Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 14 May 2013 06:24 AM PDT Kehidupan pagi wanita ini bermula dengan aktiviti berkuda di hadapan rumah berkeluasan tiga ekar. Setiap pagi dia menarik tali kuda dan berjalan mengelilingi tanah lapang berpagar sebagai cara memanaskan badan sebelum menunggang kuda diberi nama Queen sambil diperhatikan suaminya, Shaipudin Shah Harun yang bertindak sebagai tenaga pengajar. Selepas satu jam melakukan aktiviti riadah, Riznida Eliza Hamzah kemudian menyambung tugas di dapur sambil menyediakan hidangan tengah hari. Dia tidak perlu beratur panjang atau bersesak di pasar untuk mendapatkan barang basah kerana semuanya tersedia di belakang rumah. Sebut saja apa yang ingin dimasak, daging ayam kampung, kambing, rusa atau ikan juga sayur-sayuran dan ulam-ulaman ada disediakan. Lebih istimewa haiwan peliharaannya seperti ayam kampung, kambing, ikan keli dan tilapia diberi makanan tradisional iaitu palet organik dan diletakkan dalam kolam berisi air bukit. "Ikan keli dan tilapia peliharaan kami lebih bersih dan tidak hanyir. Malah isinya lebih manis kerana diberi makan palet organik dan hidup dalam air bukit yang tidak bercampur klorin. Dulu kami pelihara untuk makan sendiri tetapi apabila ikan semakin bertambah, kami jual di pasar. Begitu juga dengan sayur seperti kunyit, serai, bayam, kangkung, kacang botol dan pegaga juga dihantar ke tempat yang sama," kata Riznida memulakan bicara. GEMBIRA memberi makan rusa di belakang rumah.
Cadangan suami supaya mereka berpindah ke kawasan pinggir bandar Hulu Langat kerana mahu menikmati kehidupan yang lebih damai dan menenangkan sememangnya satu keputusan yang sangat menggembirakan. Walaupun pada mulanya ada rasa gusar memikirkan penerimaan anak-anak yang mungkin sudah terbiasa dengan kehidupan di kota, dia yakin itu tidak menjadi masalah. "Pada mulanya agak sukar juga meyakinkan anak-anak maklumlah mereka masih kecil. Pelbagai soalan diajukan kepada kami berdua. Lama kelamaan apabila sudah terbiasa dan suami pula melatih mereka melakukan kerja di kebun, sedikit demi sedikit mereka mulai ceria. Tambahan pula dengan laman yang luas, kolam mandi yang besar dan persekitaran yang bersih menyebabkan mereka mula menyukainya dan ingin terus menetap di sini," kata wanita yang murah senyuman ini. Menurut Riznida, jika dulu kehidupannya agak sibuk tetapi sejak menetap di sini hampir separuh masa diluangkan bersama anak-anak. Seawal pagi dia sudah bangun mandi menggunakan air bukit yang sejuk tetapi menyegarkan kemudian menyediakan sarapan untuk dua anaknya sebelum menghantar mereka ke sekolah. Kemudian dia membawa sayur-sayuran ke pasar untuk dijual dan menukarnya dengan barang keperluan rumah. Sekitar jam 9 hingga 10 pagi, dia bersama suami menunggang kuda di halaman rumah. Mulanya mereka hanya membeli kuda padi untuk tunggangan sendiri. Lama kelamaan orang kampung meminta agar diadakan kelas menunggang kuda kerana Shaipudin mempunyai pengalaman dan mengetahui asas mengendalikan kuda. "Sejak dibuka kepada orang ramai dua tahun lalu, sambutan diberikan amat menggalakkan. Ramai yang datang belajar secara peribadi dengan saya. Ibu bapa pula membawa anak-anak termasuk anak orang kelainan upaya (OKU) apabila mereka mengetahui menunggang kuda mampu memberi reaksi positif terutama bagi anak autisme," kata Shaipudin. Menunggang kuda adalah riadah paling berkesan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Pergerakan kuda akan melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh dan memberi manfaat pada pinggang dan perut. Otot akan menjadi lebih kental juga mengurangkan sakit otot, sendi dan lutut. "Sebab itu bagi mereka yang baru kali pertama menunggang akan mendapati lutut dan tapak kaki menjadi panas disebabkan peredaran darah ke seluruh tubuh. Selain itu, kuda haiwan paling istimewa kerana mampu membaca perasaan manusia. Sebagai contoh kuda tahu sama ada penunggangnya sedang marah, seorang yang lembut atau bersikap berani. Jadi kuda akan menunjukkan emosinya menerusi cara bergerak," katanya. Riznida yang baru saja mahir menunggang sekitar 2007 selepas diajar suami mengakui, kini dia tidak perlu ke gimnasium, berenang atau melakukan aktiviti senaman di padang kerana menunggang kuda bukan saja memberikan kepuasan malah baik untuk kesihatan. Selain membentuk tubuh menjadi lebih langsing dan cantik, aktiviti ini juga menjadikannya lebih sihat dan bertenaga. "Saya dapati masalah sakit badan dan letih semakin berkurangan. Malah selepas menunggang saya masih bertenaga melakukan kerja di kebun, melihat ayam, ikan dan kambing di belakang rumah serta menguruskan kerja rumah," katanya. Shaipudin yang pernah terbabit dalam bidang perbankan selama 25 tahun dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) menjelaskan, selepas meletak jawatan dengan SPNB pada 2008, dia kini menemui cinta baru dengan menjadi seorang petani, tukang kayu, tukang paip dan ahli veterinar separuh masa di Uluhati. Tanah ladang ini dibeli 10 tahun lalu dengan dikelilingi kebun buah-buahan saja. Dua tahun lalu ia dibangunkan sebagai tempat rekreasi dan penginapan selepas Shaipudin dan keluarga terlebih dulu menetap di sini untuk menikmati kehidupan berbeza. Menyedari mempunyai tanah yang luas dengan pelbagai tanaman pokok buah-buahan seperti durian, mempelam, rambutan, langsat, manggis, cempedak dan nangka yang berbuah mengikut musim iaitu sekitar Jun, buah-buahan ini turut menjadi hasil pendapatan mereka sekeluarga disebabkan terlalu banyak dan tidak habis dimakan. Begitu juga dengan haiwan ternakan yang pada mulanya hanya dipelihara untuk dimakan sendiri saja. Namun lama kelamaan selepas menyedari sukar mendapatkan ayam kampung di bandar, Shaipudin menjualnya di pasar. "Dengan tanah yang luas, pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Bukan setakat menternak ayam atau memelihara kambing tetapi juga boleh bercucuk tanam seperti kata pepatah, berbudi pada tanah banyaklah hasilnya. Ladang ini juga diuruskan sepenuhnya oleh saya dan isteri serta anak-anak tanpa menggunakan tenaga kerja luar," katanya yang turut membina chalet di bahagian tepi rumah. Pembinaannya mengambil inspirasi rekaan rumah panjang Borneo dan dibangunkan menggunakan hasil hutan sepenuhnya. Bumbung beratapkan nipah manakala dinding dan lantai diperbuat daripada buluh. "Walaupun ia dibina dalam ladang yang menempatkan banyak haiwan ternakan, chalet ini diselenggara dengan baik bagi memastikan ia sentiasa bersih dan tidak berbau. Ia mempunyai enam bilik dengan setiap bilik mampu menampung maksimum seramai empat tetamu," ujarnya. Jelas Shaipudin, antara aktiviti yang boleh diadakan di Uluhati adalah parti buah-buahan tempatan (semasa musim buah), hari keluarga organisasi korporat, majlis hari lahir, kem berkuda dan barbeku. Tanah ladang yang luas itu juga amat sesuai untuk aktiviti perkhemahan yang selamat dan selesa. Menariknya untuk setiap aktiviti, Riznida akan menyediakan hidangan berasaskan makanan Negeri Sembilan yang menjadi kepakarannya menggunakan sumber ternakan serta sayur-sayuran sendiri. Antara yang popular dan menjadi kegemaran ramai adalah masak lemak cili api, sambal belacan tempoyak, ikan tilapia goreng dan rendang rusa. "Dengan binaan ruang seperti kedai kopi, diperbuat daripada sumber alam seperti atap dan dinding daripada buluh, menikmati makan tengah hari berlaukkan ikan keli yang menjadi bahan utama serta hidangan lengkap ulam-ulaman, ikan goreng, sambal belacan dan tempoyak sebagai pelengkap menjadikan sesiapa saja seperti berada di kampung sendiri. Lebih mendamaikan sambil menjamah hidangan, telinga disajikan dengan kokokan ayam serta kambing berkeliaran meragut rumput," katanya. Bagi Riznida, dengan keadaan yang selesa dan mendamaikan, dia tidak pernah terfikir untuk kembali menetap di kota. Malah pada setiap hujung minggu, tidak menjadi masalah sekiranya hanya duduk di rumah melayan anak-anak sambil melakukan aktiviti harian bersama haiwan ternakan. Apabila malam menjelma, dia lebih suka berborak bersama suami di luar rumah, membaca buku atau mengaji al-Quran. Bagi pembaca yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Uluhati dan perkhidmatan disediakan, boleh melayari laman sesawang http://diuluhati.blogspot.com atau e-mel diuluhati@gmail.com. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14 |
Bunga tangan serlah penampilan Posted: 14 May 2013 05:41 AM PDT Walaupun ada yang menganggapnya remeh, bunga tangan perlu ada dalam majlis perkahwinan bagi menyerlahkan penampilan anggun mempelai pada hari bahagia. Sama ada meminta perunding majlis perkahwinan menyediakannya atau menggubah sendiri, bunga tangan harus serasi mengikut tema majlis pernikahan atau persandingan. Ketika ini, bunga pegang tidak hanya menjurus kepada penggunaan bunga segar atau bunga plastik, sebaliknya menggunakan cantuman kerongsang bersama reben menjadikannya satu gubahan yang menarik dipandang.
Menurut perunding perkahwinan, Shajaratul Ismail, sesuai dengan peredaran semasa, bunga tangan tidak hanya dipilih berdasarkan konsep majlis tetapi juga bergantung kepada bentuk tubuh mempelai. Dalam hal ini, ukuran tubuh pengantin sama ada kecil, sederhana atau besar akan mempengaruhi ukuran bunga tangan. "Pengantin bertubuh genit sebaiknya memilih bunga tangan kecil sama ada menggunakan bunga segar atau kerongsang manakala si gadis tinggi lampai boleh memilih bunga tangan jenis memanjang dengan sedikit juntaian pada hujungnya bagi memberikan kesan lebih menyerlah," jelasnya.
Apa yang penting bunga tangan juga harus sesuai dengan rona kulit dan busana raja sehari. Mempelai berkulit cerah tidak digalakkan memilih bunga rona putih sebaliknya menggantikannya dengan rona krim, merah atau merah jambu. Begitu juga dengan warna baju serta perhiasan dipakai. "Untuk gaya bunga tangan daripada kerongsang dan kristal, ia sesuai digayakan untuk majlis perkahwinan dalam taman kerana kebiasaannya pengantin tampil ringkas bersama padanan busana. Sudah pasti bunga tangan akan menyerlahkan lagi penampilan mereka," ujarnya. Bagi mereka yang ingin menghasilkan sendiri bunga pegang, Shajaratul menunjukkan teknik ringkas menggunakan kerongsang dan reben daripada aksesori rambut. Terima kasih: http://www.shajaratul.com. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |