{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Nasional

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Nasional


GANAS, DEGIL

Posted: 22 Jun 2013 07:46 PM PDT

Penguat kuasa DBKL diserang

Kuala Lumpur: Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di Padang Merbok, di sini semalam kecoh apabila dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang sekumpulan peserta perhimpunan haram itu.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kedua-dua anggota terbabit menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak mendirikan khemah di padang berkenaan kerana melanggar Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 iaitu berkumpul tanpa permit dan kesalahan mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974.

Bagaimanapun, kumpulan itu yang tidak berpuas hati bertindak agresif membaling botol air selain mengheret, seterusnya mengasari anggota penguat kuasa itu sebelum mangsa berjaya diselamatkan polis dan ditempatkan sementara dalam kenderaan DBKL.

Peserta terus bertindak di luar kawalan apabila mengerumuni kenderaan terbabit selain mengugut mahu menterbalikkan van itu sebagai memprotes arahan DBKL, namun dihalang anggota polis bertugas.

Keadaan bertambah kecoh apabila kedua-dua anggota penguat kuasa DBKL itu, dibawa keluar daripada van berkenaan diiringi pegawai dan anggota polis termasuk mereka berpakaian awam untuk dihantar ke hospital.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mengesahkan salah seorang daripada anggota penguat kuasa terbabit mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Berdasarkan maklumat yang diterima polis, beberapa khemah didirikan tanpa kebenaran di Padang Merbok oleh kumpulan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Berikutan itu, dua anggota penguat kuasa DBKL bertindak melarang mereka meneruskan pemasangan khemah berkenaan.

Mangsa dipukul

"Bagaimanapun, ketika melaksanakan tugas itu, kedua-dua mereka dilaporkan dipukul, dengan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan dan terpaksa dihantar ke HKL untuk rawatan," katanya.

Chin Wah berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk mengenalpasti individu yang melakukan serangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika ditemui, berkata walaupun berlaku kekecohan, keadaan secara keseluruhannya adalah terkawal dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop dalam kiriman sms malam tadi, memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Dalam kejadian berasingan, kira-kira 10 peserta perhimpunan memanjat landasan KTMB berhampiran Padang Merbok sehingga menyebabkan perjalanan komuter dari Batu Caves menuju ke Pelabuhan Klang tergendala selama hampir 15 minit.

Pembangkang degil terus berhimpun di Padang Merbok

Kuala Lumpur: Pembangkang menolak tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan mereka di Stadium Merdeka, sebaliknya berdegil untuk terus berhimpun di Padang Merbok di sini walaupun tanpa permit.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata selepas berbincang, kepemimpinan pakatan pembangkang sebulat suara bersetuju untuk tidak menerima cadangan dikemukakan kerajaan.

"Memang pada mulanya saya bersetuju untuk kita mengakhiri perhimpunan ini di Stadium Merdeka dengan berarak dari Padang Merbok tetapi disebabkan banyak pergerakan, kita memilih untuk tidak menerima cadangan itu," katanya ketika berucap pada perhimpunan haram itu, semalam.

Anwar juga mengakui banyak pihak meminta supaya pembangkang menangguhkan perhimpunan berkenaan berikutan cuaca jerebu yang boleh mengganggu kesihatan.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pihaknya akan membuat laporan polis jika penganjur perhimpunan itu tetap meneruskan rancangan untuk mengadakannya di Padang Merbok.

"Pintu Stadium Merdeka juga sudah dibuka untuk mereka, cuma mereka perlu berurusan dengan polis untuk mendapatkan permit," katanya selepas meninjau sekitar Padang Merbok bagi memberi sokongan kepada pegawai dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertugas di situ, tengah hari semalam.

Peserta perhimpunan haram jauh dari sasaran

Jerebu: Muar makin 'lenyap'

Posted: 22 Jun 2013 07:45 PM PDT

Muar: Jerebu kian teruk melanda daerah ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan tertinggi mencecah 519 pada jam 8 malam tadi.

Keadaan itu menyebabkan had jarak penglihatan hanya kira-kira 50 meter, selain bau asap dan debu yang kuat.

Bilik Gerakan Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar yang di buka di Pejabat Daerah sejak kelmarin, memaklumkan keadaan jerebu yang diklasifikasikan sebagai berbahaya itu didapati terus meningkat.

Keadaan itu boleh menyebabkan masalah pernafasan, selain boleh mendatangkan pelbagai penyakit dengan tanda awal antaranya batuk, sakit mata atau kerongkong dan demam.

Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam, berkata IPU daerah ini mencatatkan bacaan 276 pada jam 7 pagi, diikuti 312 (8 pagi), 338 (9 pagi), 360 (10 pagi) dan 373 (11 pagi dan 12 tengahari) seterusnya 421 pada jam 2 petang.

Katanya, bagi mencegah dan memastikan kesan jerebu dapat dikurangkan, bilik gerakan akan berfungsi untuk merangka pelan tindakan dan melakukan pemantauan membabitkan lapan agensi kerajaan.

Beliau berkata, agensi berkenaan ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Tanah, polis, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan, Pejabat pertanian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Buat rondaan, pemantauan

"MPM akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran terbuka di kawasan pentadbiran masing-masing seperti di tapak pelupusan, tempat buang sampah, tapak pembinaan tepi jalan dan taman perumahan. Mereka juga akan memaklumkan kepada pihak bomba untuk tujuan pemadaman, selain menyembur air di jalan utama dan kawasan pembinaan," katanya.

Abdul Rahman berkata, Pejabat Tanah pula akan mengarahkan kuari dan lombong untuk mengehadkan aktiviti bagi mengurangkan kesan jerebu, manakala pihak polis akan meronda untuk memantau kegiatan pembakaran terbuka.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah pula akan memberi nasihat untuk mengurangkan aktiviti di luar bilik darjah apabila sekolah dibuka, selain mengenal pasti sekolah yang perlu dibekal dengan penutup hidung dan mulut.

IPU meningkat di Sabah, Labuan

Kota Kinabalu: Keadaan jerebu di Sabah dan Labuan semakin buruk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan hampir mencecah tahap kurang sihat.

Jarak penglihatan antara jam 8 pagi dan 12 tengahari semalam, dianggarkan hanya tiga hingga lima kilometer (km), berbanding lebih 10 km bagi jarak penglihatan normal.

Keningau mencatatkan bacaan IPU paling tinggi iaitu 98 pada jam 11 pagi, berbanding 93 pada jam 8 pagi, kurang dua untuk mencecah tahap kurang sihat.

IPU Kota Kinabalu pula ialah 91 pada jam 11 pagi, berbanding 90 pada jam 8 pagi, manakala Labuan merekodkan bacaan 97.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah berkata, keadaan jerebu diramal berterusan beberapa hari bergantung kepada pertukaran tiupan angin dan hujan.

Ikuti perkembangan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jame Alip berkata, pihak sekolah perlu sentiasa mengikuti perkembangan menerusi media dan laman sesawang JAS mengenai bacaan IPU sebelum mengambil sebarang keputusan, termasuk menghentikan aktiviti luar darjah seperti terkandung dalam pekeliling Kementerian Pendidikan.

Di Kuantan, tiga lokasi di Pahang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana sehingga petang semalam, dengan Balok Baru, dekat sini, merekodkan IPU 90, manakala Indera Mahkota dan Jerantut pula masing-masing 80 dan 64.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) supaya tindakan susulan dapat diambil jika keadaan jerebu semakin kritikal di negeri ini.

Di Kota Bharu, Kelantan kini dalam keadaan berjaga-jaga dalam menghadapi pencemaran udara setelah dua kawasan di negeri ini setelah mencatat peningkatan dalam IPU.

Dua kawasan mencatat peningkatan IPU ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Chat, Kota Bharu, dengan bacaan pada jam 7 pagi 54 dan meningkat 57 jam 11 pagi, manakala di Tanah Merah IPU pada jam 7 pagi ialah 67 dan meningkat ke 70 jam 11 pagi.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat