{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Kahwin muda ketika masih belajar

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KELUARGA besar Badhrulhisham dan isteri, Noorzaimen bersama anak-anak dan cucu di Kuantan.

KESEDERHANAAN yang dimiliki gadis kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini benar-benar meruntun jiwa kelakian Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz untuk menyuntingnya sebagai suri hidup kira-kira 30 tahun yang lalu.

Perkenalan yang diaturkan seorang teman ketika sama-sama menuntut di University of Boulder, Colorado, Amerika Syarikat itu terus diikat dengan jalinan suci apabila mereka memutuskan untuk berkahwin ketika masing-masing berada di tahun dua pengajian.

Menurut Badhrulhisham, 50, beliau mengambil keputusan pulang ke Malaysia bagi memohon restu kedua belah keluarga untuk berkahwin walaupun usia perkenalannya dengan gadis idaman terlalu singkat.

"Saya seorang anak yang mementingkan keluarga. Walaupun jarak kami dipisahkan beribu-ribu batu, saya sanggup pulang ke pangkuan keluarga untuk melahirkan hasrat hati mendirikan rumah tangga pada usia yang cukup muda iaitu 20 tahun.

"Saya jelaskan kepada ibu bapa kenapa saya perlu berkahwin pada usia yang cukup muda, antaranya ialah saya mahu kehidupan saya lebih teratur di rantau orang," ujarnya kepada S2.

Selain itu, katanya, faktor utama yang tidak dapat disangkalnya adalah dia begitu tertarik dengan isteri, Datin Noorzaimen A.Kadir, 50, yang memiliki sikap peramah dan amat mengambil berat terhadap rakan-rakan di sekelilingnya.

''Kesederhanaannya dalam banyak hal membuatkan saya merasakan amat senang untuk mendekatinya," katanya.

Mengulas alam rumah tangganya, anak kelahiran Kluang, Johor itu berkata, kesibukan bekerja bukanlah alasan tidak dapat meluangkan masa untuk bersama isteri dan anak-anak.

"Sebagai suami, saya sentiasa 'mencuri' waktu untuk bersama isteri dan anak-anak. Ini kerana jadual harian saya amat ketat termasuk hujung minggu.

"Kadang-kadang semasa hari bekerja, sengaja saya buat 'lunch date' dengan isteri. Biasanya kami bertemu di restoran atau gerai yang jaraknya di tengah-tengah antara rumah dan tempat kerja," jelasnya yang akan memasak untuk isteri sekiranya mempunyai masa terluang.

Pasangan ahli akademik ini juga tidak lokek untuk berkongsi kebahagiaan mahligai perkahwinan mereka.

Menurut Badhrulhisham, suami isteri perlu mengambil berat apa yang disukai dan tidak disukai pasangan.

"Jangan beranggapan dia patut tahu semua perkara melibatkan kita. Ini kerana kita akan lebih kecewa dan makan hati jika berdiam diri.

"Bila dah tahu apa yang disukai dan tidak disukai, kita perlu meraikan dan menghormatinya. Terima dan cuba perbaiki kekurangan masing-masing," katanya.

Beliau juga berkata, apabila masing-masing keluar bekerja atau menunaikan peranan masing-masing, mempercayai pasangan itu penting supaya kita dapat bekerja dengan tenang.

"Dalam masa yang sama, kita harus bersikap benar dengan diri sendiri dan setia terhadap pasangan serta menjaga hukum-hukum syarak dalam pergaulan terutama ketika bersama rakan sekerja," tambah Badhrulhisham sambil menekankan bahawa kita perlu berwaspada agar pintu-pintu fitnah kekal tertutup rapat.

Bagi Noorzaimen pula, dugaan ketika belajar di negara orang terutama dalam aspek pergaulan dan keselamatan membuatkannya tidak berfikir panjang untuk menerima lamaran Badhrulhisham.

"Ketika itu, dugaan kami lebih kepada rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim dalam menjaga pergaulan mengikut syariat Islam.

"Tinggal di negara orang seperti Amerika yang sangat bebas pergaulannya, membuatkan kami risau, apatah lagi kami pula sangat jauh dari ibu bapa. Jadi, kami perlu bijak menjaga batas pergaulan.

"Selain itu, memikirkan keselamatan diri sebagai pelajar perempuan di sana yang kadangkala memerlukan bantuan rakan lelaki dalam beberapa perkara membuatkan saya memutuskan untuk berkahwin awal.

"Daripada menyerahkan kepercayaan itu kepada lelaki bukan muslim di sana, potensi untuk kita bergantung harap kepada lelaki muslim adalah lebih diterima akal," jelasnya.

Bertuahnya pasangan ini apabila mereka dikurniakan tujuh cahaya mata yang turut cemerlang di dalam pelajaran.

Momen terindah pasangan muda ini adalah apabila Noorzaimen disahkan mengandung anak sulung yang kini merupakan seorang jurutera ketika hampir menamatkan pengajian pada Disember 1984.

Noorzaimen juga sanggup melepaskan kerjaya sebagai pensyarah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa agar anak-anak mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang.

"Tuntutan membesarkan anak pada zaman sekarang memang sangat mencabar dan memperoleh anak-anak sebelum memulakan kerjaya merupakan satu pengalaman yang cukup berharga," kata Noorzaimen.

Menurutnya, melihat sendiri anak-anak membesar di hadapan mata, ia sangat memberi kepuasan kepadanya dan suami, sekali gus memberi ketenangan kepada suaminya untuk keluar bekerja.

Katanya, beliau sangat menyanjungi sikap suaminya yang merupakan seorang yang pendiam, bertanggungjawab dan serius.

"Saya menyenangi sikap sepertiitu kerana bagi saya, ada aura sifat bertanggungjawab di situ. Ternyata hingga kini, dia memang seorang yang sangat bertanggungjawab," jelasnya sambil menasihatkan pasangan di luar sana supaya mengenal pasti kelemahan dan kekuatan masing-masing.

Noorzaimen kini aktif menjalankan kerja-kerja sukarela sebagai tenaga pengajar untuk kelas pengajian al-Quran.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri ini juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dalam hal ini, kedua-duanya terlibat sama dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Malu dengan sikap ego isteri

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

KEJAYAAN seorang isteri adalah kebanggaan setiap suami, begitu juga sebaliknya. Tidak mudah untuk melakar kejayaan kerana ia memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Terasa masa yang diperuntukkan sebanyak 24 jam sehari tidak mencukupi kerana terlalu asyik mengejar cita-cita yang belum kesampaian.

Harus diingat tidak semua kebahagiaan itu bermula dengan kejayaan dan tidak semua penderitaan itu suatu penyeksaan sebab segalanya terkandung hikmah yang perlu difikirkan.

Minggu ini, apa kata kita berkongsi cerita Zaid (bukan nama sebenar ) mengenai sikap angkuh dan sombong isterinya Zarina (bukan nama sebenar) kerana mempunyai kedudukan tinggi di pejabat.

Begini cerita Zaid.

"Saya seorang pegawai bank dan ayah kepada dua orang anak. Isteri saya merupakan seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan. Kami telah 15 tahun bernikah.

"Disebabkan jawatan tinggi dan selalu mementingkan pangkatnya, isteri saya, Zarina melupakan tanggungjawabnya menguruskan rumah tangga kami.

"Insan kerdil tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan sebagai seorang suami menjadi tanggungjawab saya menegur sikap Zarina yang kurang disenangi rakan-rakan sepejabatnya kerana sikapnya yang ego kerana kedudukannya.

"Sebagai seorang isteri yang berjawatan tinggi, Zarina semestinya tidak terlepas daripada berhadapan dengan mereka yang senior daripadanya.

"Tidak semua idea yang dilontarkan mendapat respons kerana ia memerlukan tempoh masa tertentu untuk dikaji sebelum diluluskan. Tetapi tidak bagi Zarina.

"Saya bercakap berdasarkan pengalaman bekerja sebagai ketua jabatan di sebuah syarikat. Kerana tidak mahu dia terus hanyut dengan egonya itu, saya terpanggil untuk berbincang dengan Zarina setelah menerima aduan daripada beberapa pemanggil misteri yang tidak senang dengan sikap egonya sehingga wujud jurang antara pekerja dan ketua.

"Saya jelaskan kepada isteri, bahawa kita bekerja dengan manusia yang berperasaan, bukannya kita bekerja dengan robot yang diprogramkan untuk mendengar dan mengikut telunjuk sesiapa sahaja.

"Cara dan gaya kita berurusan perlu ada pertimbangan, jangan sampai terlepas cakap sehingga menyinggung emosi sesama sendiri. Sekali kita hilang rasa hormat terhadap orang lain, jangan harap orang akan menghormati kita walaupun kita seorang yang berjawatan tinggi.

"Kesimpulannya jauhi sikap 'hidung tinggi' kerana Allah murka kepada hamba-Nya yang sombong di atas muka bumi ini. Sayangnya nasihat saya tidak dipedulikan Zarina. Dia terus dengan caranya.

"Pada masa yang sama, saya terus mendapat aduan dan panggilan misteri mengutuk isteri saya dan caranya melayan kakitangan bawahan.

"Anak-anak sering menjadi tempat isteri melepaskan geram dan marah apabila berhadapan dengan kerenah atau masalah di pejabat. Sesekali boleh saya bersabar dengan sikapnya tetapi lama-kelamaan kesabaran saya juga hilang kerana egonya di pejabat terbawa-bawa hingga ke rumah.

"Pada suatu hari, anak saya meminta emaknya sediakan sarapan walaupun kami mempunyai pembantu rumah. Oleh sebab terlalu letih untuk bangun awal kerana pulang lewat malam dari pejabat, Zarina memarahi pembantu rumah kami dengan alasan tidak tahu melayan kerenah anak-anak.

"Kasihan anak kecil yang disisihkan emaknya kerana terlalu mementingkan diri sendiri.

"Akhirnya, saya yang sediakan sarapan untuk anak-anak walaupun dihalang oleh pembantu rumah kami yang setia dan faham perangai Zarina yang garang.

"Pada suatu hari, saya sekali lagi menerima panggilan misteri daripada seorang wanita yang mendakwa dia rakan sepejabat isteri saya. Dia mahu berjumpa dengan saya dan berbincang tentang suatu perkara.

"Kami berjumpa dan saya membawa kedua-dua anak saya yang sering ditinggalkan emak mereka kerana terlalu sibuk mengejar kerjaya, yang entah bila akan selesai.

"'Sebenarnya saya faham masalah En. Zaid dan saya ingin membantu. Hujung minggu kami sekeluarga akan berkelah dan saya cadangkan En. Zaid dan keluarga ikut sama, bawa anak-anak.

"Beri saya masa untuk berbincang dengan isteri saya dan akan saya maklumkan kemudian," jawab saya dengan harapan tidak menghampakan permintaannya.

"Setelah berbincang, Zarina tidak dapat ikut sama kerana sibuk dengan mesyuarat. Saya bawa anak-anak dan akhirnya saya temui kebahagiaan yang selama ini saya inginkan.

"Seorang wanita yang berkerjaya dan memiliki ciri-ciri seorang emak untuk anak-anak saya menumpang kasih jika ditakdirkan menjadi kenyataan.

"Perkara tersebut sampai ke pengetahuan Zarina yang marah seperti orang hilang akal. Dengan nada bersahaja, saya nasihatkan isteri kesayangan saya bahawa jika tidak mahu kehilangan sesuatu yang disayangi sama ada kerjaya, keluarga atau apa sahaja, kita hendaklah berlaku adil dan bertimbang rasa.

"Panjang juga saya berleter... dia menangis dan merayu minta diberi peluang kedua. Saya katakan kepadanya, jika berlaku sesuatu di dalam rumah tangga kami, jangan salahkan saya.

"Mulai dari hari itu, Zarina telah berubah menjadi isteri idaman saya. Dia mula mengutamakan kami dalam hidupnya. Saya sangat gembira dan bersyukur kepada Allah dengan perubahan ini.

"Kehadiran wanita misteri itu telah membuka ruang buat Zarina berubah. Saya amat berterima kasih kepadanya. Sehingga kini, kami masih berkawan dan dia menjadi sebahagian daripada keluarga kami.

"Saya berdoa agar perubahan Zarina akan kekal selamanya. Sejak perubahan itu, saya tidak lagi menerima aduan dan panggilan misteri mengutuk sikap isteri saya. Alhamdulillah.

"Ini secara tidak langsung membuktikan yang dia juga telah mengubah cara dia melayan pekerja bawahan di pejabatnya. Saya benar-benar bersyukur dan moga Allah membahagiakan kami sekeluarga hingga ke syurga." sebak Zaid menamatkan ceritanya.

Begitulah kehendak Allah, tiada ada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika kena caranya. Saya mengucapkan syabas kepada Zaid kerana bertindak bijak menangani masalah rumah tangganya dengan Zarina.

Kisah Zaid dan Zarina adalah contoh terbaik yang boleh dijadikan teladan oleh pasangan suami isteri. Moga Allah akan permudahkan urusan hidup Zaid sekeluarga.

Menutup kata pesanan ikhlas, saling lengkap melengkapi antara suami isteri adalah jalan terbaik membina hubungan kasih antara suami isteri dalam perkongsian hidup menuju ke syurga.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat