Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT Oleh AIZAWATI AHMAD Khairy Jamaluddin (tengah) menjadi tumpuan media pada hari pertama melapor diri di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya semalam. Turut kelihatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan (tiga dari kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Muhid Mohamed. PUTRAJAYA - Sebaik sahaja melangkah ke ibu pejabat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di presint 4 di sini, semalam tanggungjawab berat menanti Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Tugas yang bakal digalas beliau bukan sahaja tertumpu kepada mendekati golongan muda semata-mata, tetapi turut membabitkan kepentingan sukan tanah air. Bermula dengan Piala Sudirman yang membuka tirai di Kuala Lumpur esok, diikuti Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini, Sukan Asia serta Sukan Komanwel tahun depan, selain program Road To Rio 2016 sudah cukup memberi gambaran mengenai tanggungjawab besar itu. Pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan KBS, Khairy berkata, antara tugas berat yang menanti ialah persiapan kontinjen negara bagi menghadapi Sukan SEA yang akan menjadi cabaran pertamanya dari segi indeks prestasi utama (KPI) sukan. "Malah, pada hari ini saya telah menerima undangan pertama menyaksikan Piala Sudirman. Saya juga dimaklumkan mengenai persediaan jangka panjang Road To Rio dan bernasib baik kerana program itu ada tiga tahun lagi. "Memandangkan saya baharu memulakan tugas, pertemuan dengan Majlis Sukan Negara perlu dilakukan terlebih dulu bagi mendapat gambaran sebenar tentang program yang berjalan," katanya. Ketika ditanya mengenai hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membida untuk menjadi penganjur Piala Dunia 2034, beliau memberitahu, idea tersebut bukan baharu, cuma kali ini cadangan mendapat sokongan Asean merupakan satu usaha yang baik. "Saya lihat idea kali ini lebih kukuh berbanding jika kita bergerak secara bersendirian. Bagi saya secara dasar idea berkenaan adalah baik, tetapi saya perlu mengadakan pertemuan dengan Presiden atau pun Timbalan Presiden FAM," ujarnya. Khairy berkata, sebaik diumummemegang portfolio KBS, beliau menerima maklum balas daripada peminat sukan di Twitter yang mengharapkan perubahan dilakukan dalam bola sepak tanah air. "Saya faham apa yang mereka mahu tetapi kita tidak boleh melakukan sesuatu perubahan dalam hanya satu malam. Perlu diingat saya bukan menteri bola sepak kerana sukan lain juga perlu diberi perhatian," tegasnya. |
Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT KUALA LUMPUR - Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Zainal Abidin Ahmad mahu mengetengahkan masalah trek yang rosak dan tidak diselenggara hampir di seluruh negara dalam pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan baharu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak lama lagi. Katanya, sudah sampai masanya masalah berkenaan dan kekurangan kelengkapan olahraga mendapat perhatian sewajarnya daripada kementerian memandangkan dua faktor itu sering menyulitkan banyak negeri menganjurkan kejohanan sekali gus menjejaskan pembangunan sukan tersebut. "Di Kuala Lumpur sahaja, trek Kompleks Sukan Kampung Pandan betul-betul rosak dan tidak diselenggara sekali gus tidak sesuai untuk latihan apatah lagi bagi diadakan pertandingan. Di Kuching, empat stadium yang memiliki kemudahan trek ini juga tidak diselenggara. "Kelengkapan di negeri-negeri juga kurang sehingga terpaksa meminjam apabila mahu menganjurkan kejohanan olahraga. Inilah antara perkara yang sedia saya ketengahkan kepada menteri, nanti," katanya selepas majlis penyerahan penajaan Bank Rakyat bernilai RM150,000 kepada KOM di Bangunan bank itu di sini, semalam. Mengenai Sukan SEA Ke-27 di Myanmar, katanya, sehingga kini enam atlet sudah pun melayakkan diri ke temasya dwitahunan dari 11 hingga 22 Disember itu namun peluang dan tempoh untuk menyaksikan pertambahan jumlah itu dalam skuad negara, masih terbuka dan panjang. Sementara itu, Zainal Abidin mengalu-alukan pembabitan Bank Rakyat sebagai penaja KOM yang diharap mampu mencapai wawasannya untuk melihat sebuah pertandingan antarabangsa mirip Liga Berlian Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di rantau Asia Tenggara, sedikit masa lagi atau separa maraton di setiap negeri. "Kebanyakan dana sumbangan ini bakal digunakan untuk kepentingan atlet yang selama ini hanya bergantung kepada MSN (Majlis Sukan Negara), membiayai penghantaran kursus kejurulatihan jurulatih dan membeli kelengkapan terkini olahraga," katanya. "Kami terpanggil untuk bekerjasama dengan KOM atas rasa tanggungjawab membangunkan sukan olahraga negara dan melihat kepentingan masyarakat mengamalkan budaya bersukan. "Walaupun inilah kali pertama Bank Rakyat menjadi penaja KOM dan olahraga, kami turut pernah menyumbang bantuan kewangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Kuala Lumpur, bola baling dan golf pelbagai peringkat," kata Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik pula. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |