid tatkala menilai persembahannya dalam Konsert Emas Orkestra RTM yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam Selasa lalu. Sesudah 45 tahun berkecimpung dalam nyanyian, pemilik nama sebenar, Aisah Mohd Shariff ini diberi penghormatan untuk menyanyi bersama 40 anggota pemuzik Orkestra RTM dan mengalunkan 20 lagu daripada yang pernah dipopularkan Allahyarham Kamariah Noor hinggalah kepada Adele dan Yuna. Mungkin pada sudut komersial, jenama Yusni Hamid tidak segah artis rakaman popular lain, namun kelebihan yang dimiliki bintang berusia 62 tahun ini cukup tersendiri hingga mampu menjadi penyanyi 'evergreen'. Inilah gandingan bintang baru dan lama dalam Pandang-Pandang Jeling-Jeling. Dendangkan Hati Ke Hati dengan Bob Yusof. Menyanyikan Kau Yang Ku Nanti sambil diiringi petikan gitar Fauzi Marzuki.
Disebabkan suara buluh perindu miliknya itu, Yusni selalu diundang menjayakan persembahan yang ditatap kerabat diraja serta golongan pemimpin tertinggi dari dalam dan luar negara. Pada malam konsert itu, Yusni jelas berjaya melontarkan sepenuh tenaganya melalui pengalaman menyanyi selama puluhan tahun. Dalam tempoh rakaman selama dua jam itu, Yusni mendendangkan lagu malar segar dengan lantunan vokal tersendiri. Tirai dibuka dengan medley Bintang Malam, Say A Little Prayer dan You Don't Have To Say You Love Me dan Esok Malam Kan Ku Jelang. Kemudian dia beralih ke segmen lagu-lagu Melayu klasik termasuk yang dipetik daripada filem lama iaitu Dayang Senandung, Cahaya, Sang Rajuna Hati, Bayanganmu dan Joget Serampang Laut. Kemampuan menyanyikan lagu Inggeris kemudian diserlahkan lagi dengan tiga lagu - Killing Me Softly, I Feel The Earth Move dan Rhythm's Gonna Get You. Beralih ke segmen seterusnya, Yusni terus menghangatkan suasana konsert dengan mengundang tiga penyanyi lelaki popular masa kini bagi mewarnai persembahannya. Bersama Hafiz, Yusni berpadu suara menyampaikan lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling yang asalnya dirakamkan bersama Tan Sri SM Salim sekitar 1980-an. Menyusul selepas itu, Black berduet dengannya menerusi lagu Search, Fantasia Bulan Madu dalam versi keroncong sebelum Bob pula mengisi slot menerusi lagu Hati Ke Hati nyanyian asal R Ismail dan Datin Rafeah Buang. Ketika ditanya Bob berhubung rahsia penjagaan vokalnya selama lebih empat dekad, Yusni membalas, setiap penyanyi punya kelebihan masing-masing tetapi perkara terpenting adalah menjaga aspek pemakanan dan kesihatan. "Orang kata kalau hendak jaga suara tidak boleh makan pedas-pedas tapi saya kalau tidak ada pedas, tidak boleh juga. Yang penting jangan keterlaluan dan kena rehat secukupnya selain membuat latihan vokal yang berterusan. Kita juga kena fokus pada setiap kerja kita," pesannya. Selepas segmen terbabit, Yusni meninggalkan pentas seketika bagi memberikan laluan kepada tiga artis tadi meneruskan konsert dengan lagu solo masing-masing. Yusni kemudian kembali ke pentas selepas itu untuk melengkapkan segmen terakhir konsert yang dirangkumi sembilan lagu baru dan lama. Dengan iringan 40 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Jimmy Ali, Yusni mengalunkan Terukir Di Bintang (Yuna) dan Someone Like You (Adele). Kejituan vokal Yusni semakin memukau apabila menyampaikan lagu-lagu jazz termasuk Jelingan Manja, Juwita Malam dan Asmara. Tidak hanya itu, Yusni turut menjemput komposer muzik terkenal Fauzi Marzuki mengiringi persembahannya dalam dua lagu yang pernah dirakamkan - Ku Tak Mengerti dan Kau Yang Ku Nanti. Melabuhkan tirai konsert, Yusni menutup acara dengan dua lagu rancak, Sambaria dan Kopi Dangdut. Bagi peminat di luar sana, persembahan Yusni ini akan dapat ditonton pada Aidilfitri akan datang. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/20 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |