{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


23,477 peluang kerja sektor industri

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh RADHUAN HUSSAIN dan MOHD ISWAN SHAFIQ ISA
pengarang@utusan.com.my

Tengku Putera

KUALA TERENGGANU 18 Jun - Kerancakan sektor perindustrian sejak Barisan Nasional (BN) kembali menerajui kerajaan negeri ini pada 2008 membantu menyediakan sebanyak 23,477 peluang pekerjaan kepada rakyat sehingga Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), jumlah itu juga menyaksikan perbezaan ketara berbanding era pemerintahan Pas.

Katanya, sebanyak 8,887 peluang pekerjaan dicatatkan sepanjang sepenggal pemerintah Pas di negeri ini dari 1999 hingga 2004.

"Kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan 19 buah industri baharu di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman yang turut menyediakan hampir 4,000 peluang pekerjaan," katanya.

Tengku Putera (BN-Kuala Berang) menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan lisan daripada Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Puteh) dalam persidangan Penggal Pertama DUN Terengganu Ke-13 di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyegerakan selain mempermudahkan proses mendapatkan tapak industri yang dimohon syarikat terlibat untuk kepentingan rakyat Terengganu.

Jelasnya, ia termasuk menetapkan beberapa prosedur yang perlu diikuti dalam usaha meluluskan tapak industri itu seperti syarat di segi keluasan kawasan untuk pembinaan premis seumpama itu.

"Kalau tidak melebihi 10 hektar, kelulusan akan lebih cepat selain diberikan taklimat serta diperakui oleh mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Selepas itu ia dipanjangkan untuk perhatian Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum diserahkan kepada Menteri Besar," ujarnya.

Selain itu, Tengku Putera berkata, kerajaan negeri menerusi UPEN akan menyediakan pusat sehenti bagi memenuhi hasrat para pelabur membuat pelaburan di negeri ini.

Beliau turut mengakui tarikan pelabur bergantung kepada infrastruktur selain sumber manusia dan bagi memenuhi keperluan itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir terlatih di kalangan rakyat negeri ini.

Pusat belanja RM40 juta naik taraf LTSIP

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Mustapa

KOTA BHARU 18 Jun - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyokong hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk meminta Kerajaan Pusat supaya memanjangkan lagi landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) bagi memastikan landasan itu mencapai taraf lapangan terbang antarabangsa.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata, Kerajaan Pusat sejak beberapa tahun lalu telah membelanjakan lebih RM40 juta untuk menaik taraf lapangan terbang itu agar mampu digunakan oleh pesawat lebih besar.

"Sejak semalam ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bercakap mengenai soal meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan.

"Kami mahu katakan kami di BN juga menyokong supaya LTSIP dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa, itu jaminan daripada kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad yang menjelaskan usaha kerajaan negeri supaya LTSIP dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Hanifa ketika mengulas mengenai perkembangan proses menaik taraf LTSIP berkata, sebanyak RM45.5 juta telah dibelanjakan melalui peruntukan Kerajaan Pusat untuk menjadikan lapangan terbang itu lebih maju dapat diperluaskan capaiannya.

"Landasan LTSIP telah siap dipanjangkan pada hujung 2011 dari 1,980 meter kepada 2,400 meter dengan kos RM45.5 juta yang membolehkan pesawat lebih besar seperti Airbus dan Boeing untuk mendarat.

"Dengan usaha ini (naik taraf) membolehkan perkhidmatan terus ke beberapa negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Sekarang hanya Firefly yang melakukan penerbangan antarabangsa dari Kota Bharu ke Singapura," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan telah memberi kebenaran bermula tahun ini kepada LTSIP untuk melakukan penerbangan antarabangsa namun keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan komersial syarikat penerbangan yang ada.

"Kebenaran sudah diberikan untuk penerbangan terus antarabangsa (dua hala) dari Medan, Indonesia dan Kelantan jadi kita mahu panjangkan lagi landasan daripada 2,400 meter kepada 3,400 meter untuk membolehkan pesawat Boeing 747 mendarat.

"Kita berharap bermula tahun depan juga kita boleh melakukan penerbangan terus untuk menunaikan umrah dan haji dari LTSIP ke Jeddah, Arab Saudi tanpa perlu transit ke Kuala Terengganu atau Kuala Lumpur," tambahnya.

Yang Dipertua DUN mula diuji pembangkang

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

KUALA TERENGGANU 18 Jun - Tugas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang baharu dilantik, Mohd. Zubir Embong hari ini mulai diuji dan dicabar dengan tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang yang tidak menghiraukan arahannya dalam sidang DUN itu di sini.

Ia bermula dengan Dr. Syed Azman Syed Nawawi (Pas-Batu Buruk) yang bangkit mengemukakan usul khas mengenai kepentingan awam yang perlu dibahaskan tetapi ditolak oleh Mohd. Zubir atas alasan usul itu bukan suatu isu yang perlu disegerakan.

Keadaan itu mencetuskan suasana tegang apabila Dr. Syed Azman tetap berdegil meneruskan hujahnya walaupun beberapa kali ditegah Yang Dipertua Dewan agar mengarahkan wakil rakyat Batu Buruk itu duduk.

Tanpa mempedulikan arahan serta nasihat Mohd. Zubir, Dr. Syed Azman tetap membentangkan usulnya dan keadaan itu berlarutan hampir 10 minit sehingga mengundang beberapa anggota lain untuk bangkit mencelah.

Syed Azman ketika mengemukakan usul di bawah peraturan mesyuarat fasal 30 itu menyentuh mengenai rancangan pembinaan beberapa projek mega termasuk Pasar Kedai Payang yang baharu kerana mendakwa bakal memberi implikasi besar kepada sejarah dan pembangunan negeri.

Dalam keadaan 'riuh rendah' itu, pihak pengurusan Dewan tiada pilihan selain terpaksa mematikan alat pembesar suara dalam usaha untuk menenang keadaan namun pihak pembangkang tetap membelakangkan arahan Yang Dipertua Dewan.

Ketua Pembangkang, Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) turut bangkit memberikan hujahnya dan mempersoalkan keputusan Mohd Zubir biarpun ketika itu alat pembesar suara tidak berfungsi.

Biarpun begitu, keadaan dalam Dewan kembali tenang apabila Yang Dipertua Dewan dengan tegas mengarahkan semua Ahli Dewan agar lebih beretika, beradab serta berhemah sepanjang persidangan.

Selepas itu, Mohd. Zubir menangguhkan sesi pagi persidangan sebelum disambung semula kira-kira setengah jam kemudian untuk Ahli Dewan membahas titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.

Mohd. Zubir, 49, merupakan bekas Ketua Sektor (Pengurusan Akademik) Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan kelmarin beliau dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Negeri Terengganu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Mohd. Zubir memperoleh 35,043 undi dan tewas kepada calon Pas, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang mendapat 45,828 undi manakala seorang calon bebas, Maimun Yusuf mendapat 182 undi.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat