Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Set memanah tidak mahalOleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM SEORANG lelaki dengan tenang membidik sasaran yang jelas berada di hadapan matanya. Secara perlahan-lahan, tangan kanannya mengeluarkan sebatang anak panah yang kemudian ditarik ke arah belakang dengan menggunakan sebuah busur. Menggunakan kudrat maksimum, dia melepaskan anak panah itu untuk menuju ke sasaran. Uniknya, sasarannya mengena walaupun radius jarak ialah sepanjang 50 meter. "Sebenarnya, untuk mahir dalam bidang memanah agak mudah. Syaratnya ialah melakukan latihan secara berterusan selama berbulan-bulan," kata pengasas syarikat yang membekalkan set peralatan memanah, Bow Master, Shahrul Fadzly Mohd. Zainal. Lelaki bertubuh kecil yang berumur 25 tahun itu sanggup melepaskan jawatannya sebagai seorang guru sekolah semata-mata ingin menceburi bidang menjual peralatan memanah. Kediamannya yang terletak di Taman Harmoni, Kajang, Selangor menjadi lokasi buat Shahrul berkongsi pengalamannya bersama kru Jurnal pada Khamis lalu. Shahrul memberitahu, dia ingin mengembalikan kegemilangan sukan memanah yang pernah dikuasai kaum Melayu. Dia juga mahu mengembalikan kegemilangan ilmu persilatan yang menjadi kebanggaan kaum Melayu. Lelaki muda itu yang dalam keadaan penuh keterujaan memberitahu, antara persenjataan utama pada zaman dahulu ialah set memanah. Malah, umat Islam juga digalakkan untuk bergiat aktif dalam sukan memanah. "Tiga sukan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah memanah, berkuda serta berenang. "Set memanah digunakan sebagai senjata pasukan tentera pada zaman era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka walaupun tiada dokumen sejarah yang menyokongnya," katanya. Shahrul berkata, berdasarkan penyelidikan yang beliau lakukan, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka saling bertukar-tukar teknologi persenjataan dengan empayar Islam, Turki Uthmaniyah yang berpusat di Istanbul, Turki. Dia yang memulakan bisnes itu sejak setahun yang lalu turut berkongsi tentang strategi peperangan yang menggunakan alat memanah. "Jika peperangan berlaku pada waktu malam, hujung anak panah akan disalut dengan kain sebelum dibakar. Ia bertujuan untuk menerangkan kawasan musuh bagi memudahkan melakukan serangan.
"Selain itu, pasukan memanah mempunyai misi mahu membunuh ketua pasukan musuh sebagai cara untuk mengurangkan kekuatan mereka," ujarnya. Shahrul yang baru berkahwin pada April lalu sempat menceritakan tentang sambutan busur panah tradisional yang diusahakannya. "Kini, banyak kumpulan persilatan Melayu yang mempunyai silibus memanah sambil menunggang kuda. "Selain itu, ada individu yang menyimpannya untuk dijadikan koleksi peribadi," jelasnya. Medium internet seperti laman sosial Facebook dan blog menjadi wadah promosinya. Set memanah lelaki kelahiran Batu Pahat, Johor ini turut dieksport ke Indonesia, Brunei dan Singapura. Keuntungannya agak lumayan sehingga dia boleh memperoleh sebanyak RM5,000 sebulan yang menyamai gaji seorang pengurus syarikat swasta! Proses pembuatan Proses menghasilkan set memanah sebenarnya tidak sukar. "Pada mulanya busur dihasilkan dengan memanaskan sebilah batang yang bahan-bahan asasnya ialah karbon, gentian fiber serta plastik selama 30 minit. "Kemudian peralatan ini akan dilentur pada hujung dan pangkalnya bagi membentuk lengkuk menggunakan pistol haba selama 30 hingga 40 minit," cerita Shahrul. Selepas dikeringkan, busur itu akan dipotong pada bahagian hujung serta pangkal untuk proses menyarungkan tali sebelum lengkap sepenuhnya. Proses seterusnya ialah kemasan iaitu busur akan digosok sehingga licin permukaannya menggunakan kertas pasir selain semburan warna. Semasa kami sedang rancak berbual, ayah Shahrul iaitu Mohd. Zainal Rasman secara tiba-tiba mencelah perbualan kami untuk bercerita tentang cara membuat anak panah. "Anak panah dihasilkan dengan menggunakan peralatan khas yang menggunakan material daripada aluminium serta gentian kaca. "Kantung anak panah pula dijahit oleh Fadzly sendiri menggunakan kain baldu hitam atau songket," tutur Mohd. Zainal.
Katanya, bagi lukisan sasaran (Bullseye Target) pula bahannya kain terpal yang kuat dan tahan lama. "Busur panah boleh dibuat dengan kayu getah dan kayu nibung tetapi sukar untuk mencarinya di hutan belantara. "Malah, untuk memprosesnya sukar jadi import sahaja bahan sedia ada dari China dan Korea Selatan lebih mudah bukan," katanya sambil ketawa. Walaupun tidak sepenuhnya tradisional, penggunaan kain baldu atau songket selain reka bentuk busur lama menyerlahkan ciri-ciri klasik set memanah Bow Master. Set memanah ini berharga RM280 yang merangkumi sebuah busur, empat anak panah, sebuah kantung anak panah, satu set lukisan sasaran selain pelapik ibu jari. Berat busur boleh mencapai 400 gram (g), panjangnya pula 122 sentimeter dengan lebar 3.5sm manakala anak panah panjangnya 60sm dengan purata berat 18g. Sukan memanah Shahrul dikemukakan soalan perihal kos untuk mempelajari sukan memanah yang agak mahal kerana set busur serta anak panah moden sahaja mencecah RM2,000. "Itu merupakan perkara biasa kerana peralatan tersebut diimport dari Korea Selatan, China dan Jepun. "Sebenarnya set memanah Bow Master setanding dengan buatan ketiga-tiga negara tersebut. "Malah, jika kita bermain di pusat memanah sekali pun kosnya RM50 untuk tempoh sejam," ujarnya. Lupakan mengenai set memanah dan Bow Master. Penulis sendiri berpeluang melakukan aktiviti memanah. Dia sengaja menguji penulis dengan tidak memasang tali busur panah. Rupa-rupanya tali busur kurang 12.7 sentimeter berbanding busurnya. "Ada cara untuk memasangnya iaitu dengan cara meletakkan busur di tengah kedua-dua kaki dalam bentuk bersilang sebelum dimampatkan. Barulah tali dapat disemat. Semasa sesi memanah, penulis gagal menemui sasaran malah anak panah jauh tersasar. "Itu pentingnya latihan tetapi lebih baik membeli set memanah Bow Master kerana ia jauh lebih murah berbanding set yang diimport," kata Shahrul. | ||
Posted: Nelayan pemburu mayatXINPENG memperoleh pendapatan hasil daripada pekerjaannya mencari mayat. APABILA bercerita mengenai pekerjaan sebagai nelayan, sudah tentu terbayang dalam fikiran seseorang bahawa kerjaya itu mempunyai kaitan dengan menangkap ikan. Bagaimanapun, terdapat seorang nelayan di China yang mencari mayat manusia di sungai. Lelaki yang berusia 50-an itu mencari mayat-mayat yang terapung di sekitar kawasan Sungai Kuning tidak jauh dari bandar Lanzhou. Matanya tetap tajam mengamati aliran Sungai Kuning yang keruh dan dia yakin akan menemui mayat manusia yang menjadi mangsa lemas, dibunuh atau membunuh diri. Menurutnya, dia sudah mengumpulkan lebih 500 mayat yang ditemuinya dengan menggunakan sebuah bot di sungai tersebut. Mayat-mayat yang ditemui nelayan itu akan dikumpulkan di sebuah kawasan anak sungai. Xinpeng kemudian mengiklankan penemuannya di dalam akhbar tempatan dengan disertakan butiran mengenai ciri-ciri fizikal mayat tersebut dan menunggu keluarga si mangsa menghubunginya. "Pada kebiasaannya, ahli keluarga si mati akan menelefon untuk meminta mereka dibawa ke tempat saya menyimpan mayat tersebut," katanya. Dia kemudian akan membawa ahli keluarga si mati ke anak sungai itu. Jika ahli keluarga si mati mahu membawa pulang mayat dari anak sungai itu, bayaran yang dikenakannya boleh mencecah hampir AS$500 (RM1,570). Xinpeng mengenakan bayaran yang berbeza untuk para pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Lelaki tersebut menetapkan bayaran sebanyak AS$75 (RM235) jika pelanggannya itu ialah seorang petani. Bayaran sebanyak AS$300 (RM941) dikenakan untuk pelanggannya yang mempunyai pekerjaan tetap. Namun, jika sebuah syarikat mahu mayat yang ditemuinya itu dibawa pulang, bayaran yang dikenakannya ialah AS$450 (RM1,412). Terdapat juga mayat-mayat yang ditemuinya itu tidak mahu dibawa pulang oleh keluarga di mati. Menurutnya, kebanyakan mayat yang tidak mahu dituntut oleh keluarga si mati itu terdiri daripada pekerja wanita yang telah berhijrah ke bandar tersebut. Xinpeng berkata, mayat yang tidak mahu dituntut oleh keluarga si mati itu akan dihanyutkan semula ke sungai. Lelaki tersebut menyatakan dia mula mencari mayat pada tahun 2003 selepas mengusahakan sebuah ladang pokok lai. Menurutnya, tragedi seorang anaknya yang mati di sungai itu telah mendorongnya untuk mencari mayat di sungai tersebut. Mayat anaknya itu tidak pernah ditemui selepas lemas di sungai tersebut. Pihak polis pernah menyamannya beberapa kali kerana dia melakukan pekerjaan tersebut. Xinpeng berkata, tindakan polis yang menyamannya itu menyebabkan dia pernah terlintas untuk tidak lagi meneruskan pekerjaannya di Sungai Kuning. | ||
Posted: Pulau 'neraka dunia'GETAH pokok Darah Naga berwarna merah seperti darah. KETIKA waktu tengah malam semakin tiba, Neehah Maalha bersama isterinya duduk berhampiran unggun api sambil menghirup teh panas yang dicampur susu kambing peliharaan mereka. Mereka berbual dengan menggunakan bahasa Socotra yang hanya dipertuturkan penduduk Pulau Socotra. Intipati perbualan berkisar tentang masa hadapan mereka. Ironinya, Pulau Socotra terletak 354 kilometer dari Yemen. Socotra dalam bahasa kuno Sanskrit bermaksud 'pulau kebahagiaan'. Namun, ada beberapa pihak yang menggelarnya sebagai 'neraka dunia' kerana kepelikan dan ciri-ciri eksotik yang terdapat di pulau tersebut. Sarat dengan khazanah flora dan fauna, Socotra mula dikunjungi para saintis dari seluruh dunia sejak beberapa tahun yang lalu untuk melakukan penyelidikan saintifik. Ratu Balqis yang pernah mempunyai kerajaan di tanah Arab dan hidup pada zaman Nabi Sulaiman pernah meneroka pulau tersebut. Penjelajah terkenal, Iskandar Zulkarnain dan pengembara termasyhur, Marco Polo juga pernah meneroka pulau yang dihuni hanya seramai 40,000 orang itu. Namun, ramai penduduk tempatan mendakwa pernah melihat kelibat ular gergasi di dalam gua tetapi tiada gambar atau rakaman video yang mengesahkan kewujudan haiwan tersebut. Socotra terletak berdekatan Pulau Abd Al Kuri, Pulau Samhah dan Pulau Darsa. Sebenarnya, tumpuan para saintis dan pelancong yang melawat pulau itu adalah kerana terdapat ratusan pokok yang dikenali sebagai pokok Darah Naga. Pokok itu berbentuk seperti payung atau persis cendawan. Namun, saiznya cukup besar untuk memayungi beberapa orang yang mahu berlindung daripada cahaya panas terik matahari. Ia dikenali sebagai pokok Darah Naga kerana getahnya berwarna merah. Segelintir penduduk tempatan percaya getah pokok itu mampu menyembuhkan penyakit berkaitan kulit selain dijadikan pewarna semula jadi. Pada zaman pertengahan, pokok itu digunakan dalam amalan ritual sihir penduduk pulau tersebut. Selain itu, pokok Delima Socotra atau nama saintifiknya Punica Protopunica boleh ditemui di pulau itu. Ia dipercayai benih asal pokok delima sebelum tumbuhan tersebut berevolusi dan ditanam di merata tempat di dunia. Pokok Delima Socotra mempunyai bunga yang berwarna merah. Bunga pokok delima biasa berwarna merah jambu selain saiznya yang lebih kecil. Pokok timun raksasa yang dikenali dengan nama saintifiknya, Dendrosicyos Socotranus tidak mengeluarkan timun. GETAH pokok Darah Naga mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Spesies haiwan Batangnya besar dengan sedikit cabang halus pada bahagian pucuk. Ketiga-tiga tumbuhan itu hanya boleh ditemui di Pulau Socotra. Selain tumbuhan, beberapa spesies haiwan seperti ketam, mengkarung atau lipan boleh ditemui dengan saiz yang lebih besar daripada kebiasaan. Saiz yang besar itu menyebabkan manusia kelihatan takut untuk mendekati haiwan-haiwan tersebut. Iklim tropika Pulau Socotra juga unik kerana ia boleh mencecah 40 darjah Celsius. Ekoran keanehannya itu, Socotra mendapat jolokan sebagai permata biodiversiti di Semenanjung Arab. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh para penyelidik Taman Botani Diraja Edinburgh, United Kingdom, terdapat 307 daripada 825 spesies tumbuhan di situ tidak ditemui di tempat lain di bumi. Angka tersebut merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan tumbuhan di pulau itu. Malah, beberapa spesies tersebut dianggarkan berusia lebih 20 juta tahun. Pulau seluas 3,796 kilometer persegi ini telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Julai 2008. Menariknya, tiada hotel, restoran atau bangunan besar didirikan sebagai usaha untuk memulihara sifat semula jadi pulau tersebut. Hanya sebatang jalan raya yang dibina pada tahun 2006 dengan tujuan untuk memudahkan pergerakan penduduk. Seorang pengembara dan ahli botani amatur, Harry Jans hanya mengetahui mengenai Socotra selepas melihat pokok Darah Naga semasa menggunakan enjin carian internet Google. Penemuan tersebut terus menarik minatnya untuk mengunjungi pulau itu. Sepanjang berada di pulau itu, dia menemui pelbagai tumbuhan unik seperti Desert Rose dan ikan bersaiz besar yang menakutkannya. "Mungkin Desert Rose merupakan bunga ros paling buruk di dunia untuk dihadiahkan kepada wanita," katanya sambil ketawa. Namun, dia khuatir kerana terdapat pokok Darah Naga yang dibawa balik untuk dijadikan kenangan walaupun ketika itu ia masih belum matang. "Ia akan menyebabkan implikasi ke atas kuantiti pokok itu. Selain itu terdapat para pedagang yang mengambilnya pada skala besar kerana khasiatnya dalam bidang perubatan," katanya. Terdapat mitos yang mengatakan dajal dikurung di sebuah gua di Socotra. Namun, ia hanya sekadar mitos tanpa bukti sahih. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |