Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
Posted: Bukan penutup hidung biasaOleh SUHANA VERU MUHD. AZHARI HUJLI menghidap sakit jantung berlubang sejak dilahirkan. Disebabkan itu, Muhd. Azhari yang berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan laser untuk merawat penyakitnya. Menurut ibunya, Aznita Arbain, 43, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu terpaksa menjalani pembedahan selain bergantung kepada ubat-ubatan. Begitupun, akui Aznita, rawatan tersebut bukanlah membebaskan Muhd. Azhari 100 peratus daripada penyakit tersebut kerana Muhd. Azhari perlu mematuhi beberapa pantang larang bagi mengelakkan dia jatuh sakit. Salah satu daripada pantang larang itu ialah dia tidak boleh terdedah kepada habuk. "Habuk akan menyebabkan anak saya demam, selesema dan muntah. Jadi, saya tidak punya pilihan lain daripada memastikan pada kebanyakan masa Muhd. Azhari mengenakan penutup hidung bagi menapis habuk masuk ke saluran pernafasannya," luah Aznita ketika ditemui di Ampang, Selangor baru-baru ini. Namun, akui Aznita, pemakaian penutup hidung konvensional yang besar pada kebanyakan masa menyebabkan anaknya itu kurang selesa. "Biasalah kanak-kanak, bila mengenakan penutup hidung biasa itu mereka malu sebab kelihatan janggal. Jadi, akhirnya mereka enggan memakainya," ujarnya. Namun, sejak sebulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan mengenai penutup hidung yang dikenali sebagai Nosk, Aznita sudah boleh tersenyum lega. Penutup hidung Nosk yang diimport dari Korea Selatan itu sememangnya mudah dipakai, malah saiznya yang kecil menyebabkan orang ramai tidak dapat melihatnya. "Sejak sebulan Muhd. Azhari memakainya, dia tidak lagi menghidap selesema. Jadi, dia akan memakai penutup hidung itu apabila keluar dari rumah sahaja," ujarnya lagi. Pingat emas Aznita mengakui pihak Institut Jantung Negara (IJN) juga mengesyorkan pemakaian penutup hidung tersebut. Dihasilkan oleh syarikat Samjoung dari Korea, inovasi tersebut menerima pingat emas sempena majlis Ciptaan Idea Pintar pada tahun 2009 di Thailand apabila ia diiktiraf sebagai penutup hidung yang terkecil di dunia.
Sebelum ini, syarikat itu menceburi perusahaan pengeluaran pakaian, namun mengambil inisiatif untuk menjadi sebuah syarikat kreatif, sekali gus berjaya mengeluarkan produk mesra alam, Nosk. Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Joung berkata, pihaknya telah menjalankan kajian selama enam tahun sebelum mula memasarkan Nosk. Kajian berkenaan merangkumi pembuatan, reka bentuk, kesan kepada pengguna dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan. "Selain pengeluaran Nosk, kami bercadang membangunkan produk-produk dasar laut untuk memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pengguna," ujarnya. Selain Muhd. Azhari, seorang suri rumah, Nitawati Okili Latif, 40, turut menggunakan penutup hidung itu. "Saya memakainya apabila melakukan kerja-kerja rumah dan membeli-belah. Saya berasa selesa sepanjang masa memakainya berbanding penutup hidung bersaiz besar yang menyebabkan muka berpeluh dengan mudah. "Lagipun, apabila kita memakai penutup hidung yang besar, menyebabkan orang ramai menganggap kita mempunyai penyakit kronik," katanya sambil berseloroh. Seorang penjual Nosk, Nora Ana Othman, 33, berkata, beliau telah mempamerkan produk itu pada pameran Windows to World yang diadakan di KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ramai pengunjung menunjukkan minat untuk membeli produk itu kerana saiznya yang lebih kecil. Malah, ada segelintir pengunjung yang berasa pelik dengan produk terbaharu tersebut. "Apabila dimaklumkan ia merupakan salah satu jenis penutup hidung, ramai yang ingin tahu lebih lanjut mengenai cara-cara penggunaan produk itu," katanya. Penggunaan Menyentuh mengenai penggunaan penutup hidung itu, beliau memberitahu, pengguna hanya perlu memasukkan bahagian seumpama penapis lembut ke dalam kedua-dua belah lubang hidung. Biarpun, pada mulanya berasa janggal, namun lama-kelamaan pemakainya akan berasa selesa. "Ia dibekalkan dalam dua unit berserta satu bekas simpanan yang kecil dan boleh dipakai sehingga lapan jam sebelum dibasuh," jelasnya sambil memberitahu ia boleh dibasuh dengan menggunakan air bersih atau sabun. Bagaimanapun, had maksimum membasuh penapis itu ialah lapan hingga 16 kali, namun ia bergantung kepada keadaan. Melihat kepada saiz, Nora berkata, individu yang memakai penutup itu juga mudah makan dan minum. "Jika menggunakan penutup hidung besar, seseorang itu kesukaran untuk berkomunikasi selain terpaksa menghidu bau busuk mulut yang terperangkap dalam penutup hidung yang besar," jelasnya. PENUTUP hidung besar yang menutup sebahagian muka menyebabkan seseorang itu sukar berkomunikasi dan mudah berpeluh. - Gambar hiasan Bagi pengedar sah Nosk di Malaysia, Mohd. Zaini Yunus berkata, penutup hidung itu sesuai digunakan untuk golongan yang mengalami alahan pernafasan, pelancong, pekerja kilang, pengguna kenderaan dan pekerja binaan. Menurutnya, Nosk juga sesuai digunakan oleh jemaah haji dan umrah kerana keadaan cuaca serta suasana berdebu di lokasi ibadah itu yang tidak dapat dijangkakan. Selain itu, ia juga mengelakkan para jemaah dikenakan dam kerana menutup muka ketika berihram. Secara meluas Mengikut rekod sejak bulan Februari hingga Oktober tahun lalu, seramai 30,000 jemaah haji dan umrah telah menggunakan penapis hidung itu. "Lagipun, kami memperkenalkan Nosk secara meluas setelah mendapat maklum balas yang menyatakan jemaah haji dan umrah sering kali mengalami batuk dan selesema," katanya. Kebanyakan jemaah haji dan umrah enggan memakai penutup hidung dan muka kerana berasa tidak selesa berikutan saiz topeng yang lebar dan besar. Ekoran ketidakselesaan itu, segelintir jemaah lebih gemar meletakkan penutup hidung di bawah dagu dan menggunakannya jika perlu sahaja. "Oleh itu, sejak mengetahui Korea mengeksport produk terbaharu tersebut, kami memohon menjadi pengedar," katanya. Di samping itu, ia diperbuat daripada gred plastik C-Flex yang membolehkan seseorang individu itu bernafas secara semula jadi manakala penapis yang terletak di setiap unit hidung pula diperbuat daripada selulosa poliester. Produk itu mempunyai ukuran diameter 1.4 sentimeter (sm) dan panjang 2.5 sm, sekali gus menjadikannya antara penutup hidung terkecil di dunia. Sehubungan itu, alat berkenaan mempunyai keupayaan menapis 100 peratus bendasing sekecil satu mikron dan 80 peratus bagi bendasing sekecil 0.2 mikron daripada disedut melalui hidung. Harga sepasang penutup hidung mini Nosk ialah RM19.95 di Semenanjung manakala RM21.95 di Sabah dan Sarawak. Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Zaini di talian 019-987 8377. | |
Posted: Harapan baharu Teluk HavanaKEHADIRAN burung undan semakin banyak di Teluk Havana kerana laut di kawasan itu semakin bersih. KEHADIRAN burung undan yang banyak serta pelbagai spesies ikan di Pelabuhan Havana, Cuba bagaikan memberi satu perkhabaran gembira buat pencinta alam negara itu. "Ia hilang sejak sekian lama tetapi selepas pihak berkuasa mengambil langkah menjalankan kerja-kerja pembersihan di lautan, haiwan-haiwan tersebut kembali semula terutamanya burung undan," kata seorang nelayan, Eduardo Lozano, 56. Berdasarkan kehadiran semakin banyak burung undan serta hidupan marin di Teluk Havana, pakar-pakar maritim di Cuba mengakui pencemaran laut yang berlaku sejak 10 tahun lalu berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus. Kebersihan laut itu menyebabkan ikan, burung undan dan spesies hidupan marin yang lain kembali semula di teluk berkenaan. Menurut akhbar Trabajadores Cuba, program pembersihan itu dijalankan pada tahun 1998 membabitkan kumpulan kerja yang dikenali sebagai GTE-BH. Tenaga pekerja berkenaan mengesan 100 punca yang menyebabkan pencemaran di teluk itu antaranya pembuangan sampah secara domestik, tumpahan minyak, sisa kilang, kumbahan dan banyak lagi. Akhbar sama juga melaporkan, pada tahun lalu pembuangan sampah sarap menurun sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2011. "Pada hari ini, menyeberangi Teluk Havana dengan menaiki feri ke Regla yang terletak di selatan teluk sememangnya menyeronokkan berbanding beberapa tahun lalu kerana terpaksa menahan bau busuk," kata akhbar berkenaan. Sementara itu, seorang pemancing, Manuel George, 45, berkata, suatu ketika dahulu dia tidak pernah terlintas untuk memancing di Teluk Havana. "Sebelum ini, Teluk Havana bagaikan tiada hidupan kerana dicemari petroleum dan juga najis dari sungai-sungai berdekatan," ujarnya. Kesemua sisa pencemaran akan melalui Teluk Havana menyebabkan teluk berkenaan dikenali sebagai kubu El Morro dan La Cabana. KAKI-KAKI pemancing kini dapat menangkap pelbagai spesies ikan di kawasan itu. Destinasi pelancongan Namun, akuinya, hari ini ia sudah sedikit berubah. "Airnya sudah tidak segelap dahulu dan kami sudah berani memancing di Teluk Havana. Kami biasanya tidak pulang dengan tangan kosong malah membawa tangkapan pelbagai jenis ikan," katanya. Namun, Manuel masih berharap pihak berkuasa lebih tegas dalam hal penguatkuasaan kerana masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan ke teluk berkenaan. Dalam pada itu, salah satu lagi usaha kerajaan Cuba sebagai dalam mengindahkan dan memulihara Teluk Cuba, pelabuhan yang terletak di Havana akan dipindahkan ke lokasi baharu di barat Havana. Projek tersebut dibiayai oleh Odebrecht, konglomerat Brazil dalam bidang pembinaan, petroleum dan bahan kimia. Bagaimanapun, pembinaan pelabuhan terbaharu itu bertujuan untuk membersihkan pelabuhan tersebut daripada kapal-kapal tangki yang usang. Masih banyak kapal yang dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk membersihkannya. Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan kerana pelabuhan lama berkenaan akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Jadi, pengunjung boleh mengunjungi tapak bersejarah itu tidak lama lagi. Selain pelabuhan, kerja-kerja pemulihan juga dilakukan terhadap bangunan lama Jabatan Kastam. Kerja-kerja pengubahsuaian dan pembersihan sedang giat dijalankan bahkan, projek zon pejalan kaki juga akan dijalankan tidak lama lagi. Laluan pejalan kaki itu dibina untuk memudahkan pengunjung dan pelancong memasuki bangunan lama itu. | |
Posted: Xbox One pengganti Xbox 360Oleh KHAIRUL ANUARABDUL RAHMAN PERKAKASAN dikuasakan dengan perisian yang membolehkan pengguna menukar permainan, televisyen dan melayari Internet dengan pantas. TEKA-TEKI tentang nama konsol permainan video yang bakal menggantikan Xbox 360 akhirnya terjawab apabila syarikat perisian komputer Microsoft mengumumkan konsol terbaharu itu ialah Xbox One pada 21 Mei lalu. Pelancaran Xbox One membuka lembaran baharu dalam dunia hiburan permainan video kerana konsol tersebut dimuatkan dengan pelbagai ciri multimedia. Begitupun, Xbox One tidak hanya menawarkan permainan video tetapi juga menggabungkan fungsi televisyen, pemain video Blu-ray serta perkhidmatan web dalam talian seperti Skype. Malahan, kesemua bentuk permainan hanya perlu dikawal oleh sistem pengecaman suara yang dikenali sebagai Kinect. Menyentuh mengenai sudut spesifikasi, prestasi yang bakal dipamerkan oleh Xbox One dijana oleh unit pemprosesan Advanced Micro Devices (AMD), memori DDR3 yang bersaiz lapan gigabait (GB), storan cakera keras berkapasiti 500 GB dengan sambungan Paparan Antara Muka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI) termasuk USB 3.0. Di samping itu, ia juga dibekalkan dengan capaian wayarles 802.11n dan fungsi Wi-Fi yang membolehkan pemindahan data dilakukan antara konsol dengan peranti lain. Lebih menarik lagi, Xbox One turut dilengkapi dengan pemacu Blu-ray sekali gus menjadikannya produk pertama keluaran Microsoft yang menawarkan format cakera yang dibangunkan oleh pesaingnya seperti Sony memandangkan syarikat itu turut mengeluarkan konsol permainan PlayStation. Ia seakan-akan seperti Windows 8. Xbox One mampu melakukan cekupan aplikasi seperti Skype, muzik, video dan Internet Explorer pada bahagian sisi skrin. Ia juga mampu melakukan pelbagai tugasan secara serentak atau pelbagai. Selain itu, ia juga dikatakan boleh disambungkan secara terus dari pemancar ke penerima (dekoder) televisyen melalui sambungan HDMI. Pada asasnya, Microsoft masih mengekalkan reka bentuk alat kawalan yang terdapat pada Xbox 360, namun terdapat sedikit perbezaan iaitu paling ketara ialah picu yang bergetar apabila ditekan. KETUA Perniagaan Hiburan Interaktif Microsoft, Don Mattrick memperkenalkan Xbox One baru-baru ini. Komunikasi secara maya Konsol Xbox One mempunyai tiga sistem operasi iaitu Xbox OS, sistem operasi yang berasaskan kernel Windows dan sistem operasi yang membenarkan kedua-dua sistem operasi tadi untuk berkomunikasi secara maya. Integrasi ini membolehkan ciri seperti panggilan Skype dilakukan ketika sesi permainan berlangsung. Ciri Xbox Live yang menawarkan platform permainan secara dalam talian juga dipertingkatkan. Setakat ini, Xbox Live yang ditawarkan itu mempunyai sekitar 15,000 pelayan permainan video dan Microsoft merancang untuk memperluaskan lagi platform berkenaan menggunakan sekitar 300,000 pelayan. Ia bertujuan untuk memastikan pengguna boleh mengakses permainan video secara dalam talian dan perkhidmatan lain dengan lebih mudah tanpa mengira kedudukan geografi pengguna. Konsol permainan video ini boleh dihidupkan sama ada melalui pergerakan ataupun sistem pengecaman suara. Kinect akan mengesan dan terus membawa pengguna terus ke skrin utama sekali gus membenarkan pengguna mengakses video, fail video, muzik peribadi yang disimpan di bawah akaun pengguna itu sendiri. Apa yang pasti, pengguna perlu bersabar memandangkan Microsoft masih belum membuat pengumuman rasmi tentang tarikh konsol itu memasuki pasaran. Bagaimanapun, penganalisis teknologi menjangkakan konsol itu akan menemui peminat Xbox selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |