Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Husam kalah tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap NSTP Posted: 11 Jun 2013 10:48 AM PDT Husam Musa KUALA LUMPUR 11 Jun - Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa hari ini gagal dalam tuntutan saman fitnah RM10 juta yang dikemukakannya terhadap syarikat akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) dan empat yang lain. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu memfailkan saman tersebut pada 22 Februari 2010 setelah mendakwa artikel bertajuk Husam: They go or I'll quit. Nik Aziz won't allow blue eyed boy to resign even if he wishes yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times (NST) memfitnahnya. Husam mendakwa artikel yang disiarkan di muka surat 10 dalam akhbar bertarikh 23 November 2009 ditulis dengan niat jahat itu telah menjatuhkan dan merendahkan reputasinya. Keputusan menolak saman itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Beliau juga memerintahkan Husam membayar kos RM22,000. Peguam Dr. Zulqarnain Lukman yang mewakili Husam selaku pihak plaintif memberitahu pemberita, mahkamah memutuskan demikian setelah mendapati pihaknya telah gagal membuktikan kes saman tersebut. Ini kerana, menurut Zulqarnain, Heng Cheong berpendapat, artikel itu lebih berbentuk pujian kepada Husam dan bukannya memfitnah beliau. ''Jika artikel itu berbentuk fitnah sekalipun, mahkamah mendapati, perlindungan bersyarat dan prinsip kewartawanan bertanggungjawab terpakai dalam kes ini,'' katanya. Dalam saman itu, Husam menamakan NSTP, dua wartawannya, Shuhada Elis (kini bekas wartawan NST) dan Nik Imran Abdullah (kini Ketua Biro NST Kota Bahru); bekas Pengarang Kumpulan NST, Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan Ketua Pengarang Urusan Kumpulan NSTP ketika itu, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa sebagai pihak defendan. Plaintif dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, pernyataan fitnah pihak defendan itu, dibuat dengan niat jahat telah menjatuhkan dan merendahkan reputasinya dalam khalayak umum. Artikel tersebut menurut plaintif juga didakwa membawa maksud beliau seorang yang suka mengambil kesempatan, menekan orang lain, tidak jujur dan bertelingkah serta berpecah-belah. Oleh itu plaintif, menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan berjumlah RM10 juta daripada kesemua defendan. Pihak defendan dalam pernyataan pembelaan menegaskan, kata-kata tersebut mempunyai maksud yang jelas atau biasa dan tiada satu pun daripadanya bersifat memfitnah Husam. Menurut pihak defendan, pernyataan tersebut membabitkan kepentingan awam, diterbitkan dengan cara adil dan wajar dengan cara yang konsisten dengan kewartawanan bertanggungjawab. Selain itu, bagi pihak, defendan pernyataan itu membabitkan laporan fakta yang berdasarkan penyiasatan dan tanpa penonjolan atau elemen sensasi yang tidak wajar. |
Dua beradik merompak dijel tiga tahun Posted: 11 Jun 2013 10:48 AM PDT PETALING JAYA 11 Jun - Dua adik-beradik masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan sebatan satu kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang dan alat pengunci tambahan motosikal terhadap seorang juruwang, awal tahun ini. Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohammad Faizal Yahya, 26, yang bekerja sebagai penghantar surat dan adiknya, Muhamad Shamin, 20, pekerja bengkel, berkuat kusa mulai tarikh mereka ditangkap pada 15 Januari lalu selepas kedua-dua mereka mengubah pengakuan kepada bersalah hari ini. Seorang lagi rakan mereka, Mohd. Aidil Qushari Jalaludin, 22, yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama, akan dibicarakan mulai esok. Ketiga-tiga mereka dituduh bersama-sama merompak seorang lelaki warga Bangladesh, Saiful Islam Shamsul Haque dengan melarikan wang RM1,000, empat kotak rokok, satu unit komputer riba dan satu unit telefon bimbit yang semuanya bernilai RM5,000. Perbuatan itu didakwa dilakukan di stesen minyak BHP, Taman Bukit Kuchai, Batu 8, Jalan Puchong di sini kira-kira pukul 9 malam, 15 Januari lalu. Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Ahli keluarga kedua-dua tertuduh yang hadir di mahkamah dilihat menangis teresak-esak ketika hukuman dijatuhkan. Mereka turut memeluk kedua-dua beradik itu sebaik sahaja prosiding selesai. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |