Berita Harian: Nasional
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Nasional |
Posted: 04 Jun 2013 03:57 PM PDT Polis, SKMM cari 4 lagi individu dipercayai rakan Melissa Gooi Pekan: Wanita yang dipercayai terbabit isu menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, menerusi laman sosial, Facebook ditahan berhampiran kediamannya di Taman Nirwana, Ampang, semalam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pemilik akaun dengan nama Melissa Gooi, 32, ditahan dalam serbuan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), jam 9.30 pagi semalam. Wanita dipercayai seorang pengurus pemasaran syarikat produk kecantikan itu dikatakan menyembunyikan diri sejak identitinya didedahkan beberapa laman blog. Sementara itu di Kuala Lumpur, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Tajudin Md Isa, berkata Gooi, ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, kerana menghina ucapan Seri Paduka, dalam laman sosial Facebook pada 1 Jun lalu. "Dia ditahan selepas polis dan SKMM menerima laporan dari seluruh negara berhubung kenyataan berbentuk penghinaan ke atas titah Seri Paduka sempena Hari Keputeraan Baginda. "Sehingga kini siasatan lanjut sedang dilakukan polis dan SKMM selain mengesan empat lagi kenalan Facebook wanita itu yang turut memberikan komen berbentuk penghinaan," katanya ketika dihubungi semalam. Mereka dikenal pasti sebagai Weennee Tan; Shuh Chien Loo; Hun Keat Wong dan Carol Tay, yang dipercayai kenalan Melissa. Tulis kata-kata penghinaan Sebelum ini, Gooi dan rakan-rakannya dikatakan menulis kata-kata penghinaan di laman sosial berkenaan ketika Yang di-Pertuan Agong bertitah yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Dalam titah ucapan itu, Seri Paduka mahu rakyat negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang ditentukan mereka sendiri. Berikutan itu, berpuluh-puluh laporan polis dibuat di samping mencetuskan bantahan orang ramai. Bantu siasatan Sementara itu, SKMM dalam kenyataannya berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh didakwa mengikut Akta Hasutan 1948. "Serbuan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat dan siasatan yang diterima daripada orang ramai yang tampil bekerjasama dengan JSJK dan SKMM sehingga membawa kepada penahanan itu. Menurut kenyataan itu, SKMM memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja negara ini. Sementara itu, Gooi dibebaskan dengan jaminan polis lewat petang semalam, manakala telefon bimbitnya dirampas untuk tujuan siasatan. |
Jurutera Perbadanan Putrajaya daki Everest maut Posted: 04 Jun 2013 03:54 PM PDT Putrajaya: Seorang kakitangan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang menyertai misi menawan puncak Gunung Kala Patthar dan Everest Base Camp, meninggal dunia selepas diserang penyakit akut gunung (AMS), kelmarin. Jurucakap Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal, ketika dihubungi mengesahkan mangsa, Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, (gambar) penolong jurutera PPj, meninggal dunia jam 7.15 malam waktu Malaysia, kelmarin, ketika berada di Labuche dalam perjalanan ke Everest Base Camp.
Seorang lagi rakan mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dikatakan koma dan mendapat rawatan di kem berhampiran selepas diserang penyakit sama. Bagaimanapun, katanya, usaha membawa keluar jenazah dan rakannya dari kawasan Labuche pada ketinggian 4,100 meter dari aras laut menghadapi kesukaran berikutan cuaca buruk, berawan dan ribut salji. Ekspedisi Gunung Kala Patthar dan Everest Base Camp yang bermula 27 Mei lalu hingga 10 Jun ini disertai 14 kakitangan PPj termasuk 11 lelaki dan tiga wanita mewakili Kelab Sukan dan Kebajikan PPj (KRISSputra). Timbalan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat PPj, Zaharah Salamat, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kematian Mohammad Shahrulnizam jam 1.30 petang, kelmarin.
"Usaha membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan segera gagal kerana cuaca buruk dengan awan tebal menghalang helikopter ke lokasi insiden. Klinik perubatan di Pheriche juga ditutup kerana musim pendakian utama tamat," katanya. Bawa pulang jenazah Katanya, PPj dan wakil Wisma Putra sedang berusaha menerbangkan jenazah kembali ke tanah air secepat mungkin selepas segala urusan berkaitan selesai. "Susulan insiden terbabit, perbadanan mengarahkan semua pendaki ekspedisi membatalkan rancangan ke Everest Base Camp dan pada masa kini selamat tiba di Pheriche, kira-kira lima jam dari Labuche. Sehingga kini, semua pendaki dilaporkan dalam keadaan stabil dan selamat. "Atas dasar keprihatinan terhadap warga kerja PPj dan ahli keluarga mereka, PPj diwakili Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Muhamad Haitamin Ishak dan Ahli Jawatankuasa (AJK) KRISputra melawat keluarga mangsa hari ini (semalam)," katanya. Sementara itu, bapa tiri kepada Mohammad Shahrulnizam, Mohd Zaini Basron, 51, berkata, beliau sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham. "Arwah begitu teruja sebaik mendapat tahu terpilih sebagai peserta mendaki Gunung Everest, namun tidak sangka ajal arwah tiba ketika melakukan aktiviti digemarinya itu," katanya. Beliau berkata, dua hari sebelum anaknya itu bertolak ke Nepal, mereka sekeluarga sempat mengadakan majlis doa selamat. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |