{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Gila Noh, santai Aizat

Posted:

Gila Noh, santai Aizat

Gila Noh, santai Aizat

DI sebalik lirik jujur lenggok rock n roll, ada dua orang anak muda yang gigih bekerja demi kepuasan mereka. Semua idea dan reaksi spontan Noh Salleh dan Aizat Amdan itu bermula di sebuah restoran yang akhirnya membuahkan hasil manis.

Kadangkala, idea yang tidak terlintas di benak fikir boleh menjadi sebuah projek yang menyenangkan. Apatah lagi berlandaskan sinergi dan pemikiran yang sama.

"Memang kami spontan dan tidak merancang. Sewaktu lepak-lepak di restoran, saya terus bertanyakan Aizat kalau dia mahu berduet dengan saya. Lagu ini direkodkan dua bulan lalu. Vokal di studio Anas dan produksi lagu, saya buat sendiri," ujar Noh yang dalam persiapan membuat projek solonya.

Lantas Aizat memberi respons terhadap cerita Noh.

"Noh yang nak berduet. Memang ia sesuatu yang baharu dan segar. Lagi-lagi datangnya daripada Noh. Memang sebab Noh saya buat projek ini. Keserasian sudah ada dan minat kami pun lebih kurang," ujar Aizat yang sentiasa teruja dengan produk serta naskhah Noh dan grupnya Hujan.

Lalu apabila dua komponen segar dan banyak idea ini bergabung maka terhasil sebuah lagu yang lunak diterima telinga malah cepat ditangkap untuk dinyanyikan. Lagu dengan judul In Love With You sudah mula ke udara malah klip video untuk lagu ini juga telah dilancarkan di laman YouTube pada 6 Jun lalu.

Saling mengisi

Sesi temu ramah dua anak muda yang sering dikaitkan dengan lagu-lagu hit berkualiti itu lebih terarah kepada perbualan santai. Selesa berdua dan bersembang, cerita mereka banyak terarah muzik dan minat yang memang seiring.

"Aizat, kau tahu tak? Aku terus buat lagu ni lepas bangun tidur. Isteri aku, Nina tertanya kenapa bangun-bangun terus buat lagu. Aku sayang betul dengan lagu ini," ujar Noh yang selesa ber'aku-engkau' dengan Aizat tanda mereka akrab.

LAGU In Love With You hasil nukilan Noh mempamerkan kreativiti dan sinergi yang menarik antara dua penyanyi ini. Malah lagu ini juga mempamerkan keterbukaan Aizat untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam dirinya.


"Bagi saya Aizat ini sudah ada 'benda' tersendiri. Saya tidak perlu beritahu dia apa yang perlu dibuat. Lagipun saya memang bagi ruang untuk signature dia dalam lagu ini," ujar Noh tentang lagu yang menjadi runut wajib dalam keretanya saat memandu.

Untuk Aizat, ini bukan kerjasama berpadu suara kali pertama. Sebelum ini dia muncul dengan lagu Dwihati bersama Yuna dan akan muncul lagi sebuah naskhah duet bersama Zee Avi. Namun di sebalik projek-projek duet ini, dia mengaku bersikap selektif dalam memilih 'pasangan'.

"Saya belajar cara kerja dengan mereka (rakan duet). Itu yang menariknya. Mencari keseimbangan dan kualiti. Apabila niat sudah ada, kerja jadi senang dan mungkin ini memang sudah ditakdirkan. Saya tahu Noh boleh menjadi seorang produser yang baik. Melihatkan tempat kerjanya, saya sudah tahu dia mampu menggalas tugas produser dengan bersungguh dan baik," ujar Aizat.

Lebih mendebarkan buat mereka adalah untuk berkongsi panggung dan mempersembahkan lagu In Love With You ini secara langsung kepada para penonton.

"Saya buat projek ini atas kepuasan. Saya seronok kerana kami berdua memang serasi daripada segi minat dan stail. Saya tidak sabar untuk berkongsi lagu ini dengan penonton," senyum Noh yang kini meminati haiwan gajah.

"Melihat kepada sebuah kolaborasi, secara peribadi saya melihat keterbukaan hati saya untuk perkara-perkara lain. Cara kami berkongsi idea dan mahu menunggu respons dan pendapat peminat dan penonton. Mahu juga lihat kemampuan diri sendiri," tambah Aizat yang mempelawa ayahnya, Datuk Amdan Mat Din untuk muncul dalam klip video In Love With You arahan Zul Luey daripada Luey Motion Lab.

Lalu penulis bertanyakan keperluan projek ini bagi Noh. Umum tahu pergerakannya selama ini berteraskan grup dan berlangitkan kumpulan Hujan yang sudah menempa nama dan cita rasa sendiri buat khalayak.

Kepuasan diri

"Memang Hujan itu Noh dan sebaliknya. Tetapi kalau melihat balik kepada perjalanan Hujan, grup tersebut mempunyai tiga anggota yang memberi sumbangan berbeza. Daripada segi susunan muzik pula, Hujan didominasi oleh AG kerana dia memang pakar dalam penyusunan lagu. Noh tidak pernah kacau dalam memberikan warna dalam Hujan. Jadi projek solo ialah Noh yang mentah. Lebih segar," jelas Noh.


NOH mengaku tampil lebih mentah dalam projek solo dan duetnya bersama Aizat.


"Untuk projek grup ini, saya mencipta lebih banyak lagu. Kerinduan untuk rock n roll juga membuatkan wujudnya projek ini," jelas Noh lagi.

"Tetapi saya akui, dulu waktu sedang berhempas pulas dengan Hujan untuk menaikkan material kami kepada khalayak, senang untuk saya berkarya. Idea datang mengalir begitu sahaja. Sekarang setelah saya mampu beli semua kelengkapan untuk buat lagu, susah pula dapat idea. Mungkin ini suatu ujian," ujar Noh namun dia bukan mengeluh.

"Lagu In Love With You ini ada unsur-unsur grup The Beatles tetapi yang seronoknya ialah sebab lagu ini tidak boleh dibanding atau disamakan secara terus dengan lagu The Beatles yang tepat. Dengar dan orang akan kata macam The Beatles tetapi tidak tahu lagu yang mana satu. Itu yang seronoknya. Malah kemelayuan dalam lagu ini juga kuat," kata Aizat yang baru sahaja selesai dengan rakaman lagu-lagu untuk grup projeknya, Go Gerila.

Salam kenal Noh, Aizat

Diminta mengimbas kembali momen mereka mula bertaut tali persahabatan, kedua-duanya dengan mudah mengingati. Ujar Aizat, mereka sering bertembung pada acara persembahan dan konsert. Pertemuan demi pertemuan membuatkan mereka mula rapat dan senang bersembang dalam gelombang muzik dan minat yang setara.

"Malaysia ini kecil sahaja, senang jumpa. Selalu sangat ada persembahan. Ditambah pula minat kami yang sama dalam rock n roll, jadi senang gel," kata Aizat yang mendalami bidang muzik di Britain pada tahun lalu.

"Kebetulan pula kami duduk di Ampang sama-sama, jadi kami selalu juga sarapan bersama. Selepas solat Subuh, kami telefon dan bertemu. Bukan sahaja kami berdua tetapi juga bersama penyanyi Altimet," kata Noh yang merupakan suami kepada penyanyi Mizz Nina.

"Keserasian dan keselesaan juga yang membuatkan Noh dan Altimet dipilih untuk program umrah Aizat dahulu," tambah Aizat yang muncul dalam program Umrah Kita bersama TV9.

Buat Aizat lagi, yang menarik tentang persahabatan mereka ini bukan hanya berlatarkan muzik tetapi sikap hormat dan memahami antara satu sama lain. Tahap setia kawan itu membuatkan mereka jadi sangat rapat dan bersahabat dengan akrab.

"Kami tahu bila waktu masing-masing tidak boleh diganggu. Secara automatik jadi tahu," ketawa Noh.

"Selalunya kalau bertiga, borak tentang apa?" tanya penulis.

"Kehidupan, topik-topik serius dan muzik," jawab Noh.

"Awek!" jerit Aizat yang masih bujang dalam kelab sahabat Aizat, Noh dan Altimet.

Penamat tanda tanya Tanda Putera

Posted:

Penamat tanda tanya Tanda Putera

Penamat tanda tanya Tanda Putera


ANTARA adegan yang akan disaksikan oleh khalayak menerusi filem Tanda Putera yang akan menemui penonton pada 29 Ogos depan.


MUNGKIN Tanda Putra menjadi filem paling mencabar buat pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba sejak dia bergelar pengarah pada tahun 1971.

Sebelum ini, beberapa tarikh istimewa diberikan buat filem itu untuk menjengah pawagam. Antaranya, 13 September dan 15 November tahun lalu, namun tarikh sebenar kekal menjadi misteri sehinggalah sekali lagi disahkan pada minggu lalu.

Terkini kemelut penayangan itu memasuki fasa terakhir selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan bahawa filem itu akan berada di panggung tidak lama lagi.

"Selepas berbincang, semua bersetuju agar filem itu ditayangkan pada 29 Ogos depan. Tetapi bagi saya, lagi cepat (ditayangkan) lagi bagus, Tetapi ia filem tentang kenegaraan. Ceritanya mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail. Sudah tentu kalau disiarkan masa musim hari kemerdekaan lebih sesuai," kata Ahmad Shabery.

Tanda Putera mengisahkan dua negarawan, Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak lakonan Rusdi Ramli dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail (Zizan Nin) yang menangani rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Turut membintangi filem genre patriotik itu termasuklah pelakon Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavita Sidhu dan Riezman Khuzaimi.

Selain barisan pelakon yang terlibat, pastinya Shuhaimi merupakan orang paling tersenyum lebar sejurus pengumuman itu dilakukan ketika sesi lawatan Ahmad Shabery ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada minggu lalu.


FILEM Tanda Putera terbitan Pesona Pictures Sdn. Bhd. dengan kerjasama Finas akhirnya akan menemui penonton selepas dua kali ditunda tarikh penayangan.


"Ingatkan filem ini akan terperap begitu sahaja. Tetapi saya bersyukur kerana penantian sudah berakhir. Filem ini sudah dua kali ditunda tayangannya. Walaupun musim pilihan raya umum (PRU13) sudah berakhir, kami tetap menanti dan ia kini sudah terlerai," kata pengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam itu.

Filem yang diterbitkan oleh Pesona Pictures Sdn. Bhd. dengan kerjasama Finas itu menelan belanja RM4.5 juta. Pembiayaan sebanyak RM2.5 juta diperoleh daripada Finas, manakala kira-kira RM2 juta lagi mendapat penajaan daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC).

Selain soal tarikh tayangan, pelbagai kontroversi yang timbul di sebalik penayangan filem 115 minit itu termasuklah mendapat tentangan daripada para pemimpin parti pembangkang kononnya ia sarat unsur-unsur perkauman.

Ada juga pihak yang turut mengugut untuk memboikot filem yang telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) tersebut sekiranya penayangannya diteruskan.

Bagaimanapun, Shuhaimi menjelaskan bahawa beberapa adegan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum telah disunting secara maksimum. Namun beberapa babak terpaksa ditayangkan bagi mengekalkan kesinambungan perjalanan cerita yang berlatarbelakangkan sejarah Malaysia.

Tulusnya Amir Jahari

Posted:

Tulusnya Amir Jahari

Tulusnya Amir Jahari

DUA perkara yang perlu diberi perhatian terhadap kewujudan Amir Jahari sebagai penyanyi-penulis lagu ialah vokal dan semangatnya. Pada awal kemunculannya, semangat anak muda ini kelihatan semakin marak, apatah lagi dia memiliki tona suara yang tersendiri.

Amir ternyata bernasib baik kerana dikelilingi individu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang muzik. Dia tidak melalui jalan yang sukar untuk menghasilkan album.

Album dengan judul Penghibur Jalanan menjanjikan kreativiti di sebalik suaranya yang enak didengar. Menariknya juga, selain vokal yang jelas dalam pembikinan album ini ialah lagu-lagu yang dipilih.

Bagi penulis, produksi untuk album ini dijalankan dengan baik. Vokal dan instrumen seimbang sampai ke pendengaran khalayak yang memiliki album ini. Jelas dan nyata bunyi-bunyi yang keluar daripada album yang diedarkan oleh Kasi Gegar Entertainment ini. Penulis sukakan bunyi gitar yang keluar satu-satu dalam setiap lagu.

Lirik-lirik dalam album ini juga wajar diberi perhatian. Telus dan terang sesuai dengan usia dan arah tuju Amir sebagai penyanyi baharu yang menghidangkan suatu yang segar untuk pendengaran umum.

Penulis gemarkan perjalanan lagu Ajarkan Aku yang jelas. Amir membawa emosi pendengar bukan sahaja terhadap mesej tetapi juga terhadap bunyi.

Satu perkara lagi yang wajar mendapat pujian ialah konsep album ini yang memaparkan kreativiti pasukan yang menerajui Amir.

Menarik dan rajin, itu jelas dalam pembungkusan album ini bermula dengan kulit, konsep sehinggalah pemilihan tujuh buah lagu dengan dua trek bonus versi akustik iaitu Tanpamu dan Gelisah.

Komen Sofia: Amir Jahari boleh pergi jauh dengan vokal dan ketulusan penulisannya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat