{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Sahabat menjadi tunang

Posted:

Sahabat menjadi tunang

Sahabat menjadi tunang

KATA orang kalau hati sudah bertaut, tidak perlulah lama-lama menjalinkan hubungan. Percintaan selepas berkahwin lebih indah jika disertakan dengan niat yang ikhlas.

Itulah kata-kata yang dipegang oleh pelakon berdarah kacukan Pakistan-Melayu-Cina, Fouziah Gous sehingga ramai yang terkejut kerana selepas dua bulan mendedahkan yang dia mempunyai kekasih hati, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk mengikat tali pertunangan.

Sementelah, kisah cinta mereka sebelum ini tercalar dengan dakwaan kononnya Fouziah merampas jejaka berusia 30 tahun itu daripada seorang rakan pelakon lain.

Enggan melayan dakwaan yang dianggap satu tindakan kurang bijak rakan pelakonnya, Fouziah meneruskan hubungan yang terjalin dengan sebuah cita-cita yang besar.

Bagi Fouziah, setiap orang mempunyai masa silam dan kegagalan dalam percintaan, justeru dia beranggapan semua pihak harus menerima dengan hati yang terbuka terhadap fasa baharu kehidupan masing-masing.

Oleh itu, bertempat di Bora Asmara Penchala, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, Sabtu lalu telah diadakan majlis pertunangan Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd. Gous, 30, bersama jejaka pilihannya, Md Zhafran Md Yusof, 30, dengan penuh sederhana tetapi meriah.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 500 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga daripada kedua-dua belah pihak, kenalan rapat dan pengamal media.


PASANGAN Fouziah dan Zhafran berdebar menanti hari pernikahan mereka yang dijangka berlangsung pada September ini.


Bertemakan warna putih Fouziah atau lebih mesra disapa Pooja berkata, dia amat bersyukur kerana perasaan berdebarnya sebelum mahu melangsungkan pertunangan kini telah selesai mengikut apa yang dirancangkan.

"Sebagai selebriti saya sudah biasa berjalan di karpet merah sambil menjadi tumpuan lensa kamera tetapi perasaan pada hari ini (hari pertunangan) terasa begitu berlainan sekali. Perasaan gemuruh itu buat saya terasa seperti menggigil-gigil.

"Tetapi syukurlah kerana semuanya telah selesai. Majlis pada hari ini banyak dibantu ahli keluarga termasuk Zhaf (Zhafran) sendiri. Terima kasih tidak terhingga buat mereka yang membantu," ujarnya yang mengenakan pakaian daripada pereka busana, Zery Zamry.

Pada majlis itu, Fouziah menerima lima dulang hantaran berupa tepak sireh, manisan, set kosmetik berserta wangian, kain dan kamera.

Pihak lelaki pula menerima tujuh set dulang hantaran iaitu sireh junjung, sepersalinan baju Melayu, selembar songket, sebuah beg, set wangian, coklat berserta buah-buahan dan senaskhah al-Quran.

Sementara itu, acara kemuncak menyaksikan adat menyarung cincin ke jari Fouziah sebagai tanda diri pelakon yang juga pernah bergelar pramugari itu menjadi tunangan kepada anak Normah Ali, bakal ibu mertuanya.

Dahulu sahabat, kini tunang

Dalam pada itu, apabila diminta bercerita apakah yang membuatkan Fouziah tidak mengambil masa yang panjang untuk mengikat tali pertunangan bersama Zhafran, dengan tenang Fouziah memberitahu, tunangnya itu sering membuatkannya rasa yakin.

"Dahulu perjumpaan kami atas dasar perniagaan sarang burung walit. Pada masa itu tidak pernah timbul apa-apa perasaan. Semua ini muncul secara kebetulan.

"Sampailah sekitar Mac lalu, kami mula rapat dan tidak sangka perkenalan singkat itu telah membuat kami mengambil satu kata putus iaitu ingin bertunang seterusnya bernikah pada tahun ini juga," jelasnya.

Biarpun hubungan yang dibina dalam tempoh singkat tetapi Fouziah percaya bercinta selepas kahwin lebih indah, malah dia juga tidak mahu membuang masa dengan bercinta tanpa ada satu kepastian.


ANTARA kaum keluarga kedua-dua belah pihak yang hadir pada majlis pertunangan Fouziah dan Zhafran di Restoran Bora Asmara pada Sabtu lalu.


Sementara itu, sifat dan keyakinan yang diberikan Zhafran juga membuatkan pelakon drama Dendam Sarakit itu percaya lelaki tersebut merupakan pilihan yang tepat.

Fouziah turut menambah, sejujurnya apabila pertama kali berjumpa dengan Zhafran, tidak timbul apa-apa perasaan langsung.

"Apabila saya tengok dia, saya tiada perasaan langsung terhadap dia (gelak). Betullah kata orang, kalau kita cakap kita tak suka seseorang tu, suatu hari nanti kita pasti akan jatuh cinta padanya dan itu yang terjadi kepada saya," ujarnya.

September

Buah hati Fouziah, Zhafran yang turut hadir dengan mengenakan pakaian warna sedondon merupakan seorang ahli perniagaan dan perunding kewangan.

Menurut Zhafran, apa yang membuatkannya begitu tertarik dengan Fouziah kerana sifatnya yang periang dan sering berada di belakangnya untuk menyokong segala perkara yang dilakukan.

"Dia (Fouziah) sangat periang. Apabila bersamanya saya seperti tiada masalah. Dia sangat transparent. Saya betul-betul menjadi diri sendiri apabila setiap kali bersamanya," jelasnya.

Dalam pada itu, kedua-dua pasangan telah mengambil kata putus yang mereka bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Pasangan itu sepakat tidak akan menangguhkan perkahwinan dan akan diadakan pada tahun ini juga.

Bagaimanapun, kedua-dua keluarga pasangan yang dirai telah memutuskan untuk merahsiakan mengenai perbincangan selanjutnya serta jumlah hantaran daripada pengetahuan umum.

Dalam majlis itu, pihak perempuan diwakili oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali manakala pihak lelaki diwakili oleh rakan baik keluarga Zhafran iaitu Datuk Ahmad Kamal Abdullah.

Awin hadiah terindah - Izzue

Posted:

Awin hadiah terindah - Izzue

Awin hadiah terindah - Izzue

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


IZZUE ISLAM menamatkan zaman bujangnya pada usia 24 tahun dengan memilih pengurus peribadinya, Awin sebagai isteri.


SEPINGGAN nasi goreng menjadi titik permulaan kepada perkenalan pasangan Izzue Islam dan Awin Nurin yang telah sah bergelar suami isteri pada hari Ahad lalu.

Cerita yang dikongsikan sendiri oleh penyanyi kumpulan Forteen itu, pertama kali dia bertemu dengan Awin ketika menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2008.

Kata Izzue, dia ketika itu cuma seorang pembancuh air di sebuah kedai makan yang terletak berdekatan dengan salun rambut kepunyaan Awin di Petaling Jaya, Selangor.

"Tiada istilah terhutang budi antara saya dan Awin. Saya mengenalinya sebelum bergelar artis lagi dan saya masih ingat mula-mula perkenalan saya membelanja dia sepinggan nasi goreng.

"Syukur Alhamdulillah, hubungan kami berjalan lancar dan biarpun pada mulanya kami memilih untuk tidak bercerita kisah peribadi, selepas kami bergelar suami isteri tiada apa-apa lagi yang perlu kami selindungkan," ujar Izzue yang ditemui usai majlis akad nikah bersama pasangannya, Awin Nurin di Dewan Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Dengan hanya sekali lafaz, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, selamat menjadi suami kepada Awin atau Nurinafilah Waharudin, 31, yang merupakan pengurus peribadinya selama lebih lima tahun.

Menyarungkan sepasang busana berona putih rekaan Satris Anggun, pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, yang disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon kira-kira pukul 9.45 pagi.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak 11 dinar dan wang hantaran berjumlah RM11,111.11.

Pengantin lelaki memberikan tujuh dulang hantaran berupa sebentuk cincin, set barang kemas, sepasang baju, tas tangan Fossil, cek wang hantaran, dompet dan senaskhah al-Quran serta sejadah.

Sementara pihak pengantin wanita membalas sembilan dulang hantaran iaitu sebuah komputer riba Macbook Air Apple, sepasang baju kemeja, wangian Paco Rabanne, jam tangan Marc Jacobs, pemegang pasport, tepak sireh, kamera digital Nikon, sejadah dan al-Quran serta manisan.

PASANGAN ini ingin segera memiliki cahaya mata.


Hadiah hari jadi

Istimewanya, majlis akad nikah dan persandingan yang diadakan pada Ahad lalu jatuh pada tarikh yang sama dengan sambutan hari jadi Izzue Islam yang ke-24 tahun.

"Awin hadiah hari jadi terindah saya sepanjang hidup dan syukur Alhamdulillah kami kini selamat bergelar suami isteri. Insya-Allah kami mahu cepat-cepat dapat anak," ujarnya berseloroh.

Sementara itu, Awin berkongsi rasa gemuruhnya bergelar isteri kepada seorang selebriti yang sedang mencipta populariti dan digilai ramai wanita.

"Kami belum pernah tinggal serumah dan mulai daripada hari ini kami akan lebih mengenali peribadi masing-masing dengan lebih mendalam. Kadang-kadang Izzue nampak juga seperti seorang yang cerewet," kata Awin yang masih bekerja sebagai seorang eksekutif di Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Hutang budi

Izzue mencelah, katanya, sifat Awin yang matang sepanjang menguruskan kerjayanya sebagai seorang artis tidak menggugat kedudukannya sebagai suami atau menjatuhkan saham sebagai artis selepas berkahwin.

"Dia seorang yang matang dan memahami kerjaya saya. Tidak ada langsung soal cemburu kerana dia yang mendapatkan saya tapak dalam bidang ini dan saya berbangga kerana memperisterikan seorang wanita yang memahami saya," tambah Izzue yang teringin merasa masakan isterinya buat pertama kalinya.

Malah kata pelakon Saya Sebenarnya Isteri Dia itu, dia tidak pernah melihat pilihannya untuk berkahwin dengan Awin adalah kerana terhutang budi kepada gadis kelahiran Selangor itu.

"Dia sayang saya bukan sebab saya artis dan sepanjang enam tahun saya nampak kejujuran dia. Daripada saya bukan sesiapa sehingga hari ini, dia sentiasa berada di samping saya," katanya yang belum merancang lokasi bulan madu.

Majlis dihadiri oleh lebih 1,400 orang tetamu termasuk rakan artis. Antara selebriti yang hadir ketika acara berlangsung adalah Adi Putra, Lisa Surihani, Yusri, Edry, Sheera Ayob, Beto Kusyairy, Fadlan dan anggota kumpulan Forteen.

Legenda rock gegarkan Putrajaya

Posted:

Legenda rock gegarkan Putrajaya

Legenda rock gegarkan Putrajaya

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN


RAMLI SARIP


SUASANA gamat melanda Putrajaya pada malam Sabtu lalu apabila lebih daripada 10 artis legenda rock tanah air bergabung di dalam satu konsert berprestij iaitu Clash of the Legends.

Konsert yang menghimpunkan lebih daripada 2,000 penonton itu menyaksikan bagaimana otai rock memberikan persembahan mantap mereka khususnya buat golongan belia yang hadir pada Karnival Belia 2013 tersebut.

Gabungan besar-besaran berkenaan amat memberi impak kepada peminat muzik rock memandangkan ada dalam kalangan artis sudah lama tidak tampil membuat persembahan.

Lebih istimewa apabila konsert itu diadakan secara terbuka dan tidak memerlukan bayaran, sekali gus membuatkan ramai penonton tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut untuk bersama-sama berhibur dengan artis kegemaran mereka.

Antara barisan artis yang memberikan persembahan hebat mereka pada malam itu ialah Awie, Amy Search, Mus (May), Nash, Hattan, Man Kidal, Shah (Ekamatra), Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Yantzen (Rusty Blade) dan kumpulan Bumiputra Rockers (BPR).

Pembukaan konsert yang diacarakan oleh penyampai radio Sinar FM, Linda Onn itu dimulakan dengan persembahan daripada Joey BPR dengan membawakan lagu-lagu hitnya iaitu Dajal, Aku Hanya Serangga dan Dari Sinar Mata.

Walaupun suasana agak sesak tetapi ia tidak mematahkan semangat penonton untuk berdiri lebih dua jam sambil menyanyikan lagu-lagu dendangan kumpulan rock yang sudah lebih 20 tahun bertapak di dalam dunia seni.

Suasana bertambah gamat apabila Yantzen muncul dengan membawakan lagu Ikrar Perwira, Tiada Lagi Aku dan Meniti Suratan.

Menurut Yantzen, bukan mudah mahu menghimpunkan artis rock seramai itu, terutamanya di dalam satu-satu majlis kerana selain daripada mempunyai komitmen lain, banyak lagi kekangan yang perlu dihadapi untuk berkumpul.

"Saya berasa gembira apabila dapat berhimpun bersama rakan lain untuk sama-sama meraikan Hari Belia yang disambut meriah pada setiap tahun ini. Jika kita lihat, pada masa kini, pemuda sibuk dengan muzik K-Pop, lagu-lagu hip-hop dan sebagainya tetapi hari ini Clash of the Legends telah membuka mata kami yang pendengar sebenarnya masih mahukan muzik rock.


NASH


"Apabila kita berkumpul secara beramai-ramai, kita bukan saja dapat tahu penerimaan belia terhadap muzik seperti ini tetapi kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara penyanyi dan peminat.

"Kami sebagai pemuzik juga ingin tahu bagaimana selera anak muda pada masa kini. Daripada apa yang saya lihat, muzik rock tidak pernah berkubur walaupun sudah lama muncul dalam dunia seni tanah air," jelasnya ketika ditemui pada konsert Clash of the Legends yang diadakan di pentas utama karnival berhampiran dengan Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

Walaupun jam ketika itu sudah menunjukkan hampir 12 tengah malam tetapi pengunjung masih tetap tidak berganjak daripada menyaksikan konsert berkenaan.

Kemunculan Mus (May) menyerikan lagi malam berkenaan apabila beliau mendendangkan lagu Sinar, Dari Kacamata dan Cintamu Mekar Di Hati Ini.

Kelihatan penonton teruja apabila turut bersama-sama menyanyikan lagu sambil melayan dengan melakuan tarian trademark iaitu head- banging.

Imbau zaman kegemilangan

Himpunan penyanyi rock secara besar-besaran itu turut mengimbau kembali zaman kegemilangan mereka semasa mula-mula bertapak di pentas hiburan.

Yantzen menambah, himpunan di antara otai-otai yang lebih dulu makan garam itu dapat membuatkan mereka berjumpa untuk saling bertukar-tukar pengalaman, pendapat dan idea.

"Seronok rasanya apabila konsert ini dapat mengimbau kembali zaman di mana pada masa itu ramai peminat memakai seluar ketat, baju rock dan rambut panjang. Terasa seperti zaman muda-muda pula.

"Diharapkan akan ada lagi konsert seperti ini pada masa akan datang," ujarnya.

Konsert tersebut berakhir sekitar pukul 12.30 malam dengan menyaksikan persembahan bunga api sebagai penutup tirai.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat