Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 2 penyamun dicekup, 35 kes selesai
- Persatuan belia lesu akan diaktifkan
- Projek tebatan atasi banjir di Air Hitam
2 penyamun dicekup, 35 kes selesai Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN Zainuddin Yaacob (kanan) menunjukkan pistol, lencana kastam dan parang yang berjaya dirampas berikutan tertangkapnya 2 suspek dalam sidang akhbar di Balai Polis Sentral, Johor Bahru, semalam. Hasil tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai barang termasuk parang yang dipercayai digunakan kumpulan terlibat untuk menyamun. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dalam kejadian di sebuah pusat hiburan keluarga di Plaza Sentosa pada Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan ketika cuba menyamun premis itu dengan bersenjatakan parang. "Kita percaya lelaki itu cuba melakukan samun di premis yang turut menjadi riuh-rendah apabila sebahagian pelanggan bertempiaran lari semasa insiden berlaku," katanya dalam sidang akhbar hari ini. Beliau berkata, polis percaya kejadian samun itu dilakukan suspek bersama dua rakannya apabila dua bilah parang turut ditemui di premis itu disyaki ditinggalkan oleh rakannya sebelum melarikan diri. Polis turut merampas sejumlah wang tunai dan sebuah telefon bimbit jenama iPhone. Polis percaya berjaya menyelesaikan 20 kes berkaitan yang berlaku di sekitar beberapa daerah di negeri ini. "Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. Sementara itu, Zainuddin berkata, dalam kes kedua pada Khamis lalu, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan di Jalan Tebrau off Jalan Kebun Teh Majidee ketika cuba melarikan diri menaiki sebuah kereta. Beliau berkata, suspek ditahan apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan bersama kereta Proton Waja yang dipercayai dicuri. "Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, polis menjumpai dua keping surat pajak dan pasport antarabangsa yang didaftarkan atas nama seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan menjadi mangsa ragut. "Polis turut menemui dua bilah parang, tiga alat untuk mencuri kenderaan, tukul besi dan pemutar skru. Dengan tertangkapnya lelaki itu, kita percaya berjaya menyelesaikan 15 kes samun tepi jalan dan ragut di daerah ini," katanya. |
Persatuan belia lesu akan diaktifkan Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT BATU PAHAT 20 Mei - Masalah persatuan belia di negeri ini yang dilihat semakin 'lemah dan lesu' akan menjadi perhatian dan agenda utama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Zulkarnain Kamisan. Beliau berjanji akan berusaha menyuntik semangat baru kepada persatuan berkaitan supaya kembali menjadi platform golongan belia melakukan aktiviti termasuk riadah. Menurut Zulkarnain, penelitian beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Exco mendapati kebanyakan persatuan belia kini hanya tinggal nama dan 'lesu' serta semakin dilupakan. "Berikutan itu, saya akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan belia di negeri ini bagi membincangkan masalah yang mereka hadapi selain mencari jalan penyelesaian yang dapat menaikkan semula nama persatuan belia. "Menerusi perjumpaan itu nanti, kita yakin persatuan belia yang 'lesu' dan semakin 'tenggelam' dapat diaktifkan semula dengan melakukan pelbagai aktiviti yang mampu membimbing belia dan membentuk kumpulan pewaris masa depan negeri dan negara," katanya selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Belia Siri 1 di Hotel Nouvo Park, di sini hari ini. Bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu, Zulkarnain berkata, pihaknya merancang menganjurkan Sambutan Hari Belia peringkat negeri yang berkonsepkan rohaniah pada pertengahan Jun ini di daerah Batu Pahat. "Pelbagai program dirancang pada sambutan kali ini, termasuk usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada golongan belia," katanya. Beliau memberitahu, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Jabatan Belia dan Sukan negeri tidak lama lagi. Katanya, kerajaan negeri akan tetap menggerakkan semula persatuan belia selain bekerjasama dengan organisasi tersebut dalam menjalankan aktiviti untuk golongan berkenaan. |
Projek tebatan atasi banjir di Air Hitam Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT MUAR 20 Mei - Masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa perkampungan di Air Hitam Batu 18, dekat sini bakal diatasi menerusi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Kawasan Air Hitam tidak lama lagi. Penghulu mukim berkenaan, Ariffpudin Abd. Latif berkata, projek dengan kos RM7 juta itu dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk siap sepenuhnya yang dijadual dimulakan bulan depan. Menurutnya, projek tersebut akan menaik taraf sistem perparitan melibatkan kawasan sejauh dua kilometer bermula dari Kompleks Penghulu sehingga ke sempadan Batu Pahat. "Peruntukan awal sebanyak RM2.5 juta bagi fasa pertama sudah diluluskan yang membabitkan kerja-kerja menggantikan pembetung sedia ada di bahagian kiri dan kanan jalan. "Peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan kerjanya di Bakri, baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Beliau berkata, penggantian sebanyak 134 pembetung dipercayai mampu mempercepatkan aliran air semasa hujan, sekali gus mengelakkan air parit melimpah ke halaman rumah penduduk. Ariffpudin berkata, baki peruntukan berjumlah RM4.5 juta pula akan diluluskan tahun depan yang melibatkan kerja-kerja menggantikan parit konkrit berbentuk U. Beliau berkata, masalah banjir kilat yang sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu itu telah menyebabkan 200 rumah dinaiki air yang mengambil masa hampir seminggu untuk pulih. "Kebanyakan rumah yang terletak berdekatan dengan Parit Sulung, Batu Pahat dikenal pasti paling teruk dinaiki air banjir yang disifatkan sebagai banjir 'termenung'. "Kejadian banjir besar pada 2006 masih lagi menghantui penduduk yang membuatkan mereka sentiasa berhati-hati setiap kali musim hujan memandangkan faktor cuaca yang sering tidak menentu sejak akhir-akhir ini," katanya. Katanya, kejayaan mendapatkan peruntukan itu adalah hasil usaha bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |