Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Jagung 329 Mutiara RM7,000 sebulan
- 5 ahli sindiket gores, menang ditahan
- Penguatkuasaan bestari lindungi hak pengguna
Jagung 329 Mutiara RM7,000 sebulan Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT Oleh Nursuraya Zulkifli Nor Azmi Idris (kanan) menerangkan keistimewaan jagung 329 Mutiara kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Rim, Datuk Ghazale Muhamad (dua dari kiri) yang mengunjungi Projek Pertanian Jagung 329 di Kampung Chabau, Melaka, kelmarin. JASIN 27 Jun - Jagung dalam bahasa saintifiknya zea mays L, merupakan tanaman bijirin daripada keluarga Gramineae yang berasal dari benua Amerika Tengah. Ia mula diperkenalkan di Malaysia sebagai jagung manis pada awal tahun 1970-an dan kawasan-kawasan pengeluar utama jagung di Semenanjung Malaysia ialah negeri Johor, Kelantan, Pahang dan Perak. Penanaman jagung hanya dijalankan di tanah yang sesuai dan subur sahaja di antara suhu 30-35°C selain memerlukan 500-700 milimeter (mm) hujan dengan taburan serata sepanjang musim penanaman supaya hasil tongkol yang dikeluarkan adalah bergred tinggi. Bagi menghasilkan jagung yang berkualiti, penanaman jagung di tanah yang sesuai mestilah berprofil melebihi 50 sentimeter (cm) dan bersaliran baik. Selain itu, tanah yang diperlukan bagi tanaman ini mempunyai pengudaraan yang baik di samping mengandungi bahan organik melebihi 1.5 peratus. Di Kampung Chabau di sini, ibarat ungkapan 'berbudi pada tanah sudah tentu mendapat hasilnya' menyaksikan berkat kegigihan seorang anak tempatan di kampung berkenaan mula mendapat hasil apabila memanfaatkan sepenuhnya tanah terbiar yang disewanya bagi membangunkan projek pertanian. Kawasan tanah itu dilihat berpotensi untuk mengusahakan dan memperkasakan Projek Pertanian Tanaman Jagung 329 Mutiara di samping memberi peluang menjana pendapatan bulanan yang tinggi. Berbekal minat dan pengalaman yang dimiliki dalam bidang pertanian, seorang petani muda, Nor Azmi Idris, 34, mula mengusahakan tanaman bijirin itu pada awal Januari lalu di atas tanah berkeluasan empat hektar. Katanya, dia memilih untuk mengusahakan pertanian jagung berikutan tanaman jagung jenis itu mudah dijaga selain mampu mengeluarkan hasil dalam masa yang singkat. Tanaman jagung yang diusahakannya hanya memerlukan tempoh 65 hari untuk proses menuai dan tanam serta mampu memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 sebulan. Nor Azmi berkata, keistimewaan pada tongkol jagung yang dihasilkan bermutu tinggi selain saiz tongkolnya lebih segar dan enak serta tekstur rasanya yang manis dan lemak semula jadi. Dibantu tiga orang pekerja, beliau giat menjalankan kerja meracun rumput, menggemburkan tanah dan seterusnya membaja benih berkenaan sehingga memetik tongkol jagung. Bagi menjamin kualiti jagung di kawasan berkenaan, dia turut menitikberatkan penjagaan tanaman di ladangnya selain memastikan tanaman di situ bebas daripada penggunaan racun perosak. Dalam tempoh tiga bulan selepas mengusahakan tanaman jagung tersebut, nyata usaha Nor Azmi berbaloi apabila berjaya memperoleh pendapatan lebih RM20,000. Katanya, jagung yang diusahakan di kawasan itu turut diedarkan bagi jualan ladang kontrak dan jualan runcit untuk dipasarkan di seluruh Melaka ini malah di negeri-negeri yang berdekatan. Nor Azmi berkata, sebelum menanam jagung dia pernah mengusahakan pisang di kawasan yang sama, namun memandangkan penyakit yang kini menyerang tanaman itu yang sukar dikawal lalu dia membuat keputusan untuk menanam jagung. "Saya bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan seperti latihan dan tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian Jasin termasuk pembinaan sistem pengaliran serta beberapa peralatan lain untuk memajukan pengusahaan tanaman ini. "Sambutan yang diterima juga menggalakkan, selain memberi saya peluang untuk menambah pendapatan ia turut memberi peluang kepada orang lain mendapat pekerjaan di kawasan ini," katanya. Nor Azmi berkata, dia turut berhasrat untuk memperluaskan lagi kawasan tanaman itu berikutan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan seiring dengan keadaan semasa yang menggemari jagung selain harga yang ditawarkan adalah berpatutan. Katanya, dia juga berharap mendapat bantuan dari segi tanah di mana telah memohon untuk mendapatkan tanah rezab kerajaan yang terbiar di Chabau bagi menambahkan lagi kawasan pertanian. "Di sini kita juga memerlukan traktor bagi memudahkan kerja-kerja pembajakan dan sebagainya memandangkan kawasan tanaman ini yang agak luas, namun setakat ini saya tidak mampu untuk membelinya yang berharga RM100,000," katanya. Tambahnya, dia berharap agensi kerajaan yang berkaitan akan dapat membantu bagi memperluaskan lagi tanaman yang diusahakan secara komersial itu selain membuka banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di kampung itu. |
5 ahli sindiket gores, menang ditahan Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA TIGA pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri menunjukkan kad-kad yang digunakan untuk memperdayakan pelanggan di Melaka, semalam. MELAKA 27 Jun - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri menahan seramai lima ahli sindiket gores dan menang termasuk seorang wanita di sekitar Pasar Raya Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam. Pengarahnya, Muhabir Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan oleh empat pegawainya adalah hasil maklumat orang awam dan aduan yang diterima. "Kita dapati mereka menawarkan hadiah-hadiah lumayan berbentuk wang tunai, kereta, motosikal, pakej pelancongan dan barangan elektrik. "Nilai keseluruhan hadiah yang ditawarkan oleh sindiket itu kepada mangsa adalah berjumlah RM1.5 juta. "Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat diperoleh mengenai butiran syarikat termasuk nama syarikat daripada mereka yang ditahan," katanya di sini hari ini. Muhabir berkata, dalam operasi pukul 4 petang itu, kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 26 tahun dengan seorang daripadanya memegang kad pemastautin tetap (PR). "Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya. Menurut Muhabir, modus operandi yang digunakan adalah dengan menawarkan sekeping kad untuk digores kepada mangsa yang mengandungi hadiah lumayan seterusnya mengajak mereka ke pejabat untuk menuntutnya. "Bagaimanapun untuk mendapatkan hadiah itu, mangsa perlu membayar sejumlah wang tunai yang akhirnya memerangkap mereka kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak," katanya. Difahamkan, sepanjang bulan ini Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri menerima sebanyak tujuh aduan melibatkan sindiket gores dan menang dengan jumlah kerugian bernilai RM17,500. |
Penguatkuasaan bestari lindungi hak pengguna Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT Tun Hairudin Abu Bakar (dua dari kanan) menyampaikan sijil penarafan kepada pemilik premis sambil diperhatikan oleh Pengarah KPDNKK negeri, Mohd. Talal Abu Bakar (kanan) di Terminal One Shopping Centre, Seremban, kelmarin. SEREMBAN 27 Jun - Program zon perniagaan terpilih penguatkuasaan bestari anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mampu melindungi hak pengguna berteraskan undang-undang yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan dan Kepenggunaan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar berkata, program itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memantau peniaga sekali gus melindungi pengguna dari sebarang penipuan. Menurutnya, bagi tahun ini tiga lagi pasar raya sekitar negeri ini telah terpilih untuk menyertai program yang dijalankan sejak tahun lalu itu. ''Program yang dijalankan ini bertujuan melatih peniaga menjalankan perniagaan dengan lebih beretika serta mesra pelanggan selain mendapat bimbingan daripada KPDNKK. ''Paling utama, pihak berkuasa akan memantau peniaga terbabit dan sekiranya peniaga masih gagal mematuhi peraturan ditetapkan mereka boleh dikenakan tindakan," katanya di sini semalam. Beliau berkata demikian kepada media di majlis zon perniagaan terpilih penguatkuasaan bestari peringkat negeri yang diadakan di ruang legar Terminal One Shopping Centre. Tun Hairudin berkata, dengan adanya program tersebut ia dapat memastikan tindakan undang-undang dapat dijalankan dengan lebih efektif. ''Ini adalah salah satu cara bagi kerajaan membantu pengguna bagi mendapat perkhidmatan yang terbaik dan harga yang berpatutan. ''Bagi menjayakan program ini KPDNKK akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa terhadap peniaga terlibat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |