Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Awake craniotomy elak risiko lumpuh Posted: Awake craniotomy elak risiko lumpuhKETIKA memandu kereta sekitar pertengahan bulan Januari lalu, seluruh tubuhnya tiba-tiba terasa kebas. Selang dua hari kemudian, rasa kebas itu berulang dan membuatkan pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Is, 31, merasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya. Enggan terus tertanya-tanya dengan keadaan diri, Is lantas mendapatkan pemeriksaan doktor. Is diminta merujuk ke hospital dalam kadar segera selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta. Doktor pakar yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengesahkan dia menghidap tumor otak peringkat kedua. Berita yang diterima cukup mengejutkan. Beliau terasa dunianya kelam. Pelbagai lintasan bermain-main ke dalam fikirannya kerana pembedahan perlu dilakukan sesegera mungkin bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku. Lebih membimbangkan, kakitangan sebuah syarikat swasta itu, dinasihatkan agar menjalani pembedahan tersebut dalam keadaan sedar bagi mengurangkan risiko lumpuh sebelah badan. "Saya terkejut ketika disahkan doktor menghidap tumor otak kerana saya tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini. "Jika diberi pilihan, saya mahu ia dilakukan tanpa sedar kerana takut dengan apa yang akan terjadi sepanjang pembedahan berlangsung," jelasnya yang menjalani pembedahan pada 8 Februari lalu. Bagaimanapun, setelah berbincang dengan isteri, Nawal Rashid, 30, dan ahli keluarga lain, Is akhirnya bersetuju dengan cadangan doktor untuk menjalani pembedahan secara sedar atau awake craniotomy. Nawal ketika diberitahu tentang keadaan suaminya cuba mendapatkan pandangan jiran dan keluarga yang pernah mengalami simptom sama. Nawal akhirnya akur dengan cadangan doktor untuk pembedahan tersebut. "Kami menurut nasihat pakar kerana peluang untuk sembuh lebih besar sekiranya pembedahan dibuat ketika dia sedar. "Syukur segalanya berjalan lancar walaupun tangan kiri suami saya sukar diangkat selepas menjalani pembedahan," katanya lega. KETUMBUHAN otak sebesar duit syiling 20 sen yang berjaya dikeluarkan dari kepala Is. Berbual ketika dibedah Sebelum pembedahan membuang tumor diteruskan, Is dibius dengan ubat pelali kira-kira setengah jam lebih awal bagi membolehkan tempurung kepalanya dibedah tanpa rasa sakit. Kesan awal membuatkan dirinya mula berasa kebas di bahagian muka hingga ke pinggang. Bagaimanapun, ketika pembedahan awake craniotomy dijalankan, Is dalam keadaan sedar selepas tempurung kepalanya dibuka. Is perlu memberi tindak balas sepanjang pembedahan dijalankan. Seorang pakar bius, Dr. Esa Kamaruzaman, bertugas memastikan Is sentiasa berinteraksi dengan pasukan doktor pakar di dewan bedah tersebut. Melalui rakaman video yang ditayangkan kepada pengamal media, Is jelas dilihat boleh berbual seperti biasa dengan Dr. Esa dan kadangkala dilihat tersenyum semasa dibedah. Doktor pakar yang mengetuai pembedahan tersebut iaitu Prof. Madya Dr. Ramesh Kumar menjelaskan, pesakit perlu menjalani pembedahan dalam keadaan sedar bagi membolehkan pembuangan tumor secara maksimum. Teknik pemetaan "Ia bagi mengelakkan pesakit mengalami kehilangan fungsi penting seperti komunikasi, persepsi dan pergerakan semasa pembedahan dilakukan. "Ketumbuhan tersebut terletak di bahagian yang mengurus deria, pergerakan dan pertuturan pesakit," katanya. Tambahnya, awake craniotomy merupakan kaedah terbaik untuk memastikan pesakit tidak terjejas dengan kemungkinan kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan. Sepanjang tempoh pembedahan pembuangan tumor, pasukan pakar bedah menggunakan teknik pemetaan otak bagi mengenal pasti bahagian yang boleh terdedah kepada kecederaan fungsi deria, pertuturan dan motor korteks pada otak. KAWASAN yang dikenali sebagai eloguent cortex ditandakan sebagai kawasan larangan pembedahan. Contohnya, apabila tumor tumbuh di bahagian kritikal otak, penentuan lokasi saraf yang mengawal pertuturan adalah amat penting. Teknik pemetaan tersebut melibatkan penggunaan arus elektrik ringan terhadap permukaan otak yang terdedah sementara pesakit dikehendaki berinteraksi seperti bercakap atau membaca. Sekiranya rangsangan yang diberikan menghalang interaksi (bercakap atau membaca), bahagian otak tersebut akan ditanda dan dipelihara. Teknik yang biasa digunakan ketika pembedahan awake craniotomy ialah dengan menidurkan pesakit untuk keselesaan dan keselamatannya. Bius akan disuntik secara berhati-hati bagi membolehkan pesakit bercakap, bergerak dan berinteraksi dengan pakar saraf. Kebiasaannya, pesakit hanya mengalami ketidakselesaan yang minimum walaupun dibedah dalam keadaan sedar. Selepas prosedur pemetaan otak selesai, tumor dibuang sepenuhnya walaupun pada ketika itu pesakit dan pakar bius masih berinteraksi. Kemudian, pesakit akan dibius sekali lagi untuk ditidurkan bagi membolehkan pakar saraf menamatkan pembedahan secara selamat. |
Posted: Ancaman pengubahan wang haramCLAUDIA (tengah) memeriksa kotak-kotak yang sampai di Pelabuhan Puerto Nuevo supaya sama dengan bilangan yang tertera pada dokumen import. KEPINGAN papan reput diangkat manakala berdozen-dozen orang keturunan Wayuu Indian membawa mesin basuh, kipas dan stereo dari bahagian belakang perut kapal kargo yang berlabuh di Pelabuhan Puerto Nuevo di utara Columbia. Sepanjang malam, mereka memunggah beribu-ribu timbunan kotak berukuran 10 meter tinggi ke tanjakan yang sudah pecah-pecah sementara menunggu trak pengangkut. Dengan menggunakan lampu suluh, pengarah kastam, Claudia Gaviria membuka sebuah kotak pada di dermaga Puerto Nuevo, Semenanjung La Guajira. Wanita itu mengira bilangan kipas berdasarkan dokumen yang disediakan kapal. "Jika terdapat lebih daripada nilai yang dinyatakan dalam kertas kerja, kami akan rampas barang-barang dan siasat kerana ia boleh jadi barang gelap ataupun pengubahan wang haram. "Kami menemui beberapa kertas kerja pada kapal ini yang disuai pinda," kata Claudia sambil meletakkan kotak ke tempat lain dan mencapai yang lain. Penyeludupan kontraban (barang gelap) ke Colombia merupakan sebahagian daripada aktiviti pengubahan wang haram bernilai berpuluh-puluh bilion dolar. Ia merosakkan banyak perniagaan yang sah, mengganggu-gugat kemajuan ekonomi Colombia yang dalam proses pemulihan selepas berdekad-dekad berdepan masalah politik dan keganasan sindiket dadah. Rancangannya sangat rumit, penyeludup Colombia menerima duit dadah daripada peraih-peraih seberang laut dalam bentuk barang-barang yang selalunya dibawa bersama barang sah. Sebaik sahaja barang dijual dan resit jualan diberi, duit dadah tersebut bersih. Jumlah pengubahan wang haram daripada penyeludupan dadah di Colombia dianggarkan sebanyak AS$17 bilion (RM52.58 bilion) setahun, lebih lima peratus daripada jumlah ekonomi dan lebih banyak berbanding pelaburan luar negara secara langsung pada tahun lalu. Harga rendah Hampir kesemua barang dimuat turun oleh Wayuu Indian. Bungkusan yang sah akan ke bandar padang pasir, Maicao, tempat menjual minyak wangi jenama murah dan wiski pada harga kurang separuh harga runcit. Antara label yang ada ialah Prada dan Giorgio Armani. "Barang-barang itu dijual pada harga yang rendah berbanding kos penghasilannya di kilang dan ini menyatakan segala- galanya," kata ketua agensi cukai kebangsaan, Juan Ricardo Ortega. Pihak berkuasa membuat rampasan kontraban sebanyak RM395.96 juta, kurang 10 peratus daripada jumlah yang dianggarkan masuk ke Colombia, menurut data kerajaan. RUMAH-RUMAH penduduk Wayuu Indian diperbuat daripada papan reput. "Ia tugas yang mustahil. Kami kekurangan sumber manusia untuk memeriksa semuanya," kata ketua pejabat cukai, utara Maicao, Luis Carlos Canas. Dia sedang memeriksa jongkong-jongkong aluminium dalam kenderaan beroda 18 yang melintas sempadan dari Venezuela. Aktiviti eksport juga sebahagian daripada perniagaan pengubahan wang. Kertas kerja palsu dibuat untuk jualan seberang laut yang tidak pernah wujud. Sebaik kertas kerja difailkan di pejabat kastam, wang tunai daripada pengedar dadah antarabangsa boleh masuk tanpa memberikan sebarang keraguan. Jumlah eksport rasmi emas Colombia dilaporkan sebanyak 70 tan, kata Juan, bagaimanapun industri hanya mengeluarkan sebanyak 15 tan. Memang ada jumlah boleh diterima oleh pengusaha emas kecil-kecilan dengan bilangan lebihan yang boleh diterima. Juan mengesyaki timbunan yang banyak itu merupakan jualan rekaan. Magnet pelaburan Sementara Colombia sedang mengubah imej negara daripada kesan keganasan kepada magnet pelaburan melalui industri minyak dan perlombongan, namun ekonominya telah terpencong dengan aktiviti pengubahan wang haram oleh pengedar kokain luar. Selama berdekad- dekad, Colombia berhempas pulas mengurangkan jenayah berkaitan dengan pemerdagangan dadah, memerangi peperangan menentang pemberontak Marxis, kumpulan separa tentera bersayap kanan dan kartel-kartel dadah. Namun, kumpulan penjenayah semakin licik dalam membodohkan pihak berkuasa. Terdapat tiga cara utama kumpulan membersihkan wang mereka, menyeludup wang tunai fizikal tanpa diisytihar melintasi sempadan, melalui sistem kewangan dan kontraban. Ia bukan sekadar terus daripada penyeludupan dadah, lebih kurang RM27.22 bilion setahun berjaya diubah. Duit yang dihasilkan daripada korupsi, penjualan senjata, pelacuran dan perlombongan emas haram juga perlu dibersihkan. Apabila ia memasuki ekonomi Colombia yang bernilai RM1 bilion, ia akan meningkatkan pengembangan ekonomi pada beberapa poin asas, kata ketua UIAF, Luis Edmundo Suarez. UIAF merupakan sebuah badan kerajaan yang melihat sebarang pergerakan wang yang sangsi dan melakukan penyiasatan. "Pengubah wang hanya berminat dalam memasukkan duit dalam sistem. Ia menyebabkan kesengsaraan, kepencongan ekonomi dan pengubahan harga tanpa kisah akan kehilangan wang, hanya mahu wang dibersihkan," kata Luis di pejabatnya di Bogota. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |