Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 16 Jun 2013 03:46 PM PDT Tepat jam 1 tengah hari, jelitawan yang dinantikan akhirnya muncul. Mengenakan gaun paras lutut berwarna hitam, rambut mayang mengurai, berbelah tengah dibiarkan lepas. Sederhana tetapi mempesona. "Hi!" Sapaan mesra kepada kumpulan wartawan yang setia menunggu seawal jam 11 pagi sebelum berlalu ke bilik temu bual berlangsung di Hotel Westin, Kuala Lumpur, kelmarin. Barangkali, hubungan bersama jenama, Longines, penjaga waktu diasaskan di Bandar St Imier, Switzerland sejak 1832, membuatkan jelitawan ini arif memberikan jawapan bernas, tepat dan yang perlu saja dalam tempoh sudah ditetapkan. Peluang menemu bual heroin Devdas, filem yang mendapat impak hingga ke peringkat antarabangsa ini, sememangnya menerbitkan rasa teruja. Namun, kesederhanaan empunya diri, membuatkan penulis bagaikan terlupa, figura di depan mata, sebenarnya aktres sanjungan jutaan peminat di seantero dunia, juga pernah bergelar Ratu Dunia. Aishwarya, hadir di ibu kota bagi meraikan pembukaan butik Longines di pusat beli-belah Pavilion, pada Jumaat lalu. Tahun ini, genap 14 tahun beliau bergelar Duta Longines sejurus dilamar pada 1999. Katanya, pengalaman diraih sepanjang tempoh itu meninggalkan banyak kenangan. Sehingga tidak terasa masa bergerak terlalu pantas. "Seperti motto dibawakan iaitu 'Keanggunan Adalah Sikap' (Elegence is an attitude) ia membantu kerjaya saya arah lebih baik, dan menjadi insan yang semakin baik. Dan ya, jalinan ini semakin utuh dan bertambah kukuh," katanya tertib menyusun bahasa. Utama kepentingan Selesai tugasan di ibu kota, beliau dikhabarkan akan terbang ke destinasi lain pula. Aishwarya mengakui, sememangnya agak sukar menguruskan semua perkara pada satu masa, malah situasi itu mungkin dirasai ramai wanita berkerjaya. Bagaimanapun, dia lebih suka meletakkan keutamaan, mana perlu diuruskan terlebih dulu pada masa berkenaan. Mengenai perubahan frasa hidup dulu dengan status dipegang sebagai isteri dan ibu, Aishwarya berkata, yang membezakan antara dua keadaan itu adalah jalinan persaudaraan kian membesar apabila berkahwin. "Kini saya punyai saudara sebelah mentua serta rakan suami. Yang seronoknya, apabila kita tinggal ramai dalam satu rumah, kita lebih mudah meluangkan masa bersama. "Saya sangat efisien dan tidak pernah berkompromi mengenai nilai dan perhubungan dalam keluarga kerana saya percaya apa yang lebih mustahak, kita perlu menghormati jalinan itu. Saya masih berhubung baik dengan keluarga, rakan dan saudara serta tiada kompromi mengenainya," katanya yang turut diberi mandat sebagai duta global UNAIDS sejak September 2012. Aishwarya dilahirkan di Mangalore, India pada 1 November 1973. Menjadi model sambilan ketika mengikuti pengajian dalam bidang seni bina. Pesona dimiliki, membawanya hingga bergelar model sepenuh masa. Waktu itu beliau menerima tawaran mencurah sebagai pelakon dalam industri perfileman India (kebanyakannya Bollywood). Beliau kemudiannya, mengambil bahagian dalam pertandingan Miss India. Kemenangan diraih melayakkan dia mewakili India ke peringkat dunia, sekali gus merangkul gelaran Miss World 1994. Beliau memilih kerjaya sebagai pelakon pada 1996. Kejayaannya berkembang pantas. Lakonannya dalam filem Devdas pada 2002 mencatat sejarah perfileman Bollywood apabila memenangi anugearah pada Festival Filem Cannes. Rentetan kejayaan itu membawanya beraksi dalam banyak filem termasuk daripada produksi Hollywood, Bride and Prejudice pada 2004. Tidak paksa anak Pada 2007, Aishwarya berkahwin dengan Abhishek Bachchan, yang juga anak kepada pasangan pelakon legenda berpengaruh di Bollywood, Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan. Atas kapasiti menantu, sudah semestinya prestij keluarga dalam industri filem India itu semakin utuh dan dihormati. Justeru, tidakkah Aishwarya dan suami juga insan popular, mahukan permata hatinya bakal mewarisi bakat seni dalam diri mereka berdua? Apatah lagi, kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kata Aishwarya, sebenarnya dia dan suami memutuskan, untuk membiarkan anak mereka bersama rentak diingini. Malah, mereka membiarkan permata hati meneroka minat sendiri. Sebagai ibu, dia mahu memupuk nilai kemanusiaan dalam diri si kecil, seperti ibunya menerapkan nilai itu ke dalam dirinya. "Dengan adanya nilai itu anda akan lebih menghargai insan sekeliling dan mudah mendapat kepercayaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |