Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 500 penduduk hadapi masalah air
- Penduduk Kampung Jambu lega jambatan konkrit runtuh dibaik pulih
- Terengganu sokong program KPDNKK
500 penduduk hadapi masalah air Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI Sebahagian penduduk kampung terpaksa mengambil sumber bekalan air dari masjid berhampiran bagi kegunaan harian serta mandi di Kampung Che Latif, Kuala Besar, Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 31 Mei - Lebih 500 penduduk Kampung Che Latif, Kuala Besar di sini, kecewa kerana masih tidak dapat menikmati bekalan air sempurna walaupun Pilihan Raya Umum Ke-13 berakhir sebulan lalu dan selepas pelbagai janji dibuat kerajaan negeri sebelum ini. Ekoran masalah itu, penduduk kampung terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi semata-mata menadah air dari kawasan berhampiran termasuk masjid untuk kegunaan harian. Masalah tersebut turut memaksa mereka membeli bekalan air bersih malah ada yang terpaksa ke masjid untuk mandi. Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Che Latif, Razali Dollah, 50, berkata, masalah air itu telah berlaku sebelum pilihan raya umum lalu dan sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pihak berkenaan bagi menyelesaikannya. "Perkara ini menyebabkan penduduk di sini tiada cara lain selain mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli bekalan air bersih untuk diminum. "Ini mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat kerana air merupakan sumber asas yang cukup penting," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Che Latif di sini hari ini. Penduduk, Hanisah Yahya, 48, berkata, memunggah air dari masjid ke rumahnya setiap hari sudah menjadi rutin disebabkan bekalan air terputus sebelum pilihan raya umum lalu. "Saya perlu memunggah air dari masjid yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah sehingga empat kali sehari bagi kegunaan harian untuk memasak serta minum. "Selain masalah tersebut, keadaan yang turut mengecewakan penduduk di sini ialah kami kami tetap perlu membayar bil air walaupun kami tidak menerima bekalan air," katanya. Suri rumah, Rohaida Ibrahim, 40, pula meminta pihak berwajib menyelesaikan masalah itu segera bagi memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan tersebut. "Sebelum ini air ada, tetapi kami tidak memperoleh bekalan secara berterusan. Biasanya kami terpaksa menadah air lebih awal untuk kegunaan esok, namun sejak akhir-akhir ini, bekalan air langsung tiada," ujarnya. Rohaida turut berharap pihak berkenaan turun padang meninjau masalah yang dihadapi mereka dan tidak hanya pandai menabur janji. "Kami sudah penat. Kasihanilah penduduk kampung, sampai bila rakyat perlu menanggung penderitaan ini," katanya. |
Penduduk Kampung Jambu lega jambatan konkrit runtuh dibaik pulih Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT Yaacob Daud (kanan) bersama seorang penduduk kampung melihat jambatan konkrit Sungai Baung yang runtuh sejak dua bulan lalu dibaiki di Kampung Jambu, Pengkalan Chepa, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 31 Mei - Hampir 4,000 penduduk Kampung Jambu, Pengkalan Chepa di sini kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan konkrit di Sungai Baung yang runtuh sejak dua bulan lalu sedang dibaik pulih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Projek membaik pulih jambatan itu dibuat susulan daripada laporan media massa sebelum ini mengenai perkara tersebut yang menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat. Jambatan yang telah digunakan sejak 20 tahun lalu itu merupakan laluan utama serta jalan alternatif untuk penduduk tempatan ke Pengkalan Chepa di sini. Seorang penduduk, Yaacob Daud, 73, bersyukur dengan projek membaik pulih jambatan tersebut yang akan memudahkan penduduk setempat menjalankan aktiviti seharian selain ia dapat bertahan untuk jangka masa yang lebih panjang. "Saya berharap penduduk di sini sama-sama menjaga dan mengunakan jambatan ini sebaik yang mungkin untuk keselesaan bersama," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Seorang lagi penduduk, Shamsul Abdul Ghani, 44, turut meluahkan rasa gembira kerana jambatan yang selalu digunakan oleh penduduk setempat untuk pergi bekerja serta menghantar anak-anak ke sekolah berhampiran, akan dapat digunakan tidak lama lagi. "Setelah ia siap dibaiki sepenuhnya, masalah kesesakan akan dapat dikurangkan dan penduduk di sini tidak perlu lagi menggunakan jalan lain yang lebih jauh," katanya. Sementara itu, jurutera JPS Kota Bharu, Tengku Zamri Zainal Abidin berkata, jambatan tersebut hanya dapat digunakan oleh kenderaan yang membawa muatan tidak melebihi lima tan dan amaran telah diberikan kepada penduduk setempat supaya mematuhi arahan tersebut. Menurutnya, JPS Kota Bharu juga telah melantik kontraktor bagi melaksanakan projek membaik pulih jambatan itu dengan kos RM215,000. "JPS ada menerima beberapa aduan berhubung kenderaan berat yang masih menggunakan jambatan ini sehingga menyebabkan kerosakan sedangkan jambatan ini hanya untuk kenderaan ringan. "Sebelum jambatan ini mengalami kerosakan, kita sudah memacak papan tanda amaran berhubung had muatan tidak melebihi lima tan, namun pemandu lori tidak menghiraukan amaran tersebut sehingga kami mendapati papan tanda telah tercabut dan jambatan runtuh sejak Mac lalu," katanya. Beliau berkata, JPS yang prihatin terhadap masalah penduduk telah memulakan projek membaik pulih sejak 30 April lalu dan kerja-kerja dijangka siap 20 Ogos depan dengan panjang jambatan konkrit itu kira-kira 34 meter. "Jambatan ini juga telah dibesarkan kepada 3,900 milimeter berbanding sebelumnya dan lebar laluan jambatan sehala itu juga turut diperluaskan kepada 3,450 milimeter," katanya. |
Terengganu sokong program KPDNKK Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT KUALA TERENGGANU 31 Mei - Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus menyokong pelbagai program kepenggunaan yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan Terengganu sentiasa menggalakkan program seumpama itu termasuk sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 yang sedang berlangsung di Pantai Batu Buruk di sini ketika ini, selagi memberi manfaat kepada rakyat. Menurut beliau, apa sahaja program serta aktiviti yang boleh menjamin kesejahteraan pengguna akan terus diberi sokongan pada masa-masa akan datang. "Kerajaan negeri yakin program anjuran KPDNKK termasuk kemuncak sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan ini mampu memberi manfaat kepada rakyat seterusnya untuk kesejahteraan pengguna," katanya. Beliau berucap dalam majlis perasmian kemuncak sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 kali kelima di Pantai Batu Buruk, di sini semalam yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek. Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud. Ahmad seterusnya percaya KPDNKK mampu melaksana serta menunaikan tanggungjawab dalam menangani pelbagai isu kepenggunaan demi kepentingan masyarakat pengguna. Dalam pada itu, sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan selama tiga hari sehingga esok turut menyediakan pelbagai program menarik antaranya pertandingan dekorasi sayuran dan buahan segar, demo menumbuk emping (makanan tradisional) dan persembahan artis. Turut diadakan adalah persembahan peralatan tradisional, pertandingan masakan, persembahan tarian jalanan, kuiz pengguna, 'telematch pengguna', program memancing, pertandingan consumer walk hunt dan consumer beach soccer yang disertai artis terkenal tanah air serta acara lelongan barangan artis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |