Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Hidangan siap dalam masa lima minit Posted: Hidangan siap dalam masa lima minitBIDANG masakan bukanlah sesuatu yang asing bagi Fadhilah Nahar, 34. Mewarisi kemahiran memasak daripada neneknya, sejak kecil dia sudah biasa bergelumang dengan kuali dan periuk belanga untuk menyiapkan pelbagai hidangan untuk keluarga. Sebut apa sahaja makanan, Melayu, Cina, India atau Barat, boleh dikatakan sebahagian besar resipi itu ada di dalam kepalanya. Justeru, tidak hairanlah wanita yang masih bujang itu agak cerewet setiap kali berbicara mengenai makanan. Bahan-bahan yang digunakan mesti bersih dan segar. Paling penting setiap makanan yang dihidangkan mesti cukup rasa, tidak terlalu lemak, masin, manis, pedas, masam dan sebagainya. Pemilik blog masakan, Delima Zamrud tersebut berkata, disebabkan itu dia jarang membeli atau makan di luar rumah kecuali terpaksa seperti tidak sihat dan sebagainya. "Pada saya, memasak bukan sekadar hobi tetapi merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan. "Saya tidak tidak kisah berkurung seharian di dapur, asalkan hati saya puas apabila menyiapkan sesuatu hidangan," katanya yang turut menjalankan perniagaan katering secara kecil-kecilan di sekitar kediamannya di Putrajaya. Menurut Fadhilah, dia juga jarang membeli perencah makanan segera atau produk-produk makanan sejuk beku yang mudah didapati di pasaran kerana rata-ratanya mengandungi bahan pengawet atau monosodium glutamat (MSG) yang tinggi. "Lagipun, banyak produk yang pernah saya cuba sebelum ini tidaklah sesedap mana. Daripada membazir wang begitu sahaja, lebih baik masak sendiri," ujarnya. Menepati selera Bagaimanapun, persepi itu berubah apabila dia menyertai pertandingan masakan yang dianjurkan oleh produk makanan sejuk beku dan sedia untuk dimakan, myChef yang baru dilancarkan ketika itu. Salah satu syaratnya ialah mewajibkan setiap peserta memasak menggunakan salah satu daripada rangkaian produk berkenaan berdasarkan kreativiti masing-masing. "Sebelum pertandingan, saya membeli beberapa produk myChef di pasar raya dan mencubanya di rumah. "Menariknya, biarpun dihidangkan terus tanpa sebarang pengubahsuaian atau campuran bahan-bahan tambahan, ia cukup menyelerakan dan menepati selera saya dan keluarga," katanya. RESIPI produk myChef juga boleh dipelbagaikan mengikut selera dan kreativiti pengguna. Menampilkan resipi istimewa selebriti chef terkenal seperti Datuk Chef Ismail Ahmad (Chef Ismail), Zamzani Abdul Wahab (Chef Zam), Chef Liza Zainol, Chef Florence Tan dan juara MasterChef Malaysia musim pertama, Dr. Ezani Farhana, produk-produk myChef mengetengahkan tema makanan Melayu, nyonya, India dan Barat yang sesuai untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini. Dilancarkan pada November 2011, kini terdapat 19 produk myChef di pasaran. Antaranya ialah ayam pongteh, ayam kalio, ayam mentega makhani dan daging stroganoff dengan nasi perang pilaf. Selain itu, terdapat juga gulai udang serai, semur daging Betawi, kari Melayu Cape, spageti ayam dengan pasta Asia, daging masala, ayam beriani mughlai, ikan goreng asam dan kari ayam nyonya. Ketua Pegawai Eksekutif Flavor Innovation Sdn. Bhd., Mohd. Fairuz Abdullah berkata, kehadiran produk itu membolehkan orang ramai berpeluang menikmati kepelbagaian hidangan daripada chef selebriti terkenal dalam keselesaan rumah sendiri. Katanya, ia bukan saja mudah disediakan tetapi juga mengandungi khasiat makanan yang baik untuk kesihatan di samping mempunyai status halal. "Sesiapa saja termasuk mereka yang kurang mahir memasak boleh menyediakan hidangan enak dan lazat dalam tempoh empat hingga lima minit sahaja menggunakan ketuhar gelombang mikro. "Justeru, ia dilihat sebagai alternatif kepada individu bekerjaya terutama golongan ibu bapa kerana mereka akan dapat meluangkan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga daripada menyediakan masakan dan membersihkan dapur atau perkakas memasak," katanya. Hidangan lazat Tambah Mohd. Fairuz, teknologi produk sejuk beku dan makanan sedia untuk dimakan seperti myChef telah lama berkembang di luar negara terutama di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) melalui beberapa jenama antarabangsa seperti Weight Watchers, Jenny Craig dan Lean Cuisin. "Permintaan terhadap produk-produk sebegini sememangnya cukup tinggi dalam kalangan pengguna di seluruh dunia berikutan kesedaran mereka terhadap amalan pemakanan yang sihat dan seimbang. "Itu yang kami cuba tampilkan melalui produk myChef. Kami mahu masyarakat tidak sekadar berpeluang menikmati hidangan yang lazat dan menyelerakan tetapi pada masa yang sama tidak berkrompomi berhubung soal kualiti, kebersihan dan nutrisi yang terkandung di dalamnya," katanya. Bagi tujuan itu, setiap resipi dibuat dengan menggunakan bahan-bahan segar dan terpilih mengikut piawaian makanan antarabangsa. "Bahan yang digunakan adalah rendah lemak, kalori, gula dan garam. Kami melakukan kajian dan penyelidikan ke atas semua resipi bagi memastikan setiap kandungan di dalamnya mengikut jumlah bahan harian yang disyorkan.
"Pada masa yang sama, kami juga sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan kilang, kesihatan pekerja di samping memastikan setiap proses bermula daripada bahan-bahan mentah sehingga pembungkusan dilakukan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan," jelasnya. Setiap hari pihaknya mengeluarkan kira-kira 8,000 produk myChef di kilangnya yang terletak di kawasan industri di Puncak Alam, Shah Alam. "Dijual pada harga antara RM4.90 hingga RM16.50 bagi setiap pek yang sesuai untuk hidangan dua hingga tiga orang, ia amat berbaloi untuk dimiliki. "Ketika ini, semua produk kami kini boleh didapati di semua pasar raya hiper termasuk Giant dan Tesco serta beberapa pasar raya terpilih di Lembah Klang," ujarnya yang merancang untuk meneroka pasaran luar negara seperti Hong Kong, Vietnam dan Eropah dalam masa terdekat. Sementara itu, Ketua Pembangunan Produk Baharu Flavor Innovation Sdn. Bhd., Nor Asiah Tajul Urus berkata, pihaknya menggunakan inovasi terkini dari AS dalam menghasilkan produk sejuk beku yang mampu bertahan sehingga setahun disimpan dengan betul di bahagian sejuk beku. Kekalkan nutrisi Katanya, melalui proses yang dikenali sebagai blast freeze itu makanan yang siap dimasak akan disimpan selama dua jam dalam peti sejuk bertekanan tinggi sehingga di bawah suhu 18 darjah Celsius bertujuan mengekalkan nutrisi dan tekstur produk. "Apabila siap untuk dimakan, pengguna akan dapat menikmati kualiti dan kesegaran bahan-bahan digunakan. "Misalnya, daging ayam tidak akan hancur atau terlalu lembut manakala aromanya tetap sama dan mampu membangkitkan selera pengguna,"jelasnya. Sesuai bagi mereka yang mahu berdiet serta mementingkan kesihatan, kata Nor Asiah, setiap produk myChef hanya mengandungi 120 hingga 400 kalori. "Bagi tujuan itu, kami telah memperkenalkan kod nutrisi berwarna yang tertera di bahagian luar produk. Ia menyenaraikan kandungan peratusan kalori, lemak, lemak tepu, garam dan gula bagi setiap hidangan mengikut jumlah bahan harian yang disyorkan. "Sebagai contoh, warna hijau menandakan low content atau bermaksud rendah kalori yang merupakan pilihan yang sihat, kuning oren pula melambangkan medium content dan merah pulak mewakili high content seperti yang telah ditetapkan oleh Agensi Piawaian Makanan UK," katanya. | |
Amalan berkhatan undang kontroversi Posted: Amalan berkhatan undang kontroversiGOLONGAN ibu di Indonesia menentang usul pengharaman amalan khatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. KANAK-KANAK perempuan berumur lima tahun itu tampak gelisah. Ibunya, Yuli yang duduk di bangku klinik itu kelihatan tidak berhenti-henti menenangkan anaknya yang bernama Retna. Wanita-wanita lain turut melakukan perkara yang sama kepada anak perempuan mereka. Saat jururawat memanggil nama Retna, langkah longlai menemani anak kecil itu. Keresahan melanda apabila detik untuk dikhatankan kian menghampiri. Dalam minda Retna, terbayang kesakitan yang tidak ingin ditempuhi. Namun, kehadiran ibunya di sisi sedikit meredakan keadaan. Sesudah proses khatan dilaksanakan, wajah Yuli berubah lega, menggambarkan kejayaannya melunaskan tanggungjawab besar ke atas Retna. "Saya memang mahu anak saya dikhatankan kerana menurut Islam, ia merupakan hal yang baik. Saya gembira, anak saya kini suci dan bersih," ujar Yuli, seorang tukang jahit berumur 27 tahun yang ditemui di sekolah Assalaam Asas Islamik, Indonesia yang menjalankan program berkhatan perempuan besar-besaran melibatkan 120 bayi dan kanak-kanak. Amalan ditentang PBB Yuli percaya adat itu tidak memberi efek negatif kepada anaknya. Tambahnya: "Ramai wanita pada hari ini hamil anak luar nikah. Dengan berkhatan, saya berharap agar anak saya tidak terlalu mengikut nafsu dan mampu mengawal tarikan seksual yang dialami menjelang dewasa." Upacara berkhatan yang sinonim dalam kalangan lelaki juga sebenarnya dijalani golongan wanita. Bezanya ia sering dilakukan ketika seseorang perempuan itu masih kecil atau lebih sesuai pada usia bayi. Selain penduduk di Afrika, umat Islam turut digalakkan mengkhatankan anak perempuan bagi tujuan kebersihan dan menjaga keperibadian. Malah, menerusi fatwa di Malaysia, semua perempuan Muslim di negara ini wajib berkhatan. Namun, amalan itu kini mula ditentang di Indonesia. Mereka berdepan kesukaran mempertahankan amalan itu selepas dikecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baru menghantar resolusi bagi pengharaman ke atas amalan mencederakan organ seks wanita atau Female Genital Mutilation (FGM), termasuk sebarang bentuk khatan. Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Indonesia pula menyatakan bahawa amalan itu tidak mendatangkan kesan negatif terhadap bahagian kelentit perempuan atau daging kecil pada kemaluan perempuan. Malah, para ulama negara itu juga berpendapat berkhatan mampu meningkatkan kesucian seksual golongan wanita. Prosedur khatan di Indonesia merangkumi cucukan pantas menggunakan pin kecil pada bahagian clitoris kanak-kanak perempuan. "Di Indonesia, kami menjalankan klasifikasi khatan jenis keempat, berbeza daripada tiga kaedah lain yang dikelaskan sebagai mutilasi melibatkan pembuangan sebahagian atau sepenuhnya bahagian kelentit," ujar seorang doktor Indonesia, Dr. Yanne Cholida. DOKTOR di Indonesia menjelaskan, prosedur khatan kanak-kanak perempuan di negara itu tidak mencederakan alat sulit kanak-kanak tersebut. Sementara itu, wakil daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI), Sholahudin Al Aiyub memberitahu, mereka amat bersetuju sekiranya PBB berhasrat mengharamkan amalan khatan yang dijalankan di Afrika. Bagaimanapun, khatan berdasarkan ajaran Islam tidak boleh disentuh dan dipersoalkan. Pengkritik tempatan di negara itu pula menyatakan, amalan berkhatan dalam kalangan perempuan melanggar hak seorang wanita. Beberapa jenis khatan ekstrem yang dilakukan di Afrika juga dipercayai terdapat di kawasan terpencil Indonesia. Profesor Jurnalis Uddin daripada Fakulti Perubatan Universiti Yarsi menyatakan: "Impak berkhatan terhadap perempuan amat bahaya, jadi dari sudut perubatan ia tidak membawa sebarang faedah manakala dari segi agama, ia sesuatu yang boleh dibahaskan." Prosedur melibatkan cucukan jarum, menindik, memotong, melecuhkan atau membakar yang dilaksanakan bukan untuk tujuan perubatan telah dikelaskan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai mutilasi termasuk amalan membuang sebahagian atau keseluruhan alat sulit. Menurut WHO, amalan ekstrem berupaya mengundang pendarahan kronik, masalah pembuangan air kecil dan komplikasi ketika bersalin. Tidak diwajibkan Budaya yang telah wujud beribu tahun dahulu itu dilihat sebagai suatu amalan biasa di sebahagian kawasan di Afrika, Asia dan Asia Timur. Kaedah yang ekstrem pula melibatkan jahitan bahagian luar dan dalam labia atau memotong keseluruhan atau sedikit bahagian kelentit. Indonesia pernah mengharamkan khatan perempuan pada tahun 2006, namun kembali membenarkannya pada tahun 2010 dengan alasan ramai ibu bapa masih mengkhatankan anak perempuan mereka menerusi bidan tradisional yang tidak terlatih. Respons daripada pengharaman itu, MUI telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2008 membenarkan amalan tersebut tetapi tidak mewajibkannya. Pertubuhan Islamik seperti Pertubuhan Assalaam di Bandung memberitahu mereka telah menggantikan penggunaan gunting kepada pin. "Pada masa dahulu, kami menggunakan seorang atau dua doktor dan lebih ramai bidan. Mereka menggunakan gunting bagi memotong sedikit bahagian atas. Kami telah meninggalkan amalan itu." jelas koordinator Assalaam, Eulis Sri Karyati, yang menambah hanya doktor bertauliah dibenarkan menjalankan prosedur itu di sekolah mereka. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |