Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 25 Apr 2013 04:23 PM PDT Dalam masyarakat Melayu, amalan mandi bunga biasanya dikaitkan untuk membuang sial atau sesuai untuk mendapatkan jodoh. Namun, kini seiring dengan peredaran masa, mandi bunga mula mendapat perhatian dalam kalangan wanita sama ada yang sudah berumah tangga atau pasangan pengantin baru untuk kelihatan cantik, berseri dan menarik. Bukan itu saja, ia bertujuan meredakan tekanan selepas seharian bekerja, menghilangkan bau badan serta menaikkan aura. Menurut pemilik Spa Alammi, Maziana Yahya, untuk tujuan mandi bunga, Maziana menyediakan tujuh jenis bunga berlainan warna dan berbau harum kerana dari segi saintifik, warna dan bauan mempunyai tenaga yang akan bertindak balas dengan tenaga dalaman manusia. "Mandi bunga membawa banyak faedah. Ini kerana bunga dikatakan pencerap tenaga matahari yang paling baik manakala mandi dengan air bercampur bunga membolehkan kita mendapat kebaikan sama ada dari segi aura dan tenaga yang diserap dan diproses oleh bunga," ujarnya. MANDI bunga baik untuk kesegaran badan. PINTU masuk Spa Alammi yang mendamaikan. RUANG untuk melakukan rawatan. URUTAN badan untuk wanita dilakukan ahli terapi terlatih. URUTAN untuk lelaki turut disediakan.
"Biasanya semua jenis bunga ini saya rendam semalaman dan diembunkan terlebih dulu bagi menjadikannya lebih harum. Kemudian rendaman ini saya campurkan bersama air di dalam bekas mandian bersama campuran bunga segar yang lain. Bagi membuang kotoran dan membuka pori kulit, saya campurkan dengan limau purut untuk mendapatkan kesan lebih menyerlah," katanya. Menyedari keperluan pengantin yang semakin meningkat, dia akui kini mandi bunga diperbaharui mengikut cara moden di kebanyakan salun kecantikan. Ini kerana rata-rata wanita terikat dengan tugasan dan sibuk sepanjang hari di pejabat. Jadi dengan mengunjungi spa dan mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, mereka berpeluang memanjakan diri dengan rawatan lain seperti mandi susu, lulur, urut, penyental badan dan sauna yang mempunyai keistimewaannya. "Di Spa Alammi kami menyediakan perkhidmatan mandi bunga bukan saja khusus untuk bakal pengantin, tetapi kepada suri rumah, wanita bekerja yang ingin mengembalikan kesegaran serta meningkatkan keceriaan. Walaupun boleh melakukan sendiri di rumah, layanan diberikan di salun nyata berlainan dan pelanggan berpeluang merasai perbezaan bergantung kepada keperluan," katanya yang memulakan operasi spa di Hotel Concorde, Shah Alam, sejak 2011 lalu. Selepas mandi bunga, Maziana menggalakkan bakal pengantin melakukan mandi susu, sauna dan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah. Selain itu, kulit menjadi lebih lembut dan segar kerana pori lebih terbuka. Sebaiknya rawatan dilakukan tiga bulan sebelum melangsungkan perkahwinan dan seeloknya sekali setiap bulan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan. Menariknya Maziana menggunakan produk Tanamera dengan 100 peratus bahan semula jadi diperbuat daripada kelapa, daun pandan dan beras pulut yang terbukti mampu memulihkan keceriaan kulit. Untuk wanita juga disediakan pakej selepas bersalin dengan rawatan berurut dan bertungku sebalik saja melahirkan anak atau selepas melepasi tempoh berpantang. Spa yang dikongsi bersama E'zham Dhani turut menyediakan rawatan untuk bakal pengantin lelaki di dalam bilik berbeza. Ini disebabkan permintaan daripada pengunjung hotel yang ingin mendapatkan rawatan urutan badan. "Ramai beranggapan cantik itu hanya menjurus untuk wanita, tetapi sebenarnya tidak. Apa yang disediakan di spa bukanlah untuk kecantikan semata-mata, tetapi lebih kepada kesihatan badan. Dengan mendapatkan urutan aromaterapi, ia dapat menenangkan badan dan fikiran terutama selepas seharian bekerja. "Bagi bakal pengantin lelaki pula, spa ini menyediakan perkhidmatan bertungku menggunakan batu panas diletakkan daun mengkudu, kunyit dan limau purut. Tungku dituam pada seluruh badan bagi melancarkan peredaran badan," kata E'zham yang menyediakan empat terapi untuk pelanggan lelaki dan tiga terapi untuk wanita. E'zham yang sebelum ini membuka spa sendiri di rumah mengakui banyak menerima permintaan daripada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, sauna dan urutan badan. Oleh itu, dia mengambil keputusan membuka spa di Sooka Sentral pada 2008 khusus untuk lelaki dan wanita. Dengan mengambil ahli terapi berpengalaman, pelanggan boleh memilih jenis urutan diinginkan sama ada cara tradisional, Bali atau aromaterapi. "Selain perkhidmatan spa, saya juga berhasrat membuka akademi untuk mengajar kepelbagaian jenis urutan bagi melahirkan ahli terapi terlatih di seluruh negara. Tujuan utama adalah membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan supaya membabitkan diri dalam bidang spa dan kecantikan kerana ia memberi peluang yang cerah terutama kepada lelaki disebabkan terapi dalam kalangan kaum Adam tidak ramai," katanya yang akan mengetengahkan latihan cara Islam. Spa yang dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 11 pagi hingga 8.30 malam itu menyediakan harga terendah daripada RM120 sehingga RM600 bergantung kepada pakej disediakan. Selain ahli terapi terlatih, susun atur serta persekitaran mendamaikan dengan dekorasi alam menjadikan setiap pelanggan berasa damai ketika melakukan rawatan. Berkonsepkan tradisional dengan penggunaan kayu, buluh dan atap, ia memberikan ketenangan berganda kepada pelanggan. Begitu juga dengan muzik latar serta haruman daun serai wangi menambah kesegaran tatkala mendapatkan rawatan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi Hotel Concorde, Shah Alam yang terletak di aras tiga. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24 |
Posted: 24 Apr 2013 08:13 AM PDT Hampir setiap hari bermula jam 6 pagi, Nicole Wong Siaw Ting, 33, yang ketika itu sedang sarat mengandung berada celah pasar pagi di kawasan Seputeh bagi memberikan khidmat kepada masyarakat. Dengan tangan memegang sebakul oren, dia bergerak dari satu meja ke meja memberikan buah oren kepada pengunjung. Di setiap lokasi dikunjungi, dia bertanya khabar sambil mendengar luahan hati mereka mengenai sebarang masalah. Pada mulanya walaupun reaksi diterima amat mengecewakan kerana masih ramai belum mengenali dirinya, Wong tidak berputus asa dan terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat setempat dengan memperkenalkan diri dan berjanji menyelesaikan masalah mereka. Selepas menyelesaikan tugasan di pasar, di bergerak ke kedai kopi dan kopitiam yang terletak di kawasan sama sambil duduk semeja dengan penduduk terutama golongan tua. Dia berbual dari meja ke meja untuk mengetahui apa yang tersirat di hati mereka.
"Suasana waktu pagi biasanya lebih meriah dan santai. Jadi saya mengambil peluang berbual dengan pengunjung kedai kopi kerana mereka lebih jujur dan ikhlas berbicara. Biasanya, tauke kedai kopi memberi satu ruang kepada saya menjalankan tugas, jika tidak kami mendirikan khemah mini sama ada di bawah pokok berdekatan medan selera atau di pasar pagi," katanya. Selepas enam bulan berkhidmat di kios bergerak, akhirnya Wong membuka pusat perkhidmatan Nicole Wong Work Station dengan menyewa rumah teres di Taman Gembira berikutan kemahuan penduduk inginkan lokasi tetap bagi mereka mendapatkan bantuan. "Mujur ada rakan menawarkan rumah untuk dijadikan pusat perkhidmatan dan di sinilah saya bersama kaki tangan menjalankan semua urusan khidmat kepada orang ramai," katanya. Malah sejak beroperasi, pusat khidmat ini menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada untuk meminta bantuan, membuat aduan dan ada memberi sokongan kepadanya. Dalam usaha memperoleh kepercayaan penduduk sebagai calon BN, Wong mengakui banyak rintangan dihadapi terutama ketika menjalankan tugas apatah lagi banyak aduan tidak dapat diselesaikan ahli parlimen mereka sekarang. "Setiap kali berkunjung ke kedai kopi, saya sering mendengar rungutan daripada masyarakat bahawa ahli parlimen tidak menghiraukan masalah mereka. Apa yang saya lakukan adalah cuba menyelesaikan setiap masalah sedikit demi sedikit," katanya. Setiap kali masalah penduduk diselesaikan, dia berasa begitu puas kerana segala usahanya berbaloi. Tambahan pula apabila menerima ucapan terima kasih daripada masyarakat setempat. Sebagai calon BN, Wong akui tugasnya lebih berat kerana dia ingin menjadi wakil kepada masyarakat setempat dengan mendengar luahan hati mereka. Oleh sebab itu, tujuh manifesto yang diperkenalkan adalah apa yang diinginkan rakyat dan bukannya pembaharuan yang cuba dilakukan. "Tujuh manifesto yang dilancarkan semuanya perkara yang diinginkan masyarakat. Bagi saya ia bukan sesuatu perubahan besar yang sukar dilakukan, tetapi semuanya mengenai perkara asas yang menjadi jaminan kepada kehidupan lebih sejahtera," katanya. Menyambung warisan ayah Anak kelima dalam enam beradik ini mengakui sangat disayangi keluarga disebabkan sifatnya yang manja dan rapat dengan semua orang. Ibu bapanya memberi kebebasan kepada Wong dalam menentukan hala tuju sendiri. Dilahirkan dalam keluarga sederhana, sejak kecil Wong belajar untuk lebih berdikari. Malah, ketika di tingkatan lima dia bekerja bagi menampung perbelanjaan pengajian. Dari situ, Wong menjadi seorang yang sangat berdisiplin dan komited dalam apa juga dilakukan sehingga mampu membeli kereta dan rumah hasil titik peluhnya sendiri. "Saya akui peribadi banyak dibentuk daripada didikan keluarga yang mementingkan disiplin dan usaha bersungguh-sungguh. Oleh kerana ayah adalah ahli MCA, secara tidak langsung saya turut terbabit dalam kerja politik seawal usia 21 tahun. Namun, semuanya bermula secara kecil-kecilan saja. Selepas ayah meninggal dunia pada 2006, saya menyambung warisannya dalam politik. Namun, saya tidak sangka perjalanan karier menjadi lebih kukuh kerana asalnya saya hanya sekadar suka-suka," katanya. Pada 2005, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini aktif di kawasan Kuala Lumpur sehingga dilantik sebagai Ketua Wanita MCA untuk Jalan Jelatek, Naib Pengerusi Wanita MCA Titiwangsa serta Ahli Jawatankuasa Wanita MCA Wilayah Persekutuan. Dari situ, Wong terus mengukuhkan minatnya dalam politik walaupun dulu dia hanya bertugas menyusun kerusi dan memasang bendera apabila aktiviti diadakan. Wong yang baru saja melahirkan cahaya mata kedua, Xavern Kok, 38 hari lalu kini baru saja habis tempoh berpantang mengikut masyarakat Cina. Namun, dia mengakui selepas seminggu melahirkan anak, dia sudah keluar bagi memenuhi program disediakan BN. "Oleh kerana saya melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan pada 18 Mac lalu, memang terasa sedikit perit pada bahagian perut kerana luka pembedahan masih belum pulih sepenuhnya. Namun, saya mengamalkan pantang makanan tertentu, banyak makan makanan kesihatan sama ada tradisional dan moden serta memakai stokin apabila berjalan. "Mujur saya mempunyai kaki tangan yang sangat memahami dan sentiasa menyediakan kerusi ketika berada di pasar bagi membolehkan saya duduk sementara. Mereka juga mengingatkan untuk makan apabila tiba waktu makan serta ubat-ubatan yang perlu dihabiskan," ujarnya yang memastikan tidak terlalu aktif dan banyak bergerak pada satu-satu masa. Menyedari tugasan yang kian bertambah menjelang pilihan raya, Wong mengakui terpaksa berkorban dengan meninggalkan bayi kecil dan anak pertama Xavier, 2, di bawah jagaan ibu dan suaminya, Alan Kok. Pada masa sama, Wong mempunyai sistem sokongan yang sangat kukuh iaitu keluarga kedua-dua pihak yang sangat membantu dan memberikan sokongan kepadanya. "Oleh kerana suami membuka perniagaan sendiri jadi saya menyerahkan tugasan menjaga anak kepadanya tatkala saya keluar bekerja. Ibu pula menjaga anak Sebelum keluar, Wong pasti bertemu kedua-dua anaknya, meminta kebenaran untuk meninggalkan mereka dengan nenek di rumah. "Saya pasti mencium mereka sebelum keluar bekerja, menyatakan harapan sambil menjelaskan mengapa saya meninggalkan mereka di rumah setiap hari. Saya faham sebagai ibu ia satu tugas yang berat, namun saya terpaksa berkorban demi masyarakat. "Selepas dipilih sebagai calon, ramai yang bertemu dan memberi sokongan kepada saya. Mereka berharap saya mampu melakukan perubahan. Sangat menyentuh hati apabila ada yang memeluk dan mencium saya sebagai tanda terima kasih padahal dua tahun lalu tiada siapa mengenali saya," katanya. Baginya, menjadi yang berhormat bukan setakat pangkat, apa yang penting bersama-sama mereka. Tidak boleh sombong dan sentiasa berada walau di mana saja mereka memerlukan. "Untuk PRU13 kali ini, apa yang ingin saya lakukan adalah memberi kesedaran kepada pengundi mengenai penting dan bernilainya setiap undian. Ia bukan saja memberi makna kepada diri tetapi juga penduduk setempat," jelasnya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |