Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI KUALA LUMPUR 5 Jun - Sebuah syarikat pemaju perumahan hartanah rizab Melayu bersedia membantu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengatasi dan memperbaiki kerosakan alam sekitar yang teruk di kampus induk universiti itu yang berpunca daripada kerja-kerja pembukaan tanah oleh syarikat tersebut. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Masgenuine - i Berhad, Rosianiza Rosly juga berkata, buat masa ini, syarikatnya terpaksa menghentikan sementara kerja-kerja pembukaan tanah tersebut ekoran aduan oleh UIAM. "Kami berharap pihak UIAM juga sedia berkerjasama bagi menjayakan usaha ini. "Kami sedia untuk memastikan punca-punca saliran terutamanya Sungai Pusu dan anak-anak sungainya dapat diperbaiki dan tidak lagi menjadi punca utama kepada masalah alam sekitar seperti yang didakwa oleh UIAM," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kawasan seluas melebihi 20.2 hektar berhampiran kampus induk UIAM di Gombak sedang diteroka tanah dan hutan sehingga menyebabkan kebanyakan punca saliran sungai yang mengalir masuk ke kampus tersebut menjadi cetek dan tercemar. Ketika ini air sungai dan tasik-tasik di kampus tersebut bertukar menjadi keruh disebabkan lumpur dan pasir yang dibawa air dari tapak projek pembukaan tanah tersebut. Keadaan itu juga didakwa menyebabkan UIAM mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat dalam tempoh kurang sejam. Rosianiza berkata, pihaknya juga sanggup memulihara kolam-kolam tadahan hujan demi alam sekitar yang lestari di UIAM. "Malah kami akan membina, mencantikkan kolam tersebut dengan turut membina taman-taman rekreasi dengan segala kos akan ditanggung oleh pihak syarikat. Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami yang akan kami laksanakan sebagaimana yang sering kami lakukan sebelum ini," katanya. Sementara itu Pejabat Daerah Gombak telah dapat mengenal pasti pemilik tanah yang menjadikan cerun sebuah bukit berhampiran kampus UIAM sebagai tempat pembuangan sampah tidak berjadual. Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memberitahu Utusan Malaysia, tindakan telah diambil terhadap pemilik tanah tersebut termasuk penyerahan notis amaran. Katanya, pelbagai tindakan lanjut lain akan dilakukan terhadap kesalahan membuang sisa-sisa binaan di situ yang telah menyebabkan berlaku pencemaran kepada anak sungai yang mengalir ke kampus UIAM. UIAM ketika dihubungi pula memaklumkan, mereka akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak terutamanya pihak pemaju dan wakil dari Pejabat Daerah Gombak bagi mencari jalan keluar menyelesaikan masalah alam sekitar tersebut secara bersama. Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz berkata, pertemuan akan diadakan selewat-lewatnya pada awal minggu hadapan dan UIAM berharap pertemuan itu dapat membantu mengelakkan UIAM daripada menerima kesan yang lebih teruk dari masalah tersebut. |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN KOMPLEKS Sukan PKNS di Kelana Jaya, Petaling Jaya termasuk padangnya sebelum ini dicadang dibangunkan semula oleh kerajaan negeri Selangor tetapi tergendala berikutan bantahan penduduk sekitar. PETALING JAYA 5 Jun - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menarik balik permohonan rayuan kepada Lembaga Rayuan melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Selangor berhubung isu projek pembangunan semula Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya. Perkara tersebut telah disahkan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md. Taib yang ditanya mengenai perkembangan terbaharu mengenai isu tersebut. Beliau berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang menunggu keputusan cadangan PKNS untuk mengemukakan semula permohonan pembangunan di tapak itu. "Kami akan tetap dengan keputusan untuk mengekalkannya (Kompleks Sukan PKNS). Saya tidak cakap ingin mengekalkan padang itu kerana kita mesti membuat semakan dan selaras dengan perancangan tempatan yang telah disediakan pihak MBPJ," katanya kepada Utusan Malaysia. Katanya, sebarang pindaan mengenai perancangan tempatan itu perlu dikemukakan sekali lagi kepada penduduk untuk memberi pandangan awam. "Yang lain saya tidak berani jawab kerana ia dalam pertimbangan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad. Semua program bersama kerajaan negeri akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk memastikan ia perlu dibangunkan atau tidak. "Saya tidak berani memberi jaminan kepada perkara tersebut, setahu saya rayuan telah dikemukakan oleh PKNS dan ditarik semula. "Kita menunggu apakah hasrat PKNS selanjutnya selepas ini, adakah mereka mahu mengemukakan semula (rayuan) atau menimbangkannya saya tidak pasti," ujarnya. |
Ejen pujuk pemilik jual rumah di Bukit Botak? Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT SHAH ALAM 5 Jun - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mendakwa terdapat kegiatan ejen luar yang cuba mengaut keuntungan atas angin dengan memujuk pemilik rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bukit Botak, Selayang supaya menjual kediaman mereka. Pengerusi Jawatan Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, ini berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai selain yang diperoleh pihaknya di internet. Menurutnya, berdasarkan maklumat tersebut, didapati ada ejen yang menjual semula rumah berkenaan dengan harga sehingga RM290,000 berbanding harga asal yang dijual oleh PKNS kepada mereka iaitu RM99,000 seunit. Menurut Iskandar, ejen terlibat juga dikatakan akan menjual semula rumah terbabit kepada pembeli-pembeli lain secara terbuka dan mengaut keuntungan atas angin. "Kami masih siasat apa sebenarnya yang berlaku, antaranya berapa harga jualan pemilik kepada ejen dan adakah ejen itu berdaftar. Yang penting kita tidak mahu pemilik rumah Bukit Botak tertipu atau dieksploitasi. "Tindakan ini juga boleh mengundang kerugian kepada pemilik dan juga PKNS yang telah membelanjakan peruntukan besar untuk menyelesaikan isu perumahan di kawasan itu," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini petang ini. Dalam pada itu, Iskandar memberitahu, bagi menyelesaikan masalah itu kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai PKNS dan Lembaga Perumahan Negeri Selangor bagi melihat cara terbaik untuk membantu pemilik rumah Bukit Botak yang berhasrat menjual semula rumah mereka. Tambah beliau, melalui jawatankuasa itu juga, pihaknya mungkin akan mewujudkan peraturan penjualan rumah di Bukit Botak dan sebagainya. "Ini bagi mengelak mereka dieksploitasi dan ditipu," ujar beliau. Isu penempatan setinggan Bukit Botak sebenarnya sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu melibatkan 2,300 keluarga pemilik tanah merangkumi kawasan seluas 201 hektar. Pada 1988, sebuah syarikat dilantik sebagai pengurus pembangunan projek sebelum syarikat itu menghadapi masalah teknikal dan tidak dapat meneruskan projek. Kemudian, syarikat lain dilantik pada 1996 untuk meneruskan projek termasuk membina 1,367 buah rumah berkembar untuk penduduk yang tanah mereka terlibat untuk diambil alih. Bagaimanapun, syarikat itu juga gagal menyelesaikan pembinaan projek itu dan PKNS diarah mengambil alih sehingga akhirnya disiapkan secara berperingkat. Rumah-rumah teres setingkat di Bukit Botak itu dibina dengan bentuk moden dan keluasan lantai 78.9 meter persegi selain dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |