Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA Sultan Ahmad Shah berusaha mententeramkan penyokong-penyokong Pahang yang memenuhi trek bersebelahan padang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Perlawanan Pahang menentang Johor Darul Takzim terpaksa dibatalkan. - UTUSAN/MAHATHIR ALI KUANTAN - Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur di sini, semalam terpaksa dibatalkan gara-gara limpahan penonton yang akhirnya mengheret kepada senario kekecohan. Perlawanan yang sepatutnya bermula pada pukul 8.45 malam itu terpaksa ditangguhkan selama lebih sejam kerana berlaku limpahan penonton memasuki stadium iaitu kira-kira 40,000 orang. Perkara itu dikatakan berpunca daripada empat pintu masuk utama stadium yang dipecahkan menyebabkan penonton menyerbu ke dalam stadium. Keadaan itu menyebabkan kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah terpaksa ditempatkan di trek olahraga stadium tersebut bermula pukul 8.30 malam sebelum kedudukan mereka disusun semula. Dalam pada itu, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) segera menghampiri para penyokong tersebut bagi memastikan keadaan terkawal sepenuhnya. Serentak dengan itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut menyaksikan perlawanan tersebut berkenan mencemar duli selama 10 minit turun trek olahraga untuk meminta kerjasama para penyokong supaya mengawal disiplin. Sesudah selesai, Sultan Ahmad Shah yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain kemudian kembali ke tempat duduk utama sambil menunjukkan isyarat tangan kepada para penyokong supaya menjaga kelakuan masing-masing. Sehingga pukul 9.45 malam, kesemua penyokong yang membanjiri trek olahraga kemudian ditempatkan semula ke kawasan tempat duduk dalam keadaan terkawal. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff yang berada di stadium kemudian membuat pengumuman bahawa permainan boleh diteruskan selepas keadaan terkawal sepenuhnya. Sebaik pengumuman itu dibuat, kelibat semua pemain tuan rumah kemudian memasuki padang untuk bersedia memulakan perlawanan, namun pemain Johor DT tidak berbuat demikian. Keadaan bagaimanapun masih tidak terkawal sepenuhnya apabila beberapa kali dicemari bunyi mercun dan balingan botol minuman ke kawasan padang. Kemudian, para penyokong Johor DT pula bertindak turun dan duduk di trek olahraga meskipun kawasan balapan itu telah diarah untuk dikosongkan bagi membolehkan perlawanan dimulakan. Perbuatan berbaur provokasi itu kemudian disambut oleh penyokong tuan rumah dengan menyanyikan lagu 1Malaysia. Pada pukul 10.30 malam, Penolong Setiausaha FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud membuat pengumuman bahawa perlawanan tidak dapat diteruskan dan terpaksa ditunda ke tarikh lain. Menurut Fuad, stadium berkenaan dapat memuatkan 35, 000 dalam satu masa dan tiket terjual adalah 32,000 keping. Justeru, beliau menolak ada berlaku penjualan tiket palsu yang menyebabkan insiden limpahan penonton malam semalam. Dalam pada itu, kira-kira 1,500 penyokong Johor DT masih berada di tengah padang sehingga pukul 11.45 malam semalam. Menurut polis, mereka akan dipindahkan ke tempat selamat apabila kesemua penyokong tuan rumah mengosongkan stadium berkenaan. Polis turut mengesahkan beberapa penonton mengalami kecederaan ringan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat. |
Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT Oleh Siti Airunnisa Alaui Anggota FRU terpaksa menghalang penyokong tuan rumah yang cuba merempuh sekatan polis dalam aksi separuh akhir kedua Pahang menentang Johor DT yang terpaksa dibatalkan gara-gara keadaan penonton yang tidak dapat dikawal di Stadium Darul Makmur, malam tadi. KUALA TERENGGANU - Kelantan meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Terengganu secara agregat 6-5 dalam aksi separuh akhir kedua di sini, semalam. Selepas ketinggalan 0-4, Kelantan bangkit mengikat kedudukan agregat 5-5 apabila pemain import Obinna Nwaneri menanduk bola ke gawang pada masa kecederaan sekali gus menghidupkan saingan penyandang juara itu dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan. Tuan rumah turut menerima padah apabila dua pemainnya, Effa Owana dan Abdul Manaf Mamat dilayangkan kad merah sekali gus memberi kelebihan buat pelawat menggandakan asakan. Terengganu yang terpaksa bermain tanpa tiga tonggak utama, Owana dan Abdul Manaf serta pemain tengah, Ashari Samsudin yang kemudiannya dikeluarkan akibat kecederaan mula hilang punca. Kepincangan itu membolehkan Kelantan meneruskan asakan sebelum melengkapkan kemenangan apabila bola hantaran Indra Putra ke gawang gol lawan berjaya disudahkan penyerang import, Dikson Nwakaeme pada minit ke-120. Pun begitu, skuad Bojak Hodak terpaksa berdepan asakan bertubi-tubi anak-anak buah E. Elavarasan sepanjang 90 minit permainan. Terengganu yang bangkit beraksi garang selepas tewas 1-4 di Stadium Sultan Muhammad IV pada perlawanan separuh pertama 25 Mei lalu, berjaya memperoleh gol seawal minit keempat hasil penyerang import, Vincent Bikana. Kelantan yang seolah-olah hilang rentak pada awal permainan terus diberi tekanan apabila Terengganu menambah satu lagi gol pada minit ke-26 menerusi G. Puaneswaran hasil hantaran lintang Abdul Manaf Mamat tepat ke gawang gol lawan. Tersentak dua gol Terengganu, Kelantan cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan, namun kekentalan benteng pertahanan yang dikawal rapi kapten pasukan, Hasmizan Kamaroddin berjaya mengekang kemaraan jentera serangan skuad Kijang sehingga tamat babak pertama. Babak kedua pula menyaksikan Terengganu terus menjarakkan mata jaringan apabila lorongan G. Puaneswaran disempurnakan Effa Owana pada minit ke-70 yang kemudian disusuli jaringan keempat pada minit ke-92 oleh Abdul Manaf Mamat. Terengganu yang seolah-olah sudah menempah tiket perlawanan akhir, dikejutkan dengan tindakan pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri melayangkan kad merah kepada Owana kerana didakwa mengasari salah seorang pemain pelawat sehingga mencetuskan rasa berang pemain itu. Dalam keadaan kelam-kabut itu, pasukan Terengganu yang terpaksa bermain dengan 10 orang, berjaya dimanfaatkan Kelantan apabila memperoleh gol pertama daripada Nwaneri pada masa kecederaan. Jaringan itu memaksa permainan diheret ke masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 5-5, dan tidak lama selepas itu berlaku kekecohan apabila Abdul Manaf pula dilayangkan kad merah oleh Suhaizi kerana menendang belakang pemain Kelantan, Mohd. Farisham. Insiden kekecohan berlarutan sehingga ke luar padang apabila penyokong Terengganu mula memaki hamun pengadil sehingga memaksa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengiringi pengadil terbabit ke bilik rehat. Pengendali pasukan Terengganu, Elavarasan ketika diaju tentang kad merah kepada dua pemainnya, enggan mengulas dan meminta pihak media merumuskan insiden itu. Beliau bagaimanapun tetap memuji usaha anak-anak buahnya yang mampu meraih empat gol dalam aksi semalam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |