Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Melaka Maju Fasa Kedua
- Negeri Sembilan bakal dikenali 'negeri ilmuwan'
- Timbalan Exco nikmati pelbagai kemudahan
Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT Oleh AMRAN MULUP Idris Haron (kiri) mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri yang pertama di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin. MELAKA 15 Mei - Selepas mendapat pengiktirafan Melaka Maju 2010, kerajaan negeri menyasarkan status Melaka Maju Fasa Kedua. Keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan tersebut di Seri Negeri, semalam. Mempengerusikan mesyuarat tersebut di Seri Negeri hari ini, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, semua Exco sebulat suara bersetuju dengan sasaran untuk mencapai status tersebut dalam tempoh 10 tahun akan datang. Menurutnya, bagi mencapai tujuan tersebut pentadbiran negeri perlu cekap dari segi mengurus, mentadbir dan mengisi kecemerlangan yang telah dilalui sebelum ini. ''Sepuluh tahun kemajuan Melaka telah dicapai dan untuk tempoh 10 tahun yang akan datang kita menuju Melaka Maju Fasa Kedua yang akan direalisasikan oleh barisan Exco yang dilantik semalam. ''Untuk membina Melaka maju itu memang sukar apa lagi untuk mengekalkannya melainkan kita menggandakan usaha dan tindakan ke arah yang disasarkan," katanya dalam sidang akhbar di sini. Terdahulu Idris mengetuai barisan Exco menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di pejabatnya di Seri Negeri. Idris berkata, visi untuk tempoh lima tahun ini, Melaka adalah negeri yang paling bersedia menuju ke arah Malaysia Maju Negara Ekonomi Berpendapatan Tinggi dengan pelbagai indikator yang sedia ada. Justeru, katanya, mandat besar diamanahkan kepada lapan Exco yang dilantik termasuk Timbalan Exco untuk memastikan sasaran tersebut menjadi kenyataan. ''Sehubungan itu, saya meletakkan beban yang cukup berat digalas oleh barisan Exco dan mereka harus berada dalam keadaan bersiap sedia," katanya. Beliau berkata, Exco akan diberi kuasa yang lebih luas untuk menentukan hala tuju portfolio masing-masing yang akan diukur melalui laporan kad dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Di samping itu, katanya, ketua-ketua jabatan akan terus berhubung dengan Exco dalam merangka program dan menyelesaikan masalah yang timbul tanpa lagi perlu berjumpa dengannya. ''Saya hanya akan berurusan dengan Exco sahaja dan tidak adil jika saya berhubung terus dengan ketua-ketua jabatan tanpa melalui Exco," katanya. |
Negeri Sembilan bakal dikenali 'negeri ilmuwan' Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT SEREMBAN 15 Mei - Negeri Sembilan akan terus dijana menjadi lembah ilmu yang melahirkan modal insan terbilang dalam semua aspek sekali gus menjadikan negeri itu lubuk cendekiawan, ilmuwan dan cerdik pandai. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, aspirasi itu bukan perkara baharu malah Dasar Lembah Ilmu yang dibuat kerajaan negeri ini sejak beberapa tahun lalu, kini di peringkat menuai hasilnya. "Ketika ini, ramai pelajar cemerlang sudah pun lahir hasil komitmen tanpa henti kerajaan, pendidik dan rakyat yang boleh mengisi pelbagai jawatan keperluan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa," katanya di sini hari ini. Tambah Mohamad, di negeri ini sudah banyak universiti, kolej, pusat kajian dan penyelidikan serta institusi perguruan sama ada yang dikendalikan kerajaan mahupun swasta. "Walaupun saiz negeri ini kecil, namun keupayaan mengeluarkan ramai bijak pandai, tidak boleh dinafikan sesiapa. Negeri ini punyai ramai pelajar cemerlang. "Kita mahu meneruskan legasi tokoh bijak pandai seperti Pendeta Za'ba dan ramai lagi dan sebab itulah segala persiapan dalam bentuk prasarana, fizikal, minda serta perincian gerak kerjanya telah dibuat agar suatu hari kelak Negeri Sembilan kembali perkasa sebagai 'negeri ilmuwan'," katanya. Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan semua pihak yang mendukung hasrat tersebut menguruskan sebaiknya kejayaan yang dicapai ketika ini dan tidak membiarkan prestasi itu merudum. "Kita harus terus perbaiki kecemerlangan ini dalam semua peperiksaan peringkat kebangsaan, begitu juga di universiti dan kolej. Jangan benarkan graf ini menurun kerana sukar untuk ditingkatkan semula dalam masa yang singkat," tegas Mohamad. Beliau turut menjelaskan, kerajaan negeri dan Persekutuan akan memastikan semua rakyat diberi peluang pendidikan yang baik selaras dengan kehendak dasar pendidikan negara yang menumpukan pembangunan modal insan melalui lonjakan aspek pembelajaran dan pengajaran. |
Timbalan Exco nikmati pelbagai kemudahan Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT MELAKA 15 Mei - Kerajaan negeri membuat perubahan drastik selepas mengumumkan Timbalan Exco kerajaan negeri yang diumumkan semalam akan disediakan pelbagai kemudahan seperti dinikmati Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan. Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, perubahan baharu itu membolehkan Timbalan Exco diberikan kemudahan pejabat, kereta, pemandu, pegawai tadbir dan elaun tambahan. Menurutnya, perubahan itu bertujuan memastikan jawatan Timbalan Exco dapat memainkan peranan penting bagi membantu lapan Exco yang mengangkat sumpah jawatan dan portfolio masing-masing semalam. "Saya mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak dipilih sebagai Exco ditawarkan ke jawatan Timbalan Exco dihargai dan mereka dapat menjalankan tanggungjawab atas portfolio yang telah ditetapkan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, di sini hari ini. ADUN yang dilantik sebagai Timbalan Exco dengan portfolio masing-masing ialah ADUN Tanjung Bidara, Md. Rawi Mahmud (Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi), ADUN Serkam, Zaidi Atan (Exco Kerja Raya Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek). Turut dilantik ADUN Merlimau, Roslan Ahmad bagi portfolio Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, ADUN Paya Rumput Sazali Muhd. Din (Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar) dan ADUN Ayer Limau, Amiruddin Yusof (Exco Hal-Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Sehubungan itu, kata Idris, melalui gandingan Exco dan Timbalannya, portfolio yang ditetapkan dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kepada kerajaan negeri dan seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |