{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Buang sifat khianat, dengki

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 21 Mei - Kaum Melayu diminta membuang sifat khianat, hasad dengki dan amarah membuta tuli untuk sama-sama membentuk sebuah komuniti cemerlang menerusi kerjasama semua kaum lain di kawasan Parlimen Jerantut.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris (gambar) berkata, perbezaan siasah termasuk pendapat perlu diketepikan dengan mewujudkan sikap berganding bahu, toleransi dan kepakaran dalam membangunkan daerah ini lebih maju pada masa akan datang.

Katanya, kalangan pemimpin setempat tanpa mengira kepercayaan wajar berpakat dan menyusun gerak bersama-sama agensi kerajaan di sini untuk membangunkan daerah ini.

"Selaku Ahli Parlimen Jerantut, saya akan terus memegang amanah dan tidak sesekali mengkhianati tugas ini sekali gus membela kebajikan penduduk tanpa mengira fahaman masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Jerantut ke-30, di sini semalam.

Yang hadir sama Yang Dipertua (YDP) PBTM Pahang, Kapten (B) Abdul Latif Mohd. Nor dan Ketua Cawangan PBTM Jerantut, Ibrahim Bidin.

Dalam majlis itu, Ahmad Nazlan turut menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada anak-anak ahli PBTM yang berjaya dalam peperiksaan termasuk bantuan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU).

Menurut Ahmad Nazlan, penduduk daripada pelbagai umur dan kaum tampil untuk sama-sama mengisi transformasi kerajaan dalam menaikkan imej daerah ini yang dikenali sebagai 'Jerantut Baharu' supaya diteladani oleh orang luar dari segi perpaduan masyarakat dan pembangunannya.

Terdahulu, beliau meminta pengurusan PBTM daerah ini mengesan dan membantu kebajikan setiap ahlinya bagi meringankan beban tertentu khususnya kewangan, perubatan dan pendidikan.

"Kita bersedia membentuk sebuah jawatankuasa kecil menerusi pembabitan aktif jawatankuasa PBTM cawangan dan negeri bagi menjaga kebajikan ahli serta peluang keusahawanan khususnya dalam kalangan pesara tentera," ujarnya.

Beliau berbangga kerana PBTM Jerantut memiliki ladang sawit seluas 48 hektar diselenggarakan oleh Koperasi Serbaguna PBTM yang dilihat satu usaha murni dapat membantu meringankan beban kehidupan ahli.

Kelab Agrosiswa di setiap IPTA

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Badrudin Amiruldin (tengah) mencuba produk minuman kesihatan jualan penyanyi era 1980-an, Datuk Azizul Khamis sempena lawatan kerja ke Pasar Komuniti dan Karavan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, baru-baru ini.

KUALA KRAU 21 Mei - Kelab Agrosiswa akan ditubuhkan di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menggalakkan para mahasiswa menceburi bidang usahawan pertanian.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badrudin Amiruldin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan IPTA terbabit dalam merealisasikan usaha tersebut.

Menurut beliau, penubuhan kelab itu amat baik kerana memberi pendedahan realistik mengenai potensi bidang pertanian pada masa depan.

"Kelab Agrosiswa akan menjadi saluran kepada mahasiswa khususnya berkaitan fakulti masing-masing dan yang meminati bidang pertanian menceburi selok-belok keusahawan.

"Bagi merealisasikan usaha tersebut, FAMA akan menyediakan tapak perniagaan di sembilan Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) dan 497 pasar tani di seluruh negara untuk ahli kelab tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas program Lawatan Kerja ke Pakar Bandar Tun Abdul Razak Jengka, dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, di Bandar Tun Abdul Razak di sini, terdapat Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang yang mana para penuntut di situ boleh memanfaatkan Pakar, sekali gus mempelajari ilmu keusahawanan berkaitan pertanian.

Jelasnya, kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan Kementerian Pelajaran mewujudkan aktiviti itu bertujuan melahirkan graduan yang memilih pertanian sebagai kerjaya.

Katanya, tanaman yang mempunyai nilai komersial yang diusahakan anggota kelab tersebut akan dipasarkan dan diyakini mendapat sambutan dalam kalangan pembeli.

"Produk pertanian seperti sayuran dan buah-buahan mempunyai permintaan tinggi yang boleh diusahakan secara komersial dan sistematik," katanya.

700 pembeli kecewa rumah tidak siap

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Sebahagian daripada pembeli membuat bantahan ekoran kegagalan pemaju menyiapkan rumah mereka di Taman Gelanggi Perdana, Jerantut, Pahang semalam.

JERANTUT 21 Mei - Sebanyak 700 pembeli yang bakal menduduki kawasan perumahan Taman Gelanggi Perdana di sini melahirkan rasa kecewa kerana rumah yang dibeli belum dapat didiami biarpun projek perumahan mereka sepatutnya siap sepenuhnya dua tahun lalu.

Seorang pembeli, Jisham Osman, 38, berkata, tindakan pemaju perumahan berkenaan yang gagal menyiapkan rumah mereka menyebabkan para pembeli berdepan dengan pelbagai masalah.

"Kami terpaksa menyewa rumah di tempat lain gara-gara sikap pemaju yang melengah-lengahkan kerja menyiapkannya dan kami terpaksa membayar hutang bank serta sewa rumah.

"Ini mendatangkan satu bebanan kepada kami kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak setiap bulan menyebabkan pengurusan perbelanjaan tidak teratur," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pembeli rumah di kawasan berkenaan juga terpaksa membayar cukai tanah dan mereka terpaksa menanggung beban berkenaan sedangkan segala masalah telah lama diajukan kepada pemaju.

"Kami sudah tidak larat menanggung bebanan ini kerana melibatkan kewangan yang terlalu berat untuk diuruskan kerana kami mempunyai banyak komitmen lain," ujarnya.

Bagi seorang lagi pembeli, Mohd. Hanapi Ghazali, 27, berkata, kegagalan pemaju menyiapkan rumah dalam tempoh ditetapkan menyebabkan beberapa buah rumah kini mengalami kerosakan akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ada rumah yang mengalami kerosakan dengan tingkap pecah, siling retak dan lebih banyak kerosakan akan berlaku sekiranya projek perumahan ini tidak disiapkan dengan segera," jelasnya.

Katanya, semua pembeli berharap pemaju berkenaan melihat masalah mereka dengan penuh simpati dan segera menyiapkannya supaya boleh diduduki sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Kami tidak mahu terus menanggung kerugian dengan mengeluarkan perbelanjaan membayar sewa rumah dan hutang bank sedangkan wang tersebut boleh digunakan untuk keluarga.

"Pihak pemaju harus bertanggungjawab terhadap kerosakan yang telah berlaku di beberapa buah rumah setakat ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat