{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Kematangan Remy Ishak

Posted:

Kematangan Remy Ishak

Kematangan Remy Ishak

LAPAN tahun lalu, Mohd. Zalimi Ishak bukan sesiapa. Dia hanya seorang pekerja biasa di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Ia berbeza kini. Kini, ke mana kaki melangkah dan perlakuannya diperhatikan khalayak. Dirinya menjadi buah mulut dan kegilaan wanita. Satu hal yang cukup luar biasa dan sukar diterima, sehingga membuatkan dia melalui fasa kejutan budaya yang hampir merosakkan imejnya dengan pihak media.

Itu pengakuan yang diluahkan lelaki yang lebih dikenali dengan nama komersialnya, Remy Ishak.

Bicara larut malam kami di Seoul, Korea Selatan sewaktu sama-sama mengikuti rombongan pemenang Anugerah Skrin 2011 & 2012 ke negara tersebut selama seminggu minggu lalu, berlangsung santai.

Sesekali, boleh dilihat aktor yang memenangi kategori aktor terbaik dalam anugerah tersebut itu cuba mencari zon selesa dalam beberapa persoalan berkaitan kontroversi tentang dirinya.

Namun, semua persoalan yang 'ditembak' kepadanya disambut dengan kemas. Satu persatu dia menjawab dengan penuh hemah, termasuk isu panas baran, putus cinta dengan pelakon Tiz Zaqyah dan hala tuju kariernya pada masa depan.

Mula bicara, Remy bercerita panjang tentang keterjebakan dirinya dalam dunia hiburan.

Dia mengaku, keinginan untuk menjadi pelakon telah wujud sejak di bangku sekolah.

Lantas, usai tingkatan lima, tanpa memberitahu ibunya, dia kerap turun naik bas dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk menghadiri pelbagai uji bakat yang dilihat menerusi iklan dalam akhbar.

"Ramai orang salah sangka tentang penglibatan saya sebagai anak seni yang bermula daripada pertandingan seperti Hero Remaja dan sebagainya.

"Ironi, saya tidak pernah memasuki sebarang pertandingan. Saya menjadi pelakon melalui pelbagai uji bakat yang saya hadiri. Saya yakin diri yang kononnya saya memang berbakat sebagai seorang pelakon," katanya tersenyum mengimbas kisah perdana dia hadir sebagai pelakon.

Bagaimanapun, tidak semudah seperti yang disangka, dia kerap ditolak atas alasan tidak cukup kacak, jauh sekali mempunyai pakej komersial untuk dijual kepada khalayak.

Hampir berputus asa, lalu dia mencari pekerjaan dalam bidang perhotelan yang menjadi mata pencariannya selama lima tahun, sebelum takdir kehidupan bertemu noktah yang membahagiakan.

Pertemuan dengan sutradara yang telah dianggap sebagai abangnya, Osman Ali merubah segalanya. Pada waktu dia menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perhotelan yang dibiayai sepenuhnya oleh hotel tempat dia bekerja ke luar negara, Remy perlu memilih untuk menjadi pelakon dengan tawaran membintangi karya arahan Osman, Aquarium Cinta.

"Akhirnya, saya memilih untuk menjadi pelakon dan terlibat dalam karya Aquarium Cinta. Sayangnya, karya tersebut hanya separuh jalan.

"Saya mula berasa menyesal kerana tidak memilih untuk sambung belajar, namun saya yakin bahawa hikmah dan rezeki menjadi pelakon tetap ada dan saya benar kerana tidak lama selepas itu saya terlibat dalam filem Anak Halal. Dari situ, karier seni saya terus bermula," katanya sambil bersandar tenang di kerusi.

POSE Remy bersama Umie Aida dan Puteri Balqis di stesen televisyen KBS di Seoul, Korea Selatan.


Bermula dengan Anak Halal, namun nama Remy menjadi sebutan menerusi drama bersiri Nur Kasih. Remy Ishak tiba-tiba menjadi begitu terkenal, digilai dan memberi pengaruh yang luar biasa terhadap peminat perfileman tempatan.

Deretan karya lakonannya yang lain menyusul, termasuk drama-drama bersiri yang mencapai hit tersendiri termasuk yang sedang hangat ditayangkan, Cinta Jangan Pergi.

Pada saat populariti melingkari dirinya, Remy ironinya mengalami kejutan budaya yang begitu tinggi.

Luahnya: "Saya jadi bingung dan rimas kerana saya tidak pernah meletakkan diri sebagai artis popular atau selebriti. Saya hanya orang biasa. Sementelah pada waktu itu, saya masih baharu dalam bidang ini.

"Jadi saya berasa tertekan dan kurang selesa apabila sering diasak dengan pelbagai persoalan daripada pihak media. Ini kerana pada waktu itu juga, saya menutup diri saya, terutama tentang kehidupan peribadi saya. Saya berfikir mengapa khalayak perlu ambil tahu kisah diri saya berbanding karier saya.

"Namun kini, selepas lebih lapan tahun menjadi anak seni dan telah melalui fasa-fasa kejutan dan ketegangan sebegitu, saya sudah memahami corak dunia hiburan.

"Saya minta maaf jika ramai yang kurang senang dengan sikap saya yang kelihatan agak dingin sebelum ini. Saya kini lebih tenang dan terbuka, asal ia tidak keterlaluan."

Lanjut Remy lagi, dia kini semakin matang dengan setiap pengalaman yang telah dilaluinya. Sepak terajang yang dilaluinya sepanjang lapan tahun dianggap satu proses yang baik buat dirinya.

Melabelkan diri sebagai seorang pejuang, dia tidak akan mengalah. "Sebaliknya, saya akan terus berjuang kerana pada awal menjadi anak seni, saya sudah tanam dalam diri untuk apa jua situasi saya harus berjuang," katanya.

Panas baran

Satu pemikiran buruk yang tidak pernah terlepas daripada dirinya ialah label pemarah, panas baran dan kaki pukul.

Remy nampak kurang selesa saat persoalan tersebut dilontarkan kepadanya. Secara jujur, pinta Remy dia tidak mahu membangkitkan hal seumpama itu.

"Saya harap selepas ini, tidak lagi diajukan persoalan seperti ini. Saya bukan pemarah, panas baran atau kaki pukul.

"Mungkin, pada fasa saya menerima kejutan budaya, saya bersifat agak dingin, lantas label tersebut terus melekat. Hakikatnya saya tidak begitu," jelasnya yang turut memberitahu tidak mahu membuat ibunya susah hati dengan khabar negatif seumpama ini.

Mengaku secara peribadi dirinya seorang yang pemalu dan kekok untuk bergambar apatah lagi dipuja peminat yang sering mahu mengetahui tentang dirinya, dia menafikan dirinya perasan bagus.

Ujar anak kedua daripada empat beradik ini, dia tidak pernah menilai dirinya sebagai seorang yang bagus atau hebat. Baginya, tempoh lapan tahun yang dilaluinya sebagai anak seni ini adalah proses pembelajaran yang perlu diteruskan.

"Saya tidak pernah berasa diri saya bagus atau meletakkan diri saya lebih baik daripada pelakon lain. Sejujurnya, saya masih dalam proses belajar dan bekerja keras untuk memastikan karier saya berjalan lancar," katanya.

Justeru, dia juga tidak kisah untuk terbabit dengan produksi kecil atau baharu seperti penglibatannya dalam filem akan datang yang berjudul CEO. Filem aksi komedi yang mengandingkan dirinya dengan Beto Kushairy menurut Remy bakal diarahkan oleh pengarah baharu, Razaisyam di bawah produksi baharu, ARA Film.

Bagaimanapun, katanya apa yang penting, produk tersebut berkualiti dan memberi impak yang baik kepada masyarakat.

"Saya mengaku, saya harus selektif dan mementingkan tentang proses sesebuah karya, namun itu tidak bermakna saya tidak membuka ruang untuk orang baharu mengambil saya berlakon. Apa yang penting, semua harus profesional," katanya yang menonton semula hasil lakonannya untuk memperbaiki kelemahannya.


REMY, Umie Aida dan Eja sempat bergambar bersama para peminat mereka yang merupakan rakyat Malaysia yang kebetulan sedang bercuti di Seoul.


Wanita

Hampir menutup bicara dengan lelaki berusia 31 tahun ini, persoalan tentang cinta umpama satu bom jangka yang juga mahu dielakkannya.

Remy banyak tersenyum daripada menjawab persoalan yang dilontar kepadanya, umpama satu gambaran jelas bahawa hatinya yang pernah dirobek carik satu ketika dahulu kini sedang disulam semula dengan benang-benang asmara.

"Selepas putus cinta dahulu, kini saya boleh mengaku yang hati saya telah pulih daripada kekecewaan. Ia (kecewa) pulih dengan secara berperingkat-peringkat dan saya kini bahagia menjalani kehidupan sebagai lelaki solo.

"Ya, pada usia 31 tahun, saya memang ada perancangan untuk berkahwin, tapi bukan sekarang.

"Buat masa ini, saya mahu fokus pada karier dan menambah aset untuk kelangsungan hidup saya. Niat saya, jika saya bertemu jodoh semula, saya mahu menyediakan segala keperluan yang lengkap untuk bakal isteri saya.

"Jadi sekarang, saya perlu mencari seorang teman hidup yang ikhlas menerima saya sebagai Remy yang bukan pelakon dahulu," jelasnya yang tidak menolak untuk jatuh cinta dengan rakan pelakon atau wanita di luar lapangan seni.

Ditanya tentang hubungannya dengan aktres Maya Karin yang mengaku dirinya kini sedang mengenali hati budi seseorang, Remy pantas menjelaskan bahawa lelaki yang dimaksudkan Maya bukan dirinya.

Tegasnya: "Saya dan Maya memang tidak pernah bercinta. Kami hanya kawan dan saya sangat selesa berkawan dengannya kerana sifat dia yang terbuka. Jika dia memberitahu telah berjumpa seseorang, saya tumpang gembira."

Ditebak adakah dia menerima konsep jodoh pilihan keluarga atau wanita memulakan langkah pertama memandangkan dia kini berstatus solo, Remy ketawa mengekeh.

Dalam malu-malu dia menjawab: "Jodoh dipilih keluarga, mungkin tidak kerana saya lebih selesa memilih wanita pilihan sendiri.

"Bagaimanapun, jika ada wanita yang mengurat saya dulu, saya boleh terima konsep itu."

Amy, Misha, Fara bersedia

Posted:

Amy, Misha, Fara bersedia

Amy, Misha, Fara bersedia

Oleh IZRINDA BADROLHISHAM

DALAM karakter. Misha, Mardiana dan Amy dengan gaya masing-masing pada sesi latihan.


TIDAK dapat dinafikan tarikan utama pementasan teater Nyonya & The Gang yang bakal dipentaskan di Istana Budaya dari 14 hingga 20 Jun ini sudah tentu kemunculan tiga serangkai nama terkenal tanah air iaitu Misha Omar, Amy Mastura dan Fara Fauzana.

Bermula esok, ketiga-tiga Misha, Amy dan Fara dijangka menggegarkan pentas Istana Budaya dengan aura dan skil lakonan masing-masing.

Bagi Misha, ini bukan kali pertama dia muncul di pentas teater. Sebelum ini, dia turut bergiat aktif dalam pementasan teater seperti Muzikal Tun Mahathir 1, Muzikal Tun Mahathir 2, Monolog Gadis Yatim dan Mak Dara Nyonya.

Dia juga pernah memegang watak Dara dalam teater Uda dan Dara karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang.

Justeru, apakah pengalaman yang diraihnya sepanjang menjalani latihan khususnya sebelum dia muncul untuk teater Nyonya & The Gang?

Ujar Misha, tempoh untuk menghafal skrip sangat penting sebelum memulakan latihan bersama rakan-rakan yang lain. Ia menjadi faktor utama sebelum menghayati sesuatu watak.

"Saya mula berlatih sejak tiga minggu lalu secara berperingkat-peringkat. Latihan bersama rakan-rakan lain amat penting. Selain boleh menghafal skrip, kita juga dapat serasikan watak bersama pasangan.

"Saya agak berdebar-debar juga kerana kadangkala apa yang dialami ketika latihan berbeza daripada situasi sebenar semasa pementasan.

"Saya, Amy dan Fara akan muncul dalam Nyonya sebagai tiga orang keponakan yang bermaksud anak saudara perempuan kepada watak Tuan lakonan Taiyuddin Bakar.

"Persiapan saya sekarang sudah 60 peratus dan insya-Allah, saya akan buat yang terbaik.

"Amy banyak membantu saya mendalami watak memandangkan pasangan (lakonan) saya, Fara agak sibuk dengan jadual kariernya.

"Saya memahaminya, tetapi sebenarnya dia perlu ada supaya kami mendapat keserasian bersama," akui Misha ketika ditemui pada sesi latihan Nyonya & The Gang di Istana Budaya baru-baru ini.


DARI kanan, Misha, Mardiana dan Amy sedang mencuba kostum yang bakal digayakan mereka semasa pementasan Nyonya & The Gang.


Fara tidak hadir pada sesi latihan tersebut tetapi Amy dan Misha meneruskan latihan bersama seorang lagi pelakon Nyonya & The Gang iaitu Mardiana Alwi yang bakal merealisasikan karakter Nyonya.

Bagi Amy yang sudah lama berkecimpung dalam dunia teater, persediaannya sama seperti pelakon lain yang bakal merealisasikan pelbagai karakter untuk teater itu.

Amy pernah muncul dalam teater Siti Di Alam Fantasia pada tahun 2000, Muzikal Gamat 1 (2009) dan Muzikal Gamat 2 (2010).

"Saya banyak menjalani latihan. Melalui latihan tersebut saya dapat menghafal skrip dan yang paling penting, saya sentiasa mengikut kehendak pengarah. Walaupun sangat sibuk dengan beberapa penggambaran produksi lakonan lain, saya tetap datang untuk berlatih teater ini," ujar Amy.

Sementara itu, menurut pengarah teater Nyonya & The Gang, Rosminah Mohd. Tahir, bagi proses teori dan praktikal dalam lakonan, ia hampir 90 peratus lengkap.

Rosminah berpendapat bahawa Amy, Misha dan Fara tiada masalah untuk bekerjasama mewujudkan keserasian menerusi watak masing-masing.

"Ruang latihan sangat berbeza daripada ruang sebenar semasa pementasan. Jadi, apa yang saya lakukan adalah sentiasa melakukan latih tubi untuk memantapkan lakonan mereka.

"Sekarang, saya hanya guna mock up set sebelum ke set yang sebenar.

"Memang belum nampak sempurna lagi, tetapi saya akan pastikan pelakon-pelakon dapat menguasai watak apabila berada di set sebenar lima hari sebelum pementasan," jelasnya yang cukup dikenali menerusi hasil arahannya untuk pementasan teater Teater Lantai T. Pinkie.

Razali kahwini guru tari sekolah

Posted:

Razali kahwini guru tari sekolah

Razali kahwini guru tari sekolah

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


RAZALI dan isteri mula serius dengan hubungan mereka sejak enam bulan lalu.


SEMUANYA tercetus selepas gambar pernikahannya tersebar menerusi laman Facebook milik selebriti Roslan Shah. Menerusi laman sosial itu, Roslan telah melahirkan perasaan terkilannya.

Ini kerana sebagai individu yang pernah rapat dengan Razali, malah mengenali keluarganya, dia bukan sahaja tidak dijemput, malah langsung tidak mengetahui mengenai pernikahan Razali itu.

"Dia (Razali Hussein) menikah pada Jumaat, 7 Jun lalu. Saya hanya mendapat tahu mengenainya pada Ahad, 9 Jun daripada individu yang hadir pada majlis perkahwinannya itu. Mereka tanya kenapa saya tidak dijemput, sedangkan kami kenalan rapat," ujarnya kepada Kosmo!.

Sehubungan itu, Kosmo! segera menghubungi aktor berusia 37 tahun itu bagi mendapatkan pengesahan selanjutnya.

Razali akhirnya mengakui dia sudah berkahwin dengan seorang guru tari sekolah bernama Nik Nor Azlina pada Jumaat lalu di Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam, Cheras, Kuala Lumpur.

Dia sah bergelar suami kepada wanita berusia 29 tahun itu dengan mas kahwin berjumlah RM120 manakala wang hantaran sebanyak RM13,000.

Majlis resepsi pasangan itu pula berlangsung Sabtu, 8 Jun lalu di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan. Ia hanya dihadiri oleh keluarga dan teman-teman terdekat pelakon dan juga penyanyi itu termasuk beberapa peserta program realiti Audition dan juga penyanyi Farhan AF.

Kosmo!: Tahniah Razali. Kenapa rahsiakan berita baik ini (kahwin)?

RAZALI: Bukan merahsiakan, cuma memang tidak jemput media kerana ia dibuat di sebelah pihak perempuan. Saya jemput adik-beradik sahaja. Insya-Allah, kenduri pihak saya nanti iaitu di Pulau Pinang saya akan jemput pihak media.

Anda diketahui umum berkawan baik dengan Roslan Shah, tetapi kenapa anda tidak menjemputnya?

Saya memang tidak menjemput mana-mana kawan sebab itu majlis di sebelah pihak perempuan.

Bagaimana pula kawan-kawan anda daripada program realiti Audition dan juga penyanyi Farhan AF boleh hadir pada majlis tersebut?

Isteri saya kenal dengan mereka dan disebabkan itu mereka dijemput.

Roslan menyuarakan rasa terkilan kerana dia tidak dijemput ke majlis perkahwinan anda. Boleh komen?

Ketika itu saya dapat tahu Roslan berada di Singapura melawat ibunya yang sakit. Sebab itulah saya tidak menjemputnya. Bagaimanapun, saya sudah menjemput Roslan untuk majlis resepsi sebelah saya yang akan berlangsung di Pulau Pinang

RAZALI bakal menjemput pihak media untuk majlis resepsi yang bakal diadakan selepas Aidilfitri nanti.


Bilakah majlis di Pulau Pinang itu akan diadakan?

Saya merancang untuk adakan majlis resepsi itu selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Boleh kongsikan detik-detik perkenalan anda dengan isteri?

Saya kenal dia (isteri) kira-kira dua tahun lalu ketika saya berlakon dalam pementasan teater Uda dan Dara di Istana Budaya. Saya mendekatinya lalu menghulurkan salam perkenalan. Dia seorang guru tari sekolah.

Bilakah anda dan isteri mula serius bercinta?

Enam bulan lalu.

Apakah ciri-ciri yang terdapat pada isteri membuatkan anda jatuh cinta kepadanya?

Dia memiliki wajah yang lembut, senang dengar cakap dan terima pandangan. Sebenarnya ketika berkenalan dia belum pakai tudung dan selepas kami serius bercinta kira-kira enam bulan lalu dia mula bertudung.

Apakah perasaan anda selepas mendirikan rumah tangga?

Sudah tuntutan sunah. Saya harap dengan usia kematangan ini saya dapat memikul tanggungjawab sebagai suami, insya-Allah.

Bagaimanakah pula dengan perancangan untuk memiliki anak?

Kami tidak merancang dan menyerahkannya kepada Tuhan. Lagi cepat lagi bagus. Kalau dua kali mengandung, dua kali kembar sepasang lagi bagus (ketawa).

Destinasi bulan madu anda berdua?

Buat masa ini belum rancang lagi. Selesaikan majlis resepsi pihak saya dahulu. Moga berjalan dengan lancar.

Beralih kepada perkara lain, apakah perkembangan terbaharu Razali dalam bidang seni?

Saya masih aktif berlakon dan dalam masa yang sama baru menjalankan perniagaan. Saya juga menyanyi sebulan sekali untuk majlis korporat.

Bagaimana dengan tawaran berlakon?

Pada 16 Jun ini saya akan terlibat dengan penggambaran drama untuk keluaran RTM. Ceritanya berkisar pada zaman komunis sekitar tahun 1940-an.

Saya juga banyak terima tawaran daripada produksi, cuma apabila nama saya dihantar ke sebuah stesen popular itu, malangnya tidak lepas. Mungkin pihak stesen itu ada pelakon kegemaran. Begitupun, saya bersyukur kerana RTM masih beri rezeki kepada saya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat