Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Harimau Malaya pamer belangOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
"SUATU peningkatan yang bagus tetapi kita masih perlu mencari skuad yang kuat... itu yang mustahak." Itu reaksi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Syukor Salleh ketika diminta mengulas kemenangan skuad Harimau Malaya ketika membenam Sydney Olympic FC 4-0 pada aksi persahabatan di Padang Sukan Belmore, Australia semalam. "Perlawanan persahabatan adalah untuk menguji pemain dan mendapatkan kombinasi pemain-pemain dalam setiap posisi. "Jurulatih ada hak untuk menerapkan taktikal yang sesuai dan kunci kejayaan sesebuah pasukan adalah dapat mengawal bola dengan baik," jelas Shukor kepada Kosmo! semalam. Pada aksi semalam, Harimau Malaya yang tewas 2-3 kepada Canberra FC dalam aksi sulung persahabatan Khamis lalu, membuka tirai jaringan menerusi perancang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim seawal minit kesembilan. Penyerang gantian, Mohd. Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya dengan meledak hatrik pada minit ke-50, ke-73 dan ke-89. "Kita tidak boleh terlalu cepat untuk mendabik dada dengan kemenangan ini kerana perjalanan kita masih jauh. "Ini kerana kita akan berdepan Bahrain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada Oktober depan. "Saya berharap jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dapat mengambil kesempatan ini dengan membentuk skuad yang mantap," kata Syukor yang membuat 215 penampilan bersama skuad kebangsaan. Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustafa turut senada dengan pandangan Syukor. Hashim berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak memberikan suntikan moral buat Harimau Malaya untuk terus memburu kejayaan di peringkat antarabangsa. "Ia akan menjadi satu motivasi yang bagus dengan kejayaan itu. Pada pendapat saya, menang atau kalah dalam perlawanan persahabatan itu bukan perkara utama. "Sebaliknya, kita harus mencari satu formula untuk menguatkan skuad negara. Para pemain dipilih berdasarkan prestasi terbaik mereka dalam Liga Malaysia (Liga M). "Apa pun, saya percaya Safee (Sali) dan Safiq masih mampu memberikan sumbangan besar kepada skuad negara," katanya yang masih gah sebagai penjaring terbanyak Liga M edisi 1994 apabila meledak 29 gol. | |
Posted: 'Tak perlu gantung-gantung'SHAHIDAN (kanan) berbual dengan Anuar selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam. BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecatnya daripada PFA jika FAM berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana terus mengkritik badan induk itu. "Tak perlu gantung-gantung, pecat saja saya tetapi dengan syarat jangan bagi PFA kacau saya lagi (minta saya bayar gaji pemain Perlis). "Saya tidak mahu ada kaitan apa-apa lagi dalam persatuan itu," kata Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam. Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk menilai sama ada Shahidan wajar dibicara- kan lagi setelah terus menerus mengkritik badan induk kebangsaan itu biarpun digantung selama 30 bulan. Sambil mempertahankan tindakannya, Shahidan turut melahirkan rasa terkilan apabila FAM hanya mengenakan hukuman ke atasnya sedangkan masih ramai pemimpin yang mengkritik badan induk itu. "(Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) Tan Sri Annuar Musa keluarkan kenyataan tiap-tiap hari mengenai FAM, mereka tidak kata apa-apa. "(Jurulatih Harimau Malaya) Datuk K. Rajagobal pun tak kena gantung. Kalau saya, suka hati mahu hukum, ingat saya tiada kepentingan, senang-senang mahu denda," jelas Shahidan. Sabtu lalu, bekas Menteri Besar Perlis itu mengeluarkan kenyataan berhubung kemarahannya terhadap FAM yang telah menggantungnya tetapi tiada pegawai badan induk tersebut yang bertanya khabar PFA. Shahidan juga meluahkan keluhan kerana terpaksa mengeluarkan duit sakunya untuk membayar gaji pemain Perlis ketika menjadi presiden skuad Singa Utara dan meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan. Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015. | |
Posted: Empat kerusi jadi rebutanPEMILIHAN pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2013 hingga 2015 sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 22 Jun ini bakal menyaksikan empat kerusi dipertandingkan dengan tiga daripadanya adalah persaingan satu lawan satu. SHAHRIL NIZAM ABDULLAH melaporkan, jawatan Timbalan Presiden MOM yang disandang Presiden Persatuan Skuasy Malaysia, Datuk A. Sani Karim bakal dicabar oleh Naib Presiden MOM yang juga Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Malaysia, Tan Sri Mohamad Noor Abd. Rahim. Satu lagi kerusi panas - Setiausaha Kehormat - turut menyaksikan perebutan satu lawan satu apabila Penolong Setiausaha Kehormat sebelum ini, T. Kumar bakal mencabar penyandang jawatan berkenaan, Datuk Sieh Kok Chi. Bagi jawatan lima Naib Presiden, empat muka baharu - Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalif, Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar, Andrew Bryan Perera dan Datuk Tang See Hang bakal mencabar empat penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Low Beng Choo, Datuk Dr. Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah. Satu lagi kerusi yang menjanjikan persaingan satu lawan satu ialah jawatan Bendahari Kehormat apabila penyandangnya, Yong Choo Kong akan dicabar Ling Eng Chan. Pengerusi panel bebas pemilihan, Datuk Norminshah Sabirin menjelaskan, sehingga tarikh tutup pencalonan petang semalam, hanya empat kerusi sahaja yang akan diumumkan menang tanpa bertanding pada 22 Jun ini. "Sehingga tarikh tutup petang ini (semalam), hanya jawatan Presiden, Penolong Setiausaha Kehormat lelaki dan wanita serta Penolong Bendahari Kehormat yang menerima satu pencalonan. "Ini bermakna jawatan presiden yang disandang Tunku Imran Tuanku Ja'afar serta tiga jawatan lain ini akan diumumkan menang tanpa bertanding pada AGM penggal 2013-2015, 22 Jun ini," jelasnya pada sidang akhbar di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam. Norminshah akan mengetuai dua lagi ahli panel bebas pemilihan yang dilantik oleh MOM iaitu Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan dan Ong Leng Kok. Pada penamaan semalam, Tan Sri Mohamad Noor dicalonkan oleh MTBC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Tinju Amatur Malaysia manakala Persatuan Skuasy Malaysia mencalonkan A. Sani. T. Kumar pula dicalonkan oleh Persatuan Karate Malaysia dan Persatuan Bola Jaring Malaysia untuk merebut jawatan Setiausaha Kehormat yang disandang oleh Kok Chi sejak 1992. "Pengundian melibatkan 35 persatuan sukan di Malaysia dan setiap persatuan tersebut boleh menghantar tiga wakil pada hari pengundian nanti yang bermakna jumlah keseluruhan ialah 105 undi. "Saya sendiri tidak tahu siapa wakil yang akan dihantar oleh persatuan sukan masing-masing kerana ia terpulang kepada mereka untuk memilih wakil mereka," ujar Norminshah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |