Berita Harian: Mutakhir
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Mutakhir |
Jangan tak sokong kerajaan kerana pembohongan pembangkang: Najib Posted: 16 Jun 2013 01:33 AM PDT JAKARTA: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia. Perdana Menteri berkata, fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.
"Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguam pun tak boleh fikir. Apa sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan rasional yang tak boleh fikir soal ini," katanya ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan di sini, hari ini. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri, Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail. Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas PRU13. Perdana Menteri meminta pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan memerlukan 1,000 bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari mengundi.
"Saya sebagai Pengerusi BN menafikan dengan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan," katanya. Najib berkata, BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan menang secara sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana. "Kita perlu untuk PRU akan datang, BN melengkapkan dari segi kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya. "Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi," katanya. Perdana Menteri berkata, sungguh pun lawatannya ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau. "Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi," katanya. Najib berkata, dalam lawatannya kali ini beliau turut ditemu bual stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di sini di mana beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam walaupun kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik iaitu kira-kira AS$18 bilion. Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015. "Saya sampaikan mesej ini dengan harapan berdasarkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat serasi, maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih kukuh," katanya. - BERNAMA |
Lima lagi gajah Borneo di Kinabatangan dipasang kolar satelit Posted: 16 Jun 2013 01:23 AM PDT KINABATANGAN: Lima gajah Borneo yang mendiami kawasan berhampiran Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) di Lot 5 Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan (LKWS), dipasang kolar satelit dalam satu operasi dari 4 hingga 6 Jun. Operasi ini adalah sebahagian daripada projek kerjasama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), NGO HUTAN dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), kata kenyataan bersama SWD dan DGFC.
Operasi ini diketuai dua wanita muda iaitu pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Cardiff University dan ditugaskan ke DGFC Nurzhafarina Othman dan pakar veterinar hidupan liar Mexico yang ditugaskan ke Unit Penyelamat Hidupan Liar SWD dan DGFC Dr Diana Ramirez. Dr Diana Ramirez berkata, hanya dalam tempoh tiga hari, pasukan mereka berjaya memasang kolar satelit pada empat gajah betina dan seekor gajah jantan. "Kami memasang kolar itu pada seekor gajah betina yang telah dipasang tag pada Oktober 2011 dan menamakannya sebagai Putut, tiga gajah betina baharu yang dipilih rakan kami, Nurzhafarina, yang sedang menjalani pengajian peringkat PhD mengenai tingkah laku sosial gajah di kawasan Kinabatangan, dan menamakan mereka sebagai Ita, Bell dan Tess; dan seekor gajah jantan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang diberi nama Sejati. "Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan saya, terutama kepada semua petugas dari Unit Penyelamat Hidupan Liar kami dan petugas dari Unit Penjagaan Sungai serta petugas DGFC dan pelajar kerana tugas cemerlang yang mereka laksanakan," kata Ramirez.
"Tujuan utama kolar ini dipasang ialah untuk mengumpul data tambahan daripada individu berbeza bagi memudahkan usaha mengurus gajah Borneo di kawasan Kinabatangan, di samping untuk mengetahui perilaku pergaulan sosial dalam kalangan gajah betina melalui penggunaan alat GPS, yang juga antara komponen penting bagi pengajian saya di peringkat PhD," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |