Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 12 May 2013 06:58 AM PDT WATAK hubungan songsang memang tidak asing di Hollywood. Namun, tidak ramai pelakon tempatan yang berani melakonkan watak hubungan terlarang itu kerana ia belum di terima secara terbuka di kalangan masyarakat di sini. Ia sebaliknya bagi bintang muda meningkat naik, Siti Saleha yang bersedia menggalas cabaran bawa watak lesbian menerusi filem terbarunya yang juga genre aksi, seram dan thriller berjudul Tujuh arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin. Bagi pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris dan pemilik nama sebenar, Siti Saleha Mohd Baharum, 23 ini, dia terima tawaran bawa watak songsang itu kerana inginkan variasi dalam lakonannya. "Tidak terlintas untuk mencetuskan kontroversi atau cerita sensasi apabila saya terima tawaran watak sebegitu. Sebelum ini saya sering disogokkan watak baik, sebab itu saya tertarik dengan watak Tina yang dominan ini kerana ia menarik.
Bukan saja watak, Saleha terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana barisan pelakonnya yang mantap. "Barisan pelakon yang mewarnai filem ini rata-rata bintang muda meningkat naik dalam bidang hiburan seperti Johan A'sari, Aeril Zafrel dan Cristina Cempaka. "Selain itu, saya juga ingin menimba pengalaman bekerja dengan pengarah sinematografi terkenal seperti Raja Mukhriz menerusi sentuhan filem pertamanya ini. Saya tidak dapat mengulas lanjut pengalaman berlakon dalam filem ini kerana penggambaran belum dimulakan lagi," katanya. Selain filem Tujuh, Saleha baru selesai penggambaran filem pertamanya tahun ini iaitu Bikin Filem yang diterajui Bront Palarae dan Iedil Putra. Bagaimanapun, Saleha yang turut tercalon sebagai finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 mengakui dia juga lebih selektif dengan karakter, skrip, pengarah dan produksi terbabit. "Misi saya ingin pergi lebih jauh dalam bidang lakonan. Maklumlah, ada banyak lagi filem lakonan saya yang belum ditayangkan lagi kerana saya berlakon tidak putus menerima tawaran berlakon filem sebelum ini. "Baru satu saja filem lakonan saya yang sudah ditayangkan di pawagam iaitu Kerat 14 arahan Arjin Uppal bergandingan dengan aktor popular Aaron Aziz. "Ramai juga peminat suka lakonan saya dalam drama Ruby bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad terbitan MIG sebelum ini. Kini, saya juga berlakon sepenuh masa selepas menamatkan pengajian Diploma Komunikasi Massa di Kolej Inti, Subang Jaya pada November tahun lalu," katanya. Walaupun sudah enam tahun membina nama dalam bidang lakonan, Saleha tidak kisah pergi uji bakat untuk watak ditawarkan. "Saya bermula dengan drama sebelum berlakon filem. Saya percaya tidak salah untuk saya buat uji bakat sebelum berlakon dan ia untuk kebaikan kedua-dua pihak. Filem lakonannya yang belum ditayangkan ialah Balada Pencinta, Mamat Cupcake, KL Zombie. Selain itu, dia juga baru habis penggambaran Memberku Hawa untuk Red Coms. Tidak ketinggalan, Saleha turut terbabit sebagai pengacara dalam program travelog sebanyak lapan episod Projek Gila untuk TV9. Seorang lagi hos untuk program ini ialah Elfira Loy. Apa yang menarik, Saleha berpeluang melakukan kerja yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini iaitu menjadi nelayan, menangkap ayam dan sebagainya lagi. Saleha selesa solo Sudah setahun Saleha memegang status solo selepas putus cinta buat kali kedua dengan jejaka Inggeris. Sebelum ini, adik kepada vokalis Sam Bunkface ini putus cinta dengan penjaga Gol Sabah, Syed Adney Syed Hussein, tiga tahun lalu. Namun, sampai hari ini, pelakon jelita ini masih belum bertemu pengganti untuk mengisi kekosongan hatinya. Mungkinkah Saleha sangat selektif memilih teman hidup sebagaimana pemilihan karakternya dalam lakonan? "Memang saya agak selektif dalam mencari teman istimewa. Kalau saya tak minat dengan seseorang, saya akan putuskan begitu saja hubungan itu. "Buat masa ini, saya lebih selesa bergelar solo. Kawan-kawan memang adalah tapi hubungan itu tidak ada komitmen pun," katanya yang berasal dari Klang, Selangor. Apapun, kata Saleha, dia ingin fokus pada karier seninya yang semakin sebati dalam dirinya. "Biarlah fokus utama saya pada karier seni dulu kerana perjalanan saya pun masih jauh lagi," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12 |
Muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! hebat Posted: 12 May 2013 06:16 AM PDT Teater Muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 Mei lalu ternyata berjaya mengimbau semula rangkaian lagu popular dendangan penghibur legenda, Datuk Sudirman Haji Arshad selepas 20 tahun pemergiannya. Pementasan arahan pengarah terkenal Saw Teong Hin ini turut diterajui nama besar di pentas teater seperti Adibah Noor (Datin Jamilah), Shantini Venugopal (Dimple) Tony Eusoff (Tokoo) Junji Delfino (Jelita), Anding (Ilham) dan Nadia Aqilah Bajuri (Maya).
Hati pasti tersentuh dengan rangkaian 20 lagu merdu dendangan Sudirman yang digubah semula iaitu Chow Kit Road! Chow Kit Road!, Punch Card, Aku Penganggur, Aku dan Perasaanku, Kul-It!, Kerana Mata, Pertemuan Abadi, Cahaya Hidupku, Merisik Khabar, Pesta Dunia, Aku Penghiburmu, Di Dalam Sepi, Warisan, Milik Siapakah Gadis Ini, Ke Dunia Baru, Pelangi Petang dan Basikal Tua. Barangkali ada lagu Sudirman yang jarang kita dengar tetapi sebagaimana yang kita sedia maklum, Sudirman memang cukup dikenali dengan lagu-lagunya yang menggambarkan semangat patriotisme pada negara.
Walaupun namanya kurang dari segi komersial, penampilan Anding yang membawa watak Ilham, si budak Chow Kit nampaknya tidak menghampakan penonton. Selain vokalnya yang semakin baik, Anding turut berjaya menampilkan sisi gelap Ilham, anak yang derhaka kepada ibunya. Penampilan Tony yang membawa watak penagih dadah (Tokoo), Adibah Noor (watak Datin Jamilah) dan Nadia Aqilah (Maya) memang menyerlah dengan kekuatan lakonan dan vokal mereka yang hebat. Watak lain yang tidak kurang menariknya ialah Dimple (pondan) dan Jelita (pelacur tua) yang menguatkan lagi jalan cerita pementasan ini. Secara kesimpulannya, penulis melihat pementasan ini berjaya mencapai mesejnya dalam menyerapkan elemen positif pada masyarakat Chow Kit di Kuala Lumpur. Kalau adapun kekurangan yang perlu diperbaiki ialah dari segi props yang kurang menggambarkan suasana sebenar di kawasan Chow Kit yang memang kita tahu sebagai sarang pelacuran dan penagih dadah. Pihak produksi juga nampaknya tidak menggunakan ruang pentas di Panggung Sari yang besar itu dengan sebaik mungkin hingga pentas nampak agak kosong. Mungkin ia membabitkan kekangan dari segi bajet. Apapun, usaha Masakini mengangkat naskhah mengenang penghibur legenda Sudirman ini wajar dipuji kerana mementaskan satu lagi naskhah berkualiti khusus untuk penggemar teater muzikal sekali gus generasi muda dapat mengenali Alalhyarham dengan lebih dekat lagi. Pementasan ini menceritakan mengenai Ilham, anak muda yang hidup di Chow Kit membidas sekumpulan anggota persatuan kebajikan yang datang untuk membantu. Ketua persatuan itu, Datin Jamilah (Adibah Noor) kemudian menyahut cabaran untuk mengubah nasib Ilham. Bagaimanapun, Jamilah mengenakan satu syarat iaitu anggota persatuan perlu bersetuju untuk menderma bagi projek kemasyarakatannya jika dia berjaya mengubah pemuda itu. Selepas berubah, Ilham pula menyedari dia hanya diperalatkan mereka. Bagaimanapun, ia merumitkan keadaannya apabila dia jatuh cinta dengan anak Jamilah iaitu Maya. Selain jalan ceritanya, teater tersebut turut sarat dengan nyanyian dan tarian yang menggunakan lagu Sudirman. Muzikal terbitan Masa kini Theatre Company dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Pementasan hebat ini akan dipentaskan sehingga 26 Mei nanti di Panggung Sari, Istana Budaya. Harga tiket untuk menyaksikan pementasan ini berharga RM170, RM110 dan RM55. Tiket boleh dibeli di Box Office Istana Budaya, www.ticketpro.com.my. Keterangan lanjut mengenai pementasan ini sila layari www.masakinitheatre.com.my. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |