Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Wartawan Utusan protes tidak dibenar buat liputan
- Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan shisha
- Devamany dipilih sebagai Speaker DUN Perak
Wartawan Utusan protes tidak dibenar buat liputan Posted: 28 Jun 2013 03:09 AM PDT WARTAWAN Utusan biro Pulau Pinang, Firdaus Ismail membuat bantahan secara bersendirian selepas dihalang membuat liputan Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Georgetown hari ini. - UTUSAN GEORGETOWN 28 Jun - Wartawan Utusan Malaysia tidak dibenar membuat liputan berita majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini. Kejadian itu berlaku kira-kira 9.30 pagi apabila wartawan berkenaan Mohd Firdaus Ismail memohon pas lawatan untuk masuk ke perkarangan DUN. Firdaus berkata pengawal keselamatan enggan memberikan pas lawatan masuk ke DUN dan memberitahunya ia adalah atas arahan pihak atasan. "Pengawal DUN tersebut telah memberitahu saya bahawa wartawan Utusan tidak dibenarkan masuk ke DUN untuk membuat liputan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat protes secara berseorangan dengan memegang kad bertulis Ketelusan telah mati di sini" dan berlegar-legar di hadapan pintu pagar bangunan DUN. Katanya, beliau berbuat demikian sebagai meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sebelum ini sering melaung-laungkan kebebasan akhbar. Firdaus berkata sebelum ini, wartawan Utusan juga pernah dilarang membuat liputan persidangan DUN selepas satu usul larangan tersebut dibentangkan dan dipersetujui. "Tetapi, kini telah masuk penggal baharu untuk persidangan DUN, mereka seharusnya membentangkan usul baharu dan usul yang lama telah tamat tempoh," katanya. Speaker DUN yang baharu Law Choo Kiang ketika diminta mengulas perkara itu berkata kejadian itu berlaku akibat kesilapan pengawal keselamatan bangunan DUN yang telah menguna pakai arahan lama. "Saya ingin menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku atas kesilapan teknikal pengawal DUN dan saya berjanji perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan," katanya. Katanya, beliau akan menjemput wartawan tersebut untuk membuat liputan persidangan DUN Selasa depan. - BERNAMA |
Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan shisha Posted: 28 Jun 2013 02:53 AM PDT KANGAR 28 Jun - Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok. Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu. Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat. Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja. Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar. Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan. Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai. Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh. "Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya. Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa. - BERNAMA |
Devamany dipilih sebagai Speaker DUN Perak Posted: 28 Jun 2013 01:02 AM PDT IPOH 28 Jun - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkuatkuasa hari ini. Pemilihan Devamany dibuat secara pengundian dengan beliau memperolehi 31 undi berbanding calon pembangkang, V. Sivakumar yang mendapat 28 undi. Pencalonan Devamany, 56, bagi menggantikan Datuk R. Ganesan dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir manakala pencalonan Sivakumar dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Abu Bakar Hussian. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |