Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Flashmob cabar tindak balas PDRM Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT Oleh Salleh Buang KETIKA saya membaca tajuk berita "14 hasut demonstrasi diberkas" (Utusan Malaysia 16 Jun 2013 hal 11) apa yang terlintas di kepala saya adalah betapa pintar sekali puppet master mendidik elemen anarkis meneruskan agendanya menimbulkan bibit huru-hara di negara ini. Seperti dilaporkan oleh akhbar itu, selepas 14 orang peserta demonstrasi itu disoal-siasat (diambil keterangan") oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka akan dibebaskan pada hari yang sama. Mereka tak perlu tinggal semalam" dalam lokap polis. Kesimpulannya, saya kira tidak seorang anggota flashmob ini khuatir dia akan menghadapi apa-apa kesusahan atau kesulitan diri akibat perbuatannya pada hari itu. Agenda puak anarkis untuk menimbulkan huru-hara adalah suatu realiti yang mesti kita terima. Hanya yang buta hati akan terus menafikannya. Kehadiran peserta flashmob di Bangunan Sogo pada petang Sabtu 15 Jun itu adalah anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Kumpulan inilah yang sebelum ini telah mengisytiharkan akan menggulingkan kerajaan menerusi kuasa rakyat" (people power) setelah parti politik yang mereka sayangi kecundang merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU-13). Kekalahan ini amat sukar sekali mereka terima disebabkan mereka begitu yakin dengan spin" ciptaan mereka sendiri sebelum itu yang mengatakan mereka pasti menang. Spin" awal itulah yang kemudian disusuli dengan spin" kedua, iaitu mereka kalah disebabkan perbuatan jahat penipuan SPR". Barangkali masih ramai yang tidak percaya kewujudan dan keberkesanan spin" kumpulan ini. Izinkan saya berkongsi cerita untuk membuktikan betapa anak muda di Lembah Klang percaya sungguh" spin yang didendangkan oleh puak ini - iaitu Pakatan akan menang besar dalam PRU-13 yang lalu itu. Kita hanya menafikan kebenaran sekiranya kita masih beranggapan hulubalang maya (cyber troopers) yang diberi nama RBA (Red Bean Army, tentera kacang merah) tidak pernah wujud. Bagi anda yang biasa menggunakan KLIA pasti tahu bahawa balai berlepas domestik adalah di aras 5. Untuk berlepas kita perlu melalui proses pemeriksaan keselamatan sebelum turun escalator dan terus bergerak ke sebelah kanan (ke pintu-pintu A) atau ke sebelah kiri (ke pintu-pintu B) sebelum menaiki pesawat udara. Di tempat kita turun itu kita akan bertemu dengan kiosk menjual bahan solekan wanita (kosmetik) dan akhirnya kiosk menjual coklat. Kira-kira dua minggu sebelum PRU-13, pada satu petang saya ada di situ untuk pulang ke Alor Setar, Kedah. Ketika saya turun dari escalator itu, saya terserempak dengan Anwar Ibrahim yang pada masa itu sedang asyik bergambar dengan dua wanita muda, penjual kosmetik. Setelah menyedari kehadiran saya di situ, dia terus berpaling dan berjalan pantas menuju ke arah kiosk menjual coklat, dan lepas itu menghala ke kanan ke pintu-pintu A. Saya jangkakan dia pergi ke Golden Lounge (di sebelah pintu A2), dewan menunggu sebelum kita berlepas. Sewaktu saya sampai ke bahagian kiosk menjual coklat itu, dia sudahpun berlalu dan tidak lagi kelihatan. Di situlah saya bertembung dengan beberapa penjual coklat (wanita muda keturunan Cina, umur sekitar 20-25 tahun) berbual dengan begitu teruja sekali sambil melihat ke arah pintu-pintu A, pastinya arah yang dituju Anwar. Berikut adalah antara perbualan mereka (dalam Bahasa Inggeris) yang saya dapat dengar dengan jelas. Terjemahan perbualan mereka adalah seperti berikut - Itulah dia. Awak nampak tak?" Siapa?" Dialah. Tak kan awak tak nampak" Tak nampak. Dia siapa?" Dialah. Perdana Menteri kita" Saya tersenyum bila mendengar perbualan itu, menganggapnya (pada masa itu) sebagai hanya satu jenaka biasa antara wanita muda, yang nampaknya menganggap Anwar sebagai idola mereka. Hanya setelah PRU-13 berlalu dan Anwar mengugut akan mengadakan perhimpunan haramnya dan protes jalanannya barulah saya sedar bahawa barangkali sebahagian besar penduduk bandar raya Kuala Lumpur (termasuklah wanita-wanita muda yang menjual barangan kosmetik dan coklat) sudah begitu yakin sejak awal lagi bahawa Pakatan akan menang dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri. Disebabkan rancangan partinya merampas Putrajaya tidak berjaya, ini pasti perbuatan jahat SPR yang mencuri kemenangan mereka!! Dengan bahasa mudah, peristiwa yang saya alami itu adalah antara bukti bahawa spin puak ini memang berkesan sekali mempengaruhi minda rakyat biasa, terutama sekali golong muda seperti penjual kosmetik dan coklat di KLIA itu. Tidak hairanlah kita selepas PRU-13 berlalu, elemen anarikis terus menerus merancang pelbagai peristiwa dengan maksud menarik perhatian dan mendapatkan sokongan orang awam. Bermula dengan silent walk" oleh remaja berbaju hitam, diikuti perhimpunan haram Blackout 505" di beberapa tempat di seluruh negara (ada juga perhimpunan serupa diadakan di Singapura), kini disusuli pula dengan kehadiran flashmob di Sogo (barangkali sebagai rehearsal awal), manakala peristiwa mutakhir (finale) yang dirancang adalah protes mega jalanan. Pada 15 Mei lalu beberapa blog melaporkan Anwar sebagai berkata bahawa Pakatan Rakyat akan meneruskan perhimpunan di tempat tertutup, kononnya bagi memberi peluang kepada pengundi menyuarakan kemarahan mereka" terhadap kecurangan pilihan raya 5 Mei lalu." Anwar menambah bahawa desakan menganjurkan demonstrasi jalanan" bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional adalah cadangan dari NGO dan bukan pendirian rasmi" Pakatan. Mengikut versi Anwar ini, protes jalanan yang akan diadakan tidak lama lagi itu adalah idea atau inisiatif NGO, bukan satu program rasmi Pakatan. Boleh percayakah kita? Kebetulan, dalam akaun facebook https://www. facebook. com/mediarakyatnet, saya terjumpa gambar anggota flashmob yang berhimpun di Sogo dan Masjid India dimasukkan dalam kereta (Black Maria PDRM), pastinya untuk dibawa ke balai bagi maksud siasatan (diambil keterangan). Di bawah gambar itu ada posting oleh seorang remaja Cina bernama Chan Pheng Moong yang amat biadab sekali, jelas melanggar beberapa undang-undang negara. Selain memaki hamun polis, dia juga menghina undang-undang, mencerca Menteri dan Perdana Menteri. Inilah anak-anak muda yang terus diracuni fikiran mereka serta digembleng oleh puak-puak anarkis ini, dan sekiranya anak muda liar seperti ini dibiarkan terus bermaharaja-lela di ruang siber, huru-hara di masa depan bukan satu fantasi lagi. Sementara kita tunggu tindak balas PDRM selanjutnya, sama-samalah kita tunggu dan lihat jika ada mana-mana pihak yang akan membuat laporan polis mengenai anak muda yang kurang ajar ini. |
Cabaran persepsi bagi generasi muda Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT ANTARA cabaran penting yang perlu dihadapi oleh generasi muda disebutkan oleh Perdana Menteri di Jakarta ialah cabaran persepsi. Apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri itu banyak benarnya kerana bukan saja para pelajar, golongan profesional dan ahli akademik sebahagiannya percaya tetapi menganggap persepsi itu benar dan bertanggungjawab. Seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri di hadapan pelajar Malaysia di sana ialah persepsi membawa kepada pembohongan, maklumat yang tidak rasional dan data yang disebarkan ikut emosi semata-mata. Kedatangan 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi adalah bukti jelas bahawa pembohongan berlaku dan orang boleh percaya. Amat sedih para pelajar yang sepatutnya sudah boleh berfikir, dan para profesional boleh membezakan benar dan salah. Sesetengah para akademik turut sama menyebarkan kenyataan palsu itu semata-mata atas sikap benci dan dendam kesumat yang melampau. Berpegang kepada persepsi semata-mata tidak memadai. Presepi adalah tanggapan awal terhadap sesuatu. Benar atau salahnya persepsi itu bergantung kepada fakta dan data yang diterima. Sesetengah bloggers yang mempunyai kepentingan tertentu tidak menghiraukan benar atau salah persepsi itu. Yang penting persepsi itu disensasikan dan dihebahkan seluas-luasnya supaya imej musuhnya menjadi rosak. Apalagi kalau mengambil kaedah Islam. Al-Quran memberi pedoman mengenai datangnya berita dan maklumat daripada orang yang fasik sekalipun sila periksa akan benar salahnya berita itu. Ajaran Islam sangat menjaga kebenaran sesuatu berita. Bayangkan ada warga bloggers yang tidak rasa berdosa akan apa yang disebarkan hanya berasaskan persepsi semata-mata tanpa ada usaha untuk melakukan kajian dan selidikan dan menggunakan akal-budi yang tinggi supaya tidak lahir fitnah yang menyebabkan dosa terjadi. Tokoh pembangkang seperti Anwar Ibrahim sedang berhempas pulas menyatakan kepada dunia bahawa dia sepatutnya menjadi Perdana Menteri kerana undi popular memihak kepadanya. Sejak bila Anwar menggunakan pendekatan undi popular sebagai ukuran kemenangan sedangkan sejak beliau dalam kerajaan dulu menang atau kalah sesuatu parti diukur dengan jumlah kerusi yang diterima. Takkan para pelajar, ahli akademik dan profesional tidak boleh menerima hakikat ini. Anwar cuba menimbulkan provokasi di Malaysia. Sayangnya, kawan baiknya Recep Tayyip Erdogan di Turki sedang menghadapi badi tindakan Anwar di sini. Di Turki penunjuk perasaan dihadapi dengan keras sehingga ada yang mati dan cedera. Pihak keselamatan di Malaysia tidak menghadapi demonstrasi sedemikian. Malangnya sehingga kini Anwar tidak mengutuk apa yang berlaku di Turki walaupun gas pemedih mata digunakan untuk menyurai pendemonstrasi. Para pelajar Malaysia di luar negara yang mudah terpengaruh dengan budaya persepsi ini harus berfikir lebih matang dan dewasa. Sesetengah mereka beranggapan bahawa mereka dihantar keluar negara adalah suatu tanggungjawab kerajaan. Indonesia menghantar ramai pelajarnya ke Malaysia. Apakah mereka sepenuhnya dibiaya. Nigeria menghantar ribuan pelajarnya di Malaysia. Apakah mereka sepenuhnya dibiaya. Thailand dan Singapura membenarkan pelajarnya belajar di Malaysia. Apakah mereka dibiaya. Jawabnya tidak. Malaysia mampu menghantar pelajarnya keluar negara dan sebahagian besar pelajarnya dibiaya. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan kewangan menghantar mereka ke seluruh dunia. Bahasa orang beradab dan beretika ialah terima kasih. Terima kasih harus membimbing para pelajar untuk mengkaji mengenai kedudukan ekonomi Malaysia, simpanan negara yang banyak, kadar kemiskinan yang semakin menurun, program menyantuni kelompok miskin yang semakin agresif, penubuhan institusi pendidikan dan kewangan Islam yang banyak adalah gambaran Malaysia yang maju dan makmur. Ia terjadi bukan kerana sumbangan pembangkang yang lebih banyak mengkritik daripada memberi pandangan membina. Ada dua faktor yang menyebabkan kerajaan Barisan Nasional mampu bertahan dan UMNO sebagai tunggaknya. Pertama jejak rekod pencapaian BN menjadi bukti nyata bagaimana Malaysia melalui proses teransformasi. Kedua, wujudnya resam kesinambungan (continuity) yang bakal meletakkan Malaysia sebagai negara maju, aman dan stabil. Malangnya politik penentangan semata-mata kerana dendam dan benci menyebabkan sesetengah para pelajar, ahli akademik dan golongan profesional tidak dapat memahami realiti pencapaian Malaysia lalu terpengaruh dengan persepsi luar yang didukung oleh fahaman hak asasi Barat yang tidak bertunjangkan agama dan etika Islami. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |