Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Jangan bimbang bahan sianida
- Kerajaan negeri teliti bangun ladang rakyat - MB
- Hari Tapir Sedunia di Taman Negara Kuala Tahan dapat sambutan
Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD Mohd. Soffi Abdul Razak (tengah) bersama Ahmad Zamzamin Hashim (kiri) melepaskan benih anak ikan patin dalam kolam yang dialiri kesan bahan sianida di lombong emas Kampung Penjom, Lipis, baru-baru ini. KUALA LIPIS 14 Mei - Penduduk di sekitar daerah ini termasuk Kampung Penjom diminta tidak bimbang tentang penggunaan sianida oleh syarikat perlombongan emas, J Resources Penjom Gold Mine (JPRGM) kerana bahan kimia itu digunakan secara terkawal. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, syarikat itu yang beroperasi di daerah ini menggunakan bahan tersebut mengikut kadar terendah bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin. Menurut beliau, mereka mempunyai kepakaran ahli kimia berpengalaman selama 15 tahun dalam menyelenggara bahan sianida untuk pemprosesan galian emas di kawasan itu. Tambahnya, Jabatan Kesihatan negeri juga melakukan pemantauan berterusan di makmal pemprosesan sianida dan kawasan perlombongan secara berterusan untuk memastikan persekitaran di situ tidak tercemar. "Penduduk jangan termakan hasutan pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi operasi cari gali emas di Penjom hanya semata-mata bagi tujuan tertentu dan kepentingan sendiri. "Sejak JPRGM beroperasi dua tahun lalu, penggunaan bahan berkenaan dalam kerja memproses emas membawa peluang ekonomi kepada penduduk tempatan malah tidak ada penduduk di kawasan itu dilaporkan mengalami komplikasi penyakit tertentu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi lombong dan melepaskan benih anak ikan patin di kolam yang dialiri kumbahan bahan tersebut di tapak perlombongan berkenaan di Kampung Penjom, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Penasihat Eksekutif JRPGM, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim; Timbalan Pengurus Besar JRPGM, Aldrin Alambono dan Setiausaha Jawatankuasa Induk J Resources, Mohd. Shaifuddin Hamzah. Menurut Mohd. Soffi, pihak pengurusan syarikat itu telah membina beberapa kolam yang dialiri bahan tersebut daripada makmal yang memproses galian emas dengan menternak sebanyak 10,000 ikan patin dan talapia. Jelasnya, kesungguhan JPRGM itu membuktikan penyelenggaraan bahan kimia sianida terkawal sehinggakan ikan air tawar yang diternak membesar dan boleh dimakan tanpa pencemaran. Katanya, sejak beroperasi di Penjom, JPRGM menyumbang peluang pekerjaan terhadap penduduk tempatan termasuk menggunakan kepakaran anak tempatan selain beramal menerusi kerja sosial untuk pendidikan serta membantu penduduk miskin. |
Kerajaan negeri teliti bangun ladang rakyat - MB Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT BENTONG 14 Mei - Kerajaan negeri akan meneliti jika masih terdapat tanah yang sesuai untuk dibangunkan sebagai ladang rakyat. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar) berkata, ramai penduduk keliru dan menganggap negeri ini masih mempunyai tanah yang luas dan boleh diagihkan kepada rakyat menerusi program tanah berkelompok seperti Felcra dan RISDA. "Tanah di Pahang meliputi kawasan seluas 3.6 juta hektar dan sebahagian besarnya dimajukan dengan tanaman getah dan kelapa sawit. "Baki yang tinggal kini tidak lagi sesuai untuk dimajukan kerana digazetkan sebagai kawasan hidupan liar, hutan simpan, rizab sungai dan kawasan tadahan air," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen Akhir Peserta Felcra peringkat negeri di Simpang Pelangai, di sini baru-baru ini. Dalam majlis itu, Felcra mengagihkan dividen sebanyak RM22 juta kepada 20,000 peserta dari seluruh negeri ini membabitkan kawasan tanah seluas 50,000 hektar. Jelasnya, kawasan terbabit tidak boleh dimajukan kerana boleh mengganggu sistem ekologi dan jika mahu dibangunkan akan mendatangkan masalah seperti hakisan tanah serta gangguan sumber bekalan air. Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju meluluskan kawasan seluas 1,000 hektar tanah kepada Felcra Berhad untuk dibangunkan dengan projek komoditi pertanian seperti kelapa sawit dan getah. |
Hari Tapir Sedunia di Taman Negara Kuala Tahan dapat sambutan Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT Mohd. Ali Mohamad (kanan) bersama Abd. Rasid Samsudin (dua dari kanan) melihat salah satu aktiviti yang diadakan sempena Sambutan Hari Tapir Sedunia di Mutiara Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 14 Mei - Sambutan Hari Tapir Sedunia yang diadakan di Taman Negara, Kuala Tahan di sini menunjukkan komitmen rakyat untuk memulihara spesies hidupan liar itu supaya tidak pupus. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad berkata, sambutan yang julung kali diadakan secara besar-besaran itu mendapat reaksi positif dalam kalangan masyarakat. "Ini adalah kali pertama kita adakan secara besar-besaran melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), agensi swasta, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah. "Program itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman dihadapi oleh tapir dan kepentingan pemuliharaannya," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Tapir Sedunia di Mutiara Taman Negara di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abd. Rasid Samsudin dan Presiden Malaysian Nature Society (MNS), Prof. Dr. Maketab Mohamed. Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut seperti pameran tapir dan hidupan liar serta alam sekitar, pertandingan mewarna, forum tapir dan sesi bersama tapir di Mutiara Taman Negara. Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama Perhilitan, MNS, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mutiara Taman Negara serta Tapir Specialist Group and Copenhagen Zoo. Katanya, tapir merupakan spesies terancam ekoran penerokaan hutan tanpa kawalan menyebabkan habitat asal haiwan liar itu semakin berkurangan. "Kita semua perlu sedar dengan kepentingan penjagaan hutan supaya habitat haiwan tersebut tidak terancam, sekali gus memulihara spesies terbabit tidak pupus akibat kerakusan manusia," ujarnya. Mohd. Ali berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa pihak terlibat dan masyarakat sekitar akan meneruskan usaha pemuliharaan berkenaan sebagai sumber biodiversiti dan menyelamatkan spesies haiwan yang jarang ditemui dan terancam. Beliau memberitahu, pemilihan Taman Negara Kuala Tahan sebagai lokasi sambutan Hari Tapir Sedunia kali ini kerana kawasan ini adalah ekopelancongan terkenal dan tempat pelindungan penting sebagai habitat mamalia ikonik itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |