Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Promosi hasil karya seniOleh SUHANA VERU
PAMERAN seni dan jualan karya seni yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay membawa suasana seakan-akan sebuah pasar raya seni. Pameran yang diadakan pada 24 Mei lalu itu menawarkan lukisan asli hasil karya barisan artis tempatan. Namun, himpunan lukisan yang diilhamkan oleh 17 orang artis tempatan itu membawa inspirasi dan tema begitu unik. Jika melihat karya mereka dengan teliti, pengunjung boleh menyaksikan kelainan hasil lukisan itu jelas terpapar menerusi penyampaian mesej, lakaran gambar dan olahan warna yang terang. Walaupun kesemua artis itu mendukung tema yang berlainan dalam mengekspresi naluri masing-masing di atas sehelai kanvas putih, namun hasil karya mereka cukup memukau. Seorang pelukis, Ismail Baba, 62, mengakui beliau gemar dalam bidang lukisan yang berbentuk naif. Lukisan berkenaan menggambarkan tentang kejujuran yang dikaitkan dengan pemikiran serta perbuatan seseorang. Menurut anak jati Kuala Selangor itu, kesemua karya naif beliau dihasilkan daripada imaginasi diri selain secara spontan. "Tengok lukisan ini, ia ada bukit, pokok, kanak-kanak bermain dan rumah kampung. Ternyata, inspirasi boleh datang daripada pelbagai benda yang kita imaginasi dengan sendiri," katanya sambil menuding jari ke arah beberapa lukisan milik beliau. Lukisan berwajah Malaysia Ditanya mengenai lukisan mesej seni naif, beliau menjelaskan ia lebih bersifat keanak-anakan yang membolehkan sesiapa sahaja melukis kerana seni lukisan itu lahir di hati pelukis tanpa perlu berfikir. Seni catan mempunyai pelbagai gaya, idea, pemikiran dan latar budaya setempat yang boleh diketengahkan melalui sesuatu karya. "Kita kena ada lukisan yang berwajah Malaysia malah, seni ini banyak menyumbang ke arah itu," ujarnya. Seorang pengunjung, Mohd. Anwar Abu Bakar, 34, mengakui dia teruja melihat karya-karya pelukis tempatan yang unik. "Jarang dapat menyaksikan himpunan hasil karya pelukis tempatan di bawah satu bumbung. Sehubungan itu, saya berharap pameran seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, buat pertama kali, pihaknya mengadakan pameran Arts For The World itu. Penganjuran pameran berkenaan bukan sekadar mempamerkan hasil karya pelukis tempatan, malah memberi peluang kepada orang awam untuk mendapatkan hasil seni pada harga serendah RM10. "Pada kebiasaan, kami menganjurkan barangan kraf sahaja tetapi kali ini, kami memberi ruang yang lebih kepada pelukis untuk memperkenalkan hasil seni mereka," katanya dalam majlis pelancaran Pameran dan Jualan Karya Seni Arts For The World di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |