{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Johor tiada masalah bekalan air bersih

Posted: 25 May 2013 11:48 AM PDT

LABIS 25 Mei - Johor tidak akan berdepan dengan masalah sumber air bersih sekurang-kurangnya sehingga 2060 hasil pelbagai perancangan rapi pihak bertanggungjawab walaupun bilangan sungai yang dicemari di seluruh negara meningkat setiap tahun.

Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), Mohd. Idris Kaparawi berkata, sumber air adalah mencukupi melalui langkah kawalan terhadap pencerobohan dan pencemaran di kawasan empangan

"Johor amat bertuah kerana terdapat banyak sungai yang boleh dibangunkan sebagai punca bekalan air bersih bukan sahaja untuk kegunaan sendiri malah mampu disalurkan ke Singapura dan beberapa kawasan di Negeri Sembilan.

"Namun jika kita gagal menguruskan dengan baik sumber air yang ada termasuk mengawal daripada berlakunya pencemaran, tiada sebarang jaminan kita tidak akan mengalami masalah atau krisis air," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pengurusan Sumber Air Bersepadu di Empangan Juaseh, dekat sini semalam.

Seramai 80 orang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan ketua jabatan di sekitar Labis mengikuti kursus selama dua hari yang memberi pendedahan mengenai risiko pencemaran sumber air serta langkah menanganinya.

Sepanjang kursus tersebut peserta dibawa meninjau sekitar kawasan tadahan Empangan Juaseh dan berpeluang melihat sendiri bagaimana proses merawat air di Loji Air Panas selain sesi ceramah daripada beberapa agensi seperti Syarikat Air Johor (SAJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Selain itu, katanya, peserta bukan sahaja diminta untuk mengembangkan apa yang mereka peroleh dalam kursus tersebut kepada masyarakat malah akan dijadikan sebagai mata dan telinga Bakaj terhadap sebarang aktiviti yang mencemarkan sumber air bersih yang ada.

''Peranan menjaga sumber air tidak terpikul di bahu agensi yang dipertanggungjawabkan sahaja malah semua pihak termasuk ahli masyarakat yang harus sedar kesan dan keburukan daripada kegagalan menjaga dan menguruskan sumber air dengan baik.

''Bakaj akan sentiasa menganjurkan program seumpama itu bagi memberi kefahaman serta kesedaran,'' katanya.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan kesedaran terhadap penjagaan sumber air dalam kalangan rakyat masih rendah berbanding di negara maju dan diharapkan melalui pelbagai program yang dianjurkan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai.

Tumpu usaha selenggara jalan kampung, lampu jalan - Hasni

Posted: 24 May 2013 11:56 AM PDT

Hasni Mohamed (berdiri tujuh dari kanan) bersama peserta konvoi bermotosikal Jelajah Amal Johor di Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 24 Mei - Kerajaan negeri akan menilai semua kaedah penyelenggaraan jalan-jalan kampung bagi memastikan perkara itu memenuhi prosedur ditetapkan supaya memberikan kepuasan kepada penduduk di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamed berkata, buat masa ini jaringan jalan kampung diberikan penarafan seperti baik, perlukan penyelenggaraan dan penyelenggaraan secara berkala, selain tumpuan melebar dan menambah bahu jalan.

"Ini bertujuan memberi keselesaan kepada pengguna apabila berselisih dengan kenderaan lain. Kami juga melihat semula cara pelantikan kontraktor penyelenggaraan jalan kampung supaya mereka mendapat peluang sama bagi kerja-kerja itu.

"Sebagai menghargai sokongan masyarakat di luar bandar kepada kerajaan, kita akan melihat kepada beberapa isu termasuk jalan kampung yang sering menjadi rungutan supaya penduduk dapat menikmati keselesaan seperti masyarakat di bandar dan pinggir bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta konvoi bermotosikal Jelajah Amal Johor oleh Simpang Bikers di stesen minyak BHP Sungai Pinggan, Benut di sini hari ini.

Konvoi 50 motosikal itu mengelilingi negeri Johor dengan beberapa aktiviti amal serta sumbangan kepada beberapa institusi seperti masjid, rumah anak-anak yatim, golongan orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, pihaknya akan meminta pejabat daerah menambahkan jumlah lampu jalan kampung memandangkan masih terdapat keperluan dan kajian tentangnya akan dijalankan kelak.

Harap perkhidmatan Siew Kiong tidak terjejas

Posted: 24 May 2013 11:56 AM PDT

PONTIAN 24 Mei - Barisan Nasional (BN) Parlimen Pontian berharap perkhidmatan Datuk Tee Siew Kiong sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang tidak terjejas berikutan siasatan disiplin oleh MCA kerana peranan sebagai wakil rakyat perlu diteruskan walaupun beliau diarahkan bercuti daripada menjalankan kegiatan parti.

Pengerusi BN Parlimen Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, Siew Kiong perlu mencari kaedah jangka pendek supaya perkhidmatan beliau kepada pengundi dapat berjalan seperti biasa dan menggerakkan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh BN.

Menurut beliau, sebagai rakan dalam komponen BN, pihaknya bersedia membantu Siew Kiong yang berhadapan dengan situasi sukar apabila tindakan beliau menduduki jawatan Exco tidak direstui parti.

"BN Pontian menghormati keputusan MCA tetapi dalam masa sama tidak mahu perkhidmatan Siew Kiong sebagai wakil rakyat BN yang dipilih semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu terjejas," katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi bermotosikal jelajah amal Johor di Benut di sini hari ini.

Beliau mengulas kedudukan Siew Kiong yang mengambil cuti sementara daripada segala aktiviti dan jawatan MCA dari peringkat cawangan hingga ke pusat berkuat kuasa 21 Mei lalu untuk tindakan selanjutnya oleh lembaga disiplin parti itu dalam isu jawatan Exco kerajaan negeri Johor.

Siew Kiong yang juga Setiausaha Organisasi MCA telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pelancongan dan Kepenggunaan bagi mewakili kaum Cina sebagaimana titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang bagi penggal ketiga dengan menewaskan calon Pas, Ungku Mohd. Noor Ungku Mahmood dengan majoriti undi 3,412.

Tambah Hasni, walaupun Siew Kiong tidak boleh menjalankan aktiviti di bawah parti, namun BN Pontian tidak akan membiarkan beliau bersendirian bagi menjalankan aktiviti melibatkan kepentingan pengundinya.

"Kami berharap Siew Kiong tidak merasakan diri mereka terpinggir atau terpisah kerana beliau masih mewakili BN, hanya tidak boleh menjalankan aktiviti berkaitan parti MCA sahaja. Saya minta program yang telah dirancang dilaksanakan seperti biasa untuk kepentingan pengundi di DUN Pulai Sebatang," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat