Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Advertorial: Cinta Di Enterprise Posted: 08 May 2013 11:42 AM PDT Filem 'Star Trek Into Darkness' yang bakal menemui penonton di pawagam semestinya menjanjikan pelbagai aksi yang mendebarkan. Selain pertempuran minda antara Kapten James T. Kirk dan John Harrison yang dinanti-nantikan para peminat tegar, turut menjadi tumpuan adalah hubungan romantis di antara Spock dan Uhura. Di dalam filem 'Star Trek' (2009), tidak disangkal terdapatnya tarikan di antara Spock dan Uhura, dan hubungan mereka terus disingkap di dalam 'Star Trek Into Darkness'. Bagi Zachary Quinto yang membawa watak Spock, hubungannya dengan Uhura memberi penonton imbasan ke dalam jiwa insan yang separuh manusia dan separuh Vulcan itu, yang jarang didedahkan kepada sesiapa. "Terdapat satu babak di dalam 'Star Trek Into Darkness' di mana Uhura sedang menjelaskan kepada Spock mengapa dia begitu kecewa dengan kesanggupan Spock mengorbankan nyawanya. Spock pula menjawab, 'Kamu fikir saya membuat keputusan ini dengan mudah. Percayalah, ia bukan semudah itu.' Babak tersebut cukup meninggalkan kesan pada saya."
Tambah Saldana, Uhura terpikat dengan Spock kerana keperibadian mereka yang serupa. Dia juga seorang individu yang hidup mengikutkan prinsip dan peraturan. Jika Uhura dipadankan dengan Spock, bagaimana pula dengan Kirk? Jika anda masih ingat, Uhura telah menolak pelawaan romantis Kirk selepas pertemuan pertama mereka di dalam 'Star Trek'. Ini sekaligus memberi ruang kepada para penulis untuk memperkenalkan watak Pegawai Sains Carol Marcus di dalam 'Star Trek Into Darkness'. Buat peminat siri asal 'Star Trek', anda pasti mengenali Carol sebagai bakal isteri dan juga ibu kepada anak-anak Kirk. Tetapi adakah jalan cerita mereka berdua diteruskan seperti di dalam siri asal? Chris Pine bila ditanya jika Kirk sempat menjalinkan hubungan romantis dengan Carol memberitahu mtv.com, "Apa yang boleh saya katakan tentang filem ini, banyak perkara yang berlaku dari segi aksi dan plot cerita pada kadar yang begitu pantas hinggakan tidak banyak masa untuk Kirk melakukan benda-benda lain kecuali menyelamatkan krew dan dirinya. "Tetapi setia dengan jati diri Kirk, dia seorang lelaki yang menyukai wanita berambut perang dan Carol seorang jelitawan. Jadi, usikan main-main, godaan di antara mereka pasti ada. Terpulang pada penonton untuk melihat sejauh mana usikan dan godaan itu akan bawa mereka. Namun begitu, kehadiran Carol bukanlah sekadar pasangan cinta Kirk tetapi pengetahuannya dalam bidang sains memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis yang dihadapi." Jika anda ingin tahu sejauh mana perkembangan hubungan cinta Spock dan Uhura serta Kirk dan Carol, pastikan anda menyaksikan 'Star Trek Into Darkness' bermula 16 Mei depan di pawagam berdekatan anda. VIDEO: |
Posted: 08 May 2013 04:29 AM PDT Pada pandangan aktres Wan Sharmila Wan Mohamed, dunia seni tidak harus terbatas kepada satu cabang saja. Jika tuah kurang memihak dalam lakonan, dia perlu bijak masuk ke pintu lain demi perkembangan karier. Prinsip itu menjadi pegangan wanita yang mesra disapa Lala ini bagi memastikan kelangsungan hidup sebagai anak seni. Bagi Lala, untuk kekal relevan dia perlu ligat mencari peluang dan mencanai potensi dengan mempelbagaikan profil kerjaya. Ujar pelakon filem Bisikan Syaitan berusia 32 tahun ini, sekali pun perjalanan seni lakon tidak segah diharapkan, dia beruntung kerana punya beroleh kepercayaan untuk berkembang ke cabang pengacaraan. Pilihan itu katanya, alternatif terbaik yang menjadikan dia lebih berkebolehan, matang dan tajam fikiran sebagai selebriti.
Katanya, walaupun pengacaraan dan lakonan punya kriteria dan tuntutan berbeza antara satu sama lain, dia teruja mengemudi kedua-dua bidang itu serentak. "Sudah tentu lakonan dan pengacaraan dua perkara berbeza. Baik dari segi ciri-ciri dan tuntutannya memang berlainan. "Namun saya puas dan seronok dengan peluang serta pengalaman ini. Saya belajar banyak perkara baru. Jika penat dengan komitmen lakonan, saya 'lari' seketika ke pengacaraan pula," katanya yang pernah mengacarakan program Klik Klik Asia dan Dialek di RTM. Berbual lanjut, Lala berkata, bergelar pengacara memang menyeronokkan kerana dia berkesempatan melakukan rutin berbeza daripada tugas seorang pelakon. Bagaimanapun, pelakon yang berkecimpung sejak lima tahun ini mengakui dia masih bimbang dengan prestasi, kemahiran dan pengendaliannya dalam sesebuah program. "Jadi pengacara memang seronok. Ia adalah tugas yang membuatkan saya teruja dan puas kerana dapat belajar perkara baru dan paling penting, saya terdedah kepada ilmu dan pengalaman yang tidak pernah diperoleh sepanjang menjadi pelakon. "Namun saya masih mentah dalam pengacaraan dan sentiasa risau dengan prestasi kerja ketika mengacara. Cuma pengalaman yang saya dapat setakat ini tiada tolok bandingnya," katanya lagi. Tambah Lala, peluang mengembangkan karier dalam pengacaraan tidak hanya terhad pada program berbentuk dokumentari atau travelog semata-mata. Terbaru, dia mendapat kepercayaan RTM lagi untuk menerajui program berkonsepkan permainan (gameshow) iaitu Seiring Sejalan di samping pelakon Fizz Fairuz. "Tidak tahu hendak kata sama ada memang sudah rezeki atau kebolehan diri yang membuka satu demi satu peluang pengacaraan program. "Boleh dikatakan, rezeki saya pada 2013 ini bermula dengan pengacaraan dan setakat ini memang tawaran kerja lebih pada bidang ini. "Bermula dengan program dokumentari, Feri Penang pada awal tahun, selepas itu saya beralih ke set program Seiring Sejalan di samping Fizz. Ia adalah pengalaman pertama saya mengendalikan program permainan dan ternyata ia menyeronokkan," katanya. Lebih memilih watak Rancak bercerita, aura positif Lala berkongsi mengenai bidang pengacaraan itu seolah-olah pembayang dia bakal beralih bidang. Bagaimanapun, tegas Lala, jadual kerja pengacaraan yang padat bukan bermakna dia memperlahankan tempo sebagai pelakon. Cuma jelasnya, memandangkan peluang lebih berpihak pada pengacaraan, lebih baik dia manfaatkan peluang di depan mata sebaik mungkin. "Tawaran lakonan tetap ada tapi mungkin orang tidak begitu nampak. Jadi saya perlu bijak mencari peluang lain. Memandangkan waktu sekarang lebih memihak pada pengacaraan, lebih baik saya gunakan peluang itu dengan sebaik mungkin. "Kalau pun ada tawaran lakonan, saya lebih berhati-hati dalam menerimanya. Keutamaan saya sebagai pelakon sekarang adalah mencari watak yang bersesuaian. Biar sekecil mana pun komitmen dan babak tidak banyak, saya akan terima kalau wataknya menarik dan sesuai," katanya yang baru terbabit dalam penggambaran filem Kriptik. Katanya, pasang surut sebagai pelakon adalah lumrah yang sudah dipasak dalam mindanya sejak awal lagi. Justeru, saat persaingan makin sengit dengan kehadiran barisan aktres junior di pasaran, Lala akur dan menerimanya dengan hati terbuka. "Saya akur dan menerima persaingan sengit dengan hati terbuka. Perkara begini adalah lumrah. Sebelum ini, saya pun sempat raih populariti, jadi kini tiba giliran pelakon lebih muda pula. "Apa yang penting, saya terus berada dalam industri. Peluang tetap ada dan tidak putus, jadi itu sudah cukup buat saya bahagia," katanya. Mahu kahwin semula Alang-alang bersembang panjang mengenai karier, tidak sah rasanya kalau tidak mengusik anak bongsu dalam keluarga ini berhubung aspek peribadi. Rasanya semua sedia maklum status janda yang digalas wanita ini sejak tiga tahun setengah lalu. Namun, kenyataan itu tidak sedikit pun membuatkan Lala serik untuk berumah tangga semula. "Teringin (kahwin) sudah tentu. Kalau ikut hati memang hendak berkahwin semula. Saya tidak pernah fobia atau serik pun tapi tunggu sahajalah waktunya," katanya. Ditanya mengenai teman baru, Lala berkata, dia tidak pernah membataskan diri dalam berkawan dengan mana-mana lelaki. Malah, tuturnya, dia mempunyai beberapa kenalan lelaki ketika ini tetapi belum ada yang benar-benar melekat di hati. "Ada beberapa kawan lelaki yang rapat tetapi biarlah saya kenalinya dulu. Kalau hendak kata, yang istimewa belum ada lagi. "Selepas kegagalan perkahwinan lalu, saya akui perlu berhati-hati dan tidak terburu-buru. Kalau tiba masanya, insya-Allah pasti ada lelaki yang sesuai akan muncul," katanya yang kini muncul dengan filem terbaru, Bisikan Syaitan di pawagam. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |