{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Situasi jerebu sentiasa dipantau

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
fikri.rosly@utusan.com.my

PELAJAR memakai penutup hidung dan mulut ketika pulang dari sekolah sesi pagi berikutan jerebu dan IPU tidak sihat yang melanda bandar raya Johor Bahru, semalam.

NUSAJAYA 20 Jun - Semua pihak diminta tidak panik dengan keadaan jerebu yang bertambah buruk hari ini terutamanya di daerah Muar.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin menggesa rakyat supaya menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Beliau berkata, pencemaran udara merentasi sempadan dari Sumatera, Indonesia itu memasuki fasa bahaya apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar melepasi bacaan 300 pagi ini dan pemantauan 24 jam akan dilakukan sebelum tindakan susulan diambil.

"Jika keadaan IPU melebihi 300 selepas 24 jam, saya harap jawatankuasa tindakan jerebu kebangsaan dapat membuat keputusan sewajarnya sama ada hendak mengarahkan sebarang perkara yang diperlukan seperti (keadaan jerebu) yang pernah berlaku dulu. Singapura juga mengalami keadaan sama dengan IPU melebihi 300 dan meminta penduduknya tidak keluar.

"Kita juga berharap Indonesia meningkatkan tindakan untuk menghentikan (pembakaran hutan) kerana ia berlaku setiap tahun. Banyak negara yang terlibat dan saya percaya akan lebih banyak tekanan dan tindakan kepada negara yang menjadi punca (jerebu)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bacaan IPU di Muar mencecah 383 setakat pukul 11 pagi dan gagal mendapat sebarang bacaan setakat pukul 3 petang dipercayai akibat kegagalan peralatan berikutan jerebu yang tebal, manakala IPU di Pasir Gudang adalah 249, Larkin Lama (204) dan Kota Tinggi (283).

Jabatan Pendidikan negeri juga mengeluarkan pekeliling mengarahkan 211 buah sekolah rendah dan menengah membabitkan 76,940 pelajar di daerah Muar dan Ledang supaya ditutup sehinggalah keadaan jerebu reda ke paras yang tidak membahayakan kesihatan.

Mohamed Khaled memberitahu, bilik gerakan jerebu akan dibuka di kawasan yang terjejas teruk dan penduduk diingatkan supaya tidak memburukkan keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka.

Pihaknya didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menteri Besar turut meminta orang ramai supaya membantu memadamkan kebakaran kecil dan melaporkan kes-kes pembakaran terbuka selain mengurangkan aktiviti di luar rumah dan memakai topeng penutup hidung.

Beri tips urus kewangan

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

ABU Hassan Alshari Yahaya (kiri) bersama Ahmad Maslan menunjukkan sisipan yang ditawarkan oleh bank dalam program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan, baru-baru ini.

PONTIAN 20 Jun - Sebut sahaja hutang, pasti ramai yang mengeluh kerana masalah itu membelenggu hampir setiap individu.

Hakikatnya untuk memiliki barangan diingini, tidak semua mampu membelinya secara tunai dan pilihan yang ada adalah dengan cara berhutang.

Namun, jika perkara ini tidak diuruskan dengan baik, masalah yang lebih besar pasti akan menanti peminjam termasuk diisytiharkan bankrap.

Bagi membantu rakyat menyelesaikan masalah tersebut, kerajaan memperkenalkan pelbagai program dan antaranya mewujudkan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara pada 2005 bagi menyediakan khidmat nasihat, bantuan dan pengurusan aduan kepada orang ramai.

Antara perkhidmatan yang diberikan adalah perbankan, insurans takaful dan pembiayaan yang disediakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maklumat mengenai kredit peribadi melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menurut Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya yang ditemui Utusan Malaysia dalam Program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan di Benut di sini baru-baru ini, LINK juga memberikan pendedahan dan kesedaran tentang jenayah kewangan seperti skim cepat kaya dan pelaburan haram.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan, LINK menerima lebih 1.4 juta pertanyaan dan aduan daripada orang ramai menerusi pelbagai saluran.

Pada tahun lalu, BNM membantu seramai 409,468 individu dan usahawan manakala pada suku tahun pertama tahun ini pula, seramai 104,668 mendapat manfaat menerusinya.

"Ini menunjukkan LINK berjaya menepati objektif dan matlamat bagi memberikan kesedaran dan pendidikan kewangan kepada orang ramai supaya mereka dapat menguruskannya dengan baik.

"Seterusnya LINK telah melebarkan sayapnya mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan luar bandar menerusi perkhidmatan bergerak atau MobileLINK dengan menggunakan sebuah bas khas," katanya.

Menurut Abu Hassan lagi, seramai 20,000 individu menerima manfaat menerusi perkhidmatan MobileLINK yang dilaksanakan di 72 buah mukim di seluruh negara tersebut.

Antara perkhidmatan yang disediakan MobileLINK adalah memberikan peluang kepada orang ramai membuka akaun, menyimpan dan mengeluarkan wang yang disediakan melalui pelbagai kaunter bank seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), AgroBank dan Bank Muamalat yang menawarkan pelbagai produk termasuk pembiayaan pelaburan, perniagaan, peribadi mahupun Sijil Simpanan Premium (SSP).

Dalam pada itu, orang ramai yang berkunjung ke program tersebut juga berpeluang mendapat khidmat nasihat dan membuat aduan tentang perbankan, insurans dan takaful bagi keluarga mahupun perniagaan.

"Pegawai dan kakitangan bank juga bersedia memberikan khidmat nasihat kepada pengunjung yang kurang arif mengenai sesuatu institusi kewangan, sekali gus merapatkan jurang perbankan dalam kalangan masyarakat di luar bandar," katanya.

Menurutnya, MobileLINK juga memberikan perkhidmatan kaunseling kepada individu yang menghadapi masalah pengurusan kewangan (hutang) serta mendidik mereka menanganinya.

Peranan tersebut dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), merupakan agensi di bawah BNM yang telah memberi khidmatnya kepada 219,995 individu sejak ditubuhkan pada 2007.

Dalam tempoh tersebut, kata Abu Hassan, sebanyak 89,450 kes telah dibawa kepada Program Pengurusan Hutang (PPH) manakala hingga April lalu, 11,998 individu dirujuk kepada AKPK dengan 5,348 dibawa kepada PPH.

"BNM merasakan perlunya mereka yang menghadapi krisis hutang yang serius diberikan bantuan serta pertolongan supaya mereka dapat keluar daripada masalah yang boleh menjejaskan kehidupan seharian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika merasmikan program tersebut berkata, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan perbankan, BNM telah memperkenalkan 'Ejen Perbankan' pada 2012.

Menurutnya, Ejen Perbankan merupakan saluran baharu bagi pihak institusi kewangan berlesen menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan melalui ejen pihak ketiga seperti Pos Malaysia, stesen minyak, kedai runcit dan sebagainya.

"Kemudahan yang ditawarkan ialah transaksi penerimaan deposit, pengeluaran dan pemindahan wang, pembayaran bil dan bayaran balik pinjaman tanpa perlu pergi ke bandar bagi membuat urusan.

"Ini amat menepati slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' agar orang ramai mudah untuk membuat urusan walaupun di mana sahaja mereka berada termasuk di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau yakin langkah seumpama itu dapat menerapkan elemen 'celik' kewangan kepada orang ramai supaya tidak menyimpan wang di bawah bantal, tabung buluh dan tabung ayam, sebaliknya di tempat yang selamat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, lebih banyak program seumpama itu akan diadakan tahun ini bagi memberi peluang rakyat merasa 'dekat' dengan bank pada setiap waktu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat