Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 3 pemimpin Pontian cipta sejarah
- Abd. Latiff tekad sediakan lebih banyak rumah
- JCorp terus jadi rakan strategik Kepak 2013
3 pemimpin Pontian cipta sejarah Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT Oleh MUHAMMAD ZIKRI Kiri Ahmad Maslan, Hasni Mohamad, Tee Siew Kiong PONTIAN 17 Mei - Pelantikan ketiga-tiga pemimpin dari Pontian menyandang jawatan timbalan menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan sahaja mencatatkan satu sejarah baharu malah dianggap penghormatan tertinggi pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada pemimpin dari daerah ini. Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pontian, Muhamaddan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya dan Pembangunan Luar Bandar serta Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri amat membanggakan seluruh rakyat di daerah ini. Beliau berkata, pelantikan ketiga-tiga wakil rakyat itu merupakan hadiah paling bermakna kepada para pengundi di kawasan Parlimen Pontian. "Ia merupakan satu sejarah baharu kepada Parlimen Pontian, UMNO dan BN. BN Pontian ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas kepercayaan yang diberikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Ahmad Maslan yang merupakan Ahli Parlimen Pontian sebelum ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut manakala Siew Kiong ialah ADUN Pulai Sebatang dan Pengerusi MCA Bahagian Pontian. Muhamaddan berkata, BN Pontian yakin dengan kemampuan 'trio' Parlimen Pontian bagi membantu menjayakan transformasi negara sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri. "Penduduk Pontian amat bersyukur dan gembira dengan pelantikan ketiga-tiga pemimpin ini dan berharap mereka dapat membantu membangunkan lagi daerah ini," katanya. |
Abd. Latiff tekad sediakan lebih banyak rumah Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT Abd. Latiff JOHOR BAHRU 17 Mei - Kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik bagi menyediakan perumahan secukupnya kepada rakyat sejajar dengan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu dilantik, Datuk Abd. Latiff Bandi berkata, pada masa ini, pihaknya perlu mengkaji sebelum merancang apa yang perlu dilakukan untuk menangani perkara itu. Menurutnya, isu perumahan terutama yang membelenggu generasi muda bukan hanya berlaku di negeri ini, namun beliau bertekad untuk melaksanakan tugasnya sebaik mungkin. "Kita berpegang pada manifesto yang dijanjikan dahulu untuk sediakan perumahan cukup terutama bagi generasi muda dan mereka yang tidak ada rumah, banyak program di bawah BN dan kita akan cuba jayakan. "Saya akan pastikan dan merancang yang terbaik untuk memastikan mereka yang tidak ada rumah ini dapat mempunyai rumah sendiri, kerajaan negeri akan lakukan yang terbaik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Mengulas tentang isu kerajaan tempatan kata Abd. Latiff, pihaknya akan turut mengkaji struktur, fungsi dan peranan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mereka dapat menjalankan kerja dengan lebih komited. "Saya juga perlu melihat apa yang perlu dilakukan sejajar usaha memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada setiap lapisan masyarakat di negeri ini. "Saya akan pastikan dalam tempoh lima tahun ini, portfolio yang saya pegang, mampu melakukan apa yang telah dan akan dirancang, kita mahu ada perubahan serta komited dari segi tanggungjawab," katanya. |
JCorp terus jadi rakan strategik Kepak 2013 Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT JOHOR BAHRU 17 Mei - Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran 2013 (Kepak 2013) terus menyaksikan kehadiran Johor Corporation (JCorp) muncul sebagai antara rakan strategik utama penganjuran program itu yang menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang serta peluang meningkatkan kemahiran. JCorp dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, edisi kali ini menyaksikan lapan anak syarikatnya turut mengambil bahagian iaitu Kulim (M) Berhad, QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd., Johor Land Berhad, Usahawan Bistari Ayamas Sdn. Bhd., dan KPJ Healthcare Berhad. Turut terlibat, Pusat Pembangunan Kemahiran Johor (Puspatri), Institut Pembangunan Pengurusan Johor Sdn. Bhd. dan KFCH International College Sdn. Bhd. "Ia merupakan tahun ketiga JCorp terlibat dengan penganjuran Kepak selepas kejayaan penganjuran pada 2011 dan 2012. Kami akan terus memberikan sokongan kepada program ini pada masa akan datang. "Kita percaya Kepak menjadi medium semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan entiti perniagaan menawarkan pekerjaan khasnya kepada golongan siswazah, sekali gus membantu pembangunan kerjaya mereka," kata kenyataan itu. Karnival yang dimulakan sejak 2011 anjuran kerajaan negeri itu turut mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jobs Malaysia Centre. Bertemakan 'Peluang Berjaya Untuk Semua', Kepak 2013 bukan hanya memberi tumpuan kepada golongan pencari kerja semata-mata, tetapi turut menyasarkan kumpulan lepasan sekolah, pusat latihan kemahiran dan institusi pengajian tinggi yang sedang mencari pekerjaan. Program tersebut juga memberi peluang kepada pencari kerja dan peniaga sepenuh masa atau sambilan yang berhasrat menambah pendapatan termasuk golongan suri rumah, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas. Kepak 2013 menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan edisi kali ini berlangsung di tiga lokasi di sekitar bandar raya termasuk pusat bandar Pasir Gudang, Plaza Angsana sebagai lokasi kedua dan lokasi terakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada. Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.2 juta bagi penyediaan pelbagai program latihan pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, hospitaliti, pelancongan serta seni kreatif dan multimedia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |