Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kolej swasta mungkin digabung
- Penduduk anjur majlis kesyukuran kemenangan BN di Selising
- Pembangunan usahawan seiring Kerajaan Pusat
Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA GHAZALI Taib (tengah) bersama para pelajar semasa Majlis Penyampaian BB1M kepada Para Pelajar Diploma Kemahiran Malaysia Showme International College di Dewan Sumai Suite Hotel, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 26 Mei - Penggabungan kolej-kolej swasta khususnya yang berasaskan kemahiran di negeri ini mungkin akan menjadi kenyataan jika ada keperluan untuk berbuat demikian. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib bagaimanapun berkata, cadangan penggabungan itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Exco mingguan selepas ini. Katanya, cadangan itu timbul selepas pihaknya melihat ada sesetengah kolej di negeri ini yang menghadapi masalah, terutamanya kurang berkemampuan dari segi kewangan, pengurusan, tenaga pengajar serta kemudahan fasiliti. "Sehubungan itu, kita akan bincangkan kaedah yang sesuai untuk meneruskan hayat dan perkembangan kolej-kolej ini. "Kalau boleh dibangunkan, kita akan bangunkan, kalau tidak kita akan satukan atau diberi nilai tambah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) untuk 40 pelajar jurusan Diploma Kemahiran Malaysia, Kolej Antarabangsa Showme di sini hari ini. Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif kolej berkenaan, Redzuan Abd. Aziz serta beberapa kenamaan lain. Ketika ini, terdapat 13 buah kolej swasta di negeri ini yang melibatkan pelbagai kemahiran termasuk hospitaliti dan pelancongan, pengurusan makanan, teknologi maklumat dan komunikasi, elektrik dan elektronik, seni kulinari dan sebagainya. Mengulas lanjut mengenai cadangan penggabungan kolej swasta di negeri ini, Ghazali berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti kekuatan serta kelemahan kolej yang berkaitan sebelum sebarang keputusan diambil. "Saya mesti melihat peluang-peluang untuk kolej ini terus berkembang, kemudian baru saya boleh buat keputusan sama ada perlu digabungkan atau hanya diberi sokongan dalam bentuk modal dan sebagainya. "Perkara ini akan saya bawa dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri sebab melibatkan perubahan dasar dan bukannya keputusan satu pihak sahaja," ujar beliau. |
Penduduk anjur majlis kesyukuran kemenangan BN di Selising Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT MUSTAPA Mohamed (kiri) memotong kek sambil diperhatikan oleh Zulkifle Ali (tengah) dan Zawawi Othman di Kampung Bendang, Selising, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin. PASIR PUTEH 26 Mei - Lebih 500 penduduk Kampung Bendang berkumpul di tapak Pasar Malam Alor Geliong, Selising dekat sini petang semalam khusus untuk meraikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, Zulkifle Ali dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Pengerusi Majlis Kenduri Rakyat, Ziad Mohamed berkata, sebanyak 13 bekas pulut semangat dan lebih 500 bunga telur disediakan untuk menyerikan majlis berkenaan. Menurutnya, majlis tersebut bermula dengan bacaan selawat menyambut ketibaan Zulkifle bersama Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak. "Kenduri ini tanda kesyukuran rakyat Selising dan diharapkan ADUN yang baharu mampu merubah kawasan Selising berteraskan keupayaan dan kewibawaan kerajaan BN yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Hari ini dua ekor lembu dikorbankan untuk gulai kawah, pulut semangat dan bunga telur serta kek kemenangan yang disediakan adalah sumbangan bekas penyokong tegar Pas yang mengundi Zulkifle dengan hasrat ingin melihat BN memikul tanggungjawab membangunkan kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini petang semalam. Hadir sama pada majlis itu ialah Penasihat Peti Undi Selising, Datuk Shukri Mohamed. Ziad berkata, jamuan rakyat yang dianjurkan hari ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada UMNO Bahagian atau wakil rakyat terlibat, sebaliknya hasil pemuafakatan penduduk setempat mengumpulkan sumbangan idea, bantuan tenaga dan sumbangan kewangan dengan ikhlas. "Jamuan ini adalah simbolik untuk menyatakan kuasa rakyat yang mampu mengubah kerajaan termasuk memilih wakil rakyat yang diharapkan dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab secara telus dan berterusan," katanya. Sementara itu, Mustapa ketika menyampaikan ucapannya berkata, pembelaan dan usaha membangunkan DUN yang dimenangi oleh BN akan diberi keutamaan. Beliau berkata, kalah atau menang adalah lumrah dalam pilihan raya yang bergantung sepenuhnya pada undian dan kuasa rakyat untuk memilih calon yang mereka sokong berasaskan prinsip demokrasi. "Saya menerima keputusan ini dan kita tidak perlu membuat pelbagai sangkaan buruk termasuk mengadakan demonstrasi jalanan apabila gagal mentadbir negeri. "Demonstrasi menyatakan rasa tidak puas hati bukan amalan UMNO dan BN, kita akur bahawa Kelantan masih ditadbir oleh Pas kerana itu adalah pilihan rakyat," katanya. |
Pembangunan usahawan seiring Kerajaan Pusat Posted: 25 May 2013 11:48 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA Roslee Daud KUALA TERENGGANU 25 Mei - Kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan agenda pembangunan keusahawanan di negeri ini dilaksanakan secara bersama seiring dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai matlamat ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, dalam masa sama, pihaknya akan berusaha memastikan agenda berkenaan memberikan manfaat kepada sebahagian besar komuniti usahawan di negeri ini. Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai agensi khusus bagi mewujud dan membangunkan usahawan iaitu Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). "Ini merupakan kekuatan dan kelebihan yang kita ada berbanding negeri-negeri lain. Justeru, saya berharap agar kerjasama antara agensi serta komitmen yang diserlahkan sebelum ini bertambah baik pada masa akan datang," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian outlet ketiga T'Cafe Mr. Burger di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik dan Pengarah Urusan T'Cafe Mr. Burger, Mohd. Wahyu Affandy Zainudin. Tambah Roslee, pihaknya juga akan memastikan usahawan di negeri ini lebih berdaya saing pada masa depan seperti yang dinyatakan dalam aku janji Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini. "Untuk itu, kita akan terus memberi sokongan kepada program seumpama ini kerana saya percaya dengan kemampuan yang ada pada agensi berkaitan serta kekuatan rakan strategik, usaha untuk memartabatkan usahawan di Terengganu akan tercapai," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |