{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Feminin

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Feminin


Lembut tidak bererti lemah

Posted: 22 May 2013 12:20 AM PDT

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD NOOR

Farah amalkan minum air suam untuk kekal sihat.

ORANGNYA lemah lembut, tinggi lampai dan pandai bergaya. Tetapi siapa sangka dengan perwatakan sedemikian anak gadis ini merupakan pemegang tali pinggang hitam tahap tiga dalam sukan taekwando.

Jika dilihat daripada susuk tubuhnya serta perwatakannya sukar untuk menelah gadis kelahiran Ipoh, Perak, ini begitu aktif dalam seni mempertahankan diri pada zaman persekolahannya.

Mula menceburi sukan taekwando sejak berada di tahun satu (tujuh tahun), pemilik nama Farah Ashyikin Mahmud atau lebih selesa disapa sebagai Farah, tidak hanya sekadar mendalami ilmu mempertahankan diri, tetapi bersungguh-sungguh menjadikan sukan tersebut sebahagian daripada dirinya.

Ini terbukti apabila Farah layak mewakili negeri dan negara dalam sukan tersebut.

Menurut Farah, penglibatannya dalam sukan tersebut pada asalnya hanya sekadar untuk bekalan diro. Tetapi akhirnya tanpa diduga dia berjaya menjadikan sukan tersebut sebati dalam dirinya.

"Saya sememangnya seorang individu yang menyukai sukan lasak dan memilih taekwando untuk keperluan diri sendiri.

"Akhirnya tanpa diduga, minat yang mendalam menjadikan saya semakin mahir dalam sukan ini dan akhirnya mampu mewakili negeri seterusnya negara.

"Begitupun saya mengakui sukan ini 'sedikit' kasar tetapi mengajar kita menjadi lebih berdisiplin, lebih tumpuan dan menjadikan minda kita cergas," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun telah tiga tahun meninggalkan sukan tersebut, jelas anak kedua daripada enam beradik itu, dia sedikit pun tidak pernah lupa setiap pergerakan yang dipelajarinya kerana segala ilmu yang dipelajarinya itu dijadikan 'bekalan' ketika waktu kecemasan.

Menyokong sepenuhnya gadis-gadis dan wanita-wanita mempelajari ilmu seni mempertahankan diri, menurut Farah, tidak rugi malah memberi manfaat kepada diri.

Tidak pernah terfikir untuk menjadikan sukan tersebut sebagai satu kerjaya walaupun pernah mewakili negara, bagi Farah sudah tiba masanya dia 'menggantung' tali pinggang hitamnya.

Katanya, cukuplah ilmu yang diperoleh selama ini untuk memperkasakan diri dan secara tidak langsung menyangkal pendapat sesetengah pihak bahawa ini bukan sukan atau aktiviti sesuai untuk gadis atau wanita.

"Saya sememangnya aktif dalam sukan ini sehinggalah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selepas itu saya masih lagi aktif dengan menjadi penolong jurulatih selama enam bulan.

"Yang pasti, sukan ini bukan sahaja menjadikan saya seorang individu yang penuh dengan keyakinan diri malah secara tidak langsung membolehkan saya berbakti kepada negara apabila terpilih mewakili Malaysia pada pertandingan peringkat antarabangsa semasa tingkatan empat.

"Ternyata taekwando satu sukan yang wajar dipelajari semua anak gadis mahupun remaja serta wanita kerana dapat membantu apabila kita berada dalam kesusahan," tuturnya.

Begitupun siapa sangka daripada seorang gadis lasak ketika zaman persekolahannya dahulu, Farah rupa-rupa menyimpan cita-cita ingin menjadi seorang model terkenal.

Menjadikan beberapa model terkenal tanah air dan juga luar negara sebagai idolanya untuk terus melangkah maju dalam bidang peragaan, Farah mengakui bukan mudah untuk menempatkan diri dalam kalangan mereka yang profesional.

Walaupun kini menjadikan model sebagai kerjaya sepenuh masanya, Farah menyifatkan banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya berkaitan dengan bidang peragaan.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya di dalam bidang peragaan, Farah memberitahu bahawa sebaik sahaja tamat SPM dia tidak melengahkan masa untuk berjinak-jinak dalam bidang peragaan.

Tanpa disangka-sangka permulaan hanya sebagai model separuh masa seterusnya terpilih ke peringkat akhir Miss Talented Tesco pada tahun 2011, Miss Runway Tesco (2011), dan Miss Penang Kebaya (2012), akhirnya Farah berjaya menjadikan bidang peragaan sebagai kerjaya sepenuh masanya hari ini.

Hari ini, selain menjadi model peragaan di pentas, Farah juga laris menjadi model memperaga fesyen untuk majalah-majalah.

Bukan itu sahaja, malah dengan ketinggian 168 sentimeter yang dimilikinya itu turut melayakkannya menjadi gadis litar Petronas Cup Prix sejak tahun 2011 hingga kini.

Malah, dalam usaha menempatkan dirinya dalam kalangan model-model tempatan hari ini, Farah tidak ketinggalan mencuba nasib dalam pelbagai peraduan yang dianjurkan.

Nasib menyebelahi apabila dia memenangi tempat ketiga dalam pencarian model pewarna rambut Shurah dan menjuarai pencarian Ratu Eskayvie kategori pesona.

Hasil daripada kemenangan tersebut, Farah telah dilantik menjadi duta kedua-dua produk tersebut di mana untuk Shurah, mukanya terpampang pada kotak pewarna rambut tersebut manakala untuk produk Eskayvie, dia telah mengikat kontrak selama dua tahun.

Sememangnya ingin terus berjaya di dalam bidang diceburi, Farah kini dilihat melebarkan sayapnya dengan menceburi bidang lakonan.

"Selain bidang peragaan, saya juga meminati bidang lakonan dan untuk itu saya banyak ditawarkan untuk watak tambahan.

"Saya juga pernah ditawarkan untuk berlakon dalam satu program sketsa komedi untuk televisyen Jepun.

"Yang pasti, kini saya mengikuti kelas-kelas lakonan dalam usaha memantapkan lagi lakonan saya," tambahnya.

Dalam pada itu, pasti ramai tertanya-tanya tidakkah Farah berminat untuk melanjutkan pelajaran memandangkan dia memilih untuk bekerja sebaik sahaja tamat SPM.

Jelas Farah, sudah pasti seperti mana orang lain, dia tidak ketinggalan menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran setinggi mungkin.

Bagi Farah, dia memberi tempoh dua tahun lagi untuk dirinya dalam mempersiapkan diri melanjutkan dalam bidang akauntan.

Apabila berbicara pula mengenai kecantikan yang dimilikinya hari ini, Farah menjelaskan bahawa dia banyak melakukan senaman di samping pergi ke gim mengikuti kelas kesihatan.

Selain itu, Farah juga mengamalkan minum air masak dengan banyak dan menafikan mengambil suntikan untuk kekal kelihatan cantik.

"Diakui apabila menjebakkan diri dalam bidang peragaan, perkara pertama yang mesti dititikberatkan ialah kecantikan serta berat badan.

"Untuk itu, saya tidak mengamalkan apa jua produk untuk kurus mahupun suntikan untuk kekal cantik.

"Saya hanya mengamalkan senaman sebagai rutin harian yang wajib dilakukan dan tidak ketinggalan meminum air masak dalam kuantiti yang banyak setiap hari," kata Farah.

Kasut bentuk penampilan wanita

Posted: 22 May 2013 12:20 AM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NASIRUDDIN YAZID

Kasut bertumit tinggi menjadi pilihan wanita yang bergaya.

KASUT bukan sekadar alas kaki tetapi mampu membentuk penampilan. Postur tubuh seseorang juga bergantung kepada kasut yang dipakai.

Walaupun terletak di kaki, kasut mampu menarik perhatian orang. Pakaian yang cantik dan elegan sahaja belum mencukupi jika tidak digayakan bersama kasut yang cantik dan menarik.

Kasut pula terdiri daripada bermacam sama ada bertumit rendah, tinggi, leper, baji (wedges ), bertali, bersarung dan sebagainya.

Dalam kalangan wanita mahupun lelaki terdapat mereka yang begitu fanatik kasut sehingga akan membeli sepasang kasut pada setiap bulan.

Malah ramai juga yang memiliki berpuluh-puluh pasang kasut yang disimpan dalam almari atau bilik khas untuk pakaian dan kasut.

Setiap kasut yang dibeli mempunyai fungsinya yang tersendiri. Umpamanya kasut untuk pergi bekerja, kasut untuk berjalan-jalan, kasut untuk bercuti, kasut untuk ke majlis perkahwinan, kasut untuk ke majlis malam dan banyak lagi.

Pun demikian, kasut bertumit tinggi menjadi pilihan kebanyakan wanita bukan sahaja untuk bergaya ke pejabat tetapi juga untuk ke majlis.

Kebiasaannya untuk gaya formal, wanita akan memilih kasut yang bertumit di antara empat hingga lima inci.

Kasut bertumit tinggi memang menyerlahkan penampilan dan gaya postur yang menarik apabila berdiri dan berjalan. Langkah yang dihayun tampak seksi dan menarik perhatian orang apatah lagi dengan fesyen yang menampilkan keanggunan.

Ada pakaian yang nampak lebih cantik jika dipadankan bersama kasut bertumit tinggi seperti dres labuh, jubah, baju kurung, suit atau skirt.

Cuba anda berkasut leper atau bertumit rendah apabila menggayakan pakaian seperti di atas. Pasti langkah anda tampak tidak bergaya dan pakaian yang dipakai tidak nampak cantik.

Kasut bertumit tinggi untuk ke majlis pula biasanya lebih glamor dengan perincian seperti labuci, manik dan batu berkilat.

Koleksi kasut Arca seperti yang anda dapat lihat ini memang nampak unik dan menarik dengan perincian yang berbeza pada setiap pasang kasut.

Bertumit tinggi halus runcing empat dan lima inci, terdapat juga kasut bertumit lebar dan baji. Sama ada bersarung atau bertali, sesuaikan dengan acara dan pakaian anda.

Sesuai dipakai untuk ke majlis makan malam, perkahwinan, dipakai oleh pengantin ketika bersanding atau model semasa di pentas, setiap pasang kasut dijual pada harga di antara RM299 hingga RM359.

Terdapat saiz empat, lima dan enam namun jika anda mengkehendaki saiz lain, anda boleh membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi atau melalui Facebook Arca Butik.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat