Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
- Perkongsian jaya Rizman Ruzaini, Fiziwoo
- Busana ratu sehari Atelier Rinaldi
- Kebaikan alam semula jadi Elianto
Perkongsian jaya Rizman Ruzaini, Fiziwoo Posted: Perkongsian jaya Rizman Ruzaini, FiziwooOleh ALIF ABU BAKAR JEJAK ke menara gading di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak tidak lama dahulu telah mempertemukan dua individu kreatif dalam seni reka pakaian. Permulaan persahabatan Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil, 29, dan Rizman Nordin, 29, terjalin saat ditempatkan dalam satu kelas yang sama. Keakraban yang terjalin diteruskan sehingga ke UiTM Shah Alam, Selangor ketika kedua-duanya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen. "Mungkin disebabkan kami berdua datang dari utara dan berasal daripada keluarga susah menjadikan kami serasi. Kami duduk menyewa bersama di Shah Alam, malah hasil kerja kami ketika belajar dahulu pun mempunyai banyak persamaan," ujar Ruzaini yang berasal dari Taiping, Perak. Perancangan awal Ruzaini bukanlah untuk bergelar seorang pereka fesyen. Usai menamatkan pengajian, lelaki itu mahu menjadi pensyarah. Bayangan bagi menempa nama dalam industri seni tidak pernah diutamakan kerana kurang yakin dengan kebolehannya. Impian itu amat bertentangan dengan Rizman yang terlebih awal mengimpikan kerjaya gemilang sebagai pereka fesyen. Ekoran keserasian dalam bekerja yang ditampilkan Rizman dan Ruzaini, timbul cakap-cakap orang sekeliling yang mencadangkan mereka bergabung membentuk satu jenama fesyen. Selepas melalui pertimbangan dan perbincangan wajar, kedua-duanya bersetuju bergabung di bawah jenama Rizman Ruzaini. Busana Ziana Zain "Kami bermula pada tahun 2005 dan ketika itu masih menuntut di tahun akhir pengajian. Projek pertama kami adalah menghasilkan busana untuk Ziana Zain bagi satu majlis anugerah. Gembiranya tidak terkata ketika Ziana berani mengambil risiko dan meletakkan kepercayaan kepada kami yang pada masa itu tidak dikenali sesiapa. "Alhamdulillah bermula daripada situ, perlahan-lahan hasil kerja kami mula diberi perhatian. Malah tidak lama selepas Ziana tampil dalam persalinan kami, Datuk Siti Nurhaliza menerusi pengurusnya meminta kami mereka pakaian untuk satu majlis anugerah. "Saya masih ingat kesusahan yang kami hadapi ketika itu. Berbekalkan RM150 yang dipinjamkan arwah ayah, kami berjaya menghasilkan sehelai busana yang tampak elegan dan eksklusif buat Siti Nurhaliza," singkap Ruzaini ketika ditemui Stailo di butiknya di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Kejayaan demi kejayaan ditempa duo tersebut. Antaranya ialah Anugerah Pereka Popular yang berjaya disandang Rizman Ruzaini selama tiga tahun berturut-turut. Berkat kesungguhan dan kejujuran yang dipraktikkan dalam konteks kerja mereka, nama Rizman Ruzaini hari ini mampu berdiri megah. Pelanggan-pelanggan mereka juga bukan calang-calang, malah menjadi kegemaran artis-artis wanita kelas pertama. Mungkin ramai berpendapat, apabila dua pereka kreatif bekerjasama, pasti timbul perselisihan pendapat dan pertentangan idea. Rizman dan Ruzaini tidak menolak masih ada pertelagahan idea sesama mereka, namun segalanya mampu dikawal dan diselesaikan secara bernas. DARI kiri: Ruzaini dan Rizman telah bekerjasama selama lapan tahun. 40 lakaran "Pembahagian tugas amat kami tekankan. Contohnya, apabila ada koleksi baharu hendak dikeluarkan, kami akan berbincang mengenai tema terlebih dahulu. Katalah sebanyak 20 helai pakaian diperlukan dalam koleksi tersebut, setiap daripada kami perlu menghasilkan 40 lakaran. "Proses ini mengambil masa selama sebulan sebelum kami berbincang kembali dan membentangkan idea yang telah dilakar. Kemudian, kami akan mengolah 20 helaian akhir berdasarkan 40 lakaran awal tadi," ujar Rizman yang berasal dari Bagan Ajam, Pulau Pinang. Selain daripada pembahagian kerja, Rizman dan Ruzaini turut sepakat dalam mengendalikan urusan butik, pelanggan dan selebriti. Apabila ada sesi fotografi bersama artis dan majlis-majlis tertentu, Rizman memainkan peranannya untuk turun padang bagi membawa baju dan menguruskan segala persiapan artis. Ruzaini pula lebih kepada pengurusan butik dan pekerja. Begitu juga dengan pertemuan bersama pelanggan. Kedua-dua mereka memiliki pelanggan tersendiri tetapi setiap pakaian yang direka perlu berpandukan garis panduan jenama Rizman Ruzaini. "Selama lapan tahun kami bekerja bersama dan setakat ini belum pernah timbul pertelagahan serius. Dahulu mungkin agak kritikal kerana segala perkara kami uruskan dari awal hingga akhir. Kini kami mempunyai lapan pekerja yang terlibat secara langsung dalam proses penghasilan pakaian," tambah Rizman yang mendedahkan bahawa jenama mereka bakal tampil dengan koleksi CT Scarf hasil kolaborasi bersama Siti Nurhaliza menjelang hujung tahun ini. Kejayaan pereka antarabangsa, Gianfranco Ferre dan Giorgio Armani pula menjadi sandaran pereka duo tempatan yang sedang mencipta nama, Fiziwoo berganding bahu. Meskipun Hafizi Radzi Woo, 24, dan Izree Kai Haffiz, 29, berlainan latar belakang pendidikan, kedua-duanya berjaya menggegarkan industri fesyen tanah air masa kini. Seperti Ferre yang merupakan seorang arkitek pada asalnya, begitu juga Izree yang memiliki Ijazah Seni Bina Arkitek dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Kepakaran dalam bidang seni bina memacu Izree untuk berkolaborasi dengan Hafizi yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen UiTM Shah Alam. "Pada mulanya, kami berdua hanyalah kawan baik. Ketika jenama Fiziwoo masih dikendalikan saya seorang, Izree selalu membantu saya ketika pertunjukan fesyen, memberi pendapat saat koleksi baharu dihasilkan dan mengikuti saya ke majlis-majlis fesyen. "Semenjak itu, kami mempunyai keserasian dari segi cara kerja, ideologi dan falsafah meskipun berbeza jurusan pelajaran. "Namun kecintaan terhadap fesyen mengatasi perbezaan itu dan kami percaya gabungan fesyen dan arkitek mampu menghasilkan idea rekaan yang unik," ujar Hafizi yang bergabung dengan Izree pada penghujung tahun 2011 dan membuat penampilan sulung bersama di pentas Minggu Fesyen Malaysia Antarabangsa (MIFA) pada tahun yang sama. Di bawah jenama Fiziwoo, Hafizi dan Izree menghamparkan kreativiti mereka. Skop tugas Izree lebih kepada pengurusan, pemasaran, penjenamaan, strategi dan perancangan serta promosi jenama. Sehubungan itu, tugas-tugas rekaan, kajian dan produksi produk banyak terletak di atas bahu Hafizi. HAFIZI (kiri) dan Izree (kanan) mula berkolaborasi di bawah jenama Fiziwoo pada tahun 2011. Dapat perhatian Biarpun berlainan tugasan, kesefahaman tetap diutamakan. Malah Hafizi dan Izree mengakui bekerja berdua membantu sesuatu kerja disiapkan dengan pantas. "Tolak ansur dan bersikap rasional menjadi pegangan kami saat melaksanakan tugas," dedah Izree ketika ditemui Stailo di kediaman merangkap butik Fiziwoo di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, Selangor. Kelibat dua tulang belakang Fiziwoo itu di kebanyakan acara fesyen sering mengundang perhatian. Selain respons positif pemerhati fesyen terhadap hasil kerja mereka, penampilan kemas dan hampir sedondon Hafizi dan Izree juga membuatkan orang menganggap mereka kembar. Tambah Hafizi: "Apabila bekerja berdua kami dapat mengisi kekosongan yang ada. Ia bermaksud setiap daripada kami mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Sehubungan itu, gabungan ini dapat melengkapkan kekuatan dan memperbaiki kelemahan sedia ada. "Selain itu, jenama Fiziwoo juga dapat berkembang pantas kerana pelbagai kerja mampu dijalankan secara serentak. Idea juga dapat dikongsi bersama ketika merangka sesuatu. "Sudah menjadi kebiasaan apabila hendak menghasilkan koleksi baharu, kami akan menjalankan proses perkongsian idea dan pengawalan kualiti. Ketika inilah berlaku percanggahan ideologi tetapi menerusi penapisan, kami dapat memutuskan idea yang terbaik." | |
Busana ratu sehari Atelier Rinaldi Posted: Busana ratu sehari Atelier Rinaldi
BUSANA indah beralun hamparan jemeki tampak anggun apabila disarungkan ke tubuh pengantin pada hari persandingan. Idea kreatif para pereka memberi ilham kepada mereka untuk bergaya bak seorang puteri. Pereka muda, Rico Rinaldi, 26, hadir dengan 12 koleksi istimewa buat pengantin wanita yang dinamakan sebagai Atelier Rinaldi. Dia yang terkenal dengan rekaan perincian minimalis mengambil kiasan, " I'm not a Princess not yet a Queen" bagi melatari helaian busana hari persandingan. Memandangkan ia merupakan detik bermakna buat si pengantin, Rico berpendapat, mereka selayaknya menyarungkan persalinan yang tidak terlalu ringkas, tetapi perlu menghindar rekaan yang sarat dan berlebihan. Melalui koleksi baharu tersebut, pemenang Piala Seri Endon 2009 itu memberi impak mewah dalam fasa terkini. Graduan Seni Rekaan Fesyen dan Peruncitan, Universiti Limkokwing itu mengambil masa satu bulan setengah untuk menyiapkan rekaan yang penuh dengan nilai estetika. Garapan sentuhan berseni dapat dilihat pada setiap busana terutamanya penekanan terhadap perincian. Elemen dramatik dapat dilihat menerusi seni manik yang menghiasi 12 busana tersebut. Setiap helaian ditaburi dengan batuan jemeki, kristal, sulaman manik dan manik akrilik bagi menimbulkan pesona mewah kepada pengantin. Berpeluang mengikuti kursus Customized Pattern Making and Fitting di London Fashion School of Art meninggalkan signaturnya menerusi koleksi ratu sehari kali ini. Rekaan yang mempunyai bentuk baju ringkas dan mudah digayakan ini banyak menggunakan fabrik sifon, renda perancis, satin pengantin, krep sutera dan satin sutera. Masih menerapkan percikan unsur kemelayuan, baju kurung dan kebaya adalah antara rekaan yang diberi suntikan modenisasi dalam koleksi terbaharu tersebut.- HAFIZ AHMAD. | |
Kebaikan alam semula jadi Elianto Posted: Kebaikan alam semula jadi EliantoTUMBUHAN semula jadi seperti sand lily menjadi ramuan utama produk Elianto. KULIT yang mengalami proses penuaan akibat terlalu kerap terdedah kepada sinaran cahaya matahari cenderung menghasilkan bintik-bintik hitam. Tekanan pula membuatkan kulit kelihatan tidak bermaya dan kusam. Kajian yang dijalankan oleh syarikat kosmetik, Elianto, telah menemui kebaikan daripada alam semula jadi iaitu sand lily. Ia berupaya mengurangkan kesan tekanan pada kulit, menghilangkan bintik-bintik hitam dan mencegah pigmentasi. Melalui penemuan itu, terhasil rangkaian produk kecantikan terbaharu yang dinamakan Lumino White. Dirumus dan dihasilkan di Switzerland, rangkaian produk Lumino White menggunakan dua ramuan aktif utama iaitu sand lily dan Vitamin PP untuk mengurangkan bintik-bintik hitam dengan berkesan serta mencegah pigmentasi. Antara produk yang terdapat dalam rangkaian tersebut ialah Pembersih Muka Lumino White, penyegar, pati intensif, pelindung UV SPF20 dan krim malam. Wajah bersinar Pembersih muka Lumino White berfungsi menanggalkan mekap, kotoran dan minyak berlebihan selain membuka pori-pori yang tersumbat. Ia menjadikan kulit wajah lebih bersih dan cerah bersinar. Sand lily berupaya mengurangkan bintik-bintik hitam serta memperbaiki tona kulit tidak sekata. Pada masa sama Vitamin PP membantu membersihkan kulit dan mengecutkan saiz bintik-bintik pigmentasi. Selepas membersihkan wajah, aplikasikan penggunaan penyegar kerana ia dapat mengembalikan kelembapan kulit. Penyegar Lumino White tanpa alkohol yang diperkaya dengan air bunga jagung organik dapat mengoptimumkan proses pembaharuan sel. Aloe vera yang terkandung dalam produk itu berfungsi memberi keselesaan dan melembapkan kulit. Pati Intensif Lumino White mempunyai kepadatan yang ringan mampu bertindak dari dalam untuk meningkatkan kesegaran kulit.
Di samping itu, ia dapat menghentikan pembentukan melanin dan mencegah pigmentasi kepada kulit wajah. Produk itu juga menentang kesan tekanan dialami pada waktu siang menerusi kebaikan Pro-Vitamin B5 yang mengandungi bahan antioksida bagi melindungi dan melembutkan kulit. Sinaran cahaya matahari boleh menyebabkan berlakunya beberapa kerosakan kepada kulit wajah. Amalan menggunakan produk pelindung dapat membantu mengurangkan kesan pigmentasi dan kerengsaan pada wajah. Pelindung UV SPF20 Lumino White melindungi kulit dengan spektrum UVA/UVB yang luas dan ramuan penghalang cahaya matahari. Ia mengandungi agen penghalang kedutan bagi meningkatkan penghasilan kolagen dan melambatkan proses penuaan. Sifat antimikrobial pada Caprylyl Glycol dan tindakan antipigmentasi oleh Pro-Vitamin B5 membantu melindungi kulit daripada penuaan pramatang, menghalang pigmentasi dan menjadikan kulit semakin cerah bersinar. Waktu tidur merupakan tempoh masa terbaik untuk membaiki sel-sel kulit yang rosak. Gunakan krim malam Lumino White yang dapat mencegah penghasilan melanin berlebihan dan melembapkan kulit dengan berkesan. Ia mencerahkan kulit secara menyeluruh dan sekata serta mengurangkan bintik-bintik gelap. Minyak Almond yang ada dalam produk ini mampu melembutkan dan membekalkan khasiat untuk kulit sepanjang hari. Selain itu, Shea Butter berfungsi melambatkan proses penuaan. Ciri-ciri antioksida dalam Vitamin E pula melindungi kulit daripada sinaran UV sementara pencerah kulit ekstrak tumbuhan Alpine berupaya mengecutkan dan mengurangkan pigmentasi semasa tidur. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |