Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 21 Jun 2013 03:01 PM PDT Mendapat peluang bersantai dengan artis kesayangan pastinya akan dimanfaatkan sebaiknya, apatah lagi waktu yang ada begitu terhad. Setiap masa yang ada sangat bermakna bagi mereka yang bergelar peminat. Bagi peminat setia penyanyi Ziana Zain yang dikenali sebagai ZianaFolks, percutian santai selama dua hari satu malam di Tanah Aina Farrah Soraya Eco Tourism Resort di Raub, Pahang, baru-baru ini, benar-benar mengujakan sehingga masing-masing enggan meninggalkan penyanyi kesayangan mereka itu walaupun sesaat! Memulakan perjalanan kira-kira jam 10.30 pagi, seramai 39 ahli ZianaFolks menaiki bas persiaran dari KL Sentral. Semua ahli ZianaFolks terbabit adalah peminat tegar Ziana yang mula mengikuti perkembangan penyanyi terkenal itu sejak masing-masing masih berada di bangku sekolah lagi. Difahamkan, selain mengeratkan hubungan ahli kelab peminat Ziana itu, program itu juga dianjurkan bagi meraikan ulang tahun ke-45 penyanyi terbabit. PEMINAT meraikan ulang tahun Ziana dengan pulut kuning yang mereka masak sendiri. ZIANA bersama peminat mandi air terjun.
"Jika tahun lalu mereka meraikannya di pusat karaoke dan sama-sama menyanyi dengan saya, tahun ini mereka mahukan kelainan dengan aktiviti berkelah sambil beriadah. Mereka sepakat memilih Tanah Aina sebagai lokasi yang penuh dengan pelbagai aktiviti seperti jungle tracking, flying fox selain memiliki air terjun yang cantik. "Paling membuatkan saya rasa terharu, ada yang datang jauh dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura," katanya. Istimewanya di Tanah Aina ini, selain menyediakan chalet, pengunjung juga boleh mencuba penginapan di dalam khemah. Apa yang menarik, Ziana begitu 'sporting' apabila sanggup bermalam di khemah meskipun peminat menyuruhnya menginap dalam chalet. "Tempat ini sangat istimewa, selalu orang hanya menyediakan khemah biasa tetapi di Tanah Aina, khemah yang disediakan sangat selesa untuk sesiapa saja bermalam kerana itulah saya memilih untuk sama-sama dengan peminat tidur di situ. "Bagi saya di tempat seperti ini bukan waktu untuk sentiasa kelihatan cantik, apatah lagi dengan pelbagai aktiviti lasak yang dilakukan pastinya semua lebih selesa berpakaian santai tanpa mekap di muka. "Saya mahu peminat gembira dengan kehadiran saya, apatah lagi percutian ini dibuat demi saya jadi tidak perlulah saya terlalu menjaga diri sehingga membuatkan peminat berasa kurang selesa. Saya mahu semua gembira sepanjang dua hari bersama saya di sini," kata Ziana. Bukan hanya padat dengan aktiviti riadah, pada malam hari pertama berada di sana, Ziana dikejutkan dengan pulut kuning sebagai ganti kek meraikan ulang tahun kelahirannya. Menariknya, ada cerita di sebalik menyiapkan pulut kuning dan rendang yang dimasak khas oleh dua peminat Ziana iaitu Presiden ZianaFolks, Zack dan Arm Rahmat. "Mereka begitu bersungguh-sungguh menyiapkan segala aktiviti dan sanggup memasak sendiri pulut kuning khas untuk meraikan saya. Lucunya, malam sebelum hari bertolak mereka memasak pulut kuning tiba-tiba gas habis dan terpaksa pergi ke rumah Arm untuk menyambung masak pulut berkenaan sehingga pagi. "Tidak dapat saya bayangkan betapa bersungguh-sungguh mereka sehingga sanggup bersengkang mata tidak tidur dan sampai saja di destinasi terus melakukan pelbagai aktiviti yang sudah diatur. "Sangat terharu atas penghargaan mereka kepada saya, kebanyakan mereka sudah mula mengikuti perkembangan saya sejak saya anak dara lagi," katanya. Bagi mencari kelainan, pada malam acara meraikan ulang tahun Ziana, masing-masing begitu 'sporting' memakai kain pelikat dan batik sebagai tema majlis. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |