Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Berlapang adad terima keputusan Posted: Berlapang adad terima keputusan
PILIHAN raya sudah berakhir. Tahniah diucapkan kepada calon yang berjaya dan kepada mereka yang gagal, ini bukanlah titik noktah untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Politik selalu menjadi seni yang tidak terduga. Ada personaliti politik yang dianggap bakal menang besar, sebaliknya kalah teruk. Ada pula calon tidak ternama, tetapi mampu memenangi hati pengundi. Ia adalah keajaiban politik. Bagaimanapun, sama ada menang atau kalah, semua pihak mestilah menerima hakikat. Proses demokrasi telah kita laksanakan. Jika ada kekurangan, kita boleh memperbaikinya pada masa hadapan. Sekarang adalah masa untuk semua pihak bersama-sama bekerja bagi memajukan negara. Kita tidak boleh membiarkan politik menguasai diri setiap hari, sehinggakan ia hanya berakhir dengan pertikaian yang merugikan kita semua. Walaupun ada segelintir pihak berpandangan bahawa mereka sepatutnya menang dengan melihat kepada beberapa petunjuk, tetapi ia tidaklah selalunya benar. Sekalipun ada parti yang mungkin telah merangka manifesto terbaik, tetapi itu tidaklah bermakna bahawa ia menjadi isyarat untuk mendapat sokongan. Ia bergantung kepada 'apa dan siapa' yang menilai manifesto dan tawaran tersebut. Inilah yang cuba ditunjukkan oleh Abraham Maslow apabila memperkenalkan teori Hierarchical of Human Needs. Orang yang berpendapatan rendah misalnya, mereka memerlukan taraf hidup mereka meningkat dan mungkin mengabaikan segala janji berkaitan dengan tahap yang lebih tinggi seperti keadilan sosial dan hak bersuara. Mereka akan hanya mempertimbangkan kehendak yang relevan dengan diri mereka. Sesetengah pihak yang lain, sekalipun ditawarkan dengan bantuan dan pertolongan, tidak semestinya akan memberikan undi mereka. Golongan pertengahan dan berpendidikan tinggi misalnya, mereka melihat sesuatu yang lebih tinggi, misalnya pengurangan kadar jenayah, kualiti pekerjaan yang lebih baik, pengangkutan awam yang selesa dan sebagainya. Semua ini menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai kehendak yang berbeza-beza. Sebab itu, pada akhirnya politik hanyalah sekadar apa yang dipersepsikan oleh ahli masyarakat. SETIAP pengundi mempunyai calon pilihannya sendiri. - Gambar hiasan. Hasutan Bagi sesetengah individu, dapat bersalaman dengan calon sudah dianggap sebagai hadiah terbesar yang menyebabkan mereka mengundi seseorang calon. Ini belum termasuk dengan hakikat bahawa manusia itu pula mempunyai ciri personaliti yang pelbagai. Ada orang yang hari ini menyokong parti tertentu, keesokan harinya boleh menjadi penyokong kepada parti yang lain. Ada pula individu yang tidak bakal berubah dan menerima pandangan pihak lain sekalipun didedahkan dengan pelbagai ceramah dan kempen. Semua ini adalah ciri istimewa manusia yang menjadikan politik itu sendiri adalah sesuatu yang sukar diramal. Sebagai orang awam pula, kita tidak boleh selamanya menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang untuk mereka bekerjasama dan bersatu padu. Politik hanyalah sekadar satu cara untuk memilih pemimpin dan pada akhirnya seseorang pemimpin itu dipilih berdasarkan suara majoriti. Ada calon yang mungkin menjadi pilihan kita, tidak semestinya pilihan untuk orang lain. Sebab itulah semua pihak perlu menerima apa yang diputuskan oleh suara terbanyak. Mutakhir ini, ada pula agenda untuk pihak-pihak tertentu cuba mencetuskan kegelisahan orang ramai dengan cuba mempertikai keputusan pilihan raya. Usaha ini pula kemudiannya dipromosi melalui medium online dan khidmat pesanan ringkas. TINDAKAN memprotes keputusan pilihan raya oleh penyokong parti yang kalah disifatkan tindakan kurang bijak dan tidak beradab. - Gambar hiasan. Harus diingat, ia bukanlah cara terbaik, bahkan mungkin mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat. Secara psikologi, manusia yang kecewa ada kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang tidak diingini termasuklah rusuhan, malah perkara yang bertentangan dengan lunas undang-undang. Bayangkan sekiranya setiap pihak yang kalah menggunakan pendekatan yang sama untuk menyuarakan rasa tidak puas hati? Kekalahan tidak hanya diterima oleh calon daripada parti-parti tertentu, tetapi ia melibatkan setiap parti. Ada parti-parti tertentu yang menang di sesebuah negeri, tetapi tidak di negeri lain. Ada mereka yang sudah beberapa penggal menjadi ahli Parlimen, tetapi kalah pula dalam pilihan raya kali ini. Sudah tentulah, sebagai pemimpin politik, setiap orang ada pengaruh dan pengikutnya yang mungkin menjangkau puluhan ribu orang. Jika setiap kali kekalahan berlaku, ada demonstrasi dan pengikut dihasut untuk memprotes, ia pada akhirnya hanya akan menjejaskan proses demokrasi. Rakyat pada akhirnya hanya akan terjebak dengan pelbagai isu politik yang tidak berkesudahan dan perlu untuk terus menghadapi kehidupan sepanjang empat atau lima tahun lagi dengan rasa kecewa dan putus asa. Percayalah, tidak ada satu sistem demokrasi pun di dunia ini mampu melunaskan impian setiap orang kerana setiap manusia itu berbeza dan ada keunikannya yang tersendiri. Bagaimanapun, dengan mengikut suara majoriti, itulah yang terbaik untuk kita semua. Pilihan raya sudah berakhir. Inilah masanya untuk kita semua bekerja demi negara. Bersatulah! | |
Rendahkan kolesterol dengan bran oat Posted: Rendahkan kolesterol dengan bran oatHENRIK SCHMIDT (dua dari kiri) dan Daniel (tengah) menunjukkan Kordel's Active Oat 35 yang sudah berada di pasaran. UMUMNYA, ramai yang mengetahui bahawa bijirin atau sering dipanggil oat mampu mengurangkan kadar kolesterol. Walau bagaimanapun, ramai tidak mengetahui bahawa untuk mendapatkan keputusan yang sepenuhnya, seseorang perlu mengambil sekurang-kurangnya tiga mangkuk mil oat (oatmeal) sehari, selama 60 hari berturut-turut. Mustahil bukan? Sekarang tidak lagi! Dengan adanya Active Oat 35 keluaran Kordel's, anda hanya perlukan dua sudu penuh serbuk bran oat Active Oat 35 untuk mendapatkan khasiat oat sepenuhnya dengan pengurangan kolesterol di dalam tubuh badan. Mil oat dan bran oat dibezakan melalui teknik pemprosesan gandum sebelum menjadi bijirin. Kadar kolesterol yang tinggi dalam kalangan masyarakat meningkat hampir dikebanyakan negara membangun dan maju. Pada tahun 2011, bancian Kaji Selidik Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan peningkatan kadar kolesterol tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu daripada 20.7 peratus pada tahun 2006 kepada 35.1 peratus pada tahun 2011 iaitu kira-kira 10 juta individu atau satu pertiga daripada jumlah rakyat Malaysia hari ini. Statistik yang membimbangkan itu telah membawa Kordel's melancarkan misi untuk membantu rakyat Malaysia mengekalkan kadar kolesterol yang rendah melalui pengambilan oat yang bukan sahaja mudah dan enak untuk dimakan. Active Oat 35 keluaran Kordel's dihasilkan daripada oat yang bermutu tinggi. Elemen Beta-Glukan yang diekstrak daripada oat telah melalui proses penyaringan bebas bahan kimia dan bebas etanol di Sweden sebelum ia diproses kepada serbuk mudah larut. Proses tersebut menukarkan keperluan tiga mangkuk mil oat untuk menikmati khasiatnya kepada hanya dua sudu sahaja. "Khasiat dan kebaikan oat telah lama diyakini. Walaupun begitu, kami di Kordel's Malaysia menyedari bahawa oat bukan menjadi pilihan diet seseorang disebabkan oleh beberapa faktor termasuk rasanya yang hambar, kurang masa untuk menyediakannya dan juga rupa bentuk yang kurang menarik. "Menyedari hakikat ini, Active Oat 35 dirumus khas bagi memenuhi kehendak pengguna yang sentiasa sibuk dengan aktiviti seharian dan kami juga yakin bahawa produk ini mampu mengubah persepsi orang ramai mengenai oat," kata Pengarah, Cambert Sdn. Bhd., Daniel Zuelling yang merupakan pengimport dan pengedar produk berasaskan kesihatan Kordel's di Malaysia. DINO membuat demonstrasi hidangan yang menggunakan Active Oat 35. Beta-Glukan adalah satu bahan 'ajaib' yang terkandung di dalam oat dan mampu mengurangkan kadar kolesterol di dalam badan. Ia terdiri daripada serat yang mudah larut. Beta-Glukan larut dalam saluran pemakanan, ia akan menghasilkan lapisan seakan-akan agar-agar (gel) yang bertindak mengumpulkan kolesterol berlebihan bersama-sama bahan seakan-akan kolesterol. "Bukan semua oat sama. Kedua-dua oat iaitu bran oat dan mil oat mempunyai persamaan dari segi khasiat. "Namun dari segi nutrien, bran oat adalah lebih baik berbanding mil oat. Proses untuk mendapatkan khasiat dan nutrien yang baik daripada oat adalah bukan satu proses yang sukar jika kita benar-benar mengetahui akan kebaikan oat," kata Henrik Schmidt, Ketua Pegawai Eksekutif Biovelop International AB iaitu syarikat yang bertanggungjawab terhadap teknologi yang digunakan oleh Active Oat 35. Pakar pemakanan selebriti, Dino Goh telah menunjukkan kepelbagaian pengambilan Active Oat 35 melalui demonstrasi resipi berasaskan oat yang boleh disediakan di rumah. "Disebabkan rutin seharian yang memerlukan semua orang bergerak pantas, mereka semua mementingkan produk kesihatan yang senang disediakan. "Untuk menjadi individu yang kuat, serbuk bran oat yang berkualiti seperti Active Oat 35 amat diperlukan sebagai sebahagian daripada diet seharian," katanya. Ujarnya, bagi mengelakkan rasa hambar oat dan menjadikannya lebih berkhasiat, seseorang itu boleh menggunakan oat di dalam makanan dan juga minuman. Active Oat 35 sekarang boleh didapati di seluruh farmasi terkemuka di seluruh Malaysia pada harga RM65. | |
Posted: Berzakat menyucikan hartaAMALAN berzakat penting kerana ia bukan sahaja digunakan dalam membantu golongan yang memerlukan, bahkan membangunkan kehidupan umat Islam. KEHIDUPAN ini akan menjadi lebih bermakna jika nikmat dan rezeki yang dimiliki dikongsi dengan orang lain walaupun sedikit. Namun lumrah manusia, apabila memberi sesuatu, sering mengharapkan balasan yang lebih daripada apa yang diberikan. Siapa yang tidak mahu jika ditawarkan balasan yang besar seperti 'Satu dibalas 700'? Pasti ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan tawaran itu. Tawaran satu dibalas 700 itu nampak luar biasa, namun sebenarnya sudah ramai dalam kalangan kita yang merasai nikmat dan meyakini kebenaran tersebut. Pasti ramai yang menganggap tawaran satu dibalas 700 sebagai tidak logik dan mustahil kerana menawarkan pulangan yang besar. Namun menurut Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Adha Ahmad Zohdi, tiada apa yang mustahil bagi Allah kerana itu janji untuk mereka yang bersedekah dan membayar zakat. Seperti mana janji Allah dalam Ayat 261, Surah Al-Baqarah: 'Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya'. Berdasarkan maksud ayat itu, pahala orang yang bersedekah akan dilipat ganda seperti berkembangnya satu biji benih menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai ada 100 biji. Malahan Allah boleh memberi lebih daripada itu mengikut kehendak-Nya. Ini bermakna pahala sedekah bukan 10 atau 30 kali ganda, sebaliknya 700 kali ganda malahan lebih, katanya. Ia ditambah dengan hadis Nabi SAW: "Tiga perkara ini Aku khabarkan kepada kalian dan kalian peliharalah ia. Pertama, tidak kurang harta yang dikeluarkan untuk sedekah, bahkan akan bertambah," Riwayat Imam At-Tarmidzi. Ini bermakna bersedekah bukan sahaja menambah pahala, tetapi juga menambahkan harta yang mana perlu direbut dengan ikhlas oleh umat Islam. Hilangkan riak Ahmad Adha berkata, amalan berzakat perlu disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah selain menggunakan harta benda dan sumber pendapatan yang halal tanpa perasaan riak. Bagi menghindarkan daripada perasaan tersebut, pembayar digalakkan menunaikan zakat di institusi-institusi zakat berwajib kerana pembayar dan penerima tidak mengenali antara satu sama lain. Ini juga akan memudahkan anda untuk menyemak dan mentaksir tuntutan zakat yang wajib dikeluarkan. "Pastikan zakat didahulukan bagi mereka yang layak kemudian barulah diikuti dengan sedekah sunat lain seperti derma, infaq atau wakaf. Selain itu wajib juga berusaha menyelesaikan hutang-hutang zakat (qadha zakat) yang belum dijelaskan sebelum ini demi memastikan kesempurnaan Islam seseorang itu seperti mana yang terdapat dalam Rukun Islam ketiga," katanya. KAUNTER zakat yang dibuka di pusat-pusat zakat seluruh negara memudahkan umat Islam menunaikan Rukun Islam itu. PPZ-MAIWP menyediakan khidmat yang mudah bagi pembayar zakat dengan menghubungi talian 1-300-88-5757 atau www.facebook.com/myzakat untuk maklumat lanjut. Beri ketenangan Bagi Letta Tambi, 61, dia mengakui, hidupnya lebih tenang dan tidurnya juga lebih lena apabila dapat menunaikan kewajipan berzakat. Beliau yang membayar zakat emas sejak berumur 30 tahun berkata, banyak nikmat yang dirasakannya bukan sahaja rezeki yang semakin bertambah, tetapi juga nikmat kesihatan yang baik diberikan Allah. Pada usia emas itu, Letta masih lagi diberikan kudrat mencari rezeki sebagai pembersih am di sebuah syarikat swasta di Cheras. "Inilah sebahagian nikmat yang Allah bagi kepada mak cik. Masih sihat, mampu lagi bekerja mencari rezeki dan tidak meminta kepada anak dan orang lain," katanya yang kini menetap di Pudu, Kuala Lumpur. Walaupun tidak layak untuk membayar zakat pendapatan, namun beliau sentiasa bersedekah terutamanya membantu keluarga terdekat untuk berkongsi rezeki yang diperoleh. "Apa yang ada kita kongsikan bersama. Insya-Allah, hidup kita akan tenang. Tak usah takut kalau duit tak cukup ke, takut tak makan ke, sebab janji Allah jika kita bersedekah, makin diluaskan rezeki kita," katanya yang berasal dari Melaka. Rezeki yang mencukupi Bagi seorang kakitangan syarikat swasta, Syed Mazhar Syed Othman, 29, kesedaran membayar zakat timbul setelah merasakan pendapatan bulanannya sentiasa tidak cukup, malah kadangkala terpaksa meminjam daripada keluarga dan rakan-rakan. "Duit tidak pernah cukup sedangkan saya belum berumah tangga lagi. Tak tahu mana duit dihabiskan setiap bulan. Nak menyimpan jauh sekali," katanya. Ujar Syed Mazhar, melalui beberapa ceramah mengenai pentingnya membayar zakat menyedarkan dia akan tanggungjawab menyucikan harta dan pendapatan yang ada. "Saya nilai balik, mungkin ada silap di mana-mana yang menyebabkan saya lupa tunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam," katanya yang membayar zakat melalui potongan gaji bulanan sejak setahun lepas. Ujarnya, perubahan demi perubahan dapat dirasakan setelah menunaikan kewajipan itu terutamanya rezeki yang sentiasa dilapangkan. "Saya lebih pandai menguruskan kewangan, walaupun gaji tak banyak tapi sentiasa cukup. Kita harus yakin kepada Allah yang memberi rezeki dan ikhlas menunaikannya," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |